Friday, September 28, 2007

Kontras

Badannya besar tinggi. Kulitnya hitam, rambutnya barangkali hitam keriting kasar-kasar panjang dalam topi lusuh yang membungkus kepala. Jaket dan jeans yang dipakai nampak kepam berdebu, mungkin sekali baunya hapak masam kalau dihidu.

Sebelah tangannya membimbit beg plastik TESCO lutcahaya, dalamnya ada sebungkus biskut, sekotak pizza dan satu dua barang lagi yang tidak jelas kelihatan. Dia masuk ke dalam kedai makan, matanya menyeluruhi menu. Pak cik pekedai bermata coklat (rupanya iras-iras Rajesh Kapoor pelakon filem Mera Naam Joker dan Sangam, suka sekali tersenyum dan bergurau dan memberi makanan percuma kepada pelajar-pelajar Malaysia yang makan di kedainya) menegur mesra. Dia memesan cheese burger.

"Berapa?"
"Dua pound setengah,"

Wajah dia yang memegang beg plastik TESCO dan bertopi besar membungkus rambut itu berubah.

"Tak jadi belilah."
"Eeh, apa pula tak jadi. Duduk, saya siapkan pesanan kamu." Pak cik 'Rajesh Kapoor' dengan ceria terus menyiapkan pesanan. Saya kira mungkin sekali pak cik yang baik hati itu akan membayarkan saja makanan itu kalau wang yang diberi nanti tidak mencukupi.

Dia seperti beralah, duduk di atas kerusi di depan kaunter, mengorek-ngorek saku jaket dan mengira-ngira kepingan syiling berkali-kali. Beberapa minit kemudian, setelah pesanan saya siap dan saya melangkah keluar, dia masih mengira-ngira kepingan syiling dan matanya meliar-liar memerhati papan menu di atas kaunter.


***

Di hadapan kompleks beli-belah Primark. Seorang lelaki separuh usia, kulit putih, memakai jaket bulu dan snowcap lusuh pudar warna berdiri di tepi kaki lima, menghulurkan Big Issue dengan muka penuh harap kepada orang-orang yang lalu-lalang.

(Di UK ini, kata seorang kakak, orang homeless tidak diterima bekerja di mana-mana kerana untuk bekerja memerlukan alamat. Lingkaran ganas yang kejam, kalau benar begitu! Kerana itulah ada NGO yang mengambil inisiatif mengagihkan majalah Big Issue untuk dijual oleh orang-orang yang tidak punya rumah ini, majalah berharga 1.50 pound, di mana kira-kira separuh daripada dapatan itu akan menjadi miliknya. Satu cara untuk mereka berusaha membina hidup secara bermaruah tanpa meminta-minta dan membebaskan diri daripada lingkaran ganas.)

Maaf pak cik, saya tidak lupa wajah pak cik yang tersenyum kepada saya dengan mata yang luas melimpah-limpah harapan, menghulurkan majalah yang saya tahu seperti kehidupan untuk pak cik. Ketika itu saya terburu-buru mahu mengejar bas, hambatan waktu kuliah di universiti, dan wang paling sedikit yang saya ada adalah kepingan sepuluh pound yang saya akui belum sanggup saya lepaskan bulat-bulat begitu sahaja... dan saya pasti pak cik tidak akan ada wang tukar... kedekutkah saya?

Maafkan saya...

***

Mungkin sekali, sekumpulan anak-anak kaya yang baru menerima wang belanja ekstra, yang jauh lebih banyak daripada yang mereka perlukan, daripada bapa kandung dan bapa-bapa angkat mereka, sedang berparti di kelab malam dan membelanja teman-teman selingkuhan, sambil mengira-ngira bagaimana hendak menyelesaikan tugasan kelas besok hari dengan usaha paling minimum. Dan ke mana pula hendak membeli-belah hujung minggu ini.


assalamualaikum,
meow~

Thursday, September 27, 2007

Menunggu Tamu

secangkir air sejuk
membasah rengkung
bertimpuh di anjung senja
pesan matahari sebelum tidurnya
malam ini jangan lupa
basahkan sejadah dan telekung
berlutut di serambi malam
bulan perlukan teman
lailatul-qadar nanti tiba-tiba datang
bulan tak mahu menyambut seorang.

Monday, September 24, 2007

Peluru Sesat

Assalamualaikum.

Beberapa minggu lepas, saya dengar cerita seram. Seorang kakak Tahun Empat Perubatan di sini naik tren - dari mana dan ke mana, saya lupa - tiba-tiba ada maniac atau si mabuk mana entah yang menembak ke arah tren. Kena tingkap. Hanya retak-retak alhamdulillah, mungkin kaca itu kalis peluru, mungkin penembak terlalu jauh, mungkin sudut tembakan tidak tepat, atau mana-mana faktor ballistics lain yang menjadi asbab Allah memelihara keselamatan para penumpang tren termasuklah kakak itu.

Dulu saya ingat orang USA saja yang suka main tembak-tembak (bak kata encik ayam dari Perancis hehe). Mengamuk sana sini, sesedap rasa capai pistol atau senapang dan tabur peluru macam bunga rampai. Di UK saya kira hanya sesekali kes bunuh-bunuh secara perseorangan, bila budak-budak mabuk bergaduh atau samseng menyelesaikan dendam masing-masing. Kiranya kes bermatlamat la, bukan main lepas saja dan tengok siapa yang kena.

Rupanya di UK pun ada potensi kes seumpama itu berlaku. Di Manchester (kata sesetengah senior, Manchesteri Darul Aman) yang indah permai pulak tu. Sampai satu petang tu saya terfikir-fikir sambil berjalan depan kedai runcit McColls, ada potensi tak peluru sesat nak melayang ke sini? Paranoid sekejap. Na'udzubillah!

Aih, manusia makin gila! Kes jenayah seksual Allahyarhamah Nurin Jazlin Jazimin cukup mengerikan saya. Manusia dengan kecacatan otak bagaimanakah sampai tergamak menyeksa seorang kanak-kanak selama 20 hari, dengan teknik yang mengingatkan saya kepada kekejaman Spanish Inquisition dan askar Nippon? Ada manusia yang tidak segan-segan membakar malah meletupkan manusia lain setelah memuaskan nafsu (baik seks, baik wang, mahupun apa sahaja) untuk menghapuskan bukti. Seperti hari-hari dalam berita (di Malaysia, waktu balik dulu) ada kes bunuh. Sembelih, tikam, kerat, pancung, bungkus dalam beg, buang dalam tong sampah. Na'udzubillah!!!

Sambil-sambil menulis ni, saya dapat email dari seorang abang di Manchester (email ke Yahoo Group) tentang doa untuk memelihara keselamatan sebagai wanita. Dipetik dari artikel tulisan Ustaz Zaharuddin.

Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para penjahat melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.

Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.


Hidup dan mati, selamat dan celaka dalam genggaman dan ketentuan Allah. Dulu, waktu saya membuat pilihan untuk menyambung pelajaran ke UK, waktu itu London kecoh dibom-bom, ummi menyatakan kerisauan. Bukan ummi saja, ibu bapa kawan-kawan lain pun tidak kurang risau. Tapi seperti kata seorang sahabat saya, Bahariah (ketika itu kami di Klinik Fuziah, saya terseliuh kaki bengkak terhincut-hincut kerana terpelecok jatuh longkang malam sebelumnya, dia dijalar demam), "Kalau nak mati, kat mana-mana pun boleh mati." Saya bersetuju.

Ingat tak telefilem "Sepi Angin ke Kota London"? Kisah yang sungguh menyentuh hati (dengan jalan cerita yang tulus menyentuh hati, latar waktu dan tempat yang kudus di desa hampir tiga dekad lampau, lagu tema yang indah - Kiasan Andrea dari kumpulan Platinum - walaupun macam tak berapa kena dengan cerita, dan pelakon utama yang hensem.. =p) tentang anak muda kampung yang berjaya ke luar negara. Anak kampung dari keluarga miskin, mamat surau, sangat ringan tulang dan berakhlak mulia, disayangi semua. Ayahnya, malah seisi kampung, sanggup bergolok bergadai untuk membiayai perbelanjaannya. Sayang sekali sewaktu membeli persiapan di bandar, sebutir peluru sesat menerobos kaca tingkap toko dari jalanan langsung merodok jantung, lalu hanya angin yang sepi sahaja meneruskan perjalanan ke kota London...

Hakikat bukan? 'Peluru-peluru sesat' dalam pelbagai rupa boleh saja didatangkan pada bila-bila masa, dari mana tidak ada siapa dapat meneka, sebagai asbab kepada ajal yang sudah tiba. Apa yang saya harap, keadaan kita pada waktu itu tidak akan memalukan kita di hadapan Allah. Jangan jadinya kita seperti orang-orang yang rugi, maut datang seperti serang hendap, tiba-tiba kena ambush, kantoi tanpa sempat bersedia apa-apa.


Surah An-Naba', ayat 21-22, terjemahan Towards Understanding Qur'an,

Surely the Hell is an ambush, a resort for the rebellious.

Nota Tafseer: The word 'mirsad' (ambush) denotes a spot which is especially chosen to entrap the game; a spot where it is caught unawares. Hell is described as an ambush because God's rebels, being unaware, are fearless of it. As a result, they strut about, considering the world to be simply a den for their self-indulgence, altogether incognizant of the possibility of being caught and punished. Thus Hell, being hidden from their eyes, is like an ambush wherein they are likely to be entrapped.



Surah Al-A'la, ayat 8 - 16, terjemahan Towards Understanding Qur'an,

We shall ease you (
ed : Muhammad) to follow the way of Ease. So render good counsel if good counsel will avail.
He who fears Allah shall heed it, but the wretched will turn away from it. He will be cast into the Great Fire. Then he will neither die in it, nor live.
He who purified himself shall prosper, remembering His Lord's name and praying.
No; but you prefer the present life, whereas the Hereafter is better and more enduring.




Saya akhiri dengan petikan bait-bait lirik nasyid Cak Nun (Kiyai Kanjeng),

Siapa yang cinta
siapa yang cinta kepada dunia
siapa yang cinta
siapa yang cinta kepada dunia
dunia akan
dunia akan meninggalkannya
dunia akan
dunia akan memusnahkannya.

Siapa yang kangen
siapa yang kangen pada Allah-nya
siapa yang rindu
siapa yang rindu kepada Tuhan-nya
pastilah akan
pastilah akan dilindungi-Nya
pasti dibela
pasti dibela oleh Tuan-nya

Malam 13 Ramadhan.

salam,
meow~

Sunday, September 23, 2007

The Way of Love

The Way of Love
Album : The Way of Love
Munsyid : Haddad Alwi dan DEBU
http://liriknasyid.com


the Prophet's path, the way of love
only by this Love you'll rise above
like a dove that's been set free
love with longing is the key
this love with longing is the key

honey, nectar, sweetness and cream
orchids blooming by a mountain stream
starlit skies and waves on the sand
next to love they can't stand
next to this love they can not stand


yaa Robii yaa sarii'ar ridho irham man
ro'su maalihir-rojaa
wa thina maa qod sa-alnaa bi liqoo-i
khoiril anami
yaa khoiral anami

yaa Robii yaa man-ismuhu dawa wa dzikruhu
syifaa-un lana
robbiy faj'al mujtama'na ghoyatuhu husnul
khitami
bihusnil khitami

how can I find a way to express
something that cannot be thought or guessed
something more than just words?
this love is neither seen nor heard
this love is neither seen nor heard

Love is the rope given by ALLAH
it will save you from every flaw
grasp it then He will draw you near

Lirik: Syeh Fattah (pimpinan DEBU)
Penata Muzik: Anwar Fauzi
Lagu: Ya Thoybah/ llir-llir


jalan Nabi, jalan cinta
hanya dengan Cinta ini kau akan melonjak tinggi
seperti bebasnya sang merpati
cinta dan rindu adalah kunci

cinta dan rindu ini adalah kunci

madu dan manisan
kuntum anggerik di pergunungan

langit bekerdip bintang dan ombak berderai di pasir
tak setanding dengan cinta

tak setanding dengan cinta ini

bagaimana dapat aku zahirkan
sesuatu yang tidak dapat digambarkan atau dibayangkan
sesuatu yang lebih daripada perkataan

cinta ini tak terlihat, tak terdengarkan
cinta ini tak terlihat, tak terdengarkan

Cinta adalah tali hadiah dari Allah
menyelamatkanmu dari sebarang silap
capailah dan pautlah, Dia akan membawamu dekat




...saya tidak berani menterjemah lirik dalam bahasa Arab, siapa-siapa yang faham semuanya dengan tepat, boleh beritahu saya?

assalamualaikum,
meow~



Wednesday, September 19, 2007

"Every Man (woman) for Him(her)self"...

Assalamualaikum.



Ikrar Pengamal Perubatan Muslim. Klik imej untuk saiz lebih besar. Boleh baca juga.

Alhamdulillah, sudah kira-kira sepekan Ramadhan ditempuh. Lulus? Gagal? Berjaya? Kecewa? Amalan banyak atau sedikit? Itu antara saya dengan Allah. Saya harap Ramadhan kali ini akan menjadi landasan untuk saya membuat lonjakan optima untuk menjadi saya yang lebih baik (ya perubahan itu sentiasa berlaku sepanjang masa, ke arah mana dan sebanyak mana itu bezanya). Lebih baik di sini tentu sahaja diukur mengikut skala mutlak yang ditetapkan oleh Allah. Skala lain - penilaian dan penerimaan orang, kemasyhuran, kemewahan dan keseronokan contohnya - adalah hampir tidak penting sama sekali. Saya harap saya benar-benar akan jadi sekuat itu.

Sekolah sudah buka. Yahuu gembira. Saya memang sudah gian hendak pergi sekolah. Hendak berdiskusi dalam grup PBL, menyeluruhi rak-rak dalam perpustakaan mencari judul dan pengarang yang sekian-sekian, memikul berkilo-kilo buku pergi balik dari kediaman ke kampus (lima minit saja pun) atau dari kediaman ke perpustakaan utama (dalam sepuluh minit), memaksa otak menyerap lantas menganalisa langsung menghafal teks-teks dan diagram yang rumit (kemudian dengan gembiranya menghuraikannya kepada teman-teman sekumpulan belajar). Saya kepingin merasai nikmatnya menutup buku menjelang pukul satu pagi dengan rasa puas hati, dan pergi ke sekolah esoknya dengan rasa segar serta bersedia.

Mungkin paling saya rindui, nikmatnya kesibukan. Nikmatnya merasai setiap saat dalam hidup mempunyai harga dan tujuan yang spesifik. Kata pepatah Inggeris, idle hands are the devil's tools. Waktu-waktu 'lapang' (walaupun hakikatnya tidak ada waktu lapang dalam hidup, tapi begitulah, bila tidak ada kerja yang urgent memang selalu terasa macam lapang, lupa bila-bila masa boleh mati dan banyak tanggungjawab belum ditunaikan lagi), rasa terawang-awang, diri sarat kemalasan, bantal dan tilam jadi sahabat karib, tangguh-menangguh jadi lumrah, expectation jadi rendah. Cukuplah kalau sehari ini dapat khatam satu artikel ilmiah. Cukuplah kalau hari ini tolong cuci pinggan saja, esok lusa sempat lagi hendak tolong masak lauk.

Teringat pesan seorang tokoh yang saya lupa namanya dalam ceramah yang didengar waktu belajar di MRSM dahulu, lebih kurang berbunyi, orang yang sibuk adalah orang yang paling pandai menghargai dan memanfaatkan masanya, dan dialah yang seringkali paling cemerlang dan all-rounder dalam kehidupannya. Asalkan tahu prioriti dan tidak sibuk 'merapu-rapu' dengan hal-hal tidak penting, dan tidak mengabaikan tuntutan rohani sebagai abdi Tuhan tentunya =)

Saya sudah pindah ke kediaman universiti. Terima kasih kepada teman yang bermurah hati (walaupun tetap kena bayar hehe, jangan bimbang aku tak lupa) menumpangkan selama hampir sebulan di rumahnya. Sekarang rumah saya namanya Flat 5, Thorncliffe House, dalam kompleks kediaman (cheh bunyi macam hebat) Whitworth Park. Tinggi, kena naik empat set anak tangga.

Bayangkan saya ada dalam 11 kotak (termasuk beg dan bungkusan) barang yang hampir semuanya berat-berat. Upah mover dalam 20 pound lebih untuk punggah dari rumah teman sampai ke kediaman universiti. Gembira dan lega, tak kisah bayar banyak, kerana menyangka mereka (yang badannya besaaaaar-besaaaaaar) akan angkatkan sampai ke pintu bilik. Rupanya perkhidmatan yang diberi adalah pemunggahan dengan van besar sampai ke depan anak tangga paling bawah. Pada hari pertama berpuasa Ramadhan, cuaca panas, sudah menghabiskan sepagian berurusan di bandar, jam 4.20 - 5.00 petang saya dan seorang kakak yang senasib (barangnya dalam 15 kotak, lagi kasihan) terkial-kial mengangkut barang sampai ke bilik masing-masing. Dua-tiga hari kami sakit-sakit badan.

At times like this, I found myself fervently wishing that I'm married. To someone who would help me lift the weights, of course. Tapi nampaknya tak perlu kahwin orang dekat-dekat pun ada juga gentleman yang sudi menolong, sekurang-kurangnya dua kotak saya yang terakhir diangkutkan oleh seorang brother (rupa macam Muslim) yang 'simpati' melihat saya yang bersaiz petite termengah-mengah dengan lagak macam tabah. May Allah grant His blessings and/or mercy on him.




Pemandangan dari tingkap bilik saya. Tinggi, kan? Alhamdulillah betul-betul menghadap bahagian dalam 'kompleks' Whitworth Park, bukan menghadap jalan raya. Pandangan mata sentiasa disejukkan dengan pokok-pokok yang hijau (atau kuning, atau berceracakan dengan ranting kosong, tak kisah yang penting ada pokok).



Juga dari tingkap bilik yang sama, tapi dari sudut yang sedikit berbeza. Matahari pagi memancar, daun-daun masih hijau walaupun musim panas sudah beransur pergi. Tanda-tanda musim luruh sudah semakin jelas, hijau yang terang semakin pekat sebelum bertukar menjadi kuning. Suhu semakin dingin. (Awal musim luruh pun dah berpagi-pagi dengan 3 degree Celsius? Musim sejuk tahun ini Manchester akan bersaljikah?) Hujan semakin kerap, dan lebat. Di sini, menggunakan payung atau baju hujan - hampir dalam setiap keadaan hujan pun, lebat atau renyai - adalah optional. Saya sendiri sejak awal-awal sampai tahun lepas pun selalu lupa membawa payung, redah saja hanya dengan jaket corduroy autumn, alhamdulillah hampir tidak pernah jatuh sakit. Malah ketika basah kuyup berhujan di Malaysia (tabiat di UK dibawa pulang, seperti tidak ingat hujan khatulistiwa tidak seramah hujan Eropah), saya masih tidak apa-apa.

Adik-adik baru sampai. Junior - alahai banyaknya dari KMB, baik lelaki baik perempuan, semuanya kenal 'Kak Adibah', walaupun ada yang si kakak ini antara kenal dengan tidak, maaf banyak-banyak...

Dialog di Thorncliffe 2,

Adik 1 : Kenal tak, Kak Adibah? (bertanya kawannya)
Adik 2 : Kenal, macam selalu nampak dulu.
Kakak : Err.. selamat berkenalan..

Mereka datang bersama cita-cita dan harapan. Antara ketakutan, kerisauan, keyakinan dan keterujaan. Bright eyes and open hearts. Teruskan adik-adik, dunia baru terhampar di hadapan. Akademik dan spiritual. Kita pimpin-berpimpin, jalan ini tidak mudah, tapi tidak terlalu payah! InsyaAllah.

Every man for himself, and the devil take the hindmost. Hampir dalam setiap sistem - sistem akademik, karier profesional, malah dalam sistem tarbiyah sekalipun, individu itu sendiri adalah orang yang paling penting dalam menentukan apa yang diperolehnya. The system won't take care of you, you take care of the system. Apa yang kita mahu, kitalah yang mesti mengusahakannya. Memang sistem akan memberi tunjukcara dan kemudahan yang seadanya, tetapi hakikatnya terpulang kepada individu.

Dalam satu-satu sistem, siapa yang tidak tahu apa yang dia mahu, tahu apa yang dia mahu tapi tidak berusaha secukupnya untuk mendapatkannya, orang itu akan ditinggalkan. Sistem mempunyai matlamatnya yang tersendiri dan mustahak. Orang yang dapat memberi manfaat kepada sistem dan tidak menyusahkan sahaja yang akan diberi prioriti. Dalam mana-mana sistem sekalipun - akademik, profesional, atau tarbiyah. Yang lambat, yang lemah, yang tidak mempunyai inisiatif yang tinggi akan tertinggal. Bukan kejam atau zalim. Ini hakikat. You get what you deserve, you reap what you sow. Sow the wind, reap the whirlwind. Pandai-pandailah menjaga diri agar berjaya di dunia dan akhirat.

Ingat penyanyi Azian Mazwan Safwan? Saya senang sekali dengan satu lagunya, Rumah Kecil Tiang Seribu.

Rumah kecil tiangnya seribu,
rumah besar tiangnya sebatang,
waktu kecil kau ditimang ibu,
dewasamu ditimang gelombang.

Berhijrah ke alam remaja,
menguji ketabahan jiwa,
yang gagah akan berdiri,
yang lemah akan menepi.

Berjaya disanjungi, kecewa dibenci,
itulah lumrah manusia, semoga kautak kecewa.


(Hm, sudah lama saya tidak beli coklat. Rasanya masih lebih banyak yang pahit daripada yang manis!)

Sampai jumpa lagi,
mari rebut banyak-banyak rahmat dan ampunan Allah dalam Ramadhan ini.

meow~

Monday, September 10, 2007

Maaf, Tuan!

Saya lihat tuan itu terjengah-jengah,
ada apa ya di sebalik jendela kotor pecah
pada dinding batu kota yang punah?
Jatuh ke lutut dia merangkak
tangannya mencium debu dan tanah
ditusuk kerikil sendu
bertaburan bersama serpih-serpih tajam rindu.

Mata tuan itu mengorek-ngorek resah

retak-retak aspal jalan yang rekah
sudah usang dimakan masa
rumput cuba mengintai dunia dari celahnya
layu kehausan cahaya.
Ah, tuan itu mencari apa?
Kakinya diangkat-angkat
tapak capalnya dibelek-belek
ada cuma habuk-habuk kenangan
ditinggalkan waktu yang sudah jera menunggu
tuan itu geleng-geleng,
tidak ada apa-apa yang ketemu.

Apa yang tuan cari?
Hari mendung semakin gelap
tuan dongak, minta awan kelabu pergi
barangkali tuan mahu sedikit matahari
supaya dapat terus mencari-cari.

Tuan itu mengetuk-ngetuk gerbang usang

pada dinding batu kota,
dulu, dia pergi tanpa menoleh ke belakang
sekarang, dia pulang memanggil-manggil masa silam
yang menyahut hanya gema
melantun-lantun dalam sunyi kota.
Saya dengar tuan itu terus memanggil-manggil
mengintai-intai kekosongan dalam jendela
merangkak-rangkak lagi mengorek debu
Tuan, apa yang tuan mahu?

Saya minta maaf tuan,

maaf yang tuan cari,
tidak ada di sini.



-Ilham datang bila-bila masa, dalam pelbagai rupa. Kalau mahu terasa, silakan. Kalau mahu berfikiran positif, silakan. Sesebuah tulisan itu terbuka kepada seribu macam tafsiran!-

Salam Ramadhan,
meow~

Wednesday, September 05, 2007

Sambut Salamku Ikhwan

Nota Pengarang :

Puisi ini dikarang dalam tempoh sekitar 4-5 jam, petang Isnin 3 September 2007 sepulang saya dari Preston, untuk memenuhi permintaan seorang sahabat di Auckland yang akan mendeklamasikan sajak bertemakan perpisahan dalam sebuah majlis di sana.

