Sunday, January 21, 2007

Aisyah Zaatiyah Mencari Cinta - III

assalamu'alaikum.

sambungan lagi, bahagian akhir insyaAllah, harap tidak jemu baca ya~ :-)

Kembara III - Pengorbanan di Medan Rusuhan

Berpagi-pagi dengan bersimpuh mendengar bacaan al-Quran dan tazkirah si tua tentang Allah dan cintaNya kepada hamba-hambaNya. Bunyi kicauan burung mendamaikan. Jukstaposisi bicara didaktiknya dengan imbasan-imbasan rencam peristiwa hari terdahulu semakin menguak hijab yang menabiri hati Aisyah Zaatiyah. Tentang erti dan universaliti cinta.

Alangkah baculnya manusia yang tidak pedulikan saudaranya yang teraniaya, alangkah malang dan sedihnya manusia teraniaya yang tidak ditolong saudaranya. Dan alangkah hinanya manusia apabila seperti tidak ada tempat untuk Allah dalam hati-hati mereka. Cinta itu datang daripada Allah, dan sewajarnya mencintai yang lain itu didasari kepada mencintai Allah dan mengharapkan cintaNya. Allah tidak perlu berkorban apa-apa untuk mencintai umatNya, Dia Maha Pengasih, Maha Pemurah, dan Maha Kaya, tetapi hukum cinta untuk hambaNya menuntut pengorbanan. Cinta kepada insan dan kepada Tuhan, kedua-duanya menuntut harga, untuk punya harga.

Cinta yang sebenar adalah cinta yang dizahirkan melalui pengorbanan. Cinta yang tidak mahu berkorban adalah mementingkan diri sendiri dan memuaskan nafsu sendiri. Cinta yang menepikan Allah adalah cinta yang haiwani. Bagaimana mungkin wujud cinta sejati dalam kehidupan seperti itu? Aisyah Zaatiyah semakin mengerti, cinta sesungguhnya adalah pengorbanan.

Tapi adakah dengan pengertian itu, dia sendiri tergerak untuk berkorban? Entahlah. Jujur dia bicara dengan hatinya, ya dia tahu pengorbanan itu mulia dan bukti cinta, tapi relakah dia, tegakah dia melepaskan kesenangan hidupnya, cukup teguhkah asa untuk mencukupkan cintanya dengan Taufiq dengan pertautan hati dalam dunia serba sukar sedangkan jarak dihadang oleh perjuangan.

Aisyah Zaatiyah dan Mek meninggalkan pondok si tua dengan azam sekuat selalu untuk mencari Taufiq, walaupun dengan mata hati yang semakin terkuak hijabnya.

Mata rindu Aisyah Zaatiyah mula melihat Taufiq dalam setiap kelibat. Yang mengangkat barang di luar kedai itu Taufiq, yang memandu kereta berkaca mata gelap itu Taufiq, yang membelai kucing di dukungan di laman rumah itu Taufiq. Tapi sayang, realitinya semua mereka bukan Taufiq. Matahari semakin garing, Aisyah Zaatiyah akhirnya terduduk di atas bangku di tepi jalan, hampir satu kawasan perumahan setinggan. Membuka bungkusan roti yang dibekalkan oleh si tua, berkongsi dengan Mek yang melahap kerana mereka berdua memang lapar.

Rumah-rumah buruk seperti kotak-kotak zink, ada dinding bertampal suratkhabar, kanak-kanak berkaki ayam comot berlari-lari dan ibu-ibu yang kusut masai menadah air di paip awam. Dan kawasan ini letaknya di belakang kawasan bangunan pencakar langit yang mewah. Kontras yang membingungkan.

Seorang gadis terencat akal, kotor selekeh berpakaian buruk menghampiri, meminta makanan. Aisyah Zaatiyah mulanya teragak-agak, namun akhirnya roti yang hampir sampai ke mulut itu bukan dicebiskan tetapi dihulurkan semuanya kepada sang gadis. Aisyah Zaatiyah yang mulanya kegelian melihat sang gadis, akhirnya mengusap bahunya dan mempelawanya duduk di atas bangku yang mengalas duduknya tadi, sedangkan Aisyah Zaatiyah sendiri bersila di atas tanah beralas kepingan kotak-kotak. Sempat sang gadis bercerita sedikit-sedikit dengan lidah pelat dan mulut penuh.

