Monday, April 30, 2007

Empati dan Penghayatan

Assalamualaikum.

Saya rindukan Aisyah Zaatiyah, lagaknya yang mengada-ngada, tawa riangnya, tangis sesalnya, luahan rindunya, dan ikrar juangnya. Dinamisme perwatakannya yang realistik bergerak daripada seorang wanita biasa yang naif tentang gasarnya kehidupan dan dangkal tentang makna cinta, mendaki setapak demi setapak melalui sengsara dan ujian, takah-takah katarsis yang dilalui, yang mana kemuncaknya kehilangan suami belahan jiwa yang dicari-cari, akhirnya membawa Aisyah Zaatiyah mengenali hakikat cinta yang transendental, melampaui dunia fizikal yang maya. Tidak keterlaluan kalau saya bicarakan kisahnya sebagai seorang Zulaikha yang gagal ketemu Yusufnya, lantas menghampar sejadah cinta menjadi Rabiatul Adawiyah, namun suluknya tidak di gua, tapi di lapangan derita manusia, menghulur bakti seperti renjisan embun syurga.

Garapan, produksi dan pementasan perjalanan kisah cinta ini, memakan masa berbulan-bulan, lebih daripada perjalanan teknikal buat saya. Lebih daripada sekadar lelah superficial seorang penulis yang mengarang skrip untuk memenuhi tema, seorang pengarah yang mahu pelakon-pelakonnya memberi persembahan terbaik guna mempesonakan penonton, seorang pengarah muzik yang mencari muzik paling sesuai untuk membantu penghayatan pelakon dan memainkan emosi penonton. Resmi kesenian yang saya pegang sejak lama, mahakarya terbaik, penulisan atau pengarahan, adalah yang lahir daripada hati. Benar-benar daripada hati. Setiap patah kata yang tertulis, setiap lenggok gerak yang dilakonkan, biar jangan mendustai hati sendiri.

Aisyah Zaatiyah Mencari Cinta - atau nama pentasnya, Harum Cinta Aisyah - adalah suara saya. Saya meletakkan hati saya sepenuhnya dalam produksi ini, sejak skrip ini ditulis, sehinggalah tirai pentas ditutup pada malam pementasan. Kisah yang dipentaskan di atas pentas itu, saya rasakan seperti kisah saya. Empati dan penghayatan ini penting, kepekaan saya perlu pada tahap tertinggi, kerana saya ingin menyentuh hati-hati insan, dan hati akan tersentuh dengan hati juga.

Ketika Taufiq mengeluh kerana sukarnya Aisyah memahami perjuangannya, saya mengerti gelodak rasanya sebagai suami, sebagai perawat, sebagai hamba Allah yang punya tanggungjawab. Saya juga mengerti kejahilan Aisyah, penyesalannya, dan cintanya. Tulus kasih Mek yang lurus setia menemani, Mek yang sudah mengerti masinnya gula dan manisnya garam (ya, seringkali gula itu masin dan garam itu yang manis), Mek dengan kudrat dan jiwa tuanya yang menzahirkan setiap perasaan yang halus-halus dengan kejujuran yang polos. Ibu Tempawan yang redha namun masih parah terluka diburu kenangan cintanya yang dirampas tsunami, terbang melayang bersama genggaman suami yang dilepaskan sebagai harga nyawanya. Pak Menteri yang materialis-kapitalis, serta isterinya yang memaknakan cinta dengan lagak gracious di depan khalayak seperti Evita Perone atau Suha Arafat.

Setiap kali Aisyah menangis, air mata saya bergenang. Apabila Aisyah meraung ketika menyedari separuh mataharinya ditelan tsunami yang merampas Taufiq, saya turut merasakan gelapnya dunia.

Saya memahami jiwa raga setiap watak yang dipentaskan, dan saya sungguh-sungguh gembira melihat pelakon-pelakon saya berjaya mementaskannya dengan sesempurna mungkin.

