Sunday, September 14, 2008

sensei wa erai!!

Salam.

Tajuk entri saya ini merujuk kepada sebuah filem school comedy Jepun yang terbit awal tahun ini. Pautan ke bahagian satunya di sini, teruskan saja ke pautan-pautan ke bahagian seterusnya di laman yang sama.

Saya menonton filem ini dalam waktu senggang sambil menunggu keputusan peperiksaan semester empat, Jun sudah. Lakonannya biasa-biasa sahaja, dengan barisan pelakon muda yang comel-comel belaka, nampaknya sang pembuat filem memang bermaksud menggunakan populariti pemeran sebagai daya penarik utama. Tema dan plotnya pun mudah, hubungan guru dan pelajar yang pada mulanya berkonflik tetapi akhirnya dileraikan (dengan cara yang sangat klise). Comic relief dan adegan-adegan romantik manis yang dipaparkan pun tidak banyak kelainan dengan formula biasa wayang pop Jepun.

Jadi apanya yang mahu saya khabarkan di sini?

Usai menontonnya dahulu, ada kelainan yang ketara yang saya kesani dalam mesej yang disampaikan, menyebabkan saya tenggelam sebentar dalam refleksi. Dan selesai membantu dalam program bersama kanak-kanak Sabtu sudah, ingatan tentang refleksi tersebut bagaikan menendang-nendang ruang fikir.

Minggu lalu, saya dan dua orang kawan dihubungi oleh Kak H. Beliau dan suaminya merancang untuk mengadakan sebuah kursus Fiqh Ramadhan untuk anak-anak Melayu di Manchester pada hari Sabtu. Tujuan kami dilibatkan sama? Diajak membantu menyediakan dan mengendalikan tiga slot permainan untuk peserta. Maklumlah kanak-kanak, aktiviti ilmiah perlu digilirkan dengan selingan yang menarik supaya mereka tidak bosan dan hilang fokus. Penceramah (Kak H dan suami) juga punya ruang untuk beristirehat.

Saya dan kawan-kawan - N dan R - menyudahkan perancangan untuk tiga slot permainan itu pada tengah malam hari Jumaat. Kerja minit terakhir, seperti biasa. Saya tidak menjangka tugas kami besok hari akan menjadi terlalu sukar, dalam kepala terbayang-bayang pengalaman (yang sudah lama ditinggalkan) beraktiviti bersama adik-adik sekolah rendah dan menengah. Tentu sahaja tidak banyak bezanya, malah mungkin lebih mudah. Bukankah kanak-kanak yang terdidik dengan gaya Inggeris lebih bergaya bijak, cergas dan cerdas? Itu telahan saya.

Tentu sahaja kalian sudah menduga, jangkaan saya meleset dengan teruknya. =D

Apabila kami - saya dan R , N ada urusan lain di Sheffield - sampai di rumah Kak S yang menawarkan kediamannya untuk kursus itu, kami tidak menjangka untuk melihat sekumpulan kanak-kanak lelaki berumur sekitar 9-13 tahun yang begitu geger dan terkinja-kinja. Kak H nampak bertungkus-lumus untuk mendapatkan tumpuan mereka yang sepertinya tidak mampu duduk diam. Kalau tidak ditanya pun mereka menyampuk, sebelum diberi peluang menanyakan soalan mereka sudah mencelah, apabila memberi jawapan ada saja loyar buruknya. (Empat orang kanak-kanak perempuan yang ada bersama tampak diam dan sopan, saya tidak fikir mereka malu-malu, atau tidak cerdas, malah mungkin sekali gadis-gadis kecil ini jauh lebih matang daripada rakan-rakan lelaki yang ada antaranya lebih tua daripada mereka.)

Kak H tampak sedikit lega apabila dapat berehat seketika semasa tiba giliran saya dan R mengambil alih.

(Gadis-gadis kecil itu rupanya nakal dalam jujur, sebaik sahaja kami berdua diperkenalkan sebagai kakak-kakak yang akan mengaturkan game untuk mereka, soalan yang terpacul daripada mulut adalah "Dah kahwin ke?" aisehh.. Dan soalan itu diulang lagi sewaktu kami berbual-bual sebelum solat Zuhur berjemaah... setelah memberitahu umur saya, saya terus diajukan soalan, "Kakak dah kahwin ke belum?" aiseehhhhh...!!)

