Monday, June 18, 2007

segitiga cinta - II

Antara saya dan Z memang sudah ada hubungan lama. Lama kenal, sebelum kenal A lagi. Menyelongkar lemari buku di kamar ummi yang selalu saya curi-curi masuk waktu zaman kanak-kanak dulu, cerita yang berkait dengan Z sudah saya ketemu. Ayah juga fasih berceloteh tentang pelbagai perkara yang saya tahu Z akan faham dan suka.

Seperti mana mereka kenal A, begitulah keluarga kenal Z. Tapi perjalanan hidup saya, dalam tahun-tahun pembentukan itu, lebih mengakrabkan saya dengan A. Z selalu ada, selalu saya ingat, tapi saya tidak rasa akrab dengannya.

Apa yang salah dengan Z? Memang, mereka yang tidak mengerti sering menuduh Z yang macam-macam. Sama seperti A. Tapi tuduhan kepada Z lain sedikit.

"Ektrimis. Itu tak boleh, ini tak boleh. Kawan la rapat sangat dengan Z tu, nanti engkau pun jadi macam dia."
"Macam mana tu?" Saya pura-pura tidak faham.
"Macam tulah! Tak suka campur orang. Dunia ini kotor kan, lantas pergilah bersuluk di mana-mana. Berkelompok dengan orang-orang dia sahaja. Tak mahu maju, tak mahu moden. Ilmu yang berguna cuma ilmu yang dituntut di pondok-pondok."
"Wah, cakap macam engkau kenal sangat dengan Z ya!"
"Er.. alah, siapa tak kenal! Tengoklah orang-orang yang baik dengan Z, dulu, ramai-ramai tinggalkan universiti, kononnya apa yang mereka buat itu dapat datangkan kebaikan untuk semua orang. Lepas baik dengan Z, tak mahu pedulikan anak isteri, tinggal rumah buruk, asyik ke hulu ke hilir berceramah dan ajak orang ikut mereka. Mereka yakin sangat apa yang mereka bawa itu adalah penyelesaian untuk semua masalah sekarang."

"Bukankah memang betul apa yang mereka yakin tu? Engkau tak yakin ke? Agama engkau apa?"

"Er, er, ya, ya, betul, betul, tapi bukan caranya seperti yang Z buat tu.. ish, tak berkenan aku!"
"Kalau bukan macam tu, macam mana?"
"Aah, macam-macam mana pun, bukan macam itu!"
"Cuba beri 'macam' yang paling betul mengikut taksiran dan tafsiran engkau."

Dia seperti terkedu. Menggaru-garu hidung, mungkin mahu mengorek tapi segan dengan saya. Meneguk air penuh segelas sekali harung, wah tidak ikut sunnah, seperti unta, tapi saya tidak ingin menegur. Nanti dia kata saya sudah terpengaruh dengan Z.

"Kau suka bela Z lah. Tak lama lagi jadi begitulah engkau. Orang lain semuanya tak betul. Mereka saja yang betul. Tinggalkan dunia, asingkan diri, hidup tak seperti orang lain."
"Aku rasa penghujahan kau, penuh fallacy. Generalisasi yang tidak sepadan dengan realiti."
"Eh, mana ada! Ha, lagi satu. Cuba kautengok satu kelompok orang yang kononnya rajin berbaik dengan Z, bukankah merekalah juara mengutuk orang? Setiap kali bercakap tiadanya yang molek-molek tentang orang yang tidak sefikiran, ah, se'fikrah' dengan mereka. Mengutuk menghina dengan perbendaharaan kata yang begitu kaya, sampai menyebut semua binatang di hutan untuk dijadikan bandingan! Cakap sahaja lebih, orang itu salah, orang ini salah, dia saja yang betul, kerja tak dibuatnya pun. Lagi satu, yang suka bom-bom orang, bunuh-bunuh orang, jihad sana jihad sini pancung semua kafir sembelih semua Yahudi bukankah puak-puak Z juga?"

Bersembur-sembur air liurnya. Aduh, kalau mahu menawarkan servis air pancuran, sediakanlah tuala!

Saya malas hendak berhujah-balas. Tidak kenal Z, prejudis dengan Z, mengambil cebis-cebis cerita di sana sini, mengembungkan kuman sebesar gajah, maka jadi begitulah. Saya tahu siapa Z, dirinya yang sebenar. Yang buruk-buruk itu memang benar berkait dengan Z, tapi sifat asal Z bukanlah begitu. Lumrah sesuatu yang murni itu bila diselewengkan, disalahertikan, akan menjadi keji, malah sekeji-kejinya.

"Ummi kalau dapat menantu, kepingin yang seperti Z,"

Memanglah, siapa tidak mahu? Berakhlak mulia, sopan santun, berbudi pekerti. Lemah lembut tutur bicaranya, halus akhlaknya. Alim dan warak, mesra masjid dan tidak lepas laku, buas dan liar jauh sekali. Fikiran dan tindakan sentiasa bermatlamatkan satu, 'mencari damai abadi' bak kata pak perdana menteri, damai abadi untuk diri sendiri dan umat juga. Siapa tidak mahu?

Tapi yang bertahun-tahun benar-benar bertakhta di hati saya adalah A, bukan Z. Saya tahu Z baik. Saya tahu Z mulia. Tapi saya seperti tidak selesa dengan seringnya Z mengecewakan intelektualiti saya. Mengecewakan rasionaliti saya. Matlamat yang suci tidak semestinya menjadi alasan untuk menerima bulat-bulat cara yang pincang. Z, pada saya, tidak mempunyai persediaan kematangan ilmu dan keluasan pengetahuan seperti A. Kerapkali dalam keghairahan mengejar matlamat suci, Z terapung-apung di awang-awangan dan lupa berpijak ke bumi. Hujah-hujah yang dangkal disuapkan kepada saya berulang-ulang kali. Z seperti begitu naif tentang realiti. Dunia hari ini yang lebih daripada retorika bahasa, pembahagian tuntas baik-jahat hitam-putih dan semangat berapi-api yang entah bagaimana diterjemahkan kepada tindakan produktif.

Kerana itulah saya memilih untuk bercinta dengan A. Ketika itu, saya rasa, lebih mudah untuk bersama A, memesrai A dan perlahan-lahan mencipta Z dalam identiti A, daripada mencari A dalam Z. Sementelahan A menunjukkan reaksi positif. A juga menyenangi saya dan menerima saya mengakrabi dirinya, sedangkan Z seperti mahu tidak mahu, malah menjauh.

Tapi, semuanya perlahan-lahan berubah, apabila saya dan Z keluar negara bersama, sedangkan A tertinggal di tanah air.

-bersambung-

2 comments:

Anonymous said...

Salam, satu lagi karya yang mantap....dan kritikan aku kali ni:

Bagi laa nama yang best sket selain A ngan Z.

(Is it just me or does this story relate to your life somehow? Maybe that's why you used A and Z instead of a real name?)

Anonymous said...

betul2.. ade ke patut A dan Z...

p/s: nasib baik aku tak fikir A tu adalah Al-Irfan.. sbb mmg dlm IC aku ttulis nama itu..hahaha..