Friday, May 01, 2009

Kalau Luka, Letakkan Madu

Salam.

Tiga (atau empat?) hari yang lepas, saya cuai sewaktu mengasakkan sudu-sudu yang dibasuh ke dalam raga di tepi mangkuk sinki, langsung jari terturis mata pisau yang menanti. Mula-mula terasa irisan tajam, saya lihat ada luka yang belum berdarah. Lantas saya cuci - jari dan pisau yang menuris. Dalam hati mengeluh kecil - esok mahu berhabis-habis waktu di wad, paling tidak suka jika ada open wound - walaupun ditutupi plaster! (Saya sangat OCD tentang kebersihan dan infection control.)

Ambil gelas, susu dalam peti sejuk, ambil botol madu. Badan rasa kurang sedap sebenarnya. Mungkin susu yang diaduk dengan madu dapat menjadi asbab sedikit kelegaan. Tiba-tiba mendapat ilham - apa kata luka di jari ini, saya curahkan sedikit madu? Pernah juga terbaca, madu dan jeli petroleum adalah antara bahan yang bagus untuk menutup luka supaya terlindung daripada jangkitan dan mempercepat penyembuhan.

Luka yang mulanya hanya segaris kulit yang terlokoh, apabila dicurah setompok madu, berubah pedih, ketika madu mula meresapi tisu yang cedera. Darah tiba-tiba bergenang dan melimpah dalam satu garis halus - cairan merah dengan kepekatan osmosis yang berbeza, merintis galuran sendiri dalam pekat madu yang menakung, lalu larut dan meleleh perlahan bersama lekit titisan madu meniti jari-jari jatuh ke tapak tangan. Saya biarkan. Pedih yang sekelumit lama-lama akan hilang. Berhati-hati supaya tangan yang bersememeh madu tidak menyentuh pintu atau dinding, saya kembali ke bilik dan menggunakan enjin Google (seperti selalu) untuk mengesahkan bacaan saya tentang faedah madu untuk menangani luka-luka, baik kecil mahupun besar. Walaupun banyak dakwaan yang menyebut bahawa langkah terbaik adalah hidrogen peroksida, iodin, plaster, apa-apa sajalah lagi, beberapa laman yang lain berjaya meyakinkan saya bahawa berbaloi untuk mencuba. It's just a small cut anyway.

Setelah tangan itu kering, saya cuci bersih-bersih, dan ke dapur sekali lagi. Saya curahkan setompok lagi madu ke atas jari yang luka, kemudian mengambil sekeping kapas muka dan membalut tempat tersebut. Supaya kemas dan rapi, saya lilit longgar balutan itu dengan pelekat. Tidak rasa pedih lagi, tetapi sejuk dan damai. Bangun pagi keesokannya, luka nampak kering dan bersih. Saya ingin meneruskan terapi alternatif ini tetapi apakan daya, untuk tujuan kebersihan dan keselamatan di hospital, saya terpaksa menutup luka dengan plaster konvensional.

***

Kalau luka, letakkan madu. Logik sebenarnya, selain daripada pesanan Nabi yang mewar-warkan penawar daripada manisan lebah ini. Kepekatan gula yang tinggi menyebabkan madu tidak kondusif untuk survival bakteria dan menyerap lembapan daripada luka. Menurut satu laman web yang saya temui juga, reaksi antara madu dengan aliran darah pada luka akan menghasilkan hidrogen peroksida yang bersifat antibakterial dengan kadar reaksi perlahan supaya tidak merosakkan tisu.

Apa-apalah. Luka saya sangat kecil sebenarnya, dan tempoh penggunaan madu juga terlalu ringkas untuk melayakkan sebarang kesimpulan peribadi tentang keberkesanan terapi alternatif ini. Saya sebenarnya sangat tertarik dengan konsep... kalau luka, letakkan madu.

***

Luka yang pedih, dalam, menyakitkan, berlaku kerana bermacam-macam sebab. Geseran ganas dengan aspal gelanggang sewaktu bersukan, mata pisau yang tergelincir di dapur, kelupasan kulit rengsa yang digaru-garu akibat cuaca dingin, atau boleh jadi cedera kerana melecur dan melecet. Bagaimana mahu dirawat? Cuci dan curahkan alkohol? Hidrogen peroksida? Iodin? Krim antibiotik? Kemudian dibalut, kemudian dibuka, dicuci, dan dicurahkan segala macam kimia lagi? Atau lebih drastik, seperti dalam filem-filem aksi, luka dicucuh api saja seperti Rambo. Untuk membunuh bakteria dan mengeringkan darah walaupun masalah melecur dan infeksi seterusnya pula akan menjadi hal.

