Telah beberapa minggu sitkom ini ke udara. Saya baru berkesempatan untuk menonton satu episod setengah. Umi tak suka, katanya ‘menyampah’ tapi memandangkan tak ada yang lebih menarik dalam saluran tv yang lain, kami tonton juga.
Bagi saya, Keluarga Adam adalah sitkom yang mempunyai rupa tetapi tidak mempunyai wajah. Mempunyai identiti tetapi tidak mempunyai jati diri. Mempunyai mesej tetapi tandus dengan nilai murni. Ia adalah komedi yang menyedihkan, yang berhasrat untuk menciplak sitkom Barat dan me ‘Malaysia’ kannya.
Memang kita biasa lihat komedi keluarga Barat (contoh yang saya ingat – Clarissa, Quintuplets, Home Improvement) yang berlatarkan ibu bapa dan anak-anak dari usia kecil hingga meningkat remaja. Memang lawak. Kerana apa? Kerana exaggeration yang dibuat tidak melampaui konteks budaya mereka, mengikut norma masyarakat mereka. Mereka menjadi diri mereka sendiri. Memang gelak habis. Kita mentertawakan lawak, bukan mentertawakan pelawak.
Tetapi apabila komedi keluarga Malaysia cuba menjadi seperti komedi Barat, sudahnya, ‘menyampah’lah penonton yang mempunyai fikiran dan mengenali diri sendiri. Bayangkan Mat Saleh yang memakai baju Melayu di sebelah atas tetapi mengenakan seluar bermuda, atau Minah Saleh yang memakai kain batik tetapi mengenakan spaghetti strap. Rosak dan mengelirukan.
Ibu bapa Barat seringkali dikaitkan dengan sikap bertoleransi dan terbuka serta tidak terlalu serius dalam mendidik anak-anak. Anak-anak diizinkan meluahkan idea masing-masing dengan bebas. Dan teknik keibubapaan inilah yang dicanang-canangkan sebagai cara yang terbaik untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia, anak-anak yang berfikiran matang dan bertanggungjawab. Kononnya.
Tetapi di sinilah silapnya banyak Melayu moden kita. Seperti kereta yang tidak ada brek, apabila mengambil sesuatu yang baru mereka seolah-olah tidak tahu hadnya. Apabila disuakan dengan sesuatu yang kelabu mereka seolah-olah tidak pandai memilih yang putih sahaja. Yang hitam pun turut dipulun sama.
Ibu bapa sepatutnya boleh menjadi contoh kepada anak-anak. Tapi kalau ibu bapa ‘sama naik’ dengan anak, anak-anak pun hilang hormat. Sikap Julia dan Baha yang keanak-anakan langsung tidak menunjukkan imej ibu bapa yang menjadi nakhoda kepada keluarga.
Saya terlopong melihat aksi Julia dan Kak Jah ‘membaiki’ surat cinta yang dihantar oleh anak gadisnya kepada anak jiran sebelah. kiranya beginilah bunyinya, “haa..letak ayat ni, ‘Awak sangat kacak’..” Di saat-saat masalah couple menggila di IPT dengan zina berleluasa dan anak-anak luar nikah bersepahan di dalam tong sampah, pasangan bercinta menajiskan taman-taman bunga dan tepi-tepi tasik, ada ibu yang menggalakkan anak gadisnya memulakan langkah di atas titi gantung reput merentangi jurang. Baha si bapa yang tidak menyenangi hal sedemikian (rasa bertanggungjawab masih membekas nampaknya) diceramah pula oleh isterinya, “Kita sebagai ibu bapa perlu beri kebebasan. Kita beri kebebasan, sambil itu kita kawal, kita bimbing dia,”.(lebih kurang begitulah) Saya kepingin berkata ‘boleh blah!’
Sejauh manakah ibu bapa boleh mengawal dan membimbing anak-anak apabila mereka berada jauh dari mata? Usahkan di IPT, di sekolah menengah pun macam-macam boleh dilakukan. Ok, konon ‘dikawal’ dan ‘dibimbing’. Dengan apa? Ilmu agama? Senang-senang pula mengharapkan ilmu agama itu yang menjadi benteng, sedangkan benteng itu telah diruntuhkan sendiri dari awal.
Tindakan Baha yang keberatan membenarkan anaknya bersosial dan menghalang Joel yang kacak memegang tangan anak gadisnya di hadapannya digambarkan seolah-olah perbuatan bapa yang konservatif. Sejak bila pula mendidik anak gadis supaya menjaga maruah dan mempertahankannya menjadi salah? Aduuuuhhh…..bak kate Faisal Tehrani, cikgu yang saya hormati, tercekik biskut dibuatnya..
OK, ini semua komedi. Drama. Sekadar hiburan. Tetapi tidakkah hiburan dan media mencetak wacana rakyat? Mempengaruhi mind-setting tentang apa yang benar dan tidak, tentang apakah yang diterima sebagai norma masyarakat dan apakah yang ditolak? Kelabu sungguh kelabu, kita bercakap tentang budaya Timur dan agama Islam, tetapi apa yang ditabalkan sebagai norma masyarakat tidak sepadan dengan nilai-nilai yang diwara-warakan.
Kita terkinja-kinja mahu mengejar modenisasi beracuankan Barat. Apabila kedengaran protes yang ada perkataan “agama, dosa, halal, haram,” dengan cepat pula label ‘konservatif’ dan ‘ekstrimis’ atau ‘ketinggalan zaman’ akan ditampalkan ke dahi siapa-siapa yang mengucapkannya, dengan harapan si pengucap akan senyap kaku seperti pontianak Cina yang ditampal kertas kuning tokong.
Julia, Baha, Ana, dan Adam (juga Kak Jah) mewakili Melayu-Melayu dan Muslim-Muslim hari ini yang kehilangan jati diri. Yang hanya tahu mengungkapkan perkataan ‘jati diri’, ‘Melayu’ dan ‘Islam’ tanpa mengetahui, apatah lagi menghayati pengertiannya.
Mestikah berlagak seperti keluarga Mat Saleh untuk memikat penonton? Komen adik saya yang berumur 16 tahun, “Ish, diorang ni Melayu Amerika ke? Kenapa cakap macam tu?” Maruah Melayu dan Islam buat kesekian kalinya DICABUL.
Dalam keadaan masyarakat sekarang yang semakin lupa akan akar masing-masing, tidakkah molek jika sitkom keluarga menerapkan semula nilai-nilai yang dianakyatimpiatukan itu? Ibu yang matang, bapa yang bersifat kepimpinan, anak-anak yang bijak dan menghormati ibu bapa (walaupun kadang-kadang nakal dan melakukan kesilapan)? Salahkah kalau digambarkan keluarga yang memelihara waktu solat dan menutup aurat?
Sayang sekali, drama begini hanya dikesampingkan untuk bulan-bulan puasa dan waktu-waktu kurang penonton. Lagipun, nanti tak lucu. Tak ada lawak. Tak ada orang nak tengok. Bagi saya, ini adalah alasan-alasan kurang masak daripada penggiat seni yang mengaku mereka orang seni tetapi hakikatnya malas mempergunakan sepenuhnya bakat seni yang dimiliki. Mengambil jalan mudah dengan menciplak formula komedi Mat Saleh (dengan latar belakang bunyi orang gelak yang … entahlah…), sedangkan pada masa yang sama orang-orang seni juga yang terlalak-lalak bercakap tentang ‘acuan kita’, ‘filem kita wajah kita’ dan sebagainya. Bukan soal jadi tak lucu dan tak ada orang nak tengok. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tidak perlu jadi ‘Melayu Amerika’, ‘Melayu Muslim’ pun ada nilai komersilnya untuk dijadikan bahan seni dan bahan komedi yang bermoral dan berakal.
Adam dipaparkan sebagai anak yang bijak. Konon 'genius' dengan susu Dugro yang diminumnya. Alangkah indahnya, alangkah terpamernya kematangan karyawan jika mengadaptasikan kisah anak-anak bijak seperti Adi Putra yang matang dan bercita-cita tinggi untuk memperjuangkan Islam (atau setidak-tidaknya membela bangsa dan negaranya - orang sekarang cepat saja menTalebankan orang)dalam bentuk yang 'ringan', 'lucu', tetapi 'tajam' dengan mesej yang mampu mencerakinkan hitam dan putih dalam kekelabuan. Bukan anak-anak 'bijak' yang hanya tahu menjawab cakap orang tua, membuat lawak kartun yang kosong, dan terkinja-kinja gilakan pemuda kacak di sebelah rumah. Generasi muda jenis manakah yang kita mahukan?
Jangan dirosakkan lagi masyarakat yang sudah sedia sakit dengan bahan ‘seni’ dan ‘lawak keluarga’ yang ‘kureng’. Jangan lagi menjadikan Islam anak yatim piatu di bumi sendiri.
salam mesra, meowwwww….dari yang bertatih untuk menjadi orang seni….
Tuesday, June 06, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salam buat Adik..
Saya sudah membaca beberapa bahagian dari tulisan-tulisan di blog Adik ini.. dan sangat terpesona dengan daya fikir Adik yang sejak muda belia sudah begitu tajamnya. Semoga terus berjaya dalam berkarya!
Post a Comment