Permainan pertama dengan mereka sungguh mencabar. Syukur, saya punya pengalaman sejemput mengendalikan kanak-kanak, dan beberapa jemput lagi pengalaman berembas (ini dialek Kelantan, maknanya lebih kurang struggle, wrestle) dengan dua orang adik lelaki dan sepupu-sepupu lelaki saya. Ah, juga pengalaman menggunakan peti suara pada kadar hampir maksimum (berkawad, memberi arahan kepada rakan-rakan asrama untuk bertugas sebelum spot check..haha).

R juga nampak bersusah payah. Arahan perlu diberi berkali-kali dengan suara lantang untuk menarik perhatian, dan kanak-kanak yang ligat itu mesti dikawal supaya tidak 'main tipu' ... bayangkan bergelut dengan sepuluh ekor kucing yang besar dan lincah. Bezanya mungkin, kanak-kanak ini semua tidak ada kuku yang tajam. Demikian juga dengan permainan kedua dan ketiga.

(Sewaktu permainan ketiga, saya mengeluarkan komputer riba, nampaknya seorang dua kanak-kanak itu begitu tertarik. "Eh, kita main ni dapat hadiah laptop ke?" "Wah, ada PinBall game." "Akak, nak main." "Akak, nak main." Malah salah seorang daripadanya terus mengambil tempat di sisi sofa tempat saya duduk, hampir-hampir bersandar kepada saya, begitu ingin untuk menyentuh dan bermain dengan komputer. Saya tidak izinkan, nanti seorang dapat, sepuluh yang lain terkinja-kinja mahu juga.)

Bagusnya anak-anak ini, ketika sesi ceramah, mereka aktif dan galak bertanya. Tipikal kanak-kanak British-educated. Ekstrovert dan tidak segan-silu meluahkan apa yang ada dalam fikiran masing-masing. Bahkan fikiran juga terbuka, dan konsep fair-play sangat kuat termaktub dalam minda. Permainan pertama memerlukan adik-adik ini menghafal lukisan yang diberi - sumbangan bakat R yang cekap melukis - dan akhirnya melukisnya semula. Saya mengajak kedua-dua kumpulan yang berada di bawah seliaan saya membandingkan hasil masing-masing dengan lukisan asal, dan mengadilinya bersama-sama. Sungguh membanggakan apabila kumpulan yang kalah dengan terbuka hati dan riang gembira mengakui kemenangan lawannya yang nyata lebih baik, tanpa sedikit pun riak muka tidak puas hati atau menuduh lawan bermain tipu.

Cuma itulah, adab apabila berhadapan dengan guru sangat kurang diberi perhatian oleh mereka. Salah sistem pendidikan Britishkah yang sangat terbuka, menggalakkan ekspresi diri ke tahap hampir maksimum dan begitu membataskan ruang untuk guru mendisiplinkan pelajar? Benar, sistem pendidikan tradisional, atau tepatnya tradisional Asia (kerana saya orang Asia yang tentu sahaja lebih faham warisan leluhur sendiri) ada kelemahannya. Murid tidak digalakkan bersuara, guru memegang autoriti yang seolah-olah maksum tidak bisa dicabar, dan adakalanya guru keterlaluan dalam menghukum murid sehingga mendatangkan rendah diri, tidak yakin, malah kecederaan fizikal, walaupun kes-kes seumpama ini adalah terpencil.

Namun sistem tradisi Asia ini, jika disulam dengan kemurnian agama atau falsafah, mampu melahirkan penuntut-penuntut yang beradab, yang kemudiannya berjaya pula memperkembang ilmu yang dipelajari daripada guru - tanpa perlu bising-bising dan melawan guru sewaktu belajar.

Balik kepada filem pop Jepun yang saya sebutkan tadi. Mulanya trio pelajar yang menjadi tunjang cerita itu tidak berpuas hati dengan guru mereka - seorang lelaki dengan perwatakan pelik, gemar memakai selipar jepun yang terkelepuk-kelepuk ke lantai dengan bunyi yang kuat, malah menjadi bahan gosip di sekolah dengan cerita-cerita aneh. Sikapnya sewaktu mengajar juga agak luarbiasa walaupun dia tetap menunaikan tanggungjawabnya dengan cara yang tersendiri. Trio pelajarnya itu berasa bahawa dia bukanlah guru yang baik, kerana itulah keputusan peperiksaan mereka sentiasa teruk. Lantas mereka mahu mengubahnya supaya menjadi guru yang lebih baik.

Kalau rumus ini yang diambil oleh filem Barat, selalunya guru itulah yang akan berubah - menjadi mesra pelajar, tidak selalu marah-marah lagi dan bersikap lemah lembut.

Tapi filem ini memaparkan kesudahan yang berbeza. Pelajar-pelajar itu disedarkan bahawa sikap guru bukanlah penentu utama kejayaan muridnya. Sekiranya murid itu mempunyai kehendak untuk belajar, maka ia akan menyukai gurunya dan merasakan bahawa gurunya adalah yang terbaik. Sebaliknya jika sang murid tidak mempunyai kesungguhan dan minat untuk menimba ilmu, malas berusaha keras, maka ia tidak akan melihat keistimewaan gurunya.

Guru tidak perlu bersusah payah membelai dan memanja-manjakan pelajar, membujuk rayu supaya mahu belajar. Ilmu itu bukankah perlu dikejar, didatangi, bukan mendatangi?

Guru, walau apapun akhlak dan sikapnya, seringkalinya tetap berhak mendapat penghormatan dan kemuliaan, atas statusnya sebagai guru. Sensei wa erai!!

Saya makin obses dengan oriental wisdom. Kebijaksanaan timur yang lembut dalamannya tetapi teguh luarannya, tanpa bucu-bucu keras tajam yang cenderung mengoyakkan fitrah seperti falsafah Barat. Ah, xenophobickah saya?

***

Sesi ketiga kursus Fiqh Ramadhan diambil alih oleh suami Kak H. Takjub amat, sejak Abang F memulakan penyampaian dengan ayat-ayat al-Quran dan meneruskan dengan pengisiannya, sehinggalah menamatkan ceramah, kanak-kanak yang tidak tahu diam itu persis dibelai malaikat, duduk santun dengan penuh perhatian, dan senyap. Saya, R, Kak H dan Kak S saling berpandang-pandangan. Ajaib apa yang dipakai Abang F?

Mungkin Abang F ada karismanya yang tersendiri sehingga kanak-kanak yang ligat itu duduk akur dan diam, mendengar dengan teliti, bertanya soalan dengan hormat dan tidak menyampuk melulu dengan bermacam-macam loyar buruk. Mungkin kanak-kanak lelaki lebih berupaya untuk relate, berhubung dan membina pertalian sosial dengan lelaki. Yang pastinya, sesungguhnya anak-anak ini bukanlah liar, degil atau tidak beradab - hanya naluri keanak-anakan mereka dizahirkan dengan cara yang tidak teratur lantaran sistem dan suasana yang mengelilingi, sehingga yang terbit adalah yang kurang-kurang enak, dan dalam waktu-waktunya, naluri yang polos bersih itu akan terpancar juga.

salam,
meow~

2 comments:

Anonymous said...

Kau ini memanglah, Adibah.
Kau suka guna istilah yang membuatkan aku terpaksa Google untuk memahaminya. Tapi Ok la. Vocab baru. Haha..
xenophobic = (afraid) having abnormal fear or hatred of the strange or foreign.

Kau rasa itu bebudak tu, terbentuk sikap dari sekolah, atau dari rumah? Perangai berubah drastik mengikut keadaan. Baguslah.

Adakah aku patut memberikan anak-anak aku pendidikan British-Oriented nanti?

Anonymous said...

sy msh baru di sini.t'pakse m'bc artikel anda b'kali2 br dpt pe yg nk dismpaikn.

Adakah aku patut memberikan anak-anak aku pendidikan British-Oriented nanti?
bg sy, british-oriented + agama.
ni lbh baik.