Riuh-rendah. Kecamuk. Jeritan-jeritan. Panik. Ada jentera besar mengaum hendak merobohkan gubuk-gubuk setinggan yang konon dibina di atas tanah haram. Angkuh Pak Menteri mengetuai di barisan hadapan, menghalau penduduk-penduduk konon penderhaka dan pemalas yang menyusahkan kerajaan. Tanah ini lebih untung menjadi tapak hotel mewah, lagipun adakah semenggah belakang bangunan pencakar langit seburuk tempat pelupusan sampah? Penduduk kelam-kabut. Beramai-ramai keluar, merusuh, mengamuk, marah-marahkan orang-orang biadab yang mahu menceroboh kediaman mereka tanpa sebarang pampasan, sedangkan mereka warga Karang Setra yang sah. Keributan. Aisyah Zaatiyah terperangkap di celah orang-orang ramai. Dan dia nampak Taufiq. Benar-benar nampak Taufiq. Di sebelah sana, di jalan besar sana, di celah-celah orang ramai yang sedang merusuh di sana.

Dan Taufiq melihatnya.

Manusia-manusia kejam datang dengan kayu membelasah penduduk. Haru-biru. Teriak tangis. Orang dan binaan sama dibelasah, orang tertiarap memakan tanah dan pondok-pondok rebah-rempah. Aisyah Zaatiyah dan Mek terpisah. Mata Aisyah Zaatiyah tertancap kepada satu arah; Taufiq ya Taufiq, yang juga terperangkap dalam kecoh-kecoh di sebelah sana.

Satu tangisan hinggap ke telinganya. Gadis terencat akal tadi sedang menangis meraung-raung, tidak ada sesiapa yang peduli. Dan dia berdiri di sisi sebuah rumah yang sedang rakus dirobohkan dengan kapak-kapak dan kayu-kayu, tanpa sedar dinding dan tiang itu akan runtuh menimpanya. Aisyah Zaatiyah memandang ke arah Taufiq sekilas, sekali, dan berpusing menuju ke tempat sang gadis berdiri meraung, menolaknya jauh dari bahaya, dan dinding runtuh itu menimpanya.

Rusuh lanjut hingga ke senja. Aisyah Zaatiyah tidak sedar apa-apa. Apabila kecamuk mereda, yang tinggal hanyalah runtuhan-runtuhan pondok yang gagal dipertahankan dan tubuh-tubuh cedera yang bergelimpangan. Aisyah Zaatiyah diheret keluar dari timbunan serpih zink dan kayu dengan darah berlumuran.


Penamat - Inikah Cinta?

Katil hospital mengalas pembaringan Aisyah Zaatiyah. Sebelah wajahnya berbalut, mata kirinya parah. Mek tidur terlungkup di atas meja di tepi katil. Jelas nampak balutan pada kepala dan tangannya. Lampu suram. Di sisi katil, berdiri sesusuk tubuh yang merenung Aisyah Zaatiyah penuh kasih. Wajah Aisyah Zaatiyah yang berbalut diusapnya lembut, Aisyah Zaatiyah yang nyenyak dalam tidur berubat pelali sekadar mendengus kecil. Sesekali susuk tubuh itu nampak menyeka air mata di pipi sendiri.

Telefon dalam kocek berbunyi. Taufiq tergesa-gesa menjawab. Ya, seminit saja lagi. Kemahiran kedoktorannya diperlukan, dia perlu kembali ke perkampungan tepi pantai. Gerak gempa dikesan lagi, tsunami melanda lagi. Dia perlu membantu. Walaupun rindu dan cinta kepada isterinya yang tersayang, isterinya yang sudah mengerti makna cinta dan pengorbanan, seperti air membuak di belakang empangan.

Taufiq meletakkan sepucuk surat di atas meja di sisi kepala Aisyah Zaatiyah, di mana Mek akan melihatnya sebaik sahaja terbangun. Dan perlahan-lahan, dia berpaling dan mengatur langkah keluar.

Sejurus sesudah Aisyah Zaatiyah membaca surat yang ditinggalkan suaminya, berita yang sampai dari corong radio memutuskan tangkai hatinya. Tsunami kedua yang tidak diduga - selepas tsunami yang memanggil suaminya pergi - tiba-tiba mengganasi perkampungan pinggir pantai lagi. Hadir tidak semena-mena seperti sayap malaikat maut yang tiba-tiba menutup segala cahaya. Dan antara yang terkorban adalah Dr Taufiq Ismail.

