Friday, May 22, 2009

Kontemplasi I

Salam.

Sekarang musim bunga. Maghrib menganjak jauh-jauh, hujung senja mampir merapat dengan pangkal hari. Sementara pangkal hari pula seperti mengerti, hari demi hari, mengengsut mendekat, mendekat, Subuh kian hari muncul kian cepat.

Matahari muda keluar pagi-pagi, sudah jadi remaja ketika kaki laju ke hospital atau ke mana-mana saja untuk memulakan hari. Cerah dan girang, hangatnya lembut dan kuningnya cemerlang.

Baik ketika melangkah di jalan-jalan raya, atau hanya duduk-duduk di meja membiarkan bayu bertebaran masuk dari jendela yang separuh terbuka, aku tidak pernah tidak terpesona. Pokok-pokok yang dulunya hanya ranting berceracakan, semuanya meriah mengibarkan rimbun-rimbun daun hijau.

Kerap kali juga, musim bunga dirundung mendung sepanjang hari. Atau hujan yang merembes, tidak mahu berhenti, dari sebelum fajar terbit hingga merah maghrib mengapung di langit. Aku tidak kisah. Hujan juga indah.

Lagu hujan yang gugur deras-perlahan di atas kaca tingkap yang mencondong, irama tanpa melodi, damai meresap-resap ke hati. Desir sejuta tetali hujan yang dipetik seribu jejari angin di luar sana, dendang rindu atau ria yang menerawang ke seluruh maya? Melangkah damai merempuh tirai hujan, sedang titis-titis air itu memercik ke wajah, jatuh berlumba-lumba sampai kerudung, kot luar dan sepatu kuyup basah, makin lebat, makin indah!

Musim bunga sebenarnya sudah hampir ke hujung. Kuntum gebu yang penuh bersesakan di celah dahan dulu, yang begitu meriah menaburkan kelopak salji putih dan merah jambu, sudah hilang entah ke mana. Tentu sudah gugur dan layu kerana sudah habis waktu.

Kuntum-kuntum musim bunga sudah layu.

Ketika-ketika ini, aku teringat musim dingin. Musim beku. Musim yang aku sebutkan sebagai musim paling romantis. Aku pernah menghuraikan begitu untuk seseorang yang mempersoalkan.

"...Romantikanya dalam nuansa redup putih, hitam, dan kelabu, pudar dan kaku namun penuh emosi.

Angin sejuk yang sama sekali tidak ramah, keras dan pahit, namun tetap berhembus dan membelai seluruh anggota, setiap langkah.

Pohon-pohon sepi tidak berdaun yang menghabiskan waktu-waktu dalam tafakur, diriannya bercerita tanpa kata, tentang kemeriahan musim luruh yang telah berlalu, dan impian penuh harap menanti tibanya kegirangan musim bunga.

Deruan salji yang gugur, jarang-jarang tiba, kehadirannya disambut dan diraikan sebelum cair di tapak tangan.


Musim dingin adalah musim untuk cinta yang terpendam, renungan tentang masa lalu dan masa depan, serta penghargaan untuk setiap keindahan yang hanya sekejap datang."

Penilaian di kampus baru bermula, tetapi aku menemui malam-malamku tidak ditemani buku-buku. Aku menulis, berfikir, merayau-rayau tanpa hala tuju, akhirnya pagi tiba dan aku mencari sejemput tidur sebelum hari bermula. Tidak, fikiranku tidak kacau. Laut lepas manapun yang hampir lemas kurenang, terima kasih Tuhan kerana membekalkan dengan iman dan al-Quran sebagai pelampung dan pelabuhan.

Cuma mungkin bawah sedar merindu-rindu musim dingin, ketika semuanya beku, kaku, dan diam, semuanya damai dan terpendam. Semuanya ketika itu, tenang.

Cuma mungkin bawah sedar terkenang musim bunga, ketika kuntum-kuntum meriah itu dulu buru-buru mau keluar berjumpa suria, bergurau senda dengan angin dan matahari, sementara burung entah dari mana membisikkan harapan dan janji. Yang entah dari mana datangnya. Apabila yang tinggal adalah kelopak yang sudah layu menjadi tanah, maka entah kenapa, langkah menjadi lemah.

Menyesalkah?

Aku tidak pernah mahu menggunakan istilah menyesal dalam hidup.

Cuma mungkin bawah sedar mengeluh, lebih baik musim dingin terus kekal di sini, tidak perlu diganti oleh musim bunga yang mengusik-usik, riang dan bebas, datang hanya untuk pergi. Sama seperti emping salji - tetapi salji cair di tapak tangan yang akan kering selepas sesaat. Tangan itu boleh digenggam, dan kaki terus melangkah. Sedangkan aku melihat diriku, ada waktu-waktunya terhenti bisu di bawah pohon yang sudah tidak berbunga, terlalu angkuh walaupun untuk mengakui bahawa aku kepingin lagi berjalan di bawah deraian kelopak putih dan merah jambu.

Mungkin aku belum benar-benar faham pesanan angin utara yang dititipkan tanpa jemu dulu.

Musim dingin adalah musim untuk cinta yang terpendam, renungan tentang masa lalu dan masa depan, serta penghargaan untuk setiap keindahan yang hanya sekejap datang.

Barangkali pesanan itu cukup menjadi bekal untuk mendepani apa-apa musim saja yang mungkin datang.

Esok belum tentu cuaca apa yang menanti, tapi jika Allah mengizinkan aku hidup lagi, indahnya itu aku pasti. Anugerah yang dikirimkanNya sentiasa cantik. Mungkin esok, kalau hujan tidak melampau lebat, aku mahu ke taman di sebelah kediaman.

Sudah lama tidak duduk-duduk di bangku melihat orang lalu-lalang dan bayang-bayang pokok yang berjatuhan ditolak cahaya matahari petang. Sudah lama juga tidak berjalan-jalan menapaki denai, kiri kanan diapit pohon gagah yang tinggi berdaun rimbun, redup dan harum. My Lothlorien. Where I used to read The Lord of The Rings, reading of Frodo, Sam, Merry and Pippin, of Arwen and Aragorn, of things that never was and never will be.

I don't actually have anything to lose, in this respect, now. Perhaps, I had never gained anything that I can lose. So let's dance, sing, shout to the whole world and be happy.

Matahari, angin, dan hujan, ayuh kita bernyanyi. Salji dalam hati, biarkan ia beku sampai ---?

-2.40 a.m.
19 hari sebelum OSCE-
meow~

1 comment:

apunpital said...

Biarkan ia beku, sampai mana kita mampu menahan gigil dalam lilit mafla berbulu?

*ganbate!*