Friday, January 19, 2007

antara selamat jalan dan selamat tinggal

assalaamu'alaikum.

Selamat jalan, selalu diucapkan buat orang yang akan bepergian, mendoakan perjalanannya selamat-selamat sentiasa. Dan selamat tinggal adalah ungkapan daripada orang yang akan pergi, mendoakan agar orang yang ditinggalkan sentiasa selamat dan sejahtera.

Yang manakah lebih sukar untuk diucapkan?

Dan ucapan manakah yang lebih sukar untuk ditelan?

Mungkin yang ditinggalkan lebih terasa pahitnya perpisahan. Kerana yang meninggalkan punya destinasi tempat tujuan, tetapi yang ditinggalkan tidak ada apa-apa yang dinantikan kecuali pertemuan semula. Atau mungkinkah yang pergi itu lebih berhiba, kerana yang perlu mengumpul kekuatan untuk menyusun langkah-langkah kian menjauh itu adalah dia.

Teringat sayunya sewaktu seorang diri melangkah melalui pemeriksaan keselamatan di KLIA, melambai-lambai keluarga di balkoni, dengan setiap langkah seperti mengheret batu besar di kaki. Dan teringat juga sayunya sewaktu melepaskan sahabat-sahabat pergi mengejar cita-cita masing-masing, satu demi satu mengucapkan selamat tinggal, dengan satu ucapan, satu lambaian, atau satu pelukan, selepas sesaat itu berlalu semua yang manis menjadi kenangan.

Pertemuan dan perpisahan yang tidak kunjung henti membentuk dinamika kehidupan. Tidak munasabah sekiranya tidak mahu berpisah, kerana berpisah itu tidak boleh tidak perlu ditempuh dalam perjalanan hidup. Kerana untuk setiap orang jalannya tidak sama. Malah perpisahan itulah yang menjadikan pertemuan lebih indah, seperti rindu yang bisa menjadikan sayang lebih halus dan manis. Tetapi sakit, ya sakit.

Perpisahan itu menyakitkan, seperti rindu itu memedihkan, dan penantian itu meletihkan. Walaupun semuanya ditelan atas nama kasih dan sayang.

Sama ada yang diucapkan adalah selamat tinggal atau selamat jalan, hakikat yang menenggelamkan persoalan-persoalan lain adalah satu perpisahan lagi sedang berlaku. Dan ia hanya salah satu daripada ratusan, malah ribuan lagi perpisahan yang menempati hidup, sebagai harga kepada pertemuan-pertemuan yang setanding manisnya. Seperti roda yang berputar, kehidupan ini dipenuhi oleh peristiwa yang berulang-ulang.

Perpisahan mutlak adalah kematian, dan pertemuan mutlak adalah jika bertuah dapat berkongsi syurga kelak.

Rindu yang bisa akan menjadi madu akhirnya, dengan izin Allah. Itu saya yakin dengan pasti, dengan izinNya tiada yang mustahil, kalau Dia mengizinkan. Dan izin itu yang saya harap-harapkan. Sama ada saya akan mendapat apa yang saya nanti-nantikan, atau saya akan mendapat ganti yang lebih baik. InsyaAllah.

Antara selamat jalan dan selamat tinggal, kedua-duanya melatari perpisahan. Adanya pertemuan bererti ada juga harganya iaitu perpisahan. Dan paling indah, paling bererti, jika manisnya pertemuan dan pahitnya perpisahan itu disandarkan kepada maksud yang paling suci, kerana Allah Yang Maha Tinggi.

salam sayang,
meow~

6 comments:

Anonymous said...

"Mungkin yang ditinggalkan lebih terasa pahitnya perpisahan. Kerana yang meninggalkan punya destinasi tempat tujuan, tetapi yang ditinggalkan tidak ada apa-apa yang dinantikan kecuali pertemuan semula."

Isk kenapa ni... Dibah ditinggalkan oleh siapa? hehehhe (gelak mengkekek sambil kenyit mata..)

"Sama ada saya akan mendapat apa yang saya nanti-nantikan, atau saya akan mendapat ganti yang lebih baik. InsyaAllah."

Teringat saudara siput amat sukakan lagi Manusia Bodoh yang menceritakan rasa hiba si penulis lirik apabila sudah sekian lama menantikan apa yg akhirnya mungkin tidak akan menjadi miliknya. Tapi diakhir lirik, penulis menyatakan yang dia tetap yakin episod kisah ini akan berakhir dgn dengan sesuatu yg indah... Ingatlah, mengharap juga merupakan satu usaha:)

Anonymous said...

antara yang akan dinaungi naungan Allah di kala tiada naungan melainkan hanya naungan Alah ialah 2 orang yang bertemu kerana Allah...dan berpisah kerana Allah...

bertemu kerana ALlah tu camne?
berpisah kerana ALlah tu camne?

igt x blaja ape kat banseke? identify objektif...ap ekena wat...ade dalam instruction bertulis...

objektif manusia? ape beza objektif dgn matlamat? isnt objecive measurable? so kalau matlamat redha Allah...objektif? syurga?

ape instruction bertulis kate? amar ma'ruf nahi mungkar...a.k.a dakwah ke? dakwah...sampaikan? ajak?

erm...jadikan setiap nafas, stiap detik, setiap situasi, setiap pluang, stiap usia, stiap pekerjaan, setiap penglihatan, setiap pendengaran...sbagai 'ajakan'...dan sebagai 'sampai'an utk ajak kpada manusia supaya bertuhankan Allah...

dulu aku slalu kate kat orang dalam majlis2 ppisahan...BTN (kate jadi penghulu..muahahah)...jamuan akhir...bahawa...persahabatan terdiri dari 4 elemen utama...atau dengan kate lainnya 4 rukun persahabatan...

-pertemuan
-perkenalan
-perselisihan (mcam mase tgh meeting...heheh)
-perpisahan

...

Anonymous said...

sedang memikir kisah di sebalik entri ni... ?-|

Anonymous said...

Hahaha kuburan... Fikir jangan tak fikir... Entry paling memilukan ni hehehehe jangan maree Dibah :P

harisNoor said...

Sakit itu yang kau maksudkan aku rasa sudah sebati dengan diriku. Ya, sakit kerana ditinggalkan sudahpun menyeksa diriku lebih kurang empat bulan yang lalu. Seksa yang mampu memerah air dari kelenjar air mataku.

Tidak lama lagi, sakit kerana meninggalkan pula akan memakan diriku. Dan aku tertanya-tanya bahawa adakah mataku akan mengalirkan airnya pada saat itu?

Ditinggalkan dan meninggalkan. Hakikatnya manusia itu benci hidup dalam keadaan kehilangan. Hakikatnya juga kehilangan itu mengajar. Mengajar pelbagai rasa.

Anonymous said...

kucing2 granada itu kadang2 lebih mngerti barangkali makna selamat jalan dan selamat tinggal ;)

insyaallah, ada takdirnya kita bertemu. selamat tinggal itu kan hanya untuk seminggu dua. nanti kami pulang lagi. nanti kita bercerita lagi. seperti waktu dulu2. yg sering dirindu2..

salam dari stockton-on-tees~