Khatamlah sudah, mutlaklah sudah pencarian cinta manusia Aisyah Zaatiyah.

Ternoktah dengan pengorbanan yang bertindih-tindih.

"Mek baliklah. Aisyah sedar, Taufiq adalah manusia yang akan mati, hamba Allah seperti Mek dan Aisyah juga. Walaupun Taufiq dah tak ada, Aisyah mahu cinta kami terus hidup. Untuk menghidupkan cinta itu sesuci dan seikhlas mungkin, cinta Allah perlu menjadi dasarnya, cinta sesama saudara itu wadahnya, dan pengorbanan akan menjadi buktinya. Cinta kepada manusia tak sepatutnya mendahului cinta kepada Allah.. itulah yang Taufiq cuba sampaikan kepada Aisyah selama ini, dan Aisyah mahu cuba fahami sampai benar-benar dapat menghayati dan merasai."

"Saudara-saudara di sini perlu bantuan dan pembelaan. Perlu didekatkan dengan Allah, dan jiwa Aisyah sendiri memerlukan tarbiyah. Aisyah mahu tinggal di sini. Belajar agama dan berbakti, kerana Allah. Biarlah Aisyah tak sempat mencium tangan abang Taufiq di dunia ini, biarlah kami hanya bertemu dalam mimpi sampai akhir hayat nanti, Aisyah harap, di syurga nanti mata kami akan bertentang lagi.."


salam sastera,
meow~~

Aisyah Zaatiyah Mencari Cinta - II

assalamu'alaikum.

sambungan dari yang lepas insyaAllah :-)

Kembara II - Keadilan dan Persaudaraan di Pinggir-Pinggir Jalan

Berbekalkan wang yang ada, Mek dan Aisyah Zaatiyah meninggalkan perkampungan tsunami dan menuju ke arah bandar. (ya, mereka memberi sejumlah ongkos kepada sang ibu mulia itu, tapi ditolak.. katanya dia sudah lali dengan derita dan secebis duit tidak akan membawa makna apa-apa, sedangkan tetamunya berdua itu akan begitu terkesan oleh kekurangan walau sesen pun dalam keadaan mereka sekarang)

Mobil sewa membawa mereka sampai ke tengah kota. Namun masih penasaran, suasana tampak aman damai, tidak kelihatan sesiapa merusuh apatah lagi kelibat-kelibat perawat sukarela yang membantu. Jadi di mana mahu dicari Taufiq? Serabut bandar berbeza dengan serabut kampung dilanda tsunami. Panas matahari seperti lebih garing dalam suasana sesak dan macet. Dan Aisyah Zaatiyah sendiri kurang pasti yang manakah lebih busuk, bau kematian di pantaikah atau bau asap-asap dan wap badan manusia di bandar sarat inikah.

Dua pengembara sesat yang comot - Aisyah Zaatiyah dan Mek - seperti penasaran lagi di sini. Bangunan-bangunan panjang berderet, rumah-rumah flat dengan dinding berkulat dan pakaian lusuh bergantungan di luar-luar tingkap, orang-orang bersimpang siur dengan pelbagai ekspresi dan gaya kecuali ketenangan dan belas kasihan. Ada yang tergesa-gesa merempuh Mek hingga terjatuh. Ada yang nakal-nakal mengusik Aisyah Zaatiyah yang masih manis walaupun dua hari tidak bertemu air mandi.

Aisyah Zaatiyah mula gagal mengawal diri, mahu mengurai tangis lagi. Lantas Mek menuntun ke sebuah kedai minum - atau kedai makan - atau restoran - menyarankan mereka berehat dahulu seketika. Pengunjung-pengunjung sedang ralit menonton perlawanan bola. Bersorak-sorakan. Aisyah Zaatiyah dan Mek memesan makanan dan minuman, ya kelaparan sejak semalam.

Timbul ketegangan apabila Mek lantang memarahi pelayan kerana menghidangkan arak sebagai "compliments". Tambah pula apabila pengunjung di meja sebelah memesan "halal pork". Bukankah ini restoran milik orang Islam? Besar-besar terpampang di luar kedai. Di dinding-dinding ada gambar Kaabah. Sambil tertawa sang pelayan berkata, kalaulah di sini restoran Cina akan lebih mendapat sambutan, gambar tokong pun tuan kedai ini akan tampalkan!