Saya tidaklah menentang perubatan moden. Nama-nama dadah dan teknik pengurusan cedera itu sebahagian bidang pengajian saya. Namun ada kalanya, mungkin lebih baik, santun dan manis, kalau luka itu kita cuci, dan letakkan saja madu yang pekat dan manis untuk merawat dengan lemah lembut. Walaupun banyak kontroversi tentang terapi alternatif - segala dakwaan bahawa tiada bukti saintifik dan sebagainya - saya masih cenderung untuk yakin bahawa rawatan bersumberkan sesuatu yang semulajadi kemungkinan besar lebih baik daripada sesuatu yang dicipta di dalam makmal atau di kilang-kilang.

***

Seringkali - saya tidak tahu tentang orang lain, tetapi saya sendiri - seringkali, saya suka bertindak agresif dengan luka-luka sendiri. Bukan, bukan luka pada jari, tapi pada jiwa. Luka yang tidak nampak di kaki tetapi berladung dalam hati.

Mengakui bahawa telah gagal itu adalah kekalahan. Mengakui bahawa saya sedih, kecewa, dan mahu menangis adalah satu ketewasan. Mengakui bahawa saya sudah penat, tidak mampu, saya mahu berhenti, berehat, menolak taklifan, adalah kehinaan. Meminta simpati itu menjatuhkan maruah. Luka-luka yang ada, walaupun tidak semua, saya basuh dengan alkohol, konon ia akan mencuci segala bakteria dan membantutkan semua jangkitan.

Semakin penat, semakin luka, semakin kecewa, semakin tertekan dengan jangkaan manusia sekeliling dan interaksi sosial yang menyerabutkan, saya semakin galak bekerja, ligat ke sana-sini, mengambil tanggungan itu dan ini. Semakin keyakinan diri terjejas - ketika semua orang di sekeliling terasa lebih baik, lebih menarik, lebih beragama, lebih berilmu, lebih tenang, lebih segala-galanya daripada saya - semakin saya menjadi agresif. Membenteng diri daripada manusia sekeliling, lari daripada ikatan dan kasih sayang yang lebih daripada sekadar basa-basi sosial, konon ia melindungi daripada kekecewaan dan kehilangan di kemudian hari, menyelamatkan daripada kelemahan diri terdedah untuk dipersendakan semua. Menghabiskan waktu, mendesak diri, sehingga makan dan tidur tidak menentu, konon hanya dengan memanfaatkan setiap titis waktu dan usia sehabis-habisnyalah, saya dapat menjadi manusia yang lebih baik, atau setidak-tidaknya setanding dengan manusia-manusia hebat dan sempurna di sekeliling. Bukan untuk pujian atau pengiktirafan, tetapi supaya saya sendiri tidak berasa begitu leceh, lekeh, dan hina.

Untuk siapa sebenarnya saya bermati-matian? Reaktif begitu setiap kali dirempuh dugaan, setiap kali keyakinan diri teruji, setiap kali hati tergugat dengan cabaran dan tekanan, setiap kali 'luka' - adakah saya sebenarnya merawat cedera atau merosakkan tisu-tisu nurani hingga yang rawan jadi makin ruwet? Adakah Allah memandang semua pekerjaan saya atau sebenarnya hanya syaitan dan nafsu yang bertepuk tangan melihat saya merawat luka dengan tangan yang gasar, memujuk jiwa dengan kerja keras yang sia-sia?

Bukankah lebih baik, kalau luka, biarlah selebar atau sedalam manapun, saya tumpahkan saja madu? Tumpahkan, curahkan saja, mula-mula ia mungkin pedih ketika jasad batini yang tidak biasa dengan kemanisan yang tuntas, yang padu serupa itu, tetapi setelah ia meresap dan sebati, Allah, damainya, tentu Engkau saja yang tahu. Mabuknya nanti, dunia dan isinya akan menjadi serupa debu.

Apalah sangat tentang isu self-esteem, expectation, social barrier, dan lain-lain yang hanya tempekan-tempekan superfisial atau turisan-turisan licik syaitan kepada luka yang tidak sembuh-sembuh. Yang keruh bercampur percikan riya', takabbur, 'ujub, dan sum'ah yang merosakkan ikhlas sampai remuk berkeping-keping sebelum hancur seumpama tanah liat kering. Amal yang dikumpul separuh mati, semuanya dicampak kembali ke muka, kerana jasad batini yang tidak pandai dirawat lukanya, terlalu banyak cacat cela untuk layak masuk syurga.

Hidup ini tidak melampau rumit sebenarnya. Yang ada hanya luka dan botol madu, dahi dan sejadah, hamba dan Tuhannya.

Allah, janganlah rengkung ini sudah gersang kering hingga tidak ada ghairah lagi pada manisnya madu dari takarMu.

-katarsis-

1 comment:

abuyusof said...

kwn dan famili gamat je..