Friday, December 29, 2006

Fenomena I – Celikkan Mata, Terbanglah ke Seluruh Pelosok Dunia!


mata separuh terbuka memandang dunia
di sebaliknya menggelinjang roh-roh anak muda
syahadah dalam genggaman terasa membara.

teruja oleh hangatnya darah dan air mata
mendidih dalam kawah-kawah di pinggiran dan tengahan benua
biar jasad rentung dibakar bola-bola berapi dari langit dunia
tanah sejengkal dipertahankan juga
tudung sehelai dijulang seagung mahkota

gelisah oleh lancangnya fitnah dan dusta
oleh jahiliyah bermata satu berkepala dua berlidah cabangnya tiga
manipulasi persepsi, emosi, rasionaliti dan bahasa
agar terjemahan kebenaran diambil dari kamus mereka
oleh ilmuwan songsang pengkhianat amanah
penghujahan seperti arak yang memabukkan
seperti air laut yang diminum sang kehausan.

hujan batu gugur menghunjam bumbung ummah
menerobosi liang-liang yang terdedah
dan menerajang tembus pada retak-retak yang menanti runtuh
pudarkah suria tajdid di sebalik bianglala pesona dunia
hingga jasad asyik dalam maya yang fana
sedangkan roh-roh anak muda terpenjara menggelinjang ingin membela
mahu menyahut seruan yang bergema keliling mandala satu dunia
bersatulah, berjihadlah, berpaksikan syahadah mempersaksikan satu Tuhan Maha Esa!

roh-roh anak muda, merontalah, menggeleparlah
tendanglah mata-mata pada jasad yang memenjara
biar ia luas terbuka
dan kalian bebas beterbangan ke setiap inci dunia

agar tidak luluh jiwa walau terbujur raga
agar tidak mati bicara walau kelu suara
laungkanlah takbir
laungkanlah syahadah
bergeraklah sederap searah

muda-mudi Islam, sirah terhampar meriwayatkan seribu kisah
teguhnya Ali mencagar nyawa di peraduan Nabi
pintar Aisyah srikandi sayap kiri perjuangan
fasih dan hikmah Mus'ab sang duta da'wah pertama
Usamah perkasa memimpin angkatan seusia belasan
kilau pedang Muhammad al-Fatih memangkas puaka gelap Turki
hangat darah juang mereka masih berdenyutkah dalam nadi?

dunia baru Islam
nyata dalam cita-cita dan harapan
paparan kini, kemelut menyesakkan
galuran sirah, antara keagungan dan keruntuhan
roh-roh muda, merontalah, menggeleparlah, terbanglah
kita tebus darah khilafah
kita cuci dosa ummah
dengan degup jantung berirama takbir dipacu syahadah

Allaahuakbar!


sajak ini memenangi tempat kedua Sayembara Puisi Berunsur Islam anjuran Grup Karyawan Luar Negara dan PPIM, alhamdulillah.
sekadar berkongsi semangat dan kegembiraan bersama sahabat-sahabat semua.
:-)

assalamu'alaykum,

salam perjuangan
meow~

Monday, December 11, 2006

Manusia, Kemanusiaan, dan Iman

Assalamu’alaikum.

Bagaimana untuk melemahkan semangat manusia? Bagaimana hendak mematikan iltizam manusia untuk melakukan kebaikan, untuk memperbetulkan apa yang tidak kena dalam dunia?

Dengan meruntuhkan harga dirinya. Menjadikannya kehilangan sifat-sifat manusiawi, kehilangan kemanusiaan, kehilangan kebanggaan sebagai manusia yang lebih mulia daripada haiwan. Menjadikannya berasa tidak layak untuk memperjuangkan intelektualiti atau keadilan, tidak layak untuk cinta sejati dan kesucian kasih sayang. Dia tidak lagi mempunyai apa-apa untuk dijadikan tempat berpegang, untuk memberi makna dan tujuan kepada hidup.

Percayakah anda tentang ‘agenda tersembunyi’ sesetengah organisasi untuk merobohkan kestabilan masyarakat dan menghancurkan nilai-nilai murni yang menjadi tunjangnya? Saya percaya.

Satu daripada unsur yang memelihara kestabilan moral dan struktur dalam satu-satu masyarakat adalah ahli-ahlinya yang terhormat, kaya dengan sifat-sifat kemanusiaan. Manusia2 dengan pegangan yang teguh menentukan salah dan benar (selalunya dipandu oleh keyakinan agama), mengambil berat terhadap intelektualiti dan keadilan, dan diikat oleh cinta dan kasih sayang yang teguh melalui institusi kekeluargaan dan persahabatan ikhlas. Untuk melemahkan satu-satu masyarakat, menukarnya menjadi sekelompok lembu mabuk yang mudah untuk dipimpin dan disembelih apabila perlu, adalah langkah yang bijak untuk meruntuhkan kemanusiaan ahli-ahlinya. Telanjangkan mereka daripada sebarang nilai yang memberi makna kepada hidup, yang akan memberi mereka matlamat untuk hidup, dengan harga diri dan keberanian untuk memperjuangkan kebenaran.

Keyakinan kepada agama dirampas oleh ideal-ideal ateisme, freethinking, dan logik yang menolak Tuhan. Garis pemisah antara benar dan salah perlahan-lahan dikaburkan, dipadamkan, dan sampai satu tahap menjadi lenyap. Tiada sesiapa boleh memaksa orang lain mematuhi nilai-nilai yang menjadi pegangannya. Tiada sesiapa yang lebih mulia, superior moralnya daripada orang lain. Jadi, semua orang boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Atas nama kebebasan, menghormati hak asasi manusia, liberalisme, pluralisme, dan tidak judgemental.

Institusi kekeluargaan diinjak-injak oleh seks bebas, penolakan kepada ikatan perkahwinan, ‘kesamarataan’ antara hubungan heteroseksual dan homoseksual, dan macam-macam penyakit lagi yang membarah seperti sel-sel yang bermutasi dan merebak merosakkan organ langsung meranapkan sistem. Minda dirajai materialisme dan hedonisme. Memuja matabenda dan keseronokan semata-mata. Kejujuran, pengorbanan, keikhlasan, amanah – antara nilai-nilai yang semakin terhakis luput, terutamanya pada puncak-puncak kepimpinan. Dan seperti kata bijak laksana, “guru kencing berdiri, murid kencing berlari”.

Manusia dicabul kemanusiaannya, direndahkan tarafnya menjadi mesin yang membuat wang, melahap wang, memuntahkan wang. Manusia dicabul kemanusiaannya, direndahkan tarafnya menjadi makhluk yang menagih seks, menjaja seks, memburu seks, dan menyembah seks. Matlamat hidup entah ke mana, kecuali naluri haiwaniah. Nilai-nilai yang lebih tinggi – nilai-nilai yang menyekat kebebasan tetapi melayakkan mereka dengan kemuliaan insan – sudah tidak dapat ditemui.

Tiada sesiapa akan memperjuangkan keadilan atau mengejar intelektualiti. Tiada sesiapa akan bersikap mulia dan terhormat, berkorban demi kasih sayang dan prinsip. Erti cinta sejati akan merudum serendah pinggul yang seksi dan hubungan malam yang nikmat. Kerana manusia sudah terlalu malas, leka berseronok dengan kehidupan seperti yang mereka fahami, sedangkan asas-asas nilai kemanusiaan sudah pupus daripada sanubari.

Manusia hilang harga diri kerana tertipu dengan nafsu sendiri. Terpedaya oleh akal sendiri yang tidak dipandu oleh iman. Lantas manusia hilang inisiatif untuk berbuat baik, untuk memperbetulkan apa yang tidak betul, kerana merasa diri mereka sendiri sudah begitu tidak tentu arah. Bagaimana si tangan kudung mahu memimpin orang? Tidak canggungkah orang yang malas berpakaian tiba-tiba bising menyuruh orang lain memakai seluar? Kerana mereka sudah kehilangan harga diri sebagai manusia - sama ada mereka sedar atau tidak, mengakuinya atau tidak - maka mereka kehilangan inisiatif dan daya juang untuk memainkan peranan secara proaktif semulianya manusia.

Persetan, aku sama jahat sahaja dengan semua orang. Hidupku pun tunggang-langgang. Apa kejadahnya perlu aku pedulikan jika dunia berperang atau langit runtuh di sekelilingku?

Semuanya kembali kepada agenda asal. Merobohkan kestabilan masyarakat, melemahkan dan mendayuskannya untuk menguasainya. Dengan mencabut nilai-nilai kemanusiaan ahli-ahlinya, mencabul kemuliaan mereka, dan menjadikan mereka bacul.

Seperti apa yang mereka lakukan kepada Winston Smith dalam novel 1984 buah tangan terakhir George Orwell.

Bila difikirkan, nilai paling utama yang perlu diruntuhkan sebelum proses pemusnahan kemanusiaan yang sistematik ini boleh berlangsung adalah KEYAKINAN AGAMA. Muslim menyebutnya sebagai iman. Iman yang memberi kekuatan kepada tawanan di penjara Abu Ghraib dan Teluk Guantanamo untuk bertahan walaupun diseksa dan dihina sebegitu rupa. Fizikalnya mereka tidak lagi seperti manusia, tidak dilayan seperti manusia, tetapi hati mereka masih manusia, iman mereka memelihara mereka semulia layaknya manusia. Iman rakyat yang memelihara Malaysia sebagai negara majoriti Muslim walaupun 400 tahun dijajah kuasa asing silih berganti tuan. Iman juga yang menunjangi keteguhan Muslim Kemboja dan Soviet (Chechen), walaupun dipijak-pijak separuh mati, sehingga bangkit kembali selepas cengkaman rejim ke atas mereka melonggar. Baca buah tangan Leo Tolstoy, Haji Murad, terutamanya bahagian pengenalan di mana dia berkisah tentang sejenis tumbuhan yang tidak akan mengalah walaupun ditarik-tarik atau diinjak-injak. Anda mungkin lebih memahami gambarannya.

