Thursday, July 20, 2006

Imam III – belasungkawa

Pada muka-muka surat terakhir novel Imam, buah tangan Abdullah Hussain, air mata saya berderaian. Walaupun sudah diketahui sejak awal yang malapetaka menimpa Imam Haji Mihad, walaupun sudah diketahui yang pengakhirannya adalah kematian (syahid?) buat Imam ini, tetapi detik-detik ‘sebenar’ amat mengharukan. Umi memandang dengan kerutan dahi yang membahasakan tanya.

“Tok imam ni dah mati….”

Seperti aliran air terjun yang membuak-buak tiba-tiba berhenti, meninggalkan jeram-jeram menakung sepi. Seperti matahari yang tiba-tiba padam sehingga pucuk-pucuk hijau terkaku di tengah tari. Lalu sahut-menyahutlah rintihan alam menangisi keindahan yang pergi. Penamat perjuangan Imam Haji Mihad berlaku begitu tuntas. Perubahan-perubahan yang dimulakan dan dipimpinnya baru menampakkan hasil yang memberangsangkan. Cabaran yang dihadapi juga semakin sengit. Ketika itulah ajalnya datang mendadak. Benarlah, tiada insan yang memegang hayatnya sendiri, walaupun hanya sehujung kuku.

Saya terpanggil untuk menyentuh kisah pengkarya yang melalui jari-jemarinyalah lahirnya novel Imam ini. Sasterawan Negara Abdullah Hussain kini mungkin berada dalam detik-detik penghujung perjuangannya di medan sastera. Satu demi satu nikmat yang pernah dikecapi diambil kembali oleh Yang Meminjamkan.

Teringat luahannya, fikirannya sudah tidak kreatif seperti dulu lagi. Sudah sukar mencurahkan ilham-ilham bernas seperti yang pernah mencorakkan minda jutaan khalayak. Bayangkan sasterawan yang hidupnya bernadikan curahan ilham diturunkan dugaan sedemikian. Mungkin separuh hayatnya terasa lumpuh.

Pendengaran dan pertuturannya sudah kehilangan upaya. Malah baru-baru ini, khabar diterima bahawa insan sastera ini sudah kehilangan gerak. Tidak bermaya lagi. Mungkin waktu penamat pengembaraannya di jagat raya ini pun sudah semakin hampir.

Yang datang akan pergi. Yang hidup akan mati. Perjalanan, walau sejauh manapun akan terhenti. Abdullah Hussain telah melalui perjalanan yang penuh madu dan duri, warna-warni pengalaman yang digarap semula dalam rupa tulisan. InsyaAllah tidak sedikit sumbangannya kepada kemanusiaan, kepada umat, kepada Islam.

Begitulah yang saya impi-impikan. Yang saya harap-harapkan. Buat saya, dan buat semua sahabat-sahabat. Perjalanan kita mungkin panjang dan mungkin pendek pada ukuran manusia, tetapi hakikatnya kehidupan ini amat singkat jika dibandingkan dengan lembaran abadi yang akan terhampar di dunia sana nanti. Lakukanlah yang terbaik dengan setiap saat yang dimiliki agar kita tidak akan menyesal apabila suatu hari nanti kita menoleh mengimbas kembali perjalanan yang pernah dilalui.

Perjuangan Haji Mihad tidak mati bersama kepergiannya. Perjuangan itu telah diteruskan oleh saudara-saudara dan sahabat-sahabatnya. Mengingatinya yang telah tiada memang akan mendatangkan kesedihan. Tetapi dalam ingatan itu ada teladan, pengajaran dan dorongan untuk terus berjuang.

Kisah perjalanan yang indah akan disambung oleh pengembara lain dengan bahasa mereka sendiri kerana kisah itu terlalu indah untuk dibiarkan berakhir terlalu awal.

Abdullah Hussain adalah seorang manusia. Manusia yang dianugerahi bakat oleh Allah lantas menggunakannya untuk berjuang di gelanggang sastera. Seandainya nafasnya tidak lagi mewarnai dunia sastera, akan ada yang lain menyambung legasinya.

