Monday, September 24, 2007

Peluru Sesat

Assalamualaikum.

Beberapa minggu lepas, saya dengar cerita seram. Seorang kakak Tahun Empat Perubatan di sini naik tren - dari mana dan ke mana, saya lupa - tiba-tiba ada maniac atau si mabuk mana entah yang menembak ke arah tren. Kena tingkap. Hanya retak-retak alhamdulillah, mungkin kaca itu kalis peluru, mungkin penembak terlalu jauh, mungkin sudut tembakan tidak tepat, atau mana-mana faktor ballistics lain yang menjadi asbab Allah memelihara keselamatan para penumpang tren termasuklah kakak itu.

Dulu saya ingat orang USA saja yang suka main tembak-tembak (bak kata encik ayam dari Perancis hehe). Mengamuk sana sini, sesedap rasa capai pistol atau senapang dan tabur peluru macam bunga rampai. Di UK saya kira hanya sesekali kes bunuh-bunuh secara perseorangan, bila budak-budak mabuk bergaduh atau samseng menyelesaikan dendam masing-masing. Kiranya kes bermatlamat la, bukan main lepas saja dan tengok siapa yang kena.

Rupanya di UK pun ada potensi kes seumpama itu berlaku. Di Manchester (kata sesetengah senior, Manchesteri Darul Aman) yang indah permai pulak tu. Sampai satu petang tu saya terfikir-fikir sambil berjalan depan kedai runcit McColls, ada potensi tak peluru sesat nak melayang ke sini? Paranoid sekejap. Na'udzubillah!

Aih, manusia makin gila! Kes jenayah seksual Allahyarhamah Nurin Jazlin Jazimin cukup mengerikan saya. Manusia dengan kecacatan otak bagaimanakah sampai tergamak menyeksa seorang kanak-kanak selama 20 hari, dengan teknik yang mengingatkan saya kepada kekejaman Spanish Inquisition dan askar Nippon? Ada manusia yang tidak segan-segan membakar malah meletupkan manusia lain setelah memuaskan nafsu (baik seks, baik wang, mahupun apa sahaja) untuk menghapuskan bukti. Seperti hari-hari dalam berita (di Malaysia, waktu balik dulu) ada kes bunuh. Sembelih, tikam, kerat, pancung, bungkus dalam beg, buang dalam tong sampah. Na'udzubillah!!!

Sambil-sambil menulis ni, saya dapat email dari seorang abang di Manchester (email ke Yahoo Group) tentang doa untuk memelihara keselamatan sebagai wanita. Dipetik dari artikel tulisan Ustaz Zaharuddin.

Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para penjahat melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.

Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.


Hidup dan mati, selamat dan celaka dalam genggaman dan ketentuan Allah. Dulu, waktu saya membuat pilihan untuk menyambung pelajaran ke UK, waktu itu London kecoh dibom-bom, ummi menyatakan kerisauan. Bukan ummi saja, ibu bapa kawan-kawan lain pun tidak kurang risau. Tapi seperti kata seorang sahabat saya, Bahariah (ketika itu kami di Klinik Fuziah, saya terseliuh kaki bengkak terhincut-hincut kerana terpelecok jatuh longkang malam sebelumnya, dia dijalar demam), "Kalau nak mati, kat mana-mana pun boleh mati." Saya bersetuju.

Ingat tak telefilem "Sepi Angin ke Kota London"? Kisah yang sungguh menyentuh hati (dengan jalan cerita yang tulus menyentuh hati, latar waktu dan tempat yang kudus di desa hampir tiga dekad lampau, lagu tema yang indah - Kiasan Andrea dari kumpulan Platinum - walaupun macam tak berapa kena dengan cerita, dan pelakon utama yang hensem.. =p) tentang anak muda kampung yang berjaya ke luar negara. Anak kampung dari keluarga miskin, mamat surau, sangat ringan tulang dan berakhlak mulia, disayangi semua. Ayahnya, malah seisi kampung, sanggup bergolok bergadai untuk membiayai perbelanjaannya. Sayang sekali sewaktu membeli persiapan di bandar, sebutir peluru sesat menerobos kaca tingkap toko dari jalanan langsung merodok jantung, lalu hanya angin yang sepi sahaja meneruskan perjalanan ke kota London...

Hakikat bukan? 'Peluru-peluru sesat' dalam pelbagai rupa boleh saja didatangkan pada bila-bila masa, dari mana tidak ada siapa dapat meneka, sebagai asbab kepada ajal yang sudah tiba. Apa yang saya harap, keadaan kita pada waktu itu tidak akan memalukan kita di hadapan Allah. Jangan jadinya kita seperti orang-orang yang rugi, maut datang seperti serang hendap, tiba-tiba kena ambush, kantoi tanpa sempat bersedia apa-apa.


Surah An-Naba', ayat 21-22, terjemahan Towards Understanding Qur'an,

Surely the Hell is an ambush, a resort for the rebellious.

Nota Tafseer: The word 'mirsad' (ambush) denotes a spot which is especially chosen to entrap the game; a spot where it is caught unawares. Hell is described as an ambush because God's rebels, being unaware, are fearless of it. As a result, they strut about, considering the world to be simply a den for their self-indulgence, altogether incognizant of the possibility of being caught and punished. Thus Hell, being hidden from their eyes, is like an ambush wherein they are likely to be entrapped.



Surah Al-A'la, ayat 8 - 16, terjemahan Towards Understanding Qur'an,

We shall ease you (
ed : Muhammad) to follow the way of Ease. So render good counsel if good counsel will avail.
He who fears Allah shall heed it, but the wretched will turn away from it. He will be cast into the Great Fire. Then he will neither die in it, nor live.
He who purified himself shall prosper, remembering His Lord's name and praying.
No; but you prefer the present life, whereas the Hereafter is better and more enduring.




Saya akhiri dengan petikan bait-bait lirik nasyid Cak Nun (Kiyai Kanjeng),

Siapa yang cinta
siapa yang cinta kepada dunia
siapa yang cinta
siapa yang cinta kepada dunia
dunia akan
dunia akan meninggalkannya
dunia akan
dunia akan memusnahkannya.

Siapa yang kangen
siapa yang kangen pada Allah-nya
siapa yang rindu
siapa yang rindu kepada Tuhan-nya
pastilah akan
pastilah akan dilindungi-Nya
pasti dibela
pasti dibela oleh Tuan-nya

Malam 13 Ramadhan.

salam,
meow~

3 comments:

Anonymous said...

salam. anda ada file/programme/document/software softcopy untuk Towards Understanding Islam by Abul Ala Maududi tu ke? kalau ada, saya teringin juga nak memilikinya..

Anonymous said...

maaf, maksud saya Towards Understanding Quran

Anonymous said...

perkhh seram gak tu..
mungkin lepas ni di UK akan diwajibkan pakaian besi barangkali? hehe..

perkhh.. ko mengingatkan aku pada drama itu.. Sepi Angin ke Kota London.. TV1 buat siaran ulangan, kedua siaran aku tak lepas.. awek die bangsa Cina.. satu2nya drama bermutu yg 1dalam 1000 di Malaysia..