Sukar saya bayangkan betapa marahnya saya apabila skrip yang saya olah seperti mengukir kulit telur, seperti memahat batuan sungai, disuruh, atau dipaksa, ubah. Walaupun sepatah perkataan, nilainya tinggi untuk saya. Ubah untuk 'menurunkan' sensitiviti kononnya. Ah, tak mengapa. Dunia ini seperti cereka juga. Sebelum kita punya kuasa, terpaksa akurlah dahulu kepada yang punya kuasa! Mujurnya pementasan Dublin mengekalkan isi asal. Ya, walaupun kebebasan bersuara itu diatur-atur 'persempadanan semula'nya oleh sesiapa yang punya autoriti, pandai-pandailah mengelat dan menyelinap, bak kata Prof Khoo Kay Kim, kalau anda sendiri yang malas membuat kajian, takut membuat penulisan, culas mencari peluang penerbitan, jangan salahkan kebebasan bersuara yang kononnya penuh sekatan!

Balik kepada tajuk asal artikel ini, empati dan penghayatan. Besar sekali nilai dua konsep ini dalam kehidupan sehari-hari, bukan sekadar di pentas seni sahaja =).

Empati, secara mudahnya, definisinya adalah meletakkan diri kita di tempat pihak yang lain. Putting ourselves in other people's shoes. Apakah rasanya andai saya menjadi dia? Menjadi Aisyah Zaatiyah? Menjadi mereka? Menjadi penduduk kampung yang disodok bulldozer dan dihentak batang-batang kayu para barua menteri itu? Dalam bidang perubatan, empati terhadap pesakit adalah satu aspek yang sangat penting. Kita perlu berusaha meletakkan diri di tempat mereka, mereka yang mungkin baru disahkan menghidap kanser, mungkin baru kehilangan anak, mungkin masih dalam proses pemulihan diabetes yang kronik. Kehadiran empati akan mendatangkan pemahaman yang tulus, yang jujur, yang akan mendatangkan keikhlasan dalam bermuamalat.

Berbeza dengan simpati yang bagi saya bersifat 'jauh', 'dari aku untuk kamu', seperti wujud 'benteng' yang menjarakkan antara si pemberi dan penerima simpati kerana simpati tidak perlu kepada kefahaman dan penghayatan yang sebenar-benarnya tentang keadaan si mangsa. Sedangkan empati lebih daripada itu. Empati adalah penghayatan tentang keadaan satu pihak yang lain, berusaha 'menjadi' pihak itu, yang akan menghadirkan perasaan yang ikhlas, tidak perlu dipaksa-paksa. Dalam perubatan empati signifikan dalam usaha untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada pesakit mengikut keperluan mereka, untuk melayani pesakit sebaik mungkin tanpa menghakimi mereka dengan cara yang tidak sepatutnya. Dalam pementasan, empati - dan penghayatan - perlu untuk persembahan yang realistik. Yang jujur. Lakonan yang bukan lakonan.

Saya selalu berpesan kepada 'Aisyah' saya, dia bukan 'XXX'(namanya), dia adalah 'Aisyah'. Saya sangat-sangat teringat suatu malam, malam latihan terakhir kami - yang dilakukan dalam bilik dobi di tingkat bawah tanah Grosvenor Place selepas dihalau dari dewan kerana sudah larut malam dan tidak ketemu lain tempat - selepas dia meratapi kematian Taufiq untuk kesekian kalinya, saya bertanya dia. "Tadi, kau XXX ke Aisyah?!" Dia menjawab. "Aku Aisyah."

Alhamdulillah, dia benar-benar menjadi 'Aisyah Zaatiyah' yang membawa penonton berasa jelak dengan gelagatnya, ketawa dengan kenakalannya, dan menangis bersama-sama rintihannya.

Untuk mendapatkan empati dan penghayatan, perlu kenal dan faham perwatakan yang hendak dihayati. Mana mungkin saya dapat berempati dengan pesakit yang baru dikenal kalau duduk perkara masalahnya sepatah pun tidak saya tahu? Mana mungkin XXX dapat berempati dan menjadi 'Aisyah', jika siapa Aisyah, dia tidak kenal?

Persoalan ini membawa kita kepada satu persoalan. Persoalan UTAMA sebenarnya yang ingin saya tujukan buat kita semua. Kita selalu mendengar bahawa hidup ini adalah satu lakonan. Dunia ini pentas yang besar, dengan aturan skrip yang sudah ditetapkan, yang perlu kita pilih sama ada mahu melakonkan watak baik atau watak jahat, kerana kesudahannya sesudah tirai ditutup bergantung kepada pilihan kita. Ah tidak sebenarnya, bergantung kepada sejauh mana kita menghayati perwatakan watak yang menjadi pilihan kita.

Kita mungkin punya banyak wajah dalam dunia ini. Wajah seorang anak, seorang adik, seorang kakak, seorang kekasih, seorang pelajar, atau seorang doktor, ah apa-apa sahaja. Tapi esennya, patinya, dasarnya, adalah satu watak sahaja. Iaitu watak seorang hamba, yang tidak memperhambakan diri melainkan kepada Allah S.W.T. yang menciptanya dan memilikinya.

Watak dan perwatakan inilah yang akan menyelamatkan kita, di dunia dan di akhirat. Sejauh manakah kita berempati dengan perwatakan ini? Mengenali dan memahaminya, sehingga dapat melakonkannya dengan sebaik mungkin? Kenalkah kita tentang watak si hamba ini, fahamkah kita tentang perwatakannya, empatikah kita tentang perasaan dan kedudukannya, lantas persoalan utamanya, adakah kita mampu membawa wataknya? Atau kita tidak kenal..

Mampukah kita memadamkan, menyingkirkan dan melupakan segala perwatakan lain yang kita miliki, yang kita empati, yang tidak sesuai dengan perwatakan cemerlang si hamba ini? Mampukah kita menyisihkan segala perwatakan lain yang kita miliki, yang kita empati, yang dapat mengganggu atau menyekat kita daripada menzahirkan perwatakan cemerlang si hamba ini? Mampukah kita menyesuaikan perwatakan cemerlang si hamba ini dalam setiap cerita yang kita lakonkan - pelajar universiti yang hamba, anak yang hamba, sahabat yang hamba, sehingga perwatakan hamba itu berdenyut dalam setiap degup jantung dan terpancar dalam setiap gerak laku seperti melakonkan skrip yang sudah dihafaz sepenuh hati sehingga tidak terasa seperti berlakon lagi? Jika masih terasa seperti berlakon, seperti menghafal skrip yang ingat-tidak-ingat dan tersekat-sekat, sesungguhnya perjalanan masih jauh..

Satu contoh empati dan penghayatan yang mudah dalam kehidupan sehari-hari. Ketika di atas sejadah, lima waktu menghadap Allah. Alangkah sedihnya apabila ketika itulah segala macam perwatakan mahu mengambil tempat. Ketika itu terasalah diri ini pelajar yang disibukkan dengan segala macam kerja - ah tugasan menimbun, temujanji dengan tutor, portfolio yang perlu disudahkan. Ketika itu terasalah diri ini anak yang terpisah jauh daripada ibu bapanya - aduh rindunya suara emak, comelnya ketawa adik. Ketika itu terasalah diri ini sahabat yang popular - bagaimana tadi ada yang mengajak ke rumah, sebentar lagi keluar makan bersama.

Payah benar bukan untuk menghayati perwatakan seorang hamba - seorang hamba dan tidak lain melainkan hamba - pada lima minit pendek itu sahaja, lima waktu sehari semalam sahaja? Inikan pula dalam ratusan minit yang lain.

Ketika itu kalau ditanya, "Perwatakan apa yang engkau pegang tadi? Adakah engkau hamba kerja-kerjamu, hamba sahabat-sahabatmu, atau hamba Allah?" ...

Saya gerun menuliskan jawapannya.

Ya Allah, ampunilah segala dosa dan keterlanjuran kami. Bantulah kami menjadi hambaMu yang sebenar-benarnya, yang mencintai dan dicintai olehMu.

salam,
meow~

Wednesday, April 25, 2007

Wangi Kembang Cinta Musim Semi

assalamualaikum.

Alhamdulillah, mental dan fizikal saya masih sihat dan diizinkan sekali lagi untuk kembali melarik sesuatu di laman ini setelah begitu lama (saya kira) menyepi. Bukan jemu, jauh sekali hangat-hangat tahi ayam, tetapi kesibukan yang terlalu memaksa saya sekadar merenung laman yang tidak berganti baru wajahnya. Ya, bukan anda sahaja yang bosan melihat entri lama tidak bertukar! :-)

Banyak yang ingin saya ceritakan, yang ingin saya kongsikan bersama. Nanti-nantilah, kalau panjang usia, kalau diizinkan Allah, tertulislah semuanya. Yang menentukan sama ada sesuatu itu terucap atau tidak, tersebar atau tidak, adalah Allah, bukannya manusia dan segala undang-undang sekatan bersuara mereka, bukan?

Tutur pujangga, siapa makan cili, dialah yang terasa pedas. Kalau tiada angin (atau beruk di atas pokok, kata seorang kawan), masakan pokok akan bergoyang? Kalau sendiri tidak menyalakan api, kenapa harus melenting apabila asap dirungut-rungutkan?

Membaca tulisan-tulisan Usman Awang, Pak Sako, Abdullah Hussain, Faisal Tehrani (sekadar menyebut beberapa nama), jelas terlihat manusia-manusia sastera, anak seni yang halus jiwanya melontarkan kritikan melalui susunan karya yang santun dan indah, dari jiwa sampai ke jiwa, seperti nadi kepada kesedaran umat yang bernyawa.

Ya, 'orang sastera' betapapun stereotaip yang diwara-warakan tentang mereka, hakikatnya mereka dianugerahi Allah dengan pemerhatian yang sensitif dan daya ekspresi yang tinggi. Hikmah kehadiran mereka yang sebenarnya hanya Allah yang Maha Mengetahui, tetapi pada nilaian zahir manusia seperti saya yang pincang serba-serbi ini, mereka hadir supaya umat punya suara.

Keriangan dan kesedihan itu perasaan setiap manusia. Melihat kekejaman dan kezaliman, siapa sahaja (yang normal dan belum dilegapkan fitrahnya) akan berasa tidak puas hati, ingin berontak. Melihat kemiskinan dan ketidakadilan, insan berhati insan akan berasa duka dan simpati. Apabilabermain dengan cinta dan dikunjungi oleh bahagia , manusia akan bersyukur dan gembira.

Tapi tidak semua mereka yang punya perasaan itu punya suara, punya kekuatan, punya iltizam untuk meluahkan. Malah mungkin juga tidak punya kemahiran. Sudahnya, adakah perasaan yang mendongkol dalam dada umat itu tinggal terbuku tidak disuarakan? Seperti bara-bara kecil yang bekerdip, cahayanya tidak cukup kuat untuk dilihat dari jauh, apatah lagi untuk menerangi. Sedangkan ia wujud dan nyata.

Amanat buat insan-insan seni, jari-jari yang dihadiahkan mandat kesusasteraan, adalah untuk memberi suara kepada bisik-bisik hati umat. Bisik-bisik yang seringkali ada sahaja yang sengaja menulikan telinga daripada mendengarnya, kerana mereka tidak bernama, seperti keluh Usman Awang.

Agar setiap yang berduka, dukanya didengari dan dimengerti. Ingatkah pedihnya Antara Dua Darjat, Penarik Becha, Ibu Mertuaku, garapan P Ramlee? Agar kemiskinan yang terperosok sembunyi, deritanya dicanangkan agar ada yang simpati. Teringat sajak Ibuku, nukilan Usman Awang. Agar umat yang tidur diulit mimpi sedangkan kepincangan sosial membarah, segera disergah sebelum kebejatan kian berleluasa. Ah, di sini lantang sekali suara Faisal Tehrani dan Abdullah Hussain. Agar berontak yang membara, khabarnya disebarkan ke serata jagat raya, membangkitkan semangat juang yang lain, menyedarkan setiap yang berkongsi rasa bahawa sesungguhnya ramai yang berfikrah seia, lantas mengajak kepada penyatuan dan tindakan. Ini legasi Jose Rizal, Pramoedya Ananta Toer, Taufiq Ismail, Pak Sako, malah Tun Dr Mahathir sendiri.

Seni dan sastera yang tulen adalah suara dari umat untuk umat. Rintihan, sorakan, dan teguran. Memaksa seniman dan sasterawan untuk menceritakan sesuatu yang bukan suara umatnya, mengisahkan sesuatu yang mengkhianati umatnya, samalah seperti mengugut doktor supaya membunuh pesakitnya. Mengekang seniman dan sasterawan daripada berbicara, daripada berkarya, samalah seperti menahan doktor daripada merawat pesakitnya, menyuruh doktor membiarkan pesakitnya terkedang mati.

Minat dan bakat dalam seni, dalam sastera, bukan sekadar anugerah untuk ditayang-tayangkan dalam rupa cerpen-cerpen picisan dan sajak-sajak murahan, atau nukilan-nukilan 'syok sendiri' yang sarat cinta berahi atau mesej konon-moral yang tidak berapa menjadi. Bukan sekadar bonus yang boleh dipergunakan untuk mencari populariti dengan menggarap beberapa karya yang memenuhi citarasa semasa lalu mengakui bahawa dirinya pejuang seni, pejuang sastera. Jangan kotorkan medan ini dengan kedangkalan kamu semua!

Jangan sia-siakan kurniaan Allah yang terlalu berharga itu pada tempat yang tidak sepatutnya. Fikirkanlah bagaimana ia dapat digunakan untuk membawa seruan dakwah dan islah. Bagaimana ia dapat dijadikan modal untuk jihad pada jalan Allah. Dan bila namanya jihad, lakukanlah bersungguh-sungguh.

Senang hati rasanya melihat penulisan-penulisan yang bukan sahaja bermesej tetapi indah dan bersastera. Jauh lebih menarik, lebih terpandang, lebih besar impaknya saya kira daripada penulisan yang sarat mesej tetapi tandus nilai estetikanya, sekadar plot sama yang diulang-ulang, seolah-olah tidak ada intensif ke arah kreativiti. Ayuh, kita banjirkan medan seni dakwah, sastera dakwah, dengan karya-karya yang unik dan berkualiti, karya-karya yang didasari ilmu dan kajian, bukan karya yang 'sekadar ada' dan 'cukup makan', dilatari gubahan idea yang klise, malah lebih mengecewakan ditaburi fakta-fakta yang salah.

Sekadar 'nota kaki', saya tidak faham kenapa apabila universal injustice dihentam dalam mana-mana karya seni dan sastera, ada pula orang yang terhegeh-hegeh menawarkan diri untuk menjadi mangsa, mahu tersinggung-singgung, mahu marah-marahan, seolah-olah dirinya yang menjadi sasaran. Mahu sangatkah mengaku berbuat jahat? Seperti bahasa pasarnya, "eh pleaaase la, kita tak cakap kita kutuk awak pun, yang awak ngade2 nak terasa tu pehal? perasan!" Atau sebenarnya memang paranoid diburu dosa, sehingga apa sahaja cuitan terasa seperti peluru berpandu yang dihalakan ke arahnya? Seperti kisah Badan dan Nyawa, penyamun berdua dalam Nujum Pak Belalang yang meraung-raung meminta ampun kerana menyangka keluhan Pak Belalang di dalam gua itu adalah ditujukan buat mereka.

Seni dan sastera itu indah, sungguh indah. Seindah kelopak-kelopak bunga putih dan merah jambu yang berkembang memenuhi pokok-pokok di sepanjang pinggir jalan, dan gugur bertaburan seperti permaidani halus atau percikan permata apabila ditiup angin atau disiram hujan. Hanya seni dan sastera yang dapat menggambarkan air mata sebagai hujan, atau darah sebagai pelangi, lantas mengajak umat tertawa sambil menangisi kehidupan yang seperti mati.

salam sayang, wangi kembang cinta musim semi.

meow~