Cerpen ini tersiar dalam ruangan Tunas Cipta, Dewan Sastera Mei 2007. Saya tidak tahu macam mana rupanya selepas diedit puan penyunting, tapi inilah rupa teks asal yang pernah saya tulis sedikit masa dahulu.
Em, kepada para da'ie, da'ieyah, dan mereka yang hari-hari cakap tentang dakwah, tentang kumpulan sasar dakwah, tentang dakwah fardiyah dan 'ammiyah, tentang jemaah dan tarbiyah, tentang kahwin dan Baitul Muslim, eloklah baca dan fikir dalam-dalam.
Belang kehidupan itu tidak semestinya antara putih dan hitam, banyak juga yang kelabu, dan berapa banyak antara insan yang terperangkap dalam warna yang memerangkapnya tanpa ada yang mahu peduli!
Dan Allah juga Maha Mengetahui.
meow~
Milah terkebil-kebil dalam kemamar, tapi telinganya yang lebih luas terbuka daripada matanya yang separuh terpejam meyakinkannya, ‘dia’lah yang azan. Tiada suara lain sesedap itu di kampung ini.
Milah dakap bantal golek, mengiring ke kanan. Nampak dinding bilik sebelah
Ayam berkokok satu, dua, tiga kali. Milah mula berangan-angan. Bila takbir ‘Allahuakbar’ dilafazkan, Milah nampak dirinya turut rukuk menyusul rukuknya dia. Selepas salam ke kanan dan salam ke kiri, jemaah bersalam-salaman, dan Milah bersimpuh sopan di sisi dia, mencium tangan … eh mengabang pula, Milah tersenyum-senyum seorang diri. Tersengih-sengih terkulum-kulum dalam selimut. Sayup-sayup terdengar air berdebur di perigi. Siapa tu? Abah atau ma. Kalau abah, memang awallah bangunnya, kalau mahu, sempatlah abah nak sembahyang Subuh. Selalunya abah bangun cari nasi berlauk dan pulut pagi ma saja, masa ayam yang berkokok waktu dinihari tengah berebut hampas kelapa di muka pintu belakang rumah. Tapi kalau ada nasi lebihan semalam, ayam tentu akan berebut-rebut mematuk nasi dahulu.
Milah katup mata,
“Milah, kalau dah bangun, tolonglah ma kat dapur ni…” melayang suara ma dari luar pintu bilik. Pintu bilik yang cuma boleh dibuka oleh orang dalam rumah diselak tiga, tapi tingkap nako yang menghadap jalan bocor tiga keping terbaha begitu sahaja hanya ditutupi langsir berdebu. Rupanya ma yang mandi berdebur-debur tadi. Milah mengeluh malas dan bangkit. Kain selimut dilipat dan diletak di atas bantal yang ditepuk-tepuk. Tilam Dunlop yang sudah rapat dengan lantai papan tidak perlu dilipat. Memijak lantai papan beralas tikar getah, sejuknya menjalar dari tapak kaki ke tulang belakang. Bulan pucat sisa purnama semalam masih cantik di langit hitam kebiru-biruan. Sekejap lagi matahari akan terbit. Malam akan pergi, tapi bulan yang cantik juga akan pergi.
Lepas makan pagi abah terus bersiap, bau minyak wangi menusuk hidung.
“Ke mana abah?”
“Tak usah menyibuk. Duduk rumah tolong ma mu,”
Milah senyap dan terus masuk ke dapur. Ke perigi menjenguk ma yang sedang membasuh. Bosan pula seorang-seorang. Beginilah kalau Kak Yah yang ikut suaminya di Gua Musang tidak pulang, kalau Abang Stopa yang kerja kilang di Pengkalan Chepa tidak kelik.
“Ma, abah gi mana?” ma tidak menoleh daripada kain yang sedang dibilas dalam baldi. Ma tidak menjawab pun.
“Ma, abah gi mana?”
Tiba-tiba ma angkat sebelah tangan dan genyeh hidung. Ma pandang Milah sekilas, nampak mata ma merah dan ada buih sabun terpalit dekat pipi.
“Ma tak tahu.” Ma mengesak. Milah terdiam. Ma teriak. Milah tak pernah tengok ma teriak. Milah telan air liur. Perlahan-lahan Milah mengundur.