Makanan sampai. Walaupun berselera menghadap juadah, mata hati Aisyah Zaatiyah yang seperti baru terangkat sedikit hijabnya semakin memahami lapis-lapis makna di sebalik peristiwa. Masuk Pak Menteri dan isterinya ke dalam restoran, dilayan dengan penuh hormat seolah-olah kaki mereka pun mahu dijilat. Pengemis dihalau dan dipukul dengan penyapu seperti menghambat kucing kurap - sedangkan kucing kurap pun tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa. Bual bicara pengunjung restoranyang memperlekehkan mangsa tsunami di desa dan miskin melarat di kota. Pak Menteri dan isteri mendabik dada sayangkan rakyat tetapi hendak berpanas sedikit menjenguk hari sukan rumah anak yatim pun bising-bising mahu dipayungkan sepanjang jalan. Mahu turun ke perkampungan tsunami? Ah, tidak perlulah, bukannya mereka itu turun mengundi pun nanti. Tidak ada istilah pengorbanan.

Masuk dua orang anak muda, hangat bercinta, berpeluk-peluk bercumbu-cumbu. Meminta muzik dipasangkan. Tak sempat menunggu malam, mereka berdansa di pentas dansa di satu sudut. Muzik semakin kuat. Menyerabutkan. Semakin ramai orang menyertai pentas dansa. Arak galak dipesan. Kelam-kabut. Matahari semakin terbenam, syaitan berpesta rakus. Aisyah Zaatiyah dan Mek semakin rimas. Ada yang mengusik-usik mengajak menari, menarik-narik tangan semakin berani, cuba meneroka lebih biadab, mengasari Mek, Aisyah Zaatiyah meraung menjerit, tiada sesiapa menolong.

Tiba-tiba sergahan seorang tua berjubah serban menyebabkan semua terdiam. Muzik mati tiba-tiba. Seperti kanak-kanak ketakutan Aisyah Zaatiyah merangkak ke kaki si tua berjubah, memaut betisnya menangis teresak-esak di situ. Mek mengesat darah di dahi. Konfrontasi antara si tua dan pengunjung-pengunjung restoran berakhir dengan si tua dihalau dan muzik kembali berdentum, tari-menari seperti tidak ada apa-apa yang terjadi. Di luar malam semakin gelap.

salam sastera, nantikan fragmen ketiga..
meow~

Saturday, January 20, 2007

Aisyah Zaatiyah Mencari Cinta - I

assalamu'alaikum.

Pengenalan

Dia, Aisyah Zaatiyah, seorang anak gadis aristokrat. Cantik, manja, lemah lembut, keanak-anakan. Manis. Masih terlalu mentah dalam mendepani hidup. Jiwa romantik, lemah, dan belum teruji. Bertemu jodoh dengan Taufiq Ismail (ya sempena nama penyair Indonesia itu), rijal berjiwa mujahid yang mensinonimkan erti kehidupan dengan jihad dan pengorbanan. Pertentangan prinsip hidup, antara kelunakan bersenang-senang memadu cinta di mahligai bahagia dan kepayahan menabur bakti di tanah-tanah saudara yang sengsara, menyebabkan konflik timbul antara mereka.

Aisyah Zaatiyah tidak faham dan menyampah mengapa Taufiq asyik bicara tentang pengorbanan, untuk umat dan agama, sebagai manifestasi cinta. Apa tidak bolehkah, tidak cukupkah, cinta yang suci dalam ikatan mereka berdua, sehingga perlu juga bersungguh mencari susah di Pulau Karang Setra, tempat orang dilanda tsunami, rusuhan, dan segala macam krisis politik-sosial? Dan cinta kepada Allah, ya itu satu lagi konsep yang amat payah Aisyah Zaatiyah mengerti.

Ah alasan. Mungkin saja Taufiq ada cinta kedua yang melambai-lambai sehingga beria-ia mahu ke sana. Geram, marah, Aisyah Zaatiyah lancang menyanggah suami dan mengatur langkah derhaka membawa diri.

Rindu dan cinta membawa Aisyah Zaatiyah pulang. Mencari Taufiq mahu meminta maaf. Biarlah dia tidak setuju, biarlah dia menyampah, biarlah dia rasa semua usaha-usaha Taufiq yang konon idealistik mahu mengubah dunia itu tidak ada gunanya. Kerana cinta kepada Taufiq, Aisyah Zaatiyah sanggup berlutut mengaku salah dan mengikut suaminya ke mana sahaja. Semata-mata kerana cinta kepada seorang manusia.

Sayang, pulangnya disambut mahligai sepi. Taufiq Ismail sudah pergi. Yang setia menanti hanya Wan Kembang, manja dipanggil Mek, pengasuh yang menjaga sejak kecil. Aisyah Zaatiyah terkedu. Sampai hati Taufiq meninggalkannya begitu. Cinta apakah yang lebih besar daripada cintanya?


Kembara I - Simpati Manusiawi dari Sisa Tsunami

Bersama Mek yang setia Aisyah Zaatiyah meredah lautan menuju Pulau Karang Setra, mencari Taufiq. Bot kecil membelah laut, teroleng-oleng dilambung ombak kecil dan besar. Sebahagian besar penumpang adalah sukarelawan yang hendak ke sana atau rakyat pulau yang merantau mencari rezeki pulang menjenguk sanak saudara dan membawa sedikit wang untuk mereka. Kata seorang doktor, Taufiq mungkin sekali berada di pusat kesihatan darurat di kawasan perkampungan yang dilanda tsunami.

Tidak selesa, mabuk laut, bosan, dan anehnya nakhoda kapal yang mabuk-mabuk gemar berfalsafah itu berkata arak yang diteguknya untuk 'meneutralkan' mabuk laut yang menggoncang. Apa bolehkah mencuci najis dengan najis? Aisyah Zaatiyah kerimasan dan kebosanan, akhirnya terlena di ribaan Mek.

Mendarat di pelabuhan Pulau Karang Setra. Pemandangan yang menggusarkan menyambut. Sampah-sarap, kotoran, serpih kayu, pokok tumbang, cebisan pakaian, malah cebisan yang persis sisa anggota manusia, entah apa sahaja, bertaburan di sepanjang pantai langsung menganjur ke arah dataran perkampungan sana. Ah, sebetulnya bukan perkampungan .. pondok-pondok usang dan bangsal-bangsal daif, khemah-khemah compang-camping. Manusia yang selekeh dan tidak terurus, ada yang terhuyung-hayang ke sana sini dengan pandangan kosong. Ada yang cedera dengan balutan yang kotor. Dunia apakah ini? Aisyah Zaatiyah seperti terpukau.

Kecuaian menjadi asbab sehingga beg pakaian Aisyah Zaatiyah dicuri.Tinggal sehelai sepinggang. Mujurlah selamat beg dokumen-dokumen penting, beg Mek dan dompet buruk Mek yang berisi wang 'sesen dua'. Dengan wajah berair mata Aisyah Zaatiyah melilau-lilau ke sana sini, mencari-cari Taufiq, di bawah panas matahari dilingkungi ruapan udara berbau maut dan kotoran, ditemani Mek yang cuba bertenang dan menenangkannya, seperti hilang arah. Dan rupa-rupanya Taufiq sudah tiada di situ. Dia dihantar ke bandar untuk membantu dalam kes rusuhan di sana. Aduh, Pulau Karang Setra ini begitu sekali bobrok dan ruwetnya.

Daripada simpati seorang ibu yang menguntukkan bumbung bangsal buruknya dan secebis dua roti kering untuk dua tetamu yang terkapa-kapa itu, Aisyah Zaatiyah belajar dan diajar erti nilai manusiawi. Tegar ibu itu, yang merawat luka satu-satunya anak yang masih tinggal, tegar bercerita peritnya kehilangan-kehilangan yang dirampas tsunami, jengkelnya dimangsai oleh buaya-buaya birokrasi serta oportunis yang mempolitikkan dan membisneskan derita.

Mimpi Aisyah Zaatiyah malam itu, bersendalkan tanah beralas kanvas-kanvas lusuh berbau hapak dikunjungi aneka ragam mimpi. Yang mempersoalkan hatinya, sifat mementingkan dirinya. Bangunnya pagi itu sebagai insan yang lebih lembut hati, tapi tekadnya tidak berubah. Mahu mencari Taufiq dan membawanya pulang, bahagia bukan di sini untuk dicari, apatah lagi cinta.


- fragmen 1, insyaAllah yang seterusnya akan menyusul.. saya perlu outline begini baru selesa untuk merangka skrip drama~ -

salam sastera,
meow~

Friday, January 19, 2007

antara selamat jalan dan selamat tinggal

assalaamu'alaikum.

Selamat jalan, selalu diucapkan buat orang yang akan bepergian, mendoakan perjalanannya selamat-selamat sentiasa. Dan selamat tinggal adalah ungkapan daripada orang yang akan pergi, mendoakan agar orang yang ditinggalkan sentiasa selamat dan sejahtera.

Yang manakah lebih sukar untuk diucapkan?

Dan ucapan manakah yang lebih sukar untuk ditelan?

Mungkin yang ditinggalkan lebih terasa pahitnya perpisahan. Kerana yang meninggalkan punya destinasi tempat tujuan, tetapi yang ditinggalkan tidak ada apa-apa yang dinantikan kecuali pertemuan semula. Atau mungkinkah yang pergi itu lebih berhiba, kerana yang perlu mengumpul kekuatan untuk menyusun langkah-langkah kian menjauh itu adalah dia.

Teringat sayunya sewaktu seorang diri melangkah melalui pemeriksaan keselamatan di KLIA, melambai-lambai keluarga di balkoni, dengan setiap langkah seperti mengheret batu besar di kaki. Dan teringat juga sayunya sewaktu melepaskan sahabat-sahabat pergi mengejar cita-cita masing-masing, satu demi satu mengucapkan selamat tinggal, dengan satu ucapan, satu lambaian, atau satu pelukan, selepas sesaat itu berlalu semua yang manis menjadi kenangan.

Pertemuan dan perpisahan yang tidak kunjung henti membentuk dinamika kehidupan. Tidak munasabah sekiranya tidak mahu berpisah, kerana berpisah itu tidak boleh tidak perlu ditempuh dalam perjalanan hidup. Kerana untuk setiap orang jalannya tidak sama. Malah perpisahan itulah yang menjadikan pertemuan lebih indah, seperti rindu yang bisa menjadikan sayang lebih halus dan manis. Tetapi sakit, ya sakit.

Perpisahan itu menyakitkan, seperti rindu itu memedihkan, dan penantian itu meletihkan. Walaupun semuanya ditelan atas nama kasih dan sayang.

Sama ada yang diucapkan adalah selamat tinggal atau selamat jalan, hakikat yang menenggelamkan persoalan-persoalan lain adalah satu perpisahan lagi sedang berlaku. Dan ia hanya salah satu daripada ratusan, malah ribuan lagi perpisahan yang menempati hidup, sebagai harga kepada pertemuan-pertemuan yang setanding manisnya. Seperti roda yang berputar, kehidupan ini dipenuhi oleh peristiwa yang berulang-ulang.

Perpisahan mutlak adalah kematian, dan pertemuan mutlak adalah jika bertuah dapat berkongsi syurga kelak.

Rindu yang bisa akan menjadi madu akhirnya, dengan izin Allah. Itu saya yakin dengan pasti, dengan izinNya tiada yang mustahil, kalau Dia mengizinkan. Dan izin itu yang saya harap-harapkan. Sama ada saya akan mendapat apa yang saya nanti-nantikan, atau saya akan mendapat ganti yang lebih baik. InsyaAllah.

Antara selamat jalan dan selamat tinggal, kedua-duanya melatari perpisahan. Adanya pertemuan bererti ada juga harganya iaitu perpisahan. Dan paling indah, paling bererti, jika manisnya pertemuan dan pahitnya perpisahan itu disandarkan kepada maksud yang paling suci, kerana Allah Yang Maha Tinggi.

salam sayang,
meow~

Tuesday, January 09, 2007

ceramah sana sini

assalaamu'alaykum.

Cuti musim sejuk di hemisfera utara ini banyak menyaksikan program itu dan program ini. Yang saya tahu seperti PUISI(Perhimpunan Ukhuwah Insaniyyah Seluruh Ireland) di Ireland; PMS(Perhimpunan Musim Sejuk) di Coventry,UK; Muktamar MISG-IMSA di StLouis, Missouri, USA; TDC (Texas Dawah Convention) di Texas, USA. Alhamdulillah, banyak ilmu yang insyaAllah bermanfaat dicurahkan dan diterima. Moga diberkati hendaknya.

Melihat senarai nama-nama penceramah dan credentials masing-masing, tidak dapat tidak terasa kagum. Gerun pun ada. Omak ai hebatnya. Lalu terkocoh-kocohlah kita mengutip contact detail para orang-orang hebat ini. Contact detail yang entah akan digunakan, entah tidak. Dan bangga benar pula rasanya kalau dapat bergambar dengan mereka, mengaku mempunyai personal acquaintance dengan mereka, apatah lagi kalau dapat berborak-borak dengan mereka seusai ceramah. (saya tidak berniat menyindir sesiapa melainkan diri sendiri yang sentiasa memerlukan peringatan, sesungguhnya yang hebat itu hanya Allah..)

Sambil-sambil kita terlopong menadah ilmu daripada penceramah berijazah dan berpengalaman ini, apa kata kita alihkan pandangan sejenak. Sesungguhnya ilmu dan pengetahuan itu boleh dilambakkan sebanyak mungkin dari luar, tetapi yang mengetahui, memahami, menghayati dan mengamalkan ilmu itu, yang berkesedaran dan bertindak hasil ilmu yang diperoleh, adalah diri kita sendiri. Atau lebih tepat, hati kita sendiri.

Adakah ilmu yang dikutip itu semata-mata untuk memperkaya diri dengan pelbagai istilah aneh-aneh, konsep yang menganga orang mendengarnya, dan buah bicara yang kaya dengan karisma sehingga siapa yang tidak mengagumi? Atau name-dropping, menyebut tokoh itu dan tokoh ini, buku itu dan buku ini, sebagai testimoni kepada hebatnya dan luasnya pembacaan diri?

Mudahnya, ilmu dan praktikal perlu seiringan. Ilmu yang ditambah, dan ditambah, dan ditambah, biarlah ada output yang munasabah. Mencari ilmu kerana Allah. Dan fikirkanlah bagaimana ilmu itu dapat digunakan lagi untuk mencari keredhaan Allah. Ilmu yang bermanfaat, yang diajar kepada orang yang menggunakannya ke arah kebaikan, yang digunakan ke arah kebaikan yang berterusan, insyaAllah bakal menyuluh gelita pusara.

Tidak bermaksud untuk meleret-leret. Poin saya di sini, ilmu dan ilmu dan ilmu yang ditimba itu, yang ditulis dalam nota-nota yang berhelai-helai, yang dirakam dalam berela-ela pita (atau bermega-megabait fail), biarlah difungsikan. Jangan menjadi seperti kitab berdebu di atas rak, bezanya sekarang rak itu adalah akal dan kotak memori kita yang penuh dengan ilmu pengetahuan - yang tidak difungsikan?

Setidak-tidaknya kongsikan pengetahuan itu dengan sahabat-sahabat yang tidak berpeluang mengetahui. Gunakan pengetahuan itu untuk membina pemahaman tentang dunia, merangka visi dan misi untuk menghadapi masa hadapan yang mencabar. Lebih aktif, bergiat secara aktivisme - gerakan belia, da'wah, penulisan, dll. Pelengkap kepada kehidupan akademik. Sekadar cadangan. Khalayak pembaca yang bijak tentunya lebih tahu daripada saya, bagaimana memfungsikan ilmu pengetahuan yang bertimbun seperti emas bergunung itu.

Balik kepada isu ceramah-ceramah dan pembentangan daripada penceramah-penceramah dan pembentang-pembentang yang hebat melopongkan tadi. Sahabat, ilmu dan pengetahuan itu mempunyai nur dan glory sendiri. Benar, sumber adalah penting. Kredibiliti sumber adalah mustahak. Tapi bagi saya, pada pandangan saya yang serba daif ini, yang lebih utama adalah hati yang menerima dan merasai.

Hati yang jernih, yang berfikir, yang memahami, akan memperoleh dan menghayati ilmu daripada lidah penceramah yang fasih dengan paparan LCD yang gah, daripada halaman-halaman buku ilmiah bertulisan kenit (tulisan orang-orang hebat juga ya), daripada laman-laman web yang masyhur (juga disediakan oleh pihak-pihak dengan wibawa sukar dipersoal).

Hati begini juga akan dapat melihat hidup dengan lapis-lapis maknanya yang bertindih daripada helai-helai buku teks universiti, daripada bual bicara dengan teman-teman, daripada gerak laku manusia sekitar, daripada senyum jurujual di kaunter kedai, daripada gurau sang pemandu bas. Sahabat, setiap yang berlaku dalam hidup itu punya makna. Punya nilai pada refleksi, pengamatan dan pemikiran. Dan seringkali ilmu yang diperoleh dengan cara ini lebih mendalam impaknya, lebih halus kesannya kepada diri daripada ilmu yang diperoleh dengan cara yang formal atau 'gah'.

Jadi, moral cerita ini?

Saya langsung tidak memandang negatif kepada ceramah dan persidangan dan lain-lain yang seangkatan. Malah saya gemar menghadirinya, gemar membaca buku-buku ilmiah dan gemar melayari laman-laman web established. Cuma ingin memperingat diri sendiri dan sesiapa yang sudi berkongsi peringatan, guru yang terbaik, yang paling dekat dengan hati, adalah kehidupan ini dan segala peristiwa yang mengisinya. Melihat sesuatu jangan selapis hendaknya, rajin-rajinkan diri berfikir dan merenung, apakah yang Allah sampaikan kepada aku melalui apa yang aku lihat/dengar ini?

Dan lagi, ilmu dan ilmu dan ilmu itu, jangan jadikan simpanan data yang dorman tidak difungsikan. Untuk pembangunan diri itu sudah perlu, untuk pembangunan ummah, ya fikir-fikirkanlah. Bukankah hidup ini satu perkongsian, tidak sempurna iman tanpa mencintai saudara sehebat cinta untuk diri sendiri, dan salah satu tugas manusia dalam kewajibannya mengabdikan diri kepada Allah adalah memakmurkan bumi?

Mungkin kita dapat bertanya diri sendiri, bertanya hati sendiri, berbezakah nilai ilmu yang disampaikan melalui ceramah Dato' Prof Dr XXX al-YYY daripada nilai ilmu yang disampaikan melalui pak cik takeaway yang memberi air botol percuma kepada sang kanak-kanak yang menangis selepas jatuh terhantuk kerusi di kedainya..

Semuanya terletak pada hati. Dan Allah Maha Mengetahui.

salam fitrah,
meow~

Wednesday, January 03, 2007

rangkaian renungan

(i) Mimpi Memilih Qiblat

alamat apakah ini
melangkah masuk madrasah
yang kulihat dua tiga jemaah
masing-masing lain qiblah

dua tiga yang mungkin rawatib atau tahiyatul masjid
mungkin fardu sendiri-sendiri
atau mufaraqah barangkali
bersimpang-siur arah menghadapkan wajah

"mengapa kumpulan itu menghadap ke sana, mengapa kalian menghadap ke sini?"
"oh mereka itu jemaahnya lain, mazhabnya berbeza, begitulah kiranya."
aku takjub kaget terpaku
arah mana qiblatku
sedang asar semakin berlalu



-foto refleksi sebahagian bangunan Istana Nasrid yang pernah gah di Granada, refleksi dalam air kolam yang keruh~


Beri Merah

sekujur aku dirangkul musim dingin
kelilingku alam suram kelabu






di pinggir pagar, daun-daunnya masih hijau
dan gugus-gugus beri merah berkilau
aku terpukau.




Suara Matamu

pedulikah dunia
langkahmu srikandi
kepada manusia, kau bukan abdi

atau dunia terus bodoh sendiri
dalam delusi
merampas hak yang cuba diperjuangkan.

selubung hitam
adalah sutera-sutera syurga
kaucagarkan puja dan puji
kauserahkan warna-warni duniawi
kerana mardhaatillah yang kaucari




suara matamu,
yang tajam sinarnya menembus hatiku
mengkhabarkan perihal roh yang bebas
dimerdekakan oleh pengabdian kepada Yang Berhak
mewartakan perihal pendirian yang tidak rebah
sekali-kali tidak kita akur kepada perintah mereka
yang cuba mengatur cara hidup kita

dan kau,
suara matamu
memperingatkan aku
akan erti kesucian, 'izzah dan maruah
bilakah mampu mataku
bersuara seperti matamu?



assalaamu'alaykum,
salam perjuangan, renung-renungkan
meow~