Memang, saya muatkan sebahagian tulisan sastera saya di laman ini untuk dikongsi bersama pembaca. Suka saya ingatkan pembaca yang amanah semua, hakciptanya harap tetap dihormati, jangan pula disalin-tampal di mana-mana tanpa mengkhabarkan kepada saya. Kalau berminat, tertarik, atau memerlukan, hubungi atau maklumi saya terlebih dahulu. Senang saja kan? =)

-meow-


Sambut Salamku Ikhwan


Pilihan rembulankah untuk beredar
biarkan malam hilang cahaya
zulmat rindu sesat meraba?
Api lilin yang padam
silap anginkah yang menghembus
atau cacat sumbu yang hangus?
Perlukah kita merintih sesal
apabila jarak tiba-tiba menjadi penghalang
untuk memisahkan?


Kata kita, takdir itu ketentuan
usah mencari empunya kesalahan
usah mengulang-ulang masa silam
atau meminta waktu dikembalikan
perpisahan kembarnya pertemuan
hidup terus berjalan
masa hadapan kekal rahsia
kejutan-kejutan manis datang selang sewaktu
tunggu sahaja laluan kita bertemu!


Hutang perjuangan masih bertimbun
masa terlalu berharga
walaupun untuk berkabung.
Simpan sahaja air mata
cukupkan dengan pamitan mesra
aku yakin dalam dakapan terakhir kita
kaurasa ritma jantung yang seirama
nafas kita sama rentak
langkah kita sama gerak
sungguh, perpisahan hanya ilusi!


Ikhwan,
ingatan adalah ikatan
doa dalam sujud menyatukan
hati-hati yang iltizam.
Dahulu, kita sama-sama memasuki gelanggang
memecahkan langkah memulakan perjalanan.
Kita tahu, jalan itu penuh liku!
Batu-batu tajam menduga
kaubalut kakiku kalau terluka
hujan yang tiba-tiba menjadi taufan
payung dan tempias kita kongsikan
kadang-kadang gerhana memadamkan siang
kita berpimpinan mencari sinaran.
Ikhwan, ini perjalanan panjang
yang kita sudah lalu, belumpun habis sesuku
doakan aku istiqamah walau tanpa kamu
aku pohon agar engkau thabat
dalam alam baru.


Aduh, berat petaka menimpa umat!
Jahiliyah yang pekat
kezaliman yang gawat
kadang-kadang aku mempersoalkan,
mengapa diri ini yang perlu terbeban?
Tidak hanya sekali aku kemalapan
futur tersungkur terhenti di jalan
mengapa pergelutan ini begitu memenatkan?
Tanganmu ketika itu ikhwan
merembeskan air ketabahan
membasuh daki-daki putus asa
senyumanmu ikhwan, lampu-lampu harapan
gelap kekecewaan menjadi sirna
bahumu ikhwan, tempatku berpaut
meminjam kekuatan agar jangan hanyut
ikhwan, laju hayun kakimu
membuatku malu, mendorongku maju
ya, niagakan harta dan nyawa
Tuhan akan membayar imbalannya!
Tanggungjawab dakwah itu anugerah
akan kita genggam biarpun lelah
kita mahu membeli syurga
dengan rahmah Tuhan sebagai harga.


Pilihan di tangan kita
hanya dua
bukanlah untuk berpisah atau bersama
tapi neraka atau syurga
iman atau kesesatan
diam atau berjuang
ikhwan, sungguh tanganmu
tak ingin kulepaskan!
Demi perjuangan, perpisahan bukan semudah pilihan
kemestian yang wajib direlakan
Tuhan perteguhkanlah
kami mengenalMu dalam syariat dan makrifat
kami di jalanMu walau betapa payah
Tuhan pertemukanlah
kami di hujung titian sirat
dalam jannah berbekalkan maghfirah
dalam jannah bersama mardhatillah.


Sambut salamku ikhwan
kita mulakan pertemuan dengan nama Tuhan
untuk waktu ini, kita akhirkan
dengan perpisahan kerana Tuhan.


adibah abdullah,
29 Deyne Avenue,
3 Sept 2007.