“Milah, tolong hantarkan baju yang ma dah jahit tu ke rumah Che Su,” Milah tahu ma
***
Minta-mintalah bertembung dengan dia. Milah berharap-harap dalam hati sambil kakinya melangkah cepat ke arah rumah Che Su. Minta-mintalah dia ada di rumah. Tapi kalau dia ada pun, apa yang Milah hendak cakap? Hendak buat?
Tahu-tahu sudah sampai di muka tangga rumah Che Su. Debar dalam perut dan dada Milah makin hebat. Jantungnya menendang-nendang dada dan rasa macam hendak terjun ke dalam perut. Macam ada batu yang menyekat kerongkong, batu yang membuat Milah rasa so’oh. Melihat motor Suzuki yang selalu dia tunggang bila Milah terpandang dia petang-petang, Milah rasa macam hendak rebah. Milah angkat tangan yang tidak pegang beg plastik dan raba kepala. Terasa rambutnya yang panjang mengurai berombak-ombak melepasi bahu, diikat bertocang satu. Milah pandang ke samping, nampak lengan-lengannya yang putih kuning terjulur keluar dari lengan baju-T yang senteng di atas siku. Milah pandang ke bawah, nampak sepasang kaki berselipar jepun dan tiga inci betis yang putih gading terpacul dari hujung kain batik yang singkat. Milah rasa macam hendak menangis. Malunya. Tentu dia tidak mahu pandang pun Milah. Rasa hendak berlari pulang ke rumah.
“Ass… assalamualaikum Che Su!”
Minta-mintalah tiada sesiapa di rumah. Minta-mintalah dia masih mengaji al-Quran di balasoh belakang rumah Milah. Minta-mintalah pintu yang separuh terbuka itu lupa ditutup oleh Che Su sewaktu turun bertandang ke rumah siapa-siapa. Tapi pagi-pagi begini mana ada orang berderat lagi. Che Su muncul di pintu, dalam jubah dan skaf batik berjahit di tengah yang biasa dipakainya, tersenyum lebar menyambut salam Milah.
“Waalaikumussalam… Milah rupanya. Naiklah dulu!”
“Tak..tak payahlah Che Su, Milah nak hantarkan baju, ma dah siap jahit,”
“Dah siap? Cepatnya. Hai, sepatutnya orang perempuan ni boleh menjahit pakaian sendiri, tapi begitulah, sejak ada cucu ni sibuk bermain dengan cucu, sampai kain baju sendiri pun kena hantarkan upah jahit. Naiklah dulu Milah, Che Su nak ambil duit,”
“Milah nanti kat tangga tak apalah..” berat benar Milah hendak naik, takut dia ada di dalam. Tapi Che Su menarik tangannya dan Milah tak kuat untuk menolak. Mahu tidak mahu selipar jepunnya ditanggalkan dan setapak demi setapak kakinya yang sudah sejuk mendaki tangga simen rumah Che Su.
Milah bersimpuh di tepi dinding.
“Assalamualaikum umi!”
Milah hampir tercekik meneguk air teh. Simpuhnya dikemaskan serapat-rapatnya. Che Su terburu-buru membuka pintu yang ditutup separuh, dan dia, dia itulah, mencium tangan ibunya penuh sopan sebelum melangkah masuk ke biliknya selepas mengangguk dan tersenyum sekali ke arah Milah yang panas-sejuk di tepi dinding, Milah yang menjeling mengekori susuk sederhana tinggi berkulit putih cerah berambut ikal itu dengan mata yang penuh harap agar dia akan melihat harapannya, Milah yang tunduk setunduk-tunduknya dengan harapan dia yang berjubah putih berkopiah putih itu tidak akan perasankan rambut dan lengannya, Milah yang hatinya kembang memenuhi dada hanya dengan sekilas pandangan, sekali anggukan dan sekilat senyuman.
“Begitulah Ikram. Kalau tak meninggi hari tak pulang dia dari balasoh tu,” Milah tidak akan tersilap mendengar nada bangga yang
Memang sudah lama Milah tahu anak jiran sekampungnya itu budak baik, bila sesekali pulang bercuti – Adli Zil Ikram bersekolah asrama sejak Tingkatan Satu – rajin benar dia mengunjungi balasoh di belakang rumah Milah itu. Tapi Milah tidak caro sangat dengannya, baginya orang-orang yang baik, bijak dan kaya seperti Adli Zil Ikram juga tidak akan menghiraukannya. Hanya laungan azannya yang Milah cukup kenal, menemani kemamarnya waktu ayam membuka mata, hingga Milah belajar merindu bila empunya suara itu kembali ke
Dan sejak pulangnya Adli Zil Ikram bercuti dari universitinya sebulan yang lepas, laungan azan itu menusuk hati Milah semakin dalam, menerjah nuraninya semakin padu, hingga benar-benar terbuka hati Milah untuknya, hati yang tidak pernah tertutup untuknya sejak itu, apatah lagi apabila Milah melihat kopiah putih yang melekap di atas rambutnya yang hitam ikal, apabila Milah melihat dia memakai baju-T atau jubah putih – warna kegemaran dia – yang menambahkan seri wajah yang cerah berseri-seri dengan matanya yang coklat jernih, apabila Milah mendengar bacaan al-Qurannya yang lunak merdu, apabila Milah mendengar kuliah agamanya tentang dosa dan pahala, syurga dan neraka, peranan golongan muda yang Milah tidak berapa faham tapi Milah tetap dengar dengan penuh minat kerana Adli Zil Ikram yang berceramah, apabila Milah mendengar orang kampung tak putus-putus bercerita tentang baiknya dia begitu dan begini, apabila Milah panas telinga mendengar anak-anak dara saing-saingnya tergelak-gelak tersipu-sipu bila bercakap tentang dia.
***
Pagi tetap bersih dan sejuk. Milah menengung di muka jendela. Milah terasa mahu berderat ke rumah Siah. Manalah tahu kalau-kalau Adli Zil Ikram lalu, elok dikelubungkan kepala dengan skaf, walaupun rumah Siah di sebelah saja. Milah pakai skaf, manalah tahu kalau-kalau bertembak dengan Adli Zil Ikram.
Siah kawan baiknya sejak kecil lagi. Mereka bersekolah sama-sama, gagal PMR sama-sama dan sampai tiga bulan lepas mereka sama-sama diperuk di rumah menunggu orang masuk meminang. Sekarang Siah sudah bergelar tunangan orang. Bangga benar Siah bercerita tentang bakal suaminya. Polis. Lawa. Tinggi. Hitam manis. Tinggal di Kota Bharu. Berkenan melihat Siah bila berjalan ke kampung ini mengikut kawannya. Tidak hairanlah orang berkenan, Siah memang cantik. Kulitnya tidak putih tetapi cerah dan bersih, bermata bulat dan bulu matanya lentik. Kalaulah Milah cantik seperti Siah….
“Milah, Milah! Berkhayal ke mana?”
“Aa?” Milah rupanya telah membuat ceritanya sendiri sewaktu Siah sedang menceceh. Siah geram, ceritanya tentang tiga pasang baju yang disewa khas untuk majlis kahwinnya nanti tidak didengar rupa-rupanya.
“Mu ni kenapa? Aku baru nak cerita pasal pelamin yang mak aku nak sewa. Mu ni pelik sejak dua tiga minggu ni. Suka khayal. Mu nakkan orang ke?”
“Aku… aku….” Milah rasa hendak ceritakan semuanya kepada Siah. Milah rasa penat menyimpan semuanya seorang diri. “Aku… aku nakkan Adli,”
“Adli? Adli Zil Ikram ustaz doktor tu?” mata Siah yang bulat terbuka luas.
“Hem,” Milah angguk. Rasa bangga kerana orang yang dipilihnya orang yang baik. Hanya jauhari yang mengenal manikam, kata orang. Dulu dia tidak faham jauhari itu apa dan manikam itu siapa. Arwah nenek yang memberitahu, jauhari itu tukang permata yang bijak pandai dan manikam itu batu permata yang mahal. Tentulah Milah ibarat jauhari yang bijak pandai kerana tahu memilih batu permata seperti Adli.
“Berani engkau nakkan orang baik lagu tu…”
Milah makin bangga. Siah memujinya kerana dia berani? “Aku tahu dia baik, sebab tu aku
“Kalau apa? Kalau dah kahwin dengan dia?” ketawa Siah meletup selepas terdiam mendengar Milah berceloteh. “Padanlah kau sekarang.. dengan baju kurung… yang jarang-jarang sekali pakai tudung tiba-tiba rajin letak skaf atas kepala… kau nak pikat Adli rupanya? Kau rasa kalau kau pakai tudung labuh Adli akan nakkan kau ke?”
Bangga Milah ghaib. Milah rasa tersinggung. Rasa sebal. Rasa dihina dan dipersendakan oleh saing yang dipercayai.
“Dahlah Siah, biarlah aku balik dulu. Aku tahu aku tak layak nakkan dia. Aku tak cantik macam kau.”
“Bukan begitu Milah, janganlah terasa, mu dah saing dengan aku lama, mulut aku memang lembik. Aku cuma terkejut..” Siah menarik lengan Milah yang sudah hendak bangun. “Milah, aku tahu mu nakkan dia sebab dia baik. Dia kaya, lawa pula tu,”
“Bukan…” Milah dicantas oleh Siah.
“Aku sayangkan mu Milah, aku tak se mu kecewa. Aku dengar dia sukakan Dayah….”
“Dayah?”
“Hem, Dayah, anak Tuk Imam Mat Usin, aku dengar bini Tuk Imam tu pun baik dengan emak si Adli.… eh, mu teriak Milah?”
Milah cepat-cepat kesat air mata yang terbit dengan hujung skaf. Milah buat-buat senyum dan minta diri. Siah faham dan Siah tidak menahan Milah lagi. Nasib baik rumah Milah sebelah rumah Siah, sebab air matanya makin bertitik-titik. Milah
***
Cincin bukan untuk diberikan kepada si kudung. Bulan tidak pernah kepingin untuk mencemar duli turun ke ribaan sesiapa. Milah sahaja yang mahu bermain dengan khayalan. Milah sahaja yang berangan-angan. Bila Adli Zil Ikram berceramah tentang wanita solehah, Milah rasa Adli Zil Ikram bercakap tentang dia. Bila mata yang coklat jernih itu kadang-kadang bertembung dengan pandangannya – nampak dirinya yang berskaf dan berbaju kurung – sewaktu berselisih jarang-jarang sekali, Milah membaca sapaan yang tidak dihulur, Milah nampak perhatian yang tidak ada, Milah perasankan orang yang tidak perasankan Milah langsung. Milah perasan seorang. Milah tak malu. Padan muka Milah. Itulah perasaan Milah sekarang.
Milah teriak dalam telekung sembahyang. Milah duduk atas tilam Dunlop nipis dan teriak. Air matanya deras bertitik-titik. Hingus diserok-serok tapi meleleh juga. Basah telekung Milah tidak peduli. Telekung yang kekuningan itu pun sudah banyak petik lalat. Sudah ada bau-bau hapak.
Adli Zil Ikram sangka orang lain tidak nampak. Dayah sangka orang lain tidak nampak. Orang lain kecuali kawan Dayah dan kawan Adli Zil Ikram.
Adli Zil Ikram menegur Dayah dan kawannya. Memberi salam barangkali. Dayah yang putih merah cantik bertelekung putih melepak bersulam kerawang berbau wangi terhenti. Menoleh dan menjawab salam. Kawan Dayah turut terhenti melangkah. Adli Zil Ikram tersenyum dan kelihatan segan-segan. Kawan Adli Zil Ikram menepuk bahunya dan ketawa kecil. Dayah tunduk sopan, bibirnya yang merah segar itu tentu mengulum senyum. Mungkin wajahnya yang putih merah jadi bertambah merah-merah. Adli Zil Ikram keluarkan sesuatu daripada saku jubah putihnya dan hulurkan kepada Dayah. Nampak seperti
Milah rasa seolah-olah berpuluh-puluh batang jari menunjal dahinya, memberitahunya bahawa dialah si tangan kontot yang mahu memeluk gunung, dialah manusia yang tersilap mengukur baju di badannya sendiri.
Siapalah Milah. Adli Zil Ikram tidak tahu Milah merangkak-rangkak baca Quran dengan impian suatu hari nanti akan mengaji dengannya. Milah tahu dia jahil, ilmu agamanya setakat yang dipungut daripada ustaz-ustazah sebelum sekolahnya diberhentikan dahulu, alangkah cantiknya kalau ditampung dan diperlengkap oleh Adli Zil Ikram. Besarnya harapan Milah untuk menjadi isteri solehah yang taat dan setia kepada suami yang sebaik Adli Zil Ikram. Sejak mula mengenal dunia, Milah hampir tidak pernah mengenal lelaki bergelar suami dan bapa yang baik dalam dunia nyata. Abah sejak akhir-akhir ini kerap pulang lat dua tiga hari, malah kata orang abah buat hal dengan betina
Tapi, siapalah Milah, siapalah Milah jika dibandingkan dengan Dayah, anak Tuk Imam yang seperti mawar dan melur kembang pagi, cantik berseri-seri, berbudi pekerti. Bila difikir-fikirkan, padan benarlah Dayah dengan Adli Zil Ikram. Dayah yang bersekolah agama itu lulus SPM dan SAP, khabar-khabarnya Tuk Imam sedang mengusahakan supaya dia diterima menyambung pengajian agama di Jordan. Dayah selalu memakai jubah yang besar-besar dan berfesyen cantik-cantik, padan dengan tudungnya yang besar-besar dan cantik-cantik juga, langsung tidak terlawan oleh Milah dengan kain batik serta skaf tiga helai sepuluh ringgit yang dipakainya. Dayah dari golongan yang fasih bertutur ana-anta sedangkan Milah hanya lancar membaca al-Fatihah dan tiga Qul. Milah akur. Milah pun tidak mahu makan hampas kelapa yang diberikan kepada ayam kalau ada nasi dalam periuk. Milah tidak mahu mengejar bulan yang cantik lagi ketika matahari akan terbit menjelang pagi. Milah tahu duduk perkara sebenar. Tapi Milah tidak dapat berhenti teriak. Milah teriak dan mengesak semahu-mahunya. Milah sayang Adli Zil Ikram. Sungguh Milah sayang Adli Zil Ikram.
***
Sudah empat hari abah tidak kelik. Kata orang abah sudah menikah dengan betina
Waktu Isyak sudah pertengahan. Milah tidak ke balasoh, Milah sembahyang saja di rumah. Dulu Adli Zil Ikram – betapa nama itu mahu dilupakan tapi tetap menari-nari terutamanya setiap kali suaranya mengumandangkan azan – ada berceramah mengatakan orang yang sembahyang, berzikir dan mengaji akan menjadi tenang kerana dekat dengan Tuhan. Milah rasa jiwanya tidak pernah menjadi tenang kerana dia lebih mengingati Adli Zil Ikram daripada mengingati Tuhan. Mungkin begitu tapi Milah tidak tahu mahu bertanya siapa.
“Assalamualaikum! Milah, ma ada?”
“Waalaikumussalam Che Su! Ma ..” Milah mengerling sudut tempat ma selalu ma duduk menjahit. Ma tidak ada, di dapur barangkali. “Ma di dapur. Che Su naiklah dulu,” Milah membuka pintu. Tapi Che Su nampak lorat.
“Tak apalah Milah, Che Su lorat. Banyak lagi rumah nak pergi. Che Su datang madah ni, jemputlah ke rumah.
Milah memegang kad jemputan yang wangi itu. Milah tidak terkejut, dia sudah menduga khabar begini. Tidak ada air mata yang keluar. Milah tidak membayangkan pun nama Jamilah Saad bertakhta megah dengan tulisan bergelelok di sisi nama Adli Zil Ikram Aminuddin menggantikan Mayra Nurhidayah Mat Usin.Tapi bila azan Subuh dilaungkan oleh suara dia yang Milah cukup kenal, Milah teriak lagi.
2 comments:
Milah rasa seolah-olah berpuluh-puluh batang jari menunjal dahinya, memberitahunya bahawa dialah si tangan kontot yang mahu memeluk gunung, dialah manusia yang tersilap mengukur baju di badannya sendiri.
;_(
Begitu sadis kau humbankan perasaan milah. Sedih sekali..
Harap lepas ni penulis buat cerita yg sama, tapi dengan pengakhiran gembira...
(kekekeke.. aku suke hepi ending.. crita yg sad ending ni akan buat aku terasa ingin mengubah jalan cerita nya.. kasihan sungguh milah)
Best arr kau nye cerpen....tapi apsal aku rase cam ending die tergantung?
Post a Comment