Memperjuangkan kematangan beragama; Islam yang syumul dan fleksibel tanpa dibatasi fanatik perkauman, kejumudan, atau prasangka melulu yang meracuni ukhuwah; martabat ilmu dalam memahami dan mengaplikasikan ajaran agama; serta tiada kompromi apabila mempertahankan kesuciannya.

Belasungkawa dan bingkisan doa untuk Abdullah Hussain sekeluarga. Semoga mereka tabah menerima ujian ini. Andainya kesembuhan itu lebih baik, biarlah beliau lekas sembuh, dan kembali bersastera hendaknya. Andainya pulang itu lebih baik, semoga kepulangannya dalam kedamaian dan kemuliaan, disambut oleh pusara yang tersenyum dan taman-taman syurga yang mengharum.

Salam perjuangan, meowwwwww….

Imam II – perjuangkan perubahan

Imam Haji Mihad punya latar belakang yang menimbulkan kekaguman dan keinsafan. Dia tidak diwirakan dan dimuliakan oleh Abdullah Hussain dengan lantang dan melampau-lampau, tetapi kehebatannya diserlahkan dalam kesederhanaan, ketinggian ilmu, dan kerendahan hati. Kegetiran dan cabaran yang pernah dilalui – kehilangan bapa, imam kampung yang dibunuh Jepun; kematian ibu yang sakit kerana berdukacita, mengembara menuntut ilmu di Makkah dan Indonesia, menjadi tentera yang nyaris mati diseksa semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia – menjadikannya insan yang tabah dan tahan diuji.

Segelintir sahabat merayu dan memintanya pulang untuk membimbing penduduk kampungnya keluar daripada kemunduran, kekeliruan serta kemalasan. Lantas Imam Haji Mihad membawa bersama isteri dan anaknya, meninggalkan kehidupannya yang selesa walaupun tidak mewah di Indonesia, lantas memulakan langkah untuk menyingkap satu lembaran baru di Kampung Anggerik Desa. Berbekalkan karisma, ilmu, iman dan azam.

Satu kelainan yang menyentuh hati saya adalah pegangannya kepada prinsip ‘kepimpinan melalui teladan’. Bukan sekadar berceramah dan berkhutbah, bukan sekadar mendengar dan memahami masalah serta memberi nasihat yang berhikmah. Imam Haji Mihad benar-benar ‘cakap serupa bikin’. Dia sendiri memberus mencuci daki dan lumut di tandas dan tempat berwuduk masjid. Dia tidak segan berkeringat mencungap kepenatan, membersihkan halaman masjid untuk memperindahkannya dengan pokok-pokok menjadi taman, memerun belukar membina gelanggang, mencangkul tanah membina irigasi semasa musim kemarau.

Teladan yang jelas, buat anak-anak muda hari ini, terutamanya yang aktif dalam lapangan dakwah dan islah. Untuk memperoleh kesan yang signifikan, jangan takut bervisi. Pada awalnya memang kelihatan seperti membina istana di awang-awangan. Hendak mengikis daki kejumudan dan kemalasan yang bertimbun sekian lama dalam minda penduduk kampung lebih sukar daripada mencuci daki dan lumut di lantai dan dinding tandas. Projek-projek yang dicadangkan – membina taman di pekarangan masjid, gelanggang sukan dan irigasi yang besar untuk mengairi sawah kontang sekali pandang seperti mustahil untuk dijayakan. Memerlukan tenaga dan kerjasama yang bukan sedikit. Namun Imam Haji Mihad tidak beralah sebelum berlari. Ingat, visi jangan tergantung di hujung bibir dan melantun di dinding-dinding kamar mesyuarat. Visi yang berani dan realistik, disusuli oleh pelaksanaan yang bersistem dan bersungguh-sungguh, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’, ‘alang-alang mandi biar basah’, insyaAllah benang yang ditenun lembar demi lembar akan menjadi kain yang indah.

Untuk punya visi yang hebat dan besar, fikiran perlu dimerdekakan. Memandang sesuatu daripada segenap penjuru, meletakkan diri dalam pelbagai lokasi, mempelbagaikan perspektif. Jangan terbelenggu dengan telunjuk orang lain, atau orang-orang lain, walaupun mungkin mereka memegang setampuk autoriti. Rancanglah seperti pemenang catur yang meramal gerakan lawan dua puluh langkah ke hadapan. Dalam merangka visi, jangkau sekali kemungkinan-kemungkinan kesukaran yang mungkin terpacul di tengah jalan. Bukan untuk mematahkan semangat, tetapi supaya persediaan boleh dibuat untuk menanganinya kelak. Visi harus bertampan logik dan rasionaliti. Usah lekas terbawa-bawa dengan laungan semangat yang kadang-kadang membutakan penilaian.

Pesan seorang sahabat, jangan membuntuti semangat, biar semangat yang mengekori kita.

Salam perjuangan, meowwww….

Imam I – lakaran kepincangan

Assalamu’alaikum.

Imam Haji Mihad, berwajah tenang, selembut air yang mengalir di gunung tetapi sekeras batuan yang memaku bumi apabila mempertahankan pendirian. Senyuman dan kemesraan, timbang rasa dan sifatnya yang memahami menawan hati baik rakan-rakan seumur seangkatan, orang-orang tua yang sudah banyak makan garam, mahupun anak-anak muda yang berjiwa berontak mahukan kebebasan. Hujah-hujah yang berpaksikan ilmu dan berpagarkan iman, diungkapkan dengan kata-kata dan dibuktikan dengan perbuatan. Misinya jelas dan tekadnya tegas. Membebaskan penduduk kampungnya daripada belenggu pemikiran yang jumud, memesrakan mereka dengan ajaran Islam yang sebenar.

Dengan pemikiran yang mengatasi zamannya, Abdullah Hussain mengungkapkan pelbagai masalah umat dengan kemahiran seorang ‘penglipur lara’ dan ilmu seorang Muslim terpelajar yang luas pengalaman serta pembacaannya. Apabila diperhatikan, Abdullah Hussain seolah-olah mewakilkan penduduk Kampung Anggerik Desa untuk membentangkan senario masyarakat pada skala kecil.

Bantuan demi bantuan yang disodorkan merapuhkan mereka apabila bertemu dengan ujian. Jatuhnya harga getah dan kemarau panjang yang mengeringkan sawah dihadapi dengan tangan tertadah menanti sedekah dan bingkisan Tuhan dari langit. Sedangkan manusia disuruh berusaha sebelum berserah. Malah usaha memperbaiki kehidupan ada yang mencemuh, konon memandai-mandai dengan pentadbiran Tuhan.

Pendirian mereka terhadap agama juga tidak ada kemerdekaan. Sekadar menganga dan menerima bulat-bulat apa yang disuap oleh tokoh yang juga beku ilmunya. Dikatakan beku kerana ilmu yang dituntut tidak dikembangkan dan disesuaikan dengan zaman dan persekitaran, memaksa masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan fikrah menerima ajarannya dengan cara yang serupa, dari dahulu sehinggalah sekarang, dan menganggap pembaharuan itu sesuatu yang merosakkan kemurnian agama. Maka tampaklah Islam itu keras, mengongkong, dan hanya sesuai untuk orang-orang yang hidup menanti mati. Sedangkan kesyumulan Islam itu membolehkannya menjadi panduan untuk membawa manusia ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Sikap terhadap ‘golongan tersasar’ juga disentuh dalam novel Imam. Saya perasan cara Abdullah Hussain, tidak sahaja dalam novel ini tetapi juga dalam tulisan-tulisannya yang lain, beliau cenderung menegur golongan berautoriti (terutamanya dalam agama) yang mencemuh dan mengetepikan terus serpihan-serpihan masyarakat yang dianggap kotor dan rosak ini. Tanggungjawab da’wah (membawa orang bukan Islam ke arah Islam) dan islah (membawa Muslim membaiki diri menjadi Muslim yang lebih baik) berakhir di tangga surau dan masjid. Sesiapa yang tidak mahu menghampiri tidak pula didekati dan cuba difahami. Sufi Lau dan bapanya dicemuh kerana memeluk Islam tetapi tidak mendekatkan diri dengan masjid. Syawal dan gengnya dipandang jelek sebagai ‘anak-anak muda rosak akhlak’ kerana gemar menghabiskan masa di bandar, bermain muzik rock, berpakaian selekeh dan berambut gondrong. Sebelum Tuhan menjatuhkan hukuman di akhirat mereka ini sudah pun ‘diadili’ sebagai ‘sesat’. Pengadilan manusia yang akan menjauhkan lagi mereka yang tersilap ini daripada jalan yang benar. Bukankah manusia dituntut beriman dan beramal soleh, seterusnya berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran?

salam perjuangan, meowwww…..

Wednesday, July 19, 2006

TIDAK UNDUR

ketika air mata menjadi darah, dan perjuangan menjadi sumpah
ketika perang yang bertakung mula melimpah
dan syahid diangkat ke langit sebanyak retak-retak di bumi yang merekah

hatikah atau batukah itu di dalam dada, yang masih belum tersentuh?
matakah atau kayukah yang tersembul di kepala, yang masih belum melihat?
jasadkah atau mayatkah yang memangku nyawa, yang masih mematung beku?

mereka meneguk bara dan memuntahkan api
takbir mereka gema suara malaikat mengiringi

"kukucup bumi suci, kusahut lambaian di langit sana bidadari"


puisi ini dikarang sebagai respons kepada konflik Palestin-Israel(setan)-Lubnan yang semakin genting, ditinggalkan sebagai komen dalam blog seorang shbt, ketika hati bergegar dengan pergolakan yang sedang melanda... semoga Allah mengurniakan saudara-saudaraku sekalian kekuatan dan kemenangan, biar di dunia ini dalam hidup dalam mati kalian tetap menang, walaupun tak zahir dipandang, kerana belum ada sesiapa yang nampak istana kalian di syurga sana..

Tuesday, July 18, 2006

dunia baru islam - THE ZIKR

masih basah kenangan indah
zaman cemerlang era gemilang
ketika Rasul ada di sisi
para Sahabat mentadbir bumi

zaman nubuwah era khulafa'
Islam laksana api yang menyala
menerangi teman dan juga sahabat
bahang panasnya membakar lawan

di celah itulah kami mengatur langkah
membina sebuah toifah
di sini bara tak pernah padam
digenggam kukuh sebuah azam

ayuhlah para mujahid
ayuhlah para mujahidah
kita tinggalkan zaman fitnah
agar tertegak kalimah Allah
agar terbangun DUNIA BARU ISLAM..


salam perjuangan, meowwww...

Saturday, July 08, 2006

setelah seketika

Assalamu'alaikum
Sebelum ayat berlanjutan menjadi perenggan, saya ingin meminta maaf kerana sudah lama membiarkan blog ini tanpa kunjungan.
Bermula dari 23 Jun hinggalah 25 Jun, saya di Sepang menyumbangkan khidmat di sebuah sekolah dalam satu program motivasi. Pulang ke rumah khabar 'kurang menarik' diterima, kabel telefon dipotong dan dicuri sehingga sekampung kehilangan nikmat perhubungan telefon, apatah lagi internet yang bergantung kepada dial-up connection.
Internet pulih semula rasanya pada 2 Julai, namun 3-7 Julai saya bermusafir ke Gombak dan kawasan-kawasan sekitar Kuala Lumpur dalam satu program untuk dakwah dan pengislahan ummah.
InsyaAllah cerita-cerita dan refleksi pengalaman yang dilalui akan dikongsi bersama dalam posting2 yang akan datang.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menitipkan kunjungan,sokongan dan pesanan. Hidup ini adalah perjuangan yang kita kongsi bersama dengan MATLAMAT yang SATU.
Salam mesra, meowwww....