Winston dalam 1984 tidak mempunyai keyakinan agama. Tidak ada iman. Mungkin kerana itulah dia beralah dan musnah setelah pegangannya yang terakhir untuk mengekalkan integriti dan kemanusiannya – cinta kepada Julia – hancur berkecai.

Kerana itulah ‘mereka’, juara-juara ‘Orde Baru Dunia’ begitu bersungguh-sungguh menghukum sebarang jenis keyakinan agama sebagai bahaya, mungkin mencambahkan keganasan, terutamanya agama yang paling ramai penganutnya tidak berperangai seperti lembu di kandang, seperti Islam. Kerana ‘kuasa’ iman sangat luar biasa. Ia memperkuatkan kemanusiaan dan manusia. Ia memperkukuh masyarakat. Ia menjadi nadi keteguhan di mana-mana ia subur. Mutlaknya begitu jika iman itu kepada ad-deen yang BENAR, tentunya.

Siapa juara-juara ‘Orde Baru Dunia’ itu? Kalau anda laju menyebut Yahudi, cepat menyebut Barat, petah menyebut Zionis, ah jangan lupa, kaji-kajilah siapa yang anda musuh-musuhkan itu. Mahu bermusuh tapi tidak mengenal musuh, mahu berlawan tapi tidak berilmu, seperti berpedang menutup mata. Jangan sekadar menjerit-jeritkan anti-Zionis dan menyokong Palestin, menyumpah-seranah kekejaman rejim Zionis dan menangis-nangis melihat limpah darah anak Palestin, tetapi sekadar melalak tanpa ilmu atau isi, sekadar meraung tanpa gerak apatah lagi tindak.

Dan Allah Maha Mengetahui.

Jadilah manusia. Dan ajaklah orang-orang di sekeliling kita menjadi manusia.

Teguhkan iman, sahabat-sahabat. Dengan iman, kita menjadi mulia selayaknya manusia.

Salam perjuangan,
Meow~

Wednesday, December 06, 2006

Tumbuh Terus Tumbuh, Biarkan Kami Tumbuh

assalamualaikum.

Pertembungan pelbagai idea, fikrah dan pandangan adalah lumrah yang dijangka apabila bergelanggang dalam dunia mahasiswa. Jika kita adalah mereka yang peduli, iya. Bukan mereka yang menanamkan wajah di celah-celah helaian buku dan mengebumikan fikiran dalam timbunan nota.

Belia, amnya, mahasiswa, khususnya, dan mahasiswa luar negara, lebih tertumpunya (tiada diskriminasi kepada sahabat-sahabat di Malaysia, cumanya pada perkiraan saya kami lebih banyak menelan duit, maka tanggungjawab lebih besar); diseru menjadi individu cemerlang yang seimbang. Atau individu seimbang yang cemerlang. Mana-manalah.

Nasihat jenis 1 : Seimbangkan duniawi dan ukhrawi. Cemerlangkan IQ,EQ, dan tambahan terbaru, SQ. Dalam mengejar akademik, bercampurlah dengan masyarakat.

Nasihat jenis 2 : Bernada, "tumpukan perhatian kepada pelajaran. ingat tujuan awak berada di sana." "jangan terburu-buru membuat penilaian. jangan judgemental. JANGAN MUDAH TERPENGARUH!" "golongan !!!!!!, #####, dan @@@@@@ bahaya. hati-hati dengan mereka."

Nasihat-nasihat sedemikian banyak dihadiahkan, dihulurkan, dilambakkan, atau dilemparkan ke riba-riba kami. Daripada $$$$$$$, %%%%%% , dan lain-lain. (terpaksa disensor kerana saya takut dicekup polis-polis siber. saya penakut orangnya.)

Mudah meluncurkan kata-kata demikian, jauh lebih senang daripada meluncurnya fetus sewaktu kelahiran setelah hormon oksitosin dan prostaglandin memainkan peranan. Tetapi sekadar bercakap berdegar-degar, menyeru dengan seruan 'sampai langit ijau', hai, burung kakak tua pun tahu berbicara! Lepas tu keluar excretion dari hujung alimentary system. Hai, seronok pula menyepahkan istilah-istilah perubatan di sini.

Sekali imbas, nasihat 1 dan nasihat 2 tidak ada kontradiksinya. Saling melengkapi. Sangat waras. Apalah salahnya pelajar luar negara yang banyak amat menelan duit kerajaan diseru menjadi pelajar cemerlang yang seimbang (nasihat jenis 1) dan berfikiran matang dalam membuat pilihan serta menentukan prioriti (nasihat jenis 2)?

Habis apa pula yang kucing belang ini riuh-riuhkan?

Hanya sekali pandang, tidak ada kontradiksi. Cuba dalami, cuba halusi aplikasinya dalam realiti. Nasihat jenis 2 digunakan sebagai alat untuk menuntun kami mematuhi nasihat jenis 1 mengikut 'cara mereka'. Sekaligus menafikan matlamat yang disasarkan oleh nasihat jenis 1 , iaitu generasi intelek yang seimbang dalam segenap aspek, merdeka dan bertanggungjawab kepada masyarakatnya. Kepada umatnya.

Perhatikan analisis 'nasihat-nasihat' yang diberikan.

Nasihat jenis 2 : Bernada, "tumpukan perhatian kepada pelajaran. ingat tujuan awak berada di sana." "jangan terburu-buru membuat penilaian. jangan judgemental. JANGAN MUDAH TERPENGARUH!" "golongan !!!!!!, #####, dan @@@@@@ bahaya. hati-hati dengan mereka."

Sebelah pihak terang-terangan menyenaraikan beberapa pihak lain sebagai pariah yang mesti dijauhi. Malah siang-siang ada antara kami yang telah dilarang daripada aktiviti-aktiviti seperti halaqah usrah. Persatuan-persatuan tertentu dilabel sebagai subversif, fanatik, anti-###### dan lain-lain pengecopan yang dilakukan dengan riang gembira. Dengan keseronokan yang serupa, mereka mengesyorkan persatuan-persatuan yang mereka senangi dan iktiraf untuk disertai tanpa sebarang logo haram ditempelkan. Tidakkah ini telah bercanggah dengan prinsip menilai orang tanpa judgemental?

Apakah autoriti 'mereka' untuk menentukan di manakah lubang, di manakah gunung, dan di manakah gaung untuk kami? Sekadar nasihat, ya, masih boleh diterima, tetapi ancaman?

Kami disuruh menyeimbangkan antara duniawi dan ukhrawi. Kalau duniawi itu lauk, ukhrawi itu nasinya. Tetapi ada antara kami yang dimomokkan untuk makan lauk tanpa nasi. Takut nanti terlajak makan nasi sampai lupa melantak lauk. Atau disuruh mencari nasi dalam periuk kari, kerana periuk-periuk nasi kononnya diletakkan racun. Kalau betul ada racun, tak apalah. Tapi kalau dilihat sendiri bahawa sesungguhnya tidak ada racun, ada 'nasi' yang mengenyangkan rohani, siapa yang hendak disalahkan kalau jiwa-jiwa yang lapar itu memberontak?

Kami diseru menjadi pelajar yang mengutamakan akademik dan menjaga hubungan kemasyarakatan. Tetapi cuba lihat kembali bahagian awal nasihat 2, "tumpukan perhatian kepada pelajaran. ingat tujuan awak berada di sana.". Ada bau-bau seruan untuk menjangkitkan diri kepada virus "Aku Tidak Pedulisme", apologi kepada Ustaz Hasrizal (http://www.saifulislam.com/). Asalkan pelajaranku tidak terjejas, mampuslah apa hendak berlaku kepada ummahku, kepada Muslim di sekelilingku, kepada Muslim di negaraku, kepada Muslim di duniaku.

'Menjaga hubungan kemasyarakatan' tidak lebih daripada bergurau senda dengan teman-teman sekuliah, sesekali menghadiri rumah terbuka, dan keluar bersukaria di panggung-panggung wayang atau pusat membeli-belah. Sesekali ke kelab malam.. Tiger Tiger di Manchester contohnya. Tidak boleh terlampau peduli kepada isu-isu umat Islam, apatah lagi melibatkan diri dengan gerakan-gerakan yang memperjuangkan Islam secara terang-terangan. Pergi usrah? Hissssh, bahayaaaa!! Nanti tak pasal-pasal jadi protege Dr Azahari Hussein. Jadi protege Zainah Anwar atau Farish Noor tak mengapa kot.

Padah propaganda yang menguntungkan sebelah pihak, bukan sahaja pihak !@#!@#!!, malah ada ibu bapa yang melarang anak-anak daripada aktiviti-aktiviti 'sedemikian'. Aduh, mak cik, pak cik, andai anak-anak tidak boleh mengikut usrah, tidak dibenarkan mengikut persatuan itu dan dihalang menyertai persatuan ini, kerana takut menjadi 'songsang', bagaimanakah mereka hendak menjadi 'manusia?' Kasihan mereka. Ingin menjadi insan 'seimbang' duniawi dan ukhrawi, ingin mengejar keseimbangan IQ, EQ, dan SQ, serta ingin memberi prioriti yang seimbang kepada akademik dan hubungan kemasyarakatan. Tetapi mereka dilarang dalam suruhan, disuruh dalam larangan. Kerana prejudis yang disemai oleh golongan yang melaung-laung supaya jangan menjadi judgemental.

Betul, sentiasa ada kemungkinan, anak-anak pelajar ini tersalah langkah. Tersilap memilih. Benar-benar menyimpang. Tetapi besar manakah kemungkinannya? Berapa ramai mahasiswa yang pulang dari luar negara dicanai menjadi sampah masyarakat, pengebom berani mati atau fasis-kauvinis anti-establishment oleh 'gerakan-gerakan' bahaya ini? Berapa ramai pula yang pulang menjadi pencanang ideologi sekularisme @ liberalisme @ pluralisme, kehilangan iman seperti hilangnya baju-baju melekap menutup badan? Dengan siapakah mereka ini bercampur gaul? Berapa ramai pula yang pergi begitu dan pulangnya pun begitu?

Semuanya bergantung kepada pilihan dan keputusan, dan sepertimana etika kaunseling psikologi, bukankah lebih molek memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang diperakui intelek dan punya asas agama yang kukuh ini untuk membuat pilihan sendiri? Berikan maklumat yang seimbang, tidak berat sebelah atau berorientasikan kepentingan pihak-pihak tertentu. Dan biarkan mereka bertanggungjawab atas pilihan mereka.

Sekadar selitan, kadar penyakit yang menyerang sistem imun manusia telah meningkat dengan mendadak sejak 1950 hingga 2000. Peningkatan ini seiring dengan menurunnya kadar kejadian penyakit berjangkit yang mencabar sistem imun. Penurunan ini berkait dengan pencegahan dan perawatan yang semakin berkesan, sehingga timbul persoalan, adakah tiadanya cabaran daripada patogen (kuman) menyebabkan sistem imun menjadi lemah sehingga diserang penyakit yang tidak berkaitan dengan jangkitan luar?

Seperti manusia, terlalu dilindungi juga tidak bagus untuk perkembangan. Apatah lagi kami remaja, darah muda yang masih panas, lekas berontak, malah jika tidak kena caranya, kongkongan melampau akan menimbulkan reaksi lebih ekstrim. Apalah salahnya berikan kami kebebasan dan pendedahan yang adil, bekalkan kami ilmu agama dan kesedaran yang wajar, dan lepas bebaskan kami mencari pengalaman sendiri. Jatuh bangun kami akan membentuk kami menjadi manusia. Kami ingin mengenal diri, mengenal Tuhan, dan mengenal dunia. Jangan bekukan kami kerana agenda pengecut dan mementingkan diri sendiri pihak-pihak tertentu.

Cuba pijak sebiji benih jagung dan menjerit sekuat hati "hoi jagung! tumbuuh laaaa!!" Atau cuba serkup anak benih jagung yang sudah bertunas, jauhkannya dari cahaya matahari. Bisikkan dengan penuh manja lagi mesra, "jagung, tumbuhlah dengan subur.." Mengikut prinsip biologi, fotosintesis memerlukan cahaya matahari. Pertumbuhan tanpa cahaya matahari yang cukup akan menyebabkan pertumbuhan terbantut, rupa yang buruk, kalaupun tidak mati layu terus. Lagi sekali, cakap yang tidak selari dengan bikin, apakah hasil yang akan terbentuk? Anak jagung tidak mampu memberontak, tapi anak manusia punya hati dan akal untuk memandu tindak..

Satu soalan untuk semua. Mengapa kita begitu sensitif apabila Islam dikutuk dan dihina, tetapi kita sendiri cenderung mengutuk dan menghina apa-apa sahaja yang berkait dengan Islam? Terutamanya kalau ia mengancam kedudukan kita sendiri. Dan kalau kita takut dengan Islam, terpulanglah kepada akal dan hati untuk menilai, duduk betul benarnya apa yang kita lakukan. Oh ya, Islam yang saya maksudkan adalah Islam yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah, bukan tafsiran mufti-mufti tidak berpejabat lantikan sendiri.

salam perjuangan,
meow~

Sunday, December 03, 2006

gugur dan mati - I

kuat sungguh kau bertiup, angin
kasihan daun-daun emas kuning
yang bergantung
dengan jari sehujung
enggan memandang ke kaki pohon.

seperti gerun
luruh
dan reput

daun,
jangan salahkan angin
impian abadi tetap akan tercantas
mungkin hanya dengan sejentik debu
sebagai penyebab

kau makhluk
seperti manusia,
tetap akan mati.


assalamualaikum,
meow~

Monday, November 27, 2006

Free


Tonton dan dengar dengan hati dan iman, dan dengan 'izzah sebagai umat Islam.

oh ya, kalau rajin, merayap-rayaplah ke rumah kongsi saya.
http://kakiblog.com/
mungkin ada sesuatu yang boleh saya kongsikan di sana.

salam kasih,
meow~

Wednesday, November 22, 2006

butir emas di dasar sungai

mengapa begitu payah?

adakah engkau kenal,
apakah yang engkau kutuk-kutukkan?
adakah engkau faham,
apakah yang engkau juang-juangkan?
adakah engkau sayang,
siapakah yang engkau aku-saudarakan?
adakah engkau amal,
bagaimanakah yang kau laung-laungkan?

mengapa begitu sukar mengerti?
lantas meluncurkan hukuman
sedangkan belum tentu tahu
apatah lagi faham
sasar yang dituju-tuju
tidak inginkah cuba mengerti?
kalaupun tidak seiring sejalan
mungkin akan tampak satu tujuan.

pengertian seperti butiran emas
dalam alir sungai
sukar ditemui
amat dihargai
bias kilauannya menembus mata langsung ke hati

bukan tidak punya hujah
tapi dengan bertingkah, apakah simpulan yang akan ungkai?
telingkah itu akan berakhirkah dengan masalah yang usai?
penjelasan seperti sampah
sebelum dosa dilaksana
kilat pedang algojo sudah menyilau memangkas.

mengapa,
sukar benarkah mengerti?


sekadar salam..
meow~~

Saturday, November 18, 2006

memanggil-Mu

assalamualaikum.

aku memanggilMu
apabila semua matlamatku, malah jiwaku
seperti terkapai-kapai
aku memerlukanMu
iman pada peganganku
air mataku, jalan hidupku, melemaskanku
aku tidak mampu sentiasa menunjukkannya
tapi cintaku, jangan diraguinya

aku memanggilMu
dengan seluruh waktu dan kekuatanku
dalam mencari kebenaran
cuba sampai kepadaMu

lihatlah apa yang dibeli oleh titis keringatku
rumahku, katil peraduanku
aku seperti sesat dalam mimpi
tidak, aku tidak akan mendustakan hakikat diri
selagi ada nafas ini

tidak, tidak
aku tidak memerlukan sesiapa
dan aku tidak gentar kepada sesiapa
aku tidak menyeru sesiapa melainkanMu
Kau Satu-Satunya

aku tidak memerlukan sesiapa
dan aku tidak gentar kepada sesiapa
aku tidak menyeru sesiapa melainkanMu
Engkaulah segalanya dalam hidupku

aku memanggilMu
apabila semua kegembiraanku
dan cintaku membahagiakanku
kerana semuanya kurniaanMu

lihatlah hari-hari dalam hidupku
siangku dan malamku
oh, tidak mengapa
kerana pada penghujung hari
suapan rezeki masih mencukupi

aku memanggilMu
apabila semua pintu-pintuku
dan semua urusanku
lancar selalu
aku mensyukuriMu
lihatlah belahan-belahan jiwaku
ketenanganku, pasangan hidupku
dengan semua yang kutahu
oh, semuanya sekadar yang layak untukku
dan masih banyak yang perlu aku tahu

tidak, tidak
aku tidak memerlukan sesiapa
dan aku tidak gentar kepada sesiapa
aku tidak menyeru sesiapa melainkanMu
Kau Satu-Satunya

aku tidak memerlukan sesiapa
dan aku tidak gentar kepada sesiapa
aku tidak menyeru sesiapa melainkanMu
Engkaulah segala-galanya dalam hidupku

hubungan kita, begitu halus
kutemuiMu ketika aku hampir sesat ke neraka, dalam pencarianku
tiada yang dapat kubandingkan denganMu
kerana apabila kubohongi diriku, tiada yang tersembunyi daripadaMu
aku bersyukur
kata mereka, Engkau yang mengubahku
jelas terpapar dalam tingkahku
dulu, kini, masa depan nanti
membentangkannya
kutemui panggilan untukku di rumahMu
dan biarlah satu dunia tahu apakah erti cinta ini

aku mencintaiMu, aku merinduiMu, aku terlupa akanMu
walaupun Engkau tidak pernah menghampakanku, sentiasa di sisiku
setiap aku gagal memenuhi tuntutanMu
tidak pernah aku segan silu memohon seribu keampunanMu
aku menjerit dalam senyap, memanggilMu, aku mendengarMu, aku mencuba
Engkau memberi kekuatan kepadaku
apabila udara yang kuhirup adalah keras seperti ribut
aku terlupa akanMu, aku memanggilMu, aku merasaiMu

tidak, tidak
aku tidak memerlukan sesiapa
dan aku tidak gentar kepada sesiapa
aku tidak menyeru sesiapa melainkanMu
Kau Satu-Satunya

aku tidak memerlukan sesiapa
dan aku tidak gentar kepada sesiapa
aku tidak menyeru sesiapa melainkanMu



Bait2 kata ini adalah terjemahan kasar daripada lagu Outlandish, Callin U. Terlalu indah dan dalam, puitis dalam kejujuran. Tidak perlu saya hurai-huraikan dalam-dalam, menatap liriknya dengan mata dan memahaminya dengan hati, insyaAllah dapat merasai. Permisi kepada komposer asal ya :-)

salam rindu, meow~

Monday, November 06, 2006

serigala tanah merah

assalamualaikum.

Perkenalan dengan dia adalah episod yang menarik. Dan saya yakin, episod-episod ini masih dalam peringkat permulaan cerita. Provokasi yang diutarakan, ya saya akui, mencabar kesabaran dan rasionaliti. Sementelahan ketika yang dipilih adalah bertepatan dengan waktu yang sarat ketegangan buat saya. Dan serangan yang di luar jangkaan mungkin menyebabkan respons saya lebih beremosi daripada yang sewajarnya. Maka seperti yang sering saya lakukan selepas satu-satu konfrontasi, saya akan memutar kembali peristiwa itu dan menganalisisnya semula dalam keadaan mental yang lebih segah. Entri ini ditujukan khas untuk dia.

Saya merujuk Merriam-Webster Online Dictionary untuk mencari definisi 'idealis'.
1.a) seorang yang mengikut satu teori atau idealisme falsafah
b) seorang penulis atau artis yang menyokong atau mengamalkan idealisme dalam seni atau tulisannya
2. seorang yang dipandu oleh idealisme, terutamanya seorang yang meletakkan idealisme sebelum pertimbangan praktikal.

Ya, saya mengaku saya seorang idealis. Saya ada ideologi dan falsafah yang saya yakini, yang cuba saya sebarkan melalui kesenian dan tulisan-tulisan saya. Melalui bicara saya dengan orang-orang 'terpilih'. Dan ada waktunya, saya terlalu idealistik, sehingga mengetepikan praktikaliti.

Idealistik, lawannya realistik. Begitukah? Merriam-Webster memberitahu saya, realis adalah orang yang mementingkan fakta atau realiti (kenyataan) dan menolak sesuatu yang tidak praktikal dan berciri wawasan atau visi, yang belum tentu mampu dicapai.

Bagi saya, adalah suatu hakikat yang perlu diakui, hampir semua kejayaan besar-besar di dunia ini bertitik tolak daripada visi. Garapan idea yang seringkali tidak punya wajah yang jelas apatah lagi binaan yang utuh. Hanya keyakinan daripada penjulang-penjulangnya untuk memperjuangkan idealisme itu sehingga menjadi realiti, walaupun mulanya seperti mustahil. Sewaktu Malaya mula-mula merdeka, pernahkah ada sesiapa membayangkan Malaysia akan maju seperti hari ini? Imej wanita-wanita terpelajar yang berpakaian menutup aurat, yang begitu ramai di Malaysia hari ini, realistikkah jika dibayangkan pada zaman Muslimat berkelubung digelar hantu komkom dan dicop sebagai ciciran universiti? Realistikkah gagasan as-Syahid Syeikh Hassan al-Banna yang mengasaskan gerakan Ikhwanul Muslimin, memvisikan Islam menjadi ustaziyatul alam bermula dengan gagasan yang diasaskannya, pada ketika Islam di Mesir seperti anak kucing yang terjatuh ke dalam longkang sewaktu hujan. Malah, adalah amat tidak realistik jika difikirkan Islam yang gah sedunia hari ini, andai diukur dengan keadaan sewaktu Nabi Muhammad S.A.W. mula-mula berusrah di rumah al-Arqam.

Sesuatu gagasan yang besar yang mendatangkan kejayaan yang merubah norma seringkali sangat-sangat idealistik pada permulaannya, kerana perubahan yang didatangkan itu sendiri adalah sesuatu yang kurang realistik jika dipandang secara relatif dengan realiti semasa. Idealis, amnya, adalah mereka yang mengimpikan perubahan. Perubahan yang memerlukan masa dan perancangan yang teliti. Dan seperti si tukang masak yang tidak lekang dengan masakannya, si peminat kucing yang tidak lepas dengan kucing-kucingannya, idealis tidak akan senang duduk tanpa idea-ideanya. Tanpa kritikan dan cadangannya. Tanpa wawasannya.

Seorang tukang masak akan memberitahu, cuba-jaya, try-and-error adalah mustahak untuk mencapai kesempurnaan. Dia akan bangga dengan masakannya, dan akan gembira berkongsi resepi dengan rakan yang dipercayai dapat membantunya menyediakan hidangan yang terbaik apabila masanya benar-benar tiba untuk dia menyajikannya kepada orang ramai.

Demikian juga seorang idealis, kerana idea tempatnya adalah pada bicara dan tulisan, pada perwatakan yang ditampilkan, bukan pada pinggan mangkuk dan periuk belanga, maka lumrahlah untuk seorang idealis membicarakan ideanya dengan sesiapa yang diyakini layak mendengar. Memperbincangkan ideanya, supaya sebarang kelemahan dapat diperbaiki, apabila benar-benar tiba waktunya untuk idea itu dijelmakan dalam rupa konkrit. Hidup adalah proses pembelajaran dan pembinaan, sehingga hari kematian, tidak ada kesempurnaan.

Para idealis seringkali dihadapkan dengan pelbagai tohmahan dan kritikan penuh skeptik. Bukan kritikan membina. Tetapi lontaran-lontaran skeptik yang menduga semangat. Seperti Tun M yang berdepan dengan aneka macam kutukan yang akhirnya diam dengan sendiri apabila projek-projeknya (LRT, Proton, projek2 yang benar2 memanfaatkan umat dan bukan mega al-membazir) berjaya.

Kalau sudah namanya idea, idea pula yang diutarakan oleh anak-anak muda yang mengaku (ya, kami mengaku, kami tidak mendabik dada sebagai serba tahu yang kaya ilmu) masih dalam fasa belajar, maka memang amat logik akan ada anekaragam lompong dan kepincangan pada mata sang pemerhati. Kami (saya) belum mampu, malah mungkin belum layak mengutarakan 'matlamat' yang terperinci, 'planning' yang bersistem, apatah lagi 'action plan' dengan langkah demi langkah yang tersusun. Kami (saya) adalah anak-anak muda. Kami belum punya kuasa. Belum punya suara yang mampu menggegar dunia. Yang kami ada hanyalah idea. Idea dan semangat yang berkobar-kobar, sepertimana layaknya anak-anak muda.

Kami mencari ruang, mencari peluang, dan dalam kami mencari, adalah lumrah untuk kami membicarakan idea-idea kami. Benar, kami bangga dengan idea-idea kami. Kami bersyukur kerana Allah mengizinkan kami untuk memikirkan hal-hal sedemikian, mengurniakan ilmu kepada kami. Dan kami akan membicarakan idea-idea kami sebagai usaha untuk mengekalkan semangat kami, untuk memperjelaskan fikrah kami sendiri, untuk menambah pengetahuan dan keyakinan kami, untuk memahamkan orang tentang fikrah kami, dan untuk menyusun strategi kami sedikit demi sedikit sehingga sampai waktunya untuk kami benar-benar bertindak. Kami masih belajar, ya kami masih belajar.

Kami, ya, saya, adalah idealis yang masih belajar. Dan seperti tukang masak yang bangga dengan masakannya, saya gemar berkongsi idea saya, membincangkannya dengan sesiapa yang saya kira layak dan mungkin berminat. Dan seperti biasa, saya akan dihadapkan dengan pertanyaan-pertanyaan tentang matlamat, perancangan, dan pelan tindakan. Tetapi ada beza yang amat besar antara pertanyaan yang ikhlas dengan minat untuk mengetahui dan menasihati mana-mana yang kurang, atau pertanyaan yang sengaja ditanyakan dengan tujuan untuk tuntas mematikan hujah saya. Pertanyaan yang menyembunyikan kata-kata, "tengok, cakap aje lebih. tak ada apa-apa pun sebenarnya." Dan kedua-dua jenis pertanyaan ini ada kesannya yang tersendiri, ada pengajarannya yang tersendiri.

"dare to be different and telling ppl u r different is not the same."
Dari segi keterampilan sebagai seorang idealis, kami (saya) terdedah kepada pelbagai spekulasi. Ya, kami berbeza. Kami berbeza daripada orang lain, seperti mana setiap orang mempunyai keunikan yang tersendiri. Keunikan kami mungkin daripada aspek pemikiran kami yang melayakkan kami digelar idealis. Dan seperti seorang 'kuceng jahat' pernah berkata, tidak salah saya, "minda mengawal lagak", maka logiklah jika keperibadian kami mencerminkan kelainan pemikiran kami.

Adakah saya perlu berpura-pura merendah diri, berpura-pura setuju dengan kedangkalan yang jelas terpampang di sekeliling saya, menapis tutur kata saya agar kedengaran (atau dibaca dalam skrin Yahoo Messenger) sebagai 'orang biasa'? Benar, pandangan peribadi perlu dipaparkan dengan berhati-hati, kerana setiap orang mempunyai perasaan dan pandangan yang perlu dihormati. Tetapi dalam ruang-ruangnya, dengan orang-orangnya, saya kepingin menjadi diri saya. Yang tuntas dengan kata-kata, analitikal dengan nilaian mata. Yang gemar bermain retorik bahasa. Yang mungkin ditafsirkan sebagai insan angkuh yang mencari kekaguman orang. Yang seringkali berlaku jika saya silap mempercayai orang (jarang berlaku, kerana saya sangat jarang mempercayai orang) atau jika fasa perkenalan masih dalam peringkat awal. Seperti perkenalan saya dan dia. Dan perkenalan saya dengan ramai orang yang masih baru saya kenali. Dan saya perlu hati-hati. Betul. Salah faham begitu mudah berlaku.

'Estimation' adalah satu lagi isu yang diketengahkan. Mungkin saya 'underestimate' atau 'overestimate' orang atau keadaan. Itu kepincangan. Tetapi manusia manakah yang tidak membuat penilaian pada kali pertama pertemuan? Ada sebabnya istilah 'pandang pertama' atau 'first impression' mendapat tempat dalam perbendaharaan kata. Tambahan pula jika kedangkalan dan kejahilan yang terpapar jelas teserlah. Yang menjadi soal utama bukanlah sama ada saya 'underestimate' atau 'overestimate' satu-satu situasi - kerana ia banyak bergantung kepada persepsi dan emosi - tetapi bagaimanakah reaksi saya terhadap situasi itu dan adakah ia relevan dengan situasi tersebut. Selepas menganalisis tentunya. Dan sesudah analisis dibuat, estimasi yang terhasil insyaAllah lebih tepat. Dan jika dia merasakan bahawa saya tersilap nilai, saya amat menghargai nasihat dan pandangannya. Bukan sekadar sindiran-sindiran retorik yang tidak jelas dan seolah-olah memperlekehkan saya.

Kami, ya, saya, adalah idealis. Saya masih muda. Saya tidak punya kuasa, dan saya tidak punya suara untuk menggegar dunia. Apa yang saya ada, hanyalah idea dan semangat. Mata saya kritis melihat kedangkalan di sekeliling saya, lantas saya menanggapinya dan merumus penilaian saya terhadapnya, dan saya genggam azam untuk melakukan sesuatu ke arah menjana perubahan. Saya rakus menyantap lambakan ilmu di sekeliling saya. Saya cakna berusaha menyuburkan iman saya, agar hidayah dan taufiq daripada Allah memandu jalan saya. Saya terpisah dengan sahabat-sahabat sefikrah. Saya belum punya organisasi sendiri, dan saya tidak pasti sama ada ia akan wujud atau tidak suatu hari nanti. Saya tidak punya perlembagaan, matlamat, perancangan dan pelan tindakan yang terperinci.

Tapi saya punya visi. Kami punya visi. Dan insyaAllah, kami akan membina idea-idea kami sehingga dapat dijelmakan dalam bentuk yang konkrit dan realistik, bukan hanya idealistik. sehingga itu, kami akan membincangkan idea-idea kami, dan bertindak sekadar kemampuan kami, bersesuaian dengan realiti, di mana sahaja kami dapat berusaha dan berbakti.


Dia, dan anda, boleh saja bersama saya, atau meninggalkan saya, atau terus-terusan sinis terhadap saya. Saya tidak 'expect orang akan kagum dengan saya' atau 'expect orang akan terus sokong saya'. Sejarah dan sirah sudah banyak mengajar bagaimana orang yang mengusahakan sesuatu seringkali tewas dan tumbang sebelum melihat apa-apa kejayaan. Dan pengalaman saya juga banyak mengingatkan saya kepada kenyataan itu. Seperti kata dia juga, "kalau takut dilambung ombak, jangan buat rumah di tepi pantai". Ya, saya memang sangat-sangat sedar akan hakikat itu, dan sudah berkali-kali diingatkan oleh aneka peristiwa.

Saya berhasrat untuk memulakan sesuatu dari sudut saya berdasarkan kemampuan saya, mengusahakannya, bekerjasama ke arah matlamat yang seiring, dan kalau tidak sempat menamatkannya, biarlah yang lain menyambungnya dari sudut mereka dengan cara mereka.

Kalau dia, atau anda, atau mereka, mahu mengerti, silakan. Kalau mahu memperlekeh, juga silakan.

Saya tidak kisah. Saya tidak menyampah. Betul. Tak tipu. Saya jujur.

Maaf kepada pembaca yang kebosanan dengan tulisan ini atau tidak memahaminya. Dan kalau anda ingin membuat perkiraan bahawa ini salah satu cara saya untuk syok sendiri, silakan. Ini blog saya, dan saya punya suka nak tulis apa. Dan anda pembaca saya, dan anda punya suka nak fikir apa atau komen apa.

Kepada dia, serigala tanah merah, anda seorang yang menarik. Perkenalan kita masih dalam episod-episod awal. Saya seronok mengenali anda dan saya ingin saling berkenalan dengan anda lebih jauh. Anda benar-benar membuat saya berfikir walaupun provokasi anda adakalanya melampau.

"ko nak buat ape yg ko percaye ke, ko nk please orang? kalo ko rs dunia tu perlu diubah, apsal ko kna ikut dunia?"

Menarik untuk difikirkan, dihuraikan, dan dihujahkan.

Cuma saya fikir, ada baiknya kalau kita sama-sama jangan menganggap seseorang itu begitu-dan-begitu, hanya kerana kita sendiri yang begitu.

Saya tahu anda tidak marah. Kerana anda baik dan cool. :-)

salam perjuangan, meow~~

oh bahasaku, perlu apa kau dibela?

assalamualaikum.

(entri ini ditulis selepas selesai makan cekodok dan tomyam di bumi Manchester, asalannya ditinggalkan sebagai komen dlm sebuah weblog usrah online)

Bahasa akan berevolusi. Dengan istilah2 yang baru, dengan pelbagai asal usul. Perkembangan ini penting agar satu-satu bahasa tidak menjadi bahasa yang mati (Latin, Sanskrit) dan sentiasa relevan utk menyampaikan pelbagai idea seiring dengan kemajuan dan globalisasi.

Namun demikian, sehebat manapun evolusi satu-satu bahasa, ia tetap mempunyai identitinya yang tersendiri. Keindahannya yang unik, seperti setiap ciptaan Allah yang mempunyai keistimewaan. Maka, identiti, keindahan, dan keistimewaan inilah yang ingin dipelihara oleh mereka yang mendakwa diri mereka ‘pejuang bahasa’.

Sementelahan pula, bahasa merupakan gedung budaya sesuatu bangsa. Dalam situasi kita, Melayu. Tidak sama sastera Inggeris dengan sastera Melayu. Pemikiran sesuatu bangsa dicerminkan oleh bahasanya, struktur ayat, ekspresi dan penggunaan istilah. Malah pemikiran sesuatu bangsa boleh dicorak oleh bahasa. Bahasa boleh menjadi alat penyatupaduan dan alat pemisahan. Bahasa menggambarkan strata sosial dan keperibadian, malah kecenderungan dari segi fikrah dan budaya.

Bahasa adalah satu elemen yang memperkukuh jatidiri. Mudah menyatakan ‘jatidiri Muslim’, tetapi berapa ramaikah yang mampu mengekalkan ‘jatidiri Muslim’ tanpa merujuk kepada budayanya? Dalam konteks orang Melayu, kebudayaan Melayu inilah yang akan menjadi rujukan untuk menzahirkan keperibadian Muslim. Sama ada kita sedar atau tidak. Dan pencabulan ke atas elemen-elemen kebudayaan (spesifik : bahasa)ini akan melemahkan lagi kubu kita untuk menentang anasir budaya dari Barat.

Betul, dalam dialog, terutamanya dialog kasual bersama rakan-rakan, terasa canggung untuk menggunakan bahasa Melayu tahap tatabahasa dewan. Untuk dikatakan salah, bagi saya tiada salahnya bercakap dalam bahasa rojak, asalkan keperibadian penutur tidak menjadi rojak serojak bahasanya.

Lagipun, secara peribadi, bagi saya, usaha untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dan indah sewaktu bertutur dan berkomunikasi adalah latihan yang baik untuk meningkatkan perbendaharaan kata, menjana pemikiran yang berstruktur, daya ekspresi linguistik yang lebih tinggi, kreativiti, dan membiasakan diri dengan sopan santun yang sering dikaitkan dengan orang berkedudukan. Demikian juga dengan penggunaan bahasa-bahasa lain dengan baik, seperti bahasa Inggeris atau bahasa Sepanyol. Tetapi untuk hasil yang terbaik, bagi saya, penekanan patut diberi secara spesifik kepada satu bahasa dalam satu-satu masa, bukannya merojakkan, kerana ‘mengambil sedikit daripada setiap satu’ selalunya tidak akan membawa kepada perkembangan yang menyeluruh.

Rencam perubahan yang berlaku ke atas Bahasa Melayu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, malah mustahak untuk memelihara relevansi bahasa ini dalam realiti semasa. Namun demikian, identitinya seperti yang diawet dalam bahan-bahan sastera dan literatur akademik kebahasaan perlu dipelihara, bukan hanya kerana ia adalah khazanah indah yang dikurniakan Allah, tetapi juga kerana ia merupakan satu identiti yang memberikan kita jatidiri.

dan Allah Maha Mengetahui.

assalamualaikum,
meow~

Thursday, November 02, 2006

sejuk ke sumsum tulang

assalamualaikum.

Melihat gambar2 seorang sahabat yang baru dikenali, gambar2nya dalam aktiviti2 yang begitu akrab dengan saya suatu ketika dahulu - dan masih lagi hingga sekarang - cukup-cukup menyentuh rasa. Menimbulkan satu macam perasaan yang menekan abdomen dari dalam dan mengasak tulang skapula serta vertebra. Rindu, minat, cinta, dan ya, kalimat Inggerisnya lebih tuntas, "passion".

Apa agaknya yang dia lakukan? Apa agaknya gambar yang saya tengok?

Gambar dia dan kawan-kawannya bersila dalam kelompok membincangkan soal pementasan, persembahan dikir yang meriah, pentas yang gemerlapan, tarian zapin yang santun berbudaya - ya, saya tidak sangka saya akan jumpa hal-hal seumpama itu lagi di Manchester ini, dan lebih tidak saya sangka saya akan jumpa orang yang seolah-olah punya cinta seperti saya. Di sini.

Kalau anda adalah orang yang pening melihat orang berpusing-pusing menari, tidak faham hujung pangkal persembahan teater, memilih untuk menonton CD daripada Malam Deklamasi Angkasapuri, menganggap tulisan-tulisan Shahnon Ahmad dan Usman Awang tidak lebih daripada cerita yang menarik atau bait-bait kata yang 'macam indah tapi tak berapa faham', atau dengan kata lain, melihat seni dan sastera sebagai hiburan (seronoknya tengok orang nasyid.. eh aku sedih la tengok drama tadi..) atau bahan elitis yang sukar dimengerti (amende Adman Salleh nak sampaikan dalam Paloh ni sebenarnya? berbelit-belit...), maka mungkin anda sukar memahami isi hati saya.

Saya tidak memandang rendah kepada orang-orang yang tidak meminati/memahami/menghargai sastera dan seni. Setiap orang ada kecenderungannya. Saya tidak minat baiki-membaiki kereta, bertukang, atau menjahit, sedangkan ada orang yang mencintai lapangan-lapangan di atas seperti saya mencintai seni.
(dalam dunia yang penuh kontroversi, provokasi, dan sangka buruk ini, saya perlu membuat kenyataan 'disclaimer' seperti ini hampir dalam setiap posting.. huhu..)

Saya rindu. Rindu untuk berada dalam lingkungan artistik yang sama-sama punyai bakat dan minat dalam seni. Yang akan memahami apabila perbincangan berlegar seputar metafora, voice projection, penghayatan, bahasa badan, dan teori sastera Rahman Shaari atau Faisal Tehrani. Apabila tutur berlingkar sekitar makna tersirat dan tersirat serta gaya bahasa dalam karya Abdullah Hussain, Fatimah Busu, Naquib Mahfouz, malah Salman Rushdie. Sesekali menyentuh perihal teater di KLPac atau Istana Budaya, seni filem Zhang Yimou dan UWei Shaari, atau muzik MNasir dan Kopratasa.

Jari saya terasa kejang untuk menaip kerana terlalu sejuk. Tapi mana mungkin saya menaip dengan lancar bersarung tangan? Ya, sekarang saya di dalam bilik. Di luar tadi begitu dingin, dengan berlapis-lapis pakaian saya berasa seperti hibrid antara sebiji ketupat dan seekor kucing yang tiba-tiba kehilangan bulu. Aduan ini tidak ada kaitan dengan tema perbincangan ya.

Mestikah saya korbankan semuanya? Yang saya rindu dan cinta? Untuk mengejar CINTA yang lebih agung, lebih tinggi dan lebih mulia?

salam,
meow~

Wednesday, October 18, 2006

nur yang dirindu



betapa dinginnya dinihari
embun-embun seperti beku
angin seperti kaku

tiada bulan dan bintang
langit kosong sehampar awan
cerah gilang-gemilang

pohon-pohon tunduk merendahkan dahan
daun-daun kuning perang tiba-tiba berkilauan
seperti emas-emas bergantungan

biarkan, walau air sesejuk salji mencair
dingin yang mencucuk liang-liang roma
hujung-hujung rambut turut bergetar
dapatkah mencuci lambakan dosa?
apatah lagi menebus harga redha dan syurga

titis-titis wuduk gugur dalam geletar
di langit, tanpa bulan tanpa bintang
betapa terang nur memancar
tumpahkah cahayanya ke lusuh sejadah
ke riba pendosa yang mengharap maghfirah

Tuesday, October 17, 2006

taktik kotor

Assalamualaikum.

Anda rajin baca akhbar? Anda rajin melayari laman2 web? Anda rajin melawat blog2 yang berteraburan dalam dunia realiti maya?

Jika ya, apakah isu yang anda gemari? Politik@siasah, ekonomi dan isu2 semasa? Hiburan yang sentiasa mengujakan dengan segala macam cerita hangat lagi meRemp-Itkan? Perihal keagamaan dari hujung pena ilmuwan yang Islamik atau yang tengik? Atau soal rumahtangga, hias-hias laman dan taman dengan julat gaya pedesaan hingga pergunungan?

Sama ada jawapan anda ya atau tidak terhadap satu atau semua soalan di atas tidak penting. Saya yakin, hampir semua di kalangan anda akan bersetuju kalau saya menyatakan pendapat saya bahawa permainan politik seringkali disarati oleh muslihat, taktik, dan belit yang lebih banyak kekotoran daripada kebersihan. Saya juga ingin menyatakan bahawa definisi permainan politik di sini adalah apa-apa sahaja cara yang digunakan untuk memperoleh kuasa dan kemenangan. Baik perebutan tampuk pemerintahan dunia/negara/kolej/persatuan, mahupun percaturan dalam pertandingan-pertandingan ala politik (berkaitan dengan pengundian) seperti Akademi Fantasia dan Survivor Manchester .

Di kolej dahulu, untuk menaikkan pelajar-pelajar junior yang 'soleh' dan 'solehah' menduduki tampuk pentadbiran sebagai ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (menggantikan barisan kepimpinan lama yang akan meletak jawatan), ada sekelompok senior yang berasa bertanggungjawab untuk menyenaraikan calon-calon pilihan ini, lantas mengagihkan senarai itu kepada rakan-rakan senior. Sewaktu usrah. Sewaktu malam-malam.

Justifikasi mereka mudah. Calon-calon yang bertanding untuk merebut 12 kerusi itu tidak semuanya berakhlak baik dan bersahsiah mulia. Yang mempunyai perawakan menarik dan berketerampilan juga tidak menepati piawaian. Sedangkan senior2 yang memegang kira-kira 50% undi tidak mengenali junior-junior ini, maka kemungkinan untuk 'the wrong candidates' menjadi MPP adalah dikhuatiri. Maka bertindaklah mereka, memaklumkan kepada pelajar-pelajar senior (melalui usrah dan ziarah) tentang siapakah dia bakal-bakal pemimpin yang selayaknya dipilih. Sesiapa yang ingin menegakkan agama Allah sewajarnya menyokong perbuatan mereka dan memangkah calon yang disenaraikan. Antara perkara yang sangat menakutkan mereka adalah pelajar lelaki memilih calon wanita yang cantik tetapi tidak solehah. Jika calon wanita itu solehah, kalau dia dipilih kerana cantik (dan bukan kerana kepimpinannya), itu tidak pula menjadi masalah besar.

Jangan sesiapa melabel saya sebagai pengkutuk agama sendiri. Mengkafirkan saya dan sebagainya. Na'udzubillahiminzalik. Sebelum kenal saya dan pemikiran saya, jangan berani-berani menghakimi saya.

Alhamdulillah, calon-calon yang menang adalah yang baik-baik belaka. Yang soleh-soleh dan solehah-solehah belaka. Yang tersenaraikah semuanya? Saya tidak pasti.

Betulkah tindakan 'mereka' yang disebut di atas? Adakah benar-benar menepati konsep keadilan dalam Islam? Jika dilihat daripada skop yang holistik, mencakupi aspek2 dinamika sosial dan intelektual remaja serta kepimpinannya, menghargai aspirasi anak2 remaja yang cuba-cuba ingin bergelanggang dalam arena kepimpinan pelajar, menghormati impak variasi yang akan mendatangkan proses menerima dan memberi yang konstruktif, serta meyakini kecenderungan manusia untuk memilih yang baik-baik tanpa dipaksa-paksa, tindakan itukah yang terbaik? Saya tidak mahu menggunakan istilah 'memeras ugut' dan yang seumpamanya. Niat 'mereka' saya yakini suci dan ikhlas, untuk Islam kerana Allah. Tetapi halalkah cara dengan niat? Menyeluruhkah pandangan alam yang mereka gunakan untuk menilik situasi?

Mereka boleh saja jadi betul. Tetapi saya mungkin tidak akan silap kerana saya tidak mengetengahkan apa2 pendapat pun. Hanya soalan.

Itu situasi pertama. Langkau setahun lampau di sebuah kolej di tengah perladangan.

Situasi kedua. Di bandaraya Manchester yang sejuk-damai, selalu dibelai hujan renyai-renyai yang sesekali melebat, dan elusan anginnya meresap ke tulang.

Anak rantau yang mengaku tidak berduit, seringkali berasa tercekik melihat harga dalam mata wang pound yang berganda tujuh. Melihat dapur yang semak dengan periuk belanga tidak berbasuh teman serumah yang belum tentu resepi juadahnya, semangat memasak yang sudah sedia pudar (malas) terus padam. Maka selain iftar di masjid-masjid yang menjanjikan menu tetap nasi+ayam/kambing+salad+yogurt, mana-mana jemputan iftar adalah amat-amat dialu-alukan.

Apatah lagi jika jemputan itu datangnya daripada Kelab UMNO Salford dan Manchester, bertempat di Restoran Hanaan yang pernah saya lihat lampu papan tandanya biru berkilau di sebelah satu simpang di pekan Muslim Rusholme. Wah, makan percuma di restoran 'mewah'. Dapat pula jenguk-jenguk kegiatan UMNO di sini. Ini sudah bagus. Maka dengan riang gembiranya (memikirkan menu iftar yang diyakini bervariasi daripada menu tetap masjid), saya dan rakan serumah bersegera untuk ke sana.

Restoran bergaya. Belia-beliawanis (yang saya kira ahli2 Kelab UMNO) cantik kacak bergaya, walaupun Muslimatnya tidak begitu Islamik saya kira. Tak apa, saya bukan mahu mendaftar sekarang, mahu makan sahaja. Soal daftar-mendaftar itu kemudian. Ketika nafsu melonjak-lonjak untuk menyerang hidangan, sementelahan waktu Maghrib sudah masuk, pengumuman dibuat.

"Kepada sesiapa yang belum mendaftar, sila daftar dulu di meja sana, anda akan dapat kad keahlian, dan dengan kad itulah baru anda boleh makan."

Saya dan rakan meninggalkan majlis dan berbuka puasa di masjid.

Taktik kotor. Memalukan UMNO. Memalukan Melayu. Ingatkan orang-orang tua UMNO di Malaysia saja yang gelojoh dan pendek akal, ingatkan anak-anak muda ini lebih matang dan bersih, rupa-rupanya.....

Situasi ketiga. Di Linnet Clough Scouts Camp, Greater Manchester East. Tapak perkhemahan pengakap di pedesaan Manchester yang sungguh indah, damai menghijau dilatari rumput-rumput seempuk pasir pantai dan dipeluk dirian bukit yang permai. (ditaburi bahan buangan kuda yang bertompok-tompokan, menanti kaki-kaki yang berlari tanpa berawas-awas)~ Tempat kami pelajar-pelajar Tahun Satu Melayu-Muslim menyertai Fresher's Camp anjuran Malaysian Community of Old Trafford, persatuan yang menjaga kebajikan pelajar-pelajar Malaysia amnya dan Muslim khususnya.

Malam kedua program ada pertandingan.. jeng jeng jeng.. Survivor Manchester namanya. Ciplakan rancangan realiti televisyen seperti Malaysian Idol, Akademi Fantasia dan Survivor. Kami dibahagikan kepada enam kumpulan dan dipasangkan menjadi tiga pasangan. Setiap pasangan kumpulan akan berdebat tentang satu tajuk yang diberi (Hitam atau Putih? Teh atau Kopi? Batman atau Spiderman?)

Selepas kedua-dua kumpulan dalam satu-satu pasangan menghantar wakil dan berdebat, tiga hakim/pengkritik akan memberi komen. Kemudian kumpulan-kumpulan lain akan mengundi, kumpulan manakah yang akan mereka menangkan. Tiga kumpulan yang menang (satu daripada setiap pasangan) akan layak ke pusingan kedua untuk bertanding memilih juara.

Kumpulan 2 dan Kumpulan 5 ditugaskan untuk memperdebatkan antara Teh dan Kopi. Maka wakil2 kumpulan 2 berapi-apilah mempertahankan kemuliaan dan keagungan Teh, sementara Kumpulan 5 tidak kalah memperjuangkan Kopi yang dipuji-puji. Seorang pendebat dari kumpulan 2 - namakan dia A - diberi kritikan yang sgt mengembangkan hidung daripada pengkritik. Satu-satunya pendebat yang langsung tidak mendapat teguran negatif. Semuanya yang baik-baik lagi melambung-lambung. Maka ahli2 kumpulan 2 ini mulalah tersenyum2 kambing.. dan si A tersenyum2 kucing.. nampak gayanya menang la kumpulan ku kali ini, barangkali itu fikiran mereka, tetapi si A terfikir juga kemungkinan sebaliknya, kerana kemenangan mereka bergantung kepada undian kumpulan-kumpulan lain.

Tekaan anda tepat. Kumpulan 2 tewas. Walaupun penghujahan dan persembahan jauh lebih mantap daripada kumpulan lawan. Tidak diundi sokong oleh kumpulan-kumpulan lain. Kerana apa? Kerana jika kumpulan yang bagus ini layak ke pusingan kedua, ia akan mendatangkan risiko yang besar kepada kumpulan-kumpulan lain. Senang, hapuskan terus ancaman, membiarkan mereka yang hebat mendaki tangga ke atas adalah langkah yang kurang bijak untuk mengekalkan kedudukan sendiri. Wah, bijak sungguh mereka mengamalkan falsafah politik yang kononnya dipraktikkan sejak zaman todak melanggar singapura lagi. Alangkan Hang Nadim dicampak ke laut kerana sultan gerun dengan potensi anak sebijak ini untuk menggulingkannya setelah dewasa nanti.

Seringkali, umat (baik di peringkat akar-dasar atau pucuk-puncak), apabila membuat keputusan, lebih mendahulukan kepentingan diri dan bukannya kepentingan umum apatah lagi keadilan. Tempat diberi bukan dengan kriteria kelayakan yang diutamakan tetapi kesan langsungnya kepada diri mereka. Normal, naluriah, walaupun tidak sesuci fitrah. Ke mana aplikasi konsep pengorbanan dan maruah?

Apabila memilih pemimpin, siapa yang lebih cantik atau bergaya, siapa yang lebih popular, siapa yang lebih mereka suka. Bukan siapa yang lebih berkemampuan untuk memimpin dan memikul tanggungjawab. Sehingga ada yang terpaksa menggunakan 'jalan pintas' kerana khuatir dengan kesudahan pilihan.
Apabila mencari sokongan, memilih langkah termudah dengan hasil yang terpantas. Terhormat atau tidak langkah yang diambil, berkualiti atau tidak hasil yang diperoleh, tidak perlu difikirkan sangat. Siapa yang menilai maruah dan kualiti dalam dunia kepolitikan sekarang ini?
Apabila menyuarakan sokongan atau penolakan, keputusan dibuat berdasarkan kesan langsung kepada diri sendiri, bukan kepada umat. Adil atau tidak, bersih atau tidak, konstruktif atau destruktif, itu bukan persoalan utama, asalkan perut dan poket sendiri terpelihara sejahtera.

Kucing-kucing jalanan barangkali lebih tahu menilai erti maruah, pengorbanan dan keadilan.

Dan Allah Maha Sempurna, Maha Mengetahui, Maha Adil.

salam perjuangan, meow~

Thursday, October 12, 2006

kilau seribu rembulan

assalamualaikum.

Sejak akhir2 ini saya seperti sedar, tulisan saya seolahnya nyala yang kehilangan maya. Garapan intelek yang analitikal (pada perkiraan saya) sudah semakin jauh terkebelakang, dengan nukilan yang lebih berciri sentimental memenuhi barisan hadapan.

Barangkali kehidupan di tempat baru, dengan serbaneka kecamuk emosi yang pelbagai menanggapi perubahan, ditambah pula oleh dakapan angin dingin dan renjisan hujan musim luruh, menyebabkan saya lebih reflektif, sensitif dan ekspresif terhadap suara-kisah peribadi yang internal daripada isu-berita dunia yang eksternal.

InsyaAllah, masanya akan tiba apabila saya mengumpul semula habuk-habuk bara yang sentiasa bertaburan, lantas melonggokkannya menjadi unggun yang menyala penuh semangat. Embun masih belum gugur ke bumi, masih bergantung di hujung daun, dan selagi waktunya belum tiba untuk tersejat ke udara, insyaAllah ia akan terus memantulkan sinar bintang, bulan, dan suria.

Janganlah aku patah kerana rindu, janganlah aku tiarap kerana lelah menunggu, janganlah aku terpesong dari matlamat yang satu kerana rintangan yang beribu.

Kepada orang di Sheffield, nanti ada kucing belang berhajat nak berkunjung, jangan lupa bentang karpet biru dan sediakan ikan masak kicap ya?

salam kasih, salam perjuangan, intai2 kilau seribu rembulan, meow~

Tuesday, October 10, 2006

bingkisan musim luruh II

bertindih semalam dan masa kini
seperti butir salji dalam musim semi
aku membayangkan kelopak bunga berguguran
kuning, biru, ungu, dan kemerahan
dilayangkan angin yang menghantar gugus serdak putih
dan semuanya luruh di muka kali yang jernih.

semalam dan masa kini
adalah sejauh kenyataan dan mimpi
sejauh musim semi dan butir salji
mungkin beriring untuk suatu waktu
ketika angin memutar dengan ocehan rindu-temu
di muka kali yang mengalir, yang tinggal adalah kelopak bunga yang ceria dalam lesu
sedang gugus serdak putih larut sedetik itu
seperti semalam yang entah ke mana perginya
hanya sempat berlengah-lengah sebentar sebelum lenyap dihambat suria baru.


salam, meow~

Sunday, October 08, 2006

bingkisan musim luruh

apabila engkau memandang langit, sahabat
datar hamparan awan itu serupakah dengan yang memayungiku
suam suria yang meniti di birai-birai
adakah semanja matahari yang sesekali mengunjungiku
yang lekas sekali tersipu sembunyi disapa gerimis dan kabus.

apabila engkau melihat bulan, sahabat
cerah cerlangnya serupakah dengan yang menyilau mataku
hambatan angin yang merangkul geletarmu
adakah sederas pawana yang berkejaran di angkasa malamku
ketika aku terpegun melihat rembulan yang seakan berlari.

salji dingin kota ini sahabat,
cair juga oleh hangat bingkisan salam dan doamu
baru sebentar tadi, ketika senja mencantumkan malam dan siang
suria dan rembulan mengkhabarkan kepadaku
langitmu dan langitku
memayungi sehampar bumi yang sama.


salam, meow~

Sunday, September 24, 2006

Embun yang Menitik, Panggillah Ia Kembali ke Hujung Rumput (II)

Assalamualaikum.

Sebelum meneruskan kesinambungan entri Embun yang Menitik, Panggillah Ia Kembali ke Hujung Rumput (I), suka saya jawab pertanyaan seorang pelawat, “apakah maksud emansipasi”. Emansipasi, atau bahasa Inggerisnya emancipation, membawa pengertian konseptual (saya malas merujuk kamus untuk mencari makna harafiahnya satu persatu) ‘pembebasan’. Dalam konteks ‘emansipasi wanita’ ia membawa tafsiran ‘pembebasan wanita’.

Bila disebut ‘pembebasan’, maka harus ada sesuatu yang membelenggu, sehingga kebebasan itu menjadi sesuatu yang perlu diusahakan. Bergantung kepada manhaj perjuangan yang dipilih oleh mereka yang menjulang ideal emansipasi ini, kita lihat pelbagai perkara yang dihukum, atau ditohmah, sebagai belenggu yang ‘perlu dan patut’ dirungkaikan demi kemaslahatan wanita dan keadilan sosial untuk kedua-dua gender. Antaranya adalah diskriminasi berasaskan gender dalam peluang pendidikan dan perjawatan, prejudis masyarakat yang cenderung mempersalahkan wanita hampir seratus peratus dalam sebarang kecelaruan moral yang berlaku, dan paling menyedihkan, peraturan agama yang dikira mengongkong malah cuba mematahkan sayap-sayap wanita yang ingin terbang membelah angkasa.

Ada yang betul, ada yang tidak sesuai langsung.

Dalam ‘episod’ lepas, saya menyentuh perihal wanita yang culas dalam menjaga kehormatan diri sendiri tetapi bising meminta dihormati. Kali ini, saya ingin menyentuh aspek yang sedikit berlainan, aspek yang berkait dengan tajuk artikel ini, yang membawa filem Embun untuk dikaitkan bersama.

Saya ingin menjengah ruang-ruang lapangan intelektualisme, idealisme, dan iltizam wanita. Sejauh mana wanita benar-benar lantang dan berani, untuk bersuara dan bertindak, dengan penuh ilmu, matang dan bertanggungjawab, dengan wadah (medium) dan wacana (pengisian) yang benar-benar konkrit, relevan dan konstruktif (bersifat membangunkan) kepada umat.

Setakat ini amat kurang sekali terlihat fenomena sedemikian rupa, baik dalam gelanggang aktivisme wanita negara, mahupun dalam lingkungan benih-benihan srikandi di IPT. Wanita lebih terkongkong kepada pemikiran yang relatif kecil, berkisar kepada ruang lingkup yang hampir (immediate surroundings) sahaja, dan lebih cenderung menyerahkan sesuatu kepada pihak lelaki untuk dihujahkan atau dibentangkan. Isu-isu yang besar, yang berkait secara langsung dengan umat – baik dalam skala kecil di kolej atau universiti, mahupun dalam skala besar di khalayak ramai, jarang saya lihat wanita tampil memberikan pandangan yang bernas lagi berilmu, atau melaksanakan tindakan yang berani lagi tegas, dengan personaliti yang berkeyakinan lagi meyakinkan. Suara wanita dalam lapangan politik, falsafah, dan ilmiah jarang kedengaran dalam media, baik media cetak mahupun media elektronik, baik yang formal seperti akhbar mahupun yang tidak formal seperti weblog.

Benar, sebelum ghairah hendak bergelanggang di tengah-tengah masyarakat, wanita (baca: Muslimat) perlu mengutamakan kepimpinan di kalangan wanita dahulu. Banyak isu yang belum selesai dalam ‘skop wanita’. Masalah tutup aurat dan pergaulan bebas contohnya. Tidak salah kalau perkara itu diberi penekanan dalam usrah dan sebagainya. Tidak salah kalau mereka yang ‘tidak menepati piawaian’ ditegur. Tetapi sayang sekali jika hal yang ‘begitu-begitu’ sahaja yang diberikan perhatian. Waktu usrah, balik-balik hal yang demikian sahaja yang ditekankan. Cinta Allah yang dizahirkan melalui kata-kata puitis lagi menyentuh hati (yang mana adakalanya saya fikir sebenarnya diciplak daripada puja-puji Kristian kepada Tuhan, sehingga dikhuatiri menyalahi konsep Islam), menentang habis-habisan budaya ‘couple’, nasihat-nasihat agar menjaga aurat dan pergaulan, dan mensinonimkan perjuangan Islam dengan anti-Yahudi dan menangis bila melihat gambar berdarah di Palestin.

Seolah-olah dunia sesempit itu.

Benar, hampir semua yang mereka lakukan itu relevan dengan Islam. Tetapi itu sahajakah? Saya pernah mengajukan persoalan ini kepada ‘majlis tertinggi’ usrah muslimat kolej. Jawapannya? “Kita perlu mengatasi masalah di peringkat akar terlebih dahulu. Perbaiki yang asas”. Baik, kalau begitu, selagi yang asas belum pulih, selagi masih ada muslimat yang berkepit dengan teman lelaki dan membiarkan rambut lepas bebas di mana-mana, isu-isu yang lebih besar dan global tidak boleh diperbincangkan? Mengapa tidak seiringkan?

Tidak ada diskusi ilmiah tentang tulisan-tulisan ilmuan terbilang. Sangat sedikit perbincangan tentang isu-isu umat yang dilakukan secara matang. Kesahihan hadith diperlekeh. Inikah budaya wanita berfikiran besar yang ingin kita lihat?

Bersambung..

Monday, September 18, 2006

KU MENUNGGU~ .. biarlah bait kata berbicara

ku begini seperti selalu
membilang waktu berlalu
entah berapa lama
tidak ku sedarinya
berapa lama harus menunggu

aku impikan suram cahaya
bertukar cahaya indah
semoga tiba hari
bersinar ruang hati
menyuluh arah jalan kembali..

ku tunggu angin perubahan
barat utara timur selatan
meniti doa malam dan siang
teranyamnya semula ikatan

sayang semua bagaikan mimpi
kenyataannya langit dan bumi
aku di sini engkau di sana
sayup jauh terpisah


entahkan kerana sayangku
ataupun kerana sabarku
ku menunggu

air mata dan senyuman
antara mimpi dan harapan
adalah rindu semilu
menghiris kalbu

dan terlalu menyayangi
di akhirnya terkorban diri
menyedari itu aku putuskan
pasrah segala pada Tuhan


masih lagi seperti selalu
membilang waktu berlalu
semoga tiba hari
bersinar ruang hati
menyuluh arah agar kembali..

-Habsah Hassan-

Thursday, August 31, 2006

Embun yang Menitik, Panggillah Ia Kembali ke Hujung Rumput (I)

Assalamualaikum.

Petang tadi saya menonton filem Embun. Sekerat sahaja, itupun sambil-sambil bersembang dalam Yahoo! Messenger, melayari laman-laman web, dan bergurau dengan adik-adik. Ini bukan kali pertama menonton. Namun dalam sambalewa itu dapat juga nurani dan semangat ini tersentuh oleh mesej yang cuba disampaikan melalui perwatakan dan plot cerita.

Biarlah apa yang hendak dikutuk dan dihina tentang Embun. Tidak realistik. Tidak logik. Kotor kerana dinodai oleh adegan rogol. Ketahuilah, hatta daripada seorang pelacur itu pun kita masih boleh mempelajari sesuatu. Tercemarnya sebuah karya seni dengan unsur-unsur tertentu tidak bermakna tidak ada apa-apa yang boleh dikutip daripadanya.

(Apologi kepada ‘cikgu’ saya Faisal Tehrani, saya sentiasa menyokong gagasan cikgu yang menentang ‘perang budaya’, saya kira tulisan saya ini bukanlah menentang aliran perjuangan cikgu, malah saya kira diri saya berada dalam barisan bersama cikgu. Cumanya Embun mencuit naluri, menjadi inspirasi. )

Nun jauh pada waktu-waktu bergelar pelajar kolej dahulu – ya walaupun baru hampir empat bulan ditinggalkan, terasa amat jauh sudah masa-masa beluncas mengoyak kepompong itu – saya pernah, malah hingga sekarang mungkin, digelar ‘feminis’. Bukan kerana lalakan yang mendakwa ditindas dan menuntut kesamarataan gender beracuankan Women’s Lib, jauh sekali pemujaan kepada Sisters in Islam atau Amina Wadud. Jangan risau. Gila-gilaan begitu bukan permainan saya.

Wanita, terutamanya golongan terpilih yang intelek, bagi saya, sebelum menuntut hak dan keadilan daripada kaum lelaki, kesaksamaan layanan dan kesamarataan peluang, sepatutnya lebih dahulu mencermin diri sendiri. Setakat manakah kita telah melayakkan diri untuk mencanangkan ‘perjuangan’ kita, untuk mengendong ‘hak’ yang dituntut, kerana apalah sebenarnya hak itu kalau bukan tanggungjawab dalam penyamaran?

Sebelum memfokuskan kepada isu eksternal – pemberian hak dan pengiktirafan oleh lelaki terhadap wanita – ada baiknya kita melihat isu internal – pemeliharaan dan pemerkasaan martabat diri oleh wanita itu sendiri. Apabila menyebut wanita, fahamilah bahawa secara tidak langsung saya merujuk kepada Muslimah, kerana saya juga adalah seorang Muslimah. Kerana saya seorang pelajar, beliawanis, maka daripada sudut pandangan inilah yang saya gemar berdiri.

Penghormatan perlu diperoleh, bukan diminta-minta, jauh sekali dibeli. Menuntut kesaksamaan layanan bagi saya hampir sama dengan menuntut agar dihormati. Tidak hormat namanya kalau tanpa penghakiman dan penghukuman yang seadilnya. Soalnya, adakah wanita berada dalam situasi yang mewajarkan penghormatan diberikan kepada mereka?

Wanita melaung-laung menuduh lelaki, baik suami mahupun kekasih, mempermainkan mereka. Menggula-gulakan dengan kata-kata manis, menikmati sesedapnya setiap titis madu yang ada, mengikis setiap sen yang sudi dikorbankan, kemudian meninggalkan wanita terkapai-kapai – ada yang sudah ternoda – untuk mencari yang baru. Benar lelaki amat-amat bersalah dalam hal ini, tetapi siapakah yang membiarkan pagar tidak berkunci sehingga kambing-kambing menceroboh meratah pokok bunga di halaman? Siapa yang memakai perwatakan konon mulia pencinta agung setia, kemudian berlindung di sebalik eskapisme kata-kata “wanita lebih beremosi, rela berkorban demi cinta, lelakilah yang keji kerana mengambil kesempatan atas kehalusan perasaan kami” .

Mana ada pengorbanan mutlak sesama manusia. Wanita-wanita yang konon rela berkorban itu hakikatnya bukan berkorban, mereka ‘membeli’ cinta, dan apabila harga yang dibayar tidak sepadan dengan ganjaran yang dinikmati, malah muflis pula akhirnya, mereka berbicara seolah-olah tidak pernah menerima balasan apa-apa atas apa yang ‘dikorbankan’.

Sahsiah wanita masakini seringkali sukar untuk dibanggakan. Sungguh, jelak benar saya mendengar dan membaca kenyataan “pakaian bukan mencerminkan keimanan”, “buat apa pakai tudung kalau hati tak baik”, “belum sampai masanya untuk saya bertudung”. Ataupun ungkapan dalam makalah fesyen, “meski bertudung masih boleh bergaya” dan menayangkan model-model yang hanya menutup rambut tetapi singkat dan sendat mendedahkan aurat. Pergaulan bebas seolah-olah tidak menjadi kesalahan moral, hanya dosa peribadi barangkali, kerana itulah galak benar wanita-wanita bergurau senda bertepuk tampar bermesra-mesraan sesama lawan jantina. Wanita tidak terasa ‘saham jatuh’ apabila berpeleseran di pusat-pusat hiburan, ketawa menghilai seperti pontianak di pinggir-pinggir jalan, atau bermesra-mesraan dengan mana-mana lelaki yang kebetulan menjadi pasangan mereka ketika itu. Dalam bidang seni pun, wanita-wanita memperdagangkan atau diperdagangkan tubuh dan sensualiti mereka, atau anekaragam cerita-cerita peribadi - putus tunang, putus cinta, putus apa-apa -untuk melariskan produk dan mengalirkan wang melambak. Selalunