Assalamualaikum.
Alhamdulillah, DIA mengurniakan saya sepasang mata yang begitu akrab dengan hati.
Melihat keindahan yang begitu halus di mana sahaja pandangan ini dilemparkan.
Dalam titis-titis hujan yang membentuk riak di lopak, dalam daun-daun basah yang dikirai ribut, dalam petak-petak sawah kosong air coklat berlumpur, dalam kerak-kerak aspal jalan yang berpalit debu dan habuk.
Dalam aroma yang bangkit selepas tanah dicurah hujan, dalam harumnya cempaka yang tiba-tiba menyapa entah dari mana sewaktu menyeberang blok asrama di tengah malam, dalam pohon sebatang tidak berdaun yang tiba-tiba merimbun dengan bunga di hujung rantingnya, dalam cahaya matahari petang atau pagi yang hangat keemasan.
Dalam figura sang kucing yang begitu anggun baik dalam tidur mengerekot atau lincah berlompatan, dalam langit malam sama ada yang ditaburi bintang atau yang hanya ditemani kepul-kepul awan kelabu.
Dalam kabus pagi yang putih dan sejuk hasil kondensasi wap air dengan zarah-zarah debu, atau dalam kepulan asap yang selalu melatari petang hari petanda sampah, kepingan getah dan daun kering sedang dikerkah api.
Amat-amat lagi saya bersyukur, DIA sentiasa memberikan keindahan untuk mata saya tatapi dan untuk hati saya menghayati.
Alhamdulillah.
Salam mesra, meowww...
Monday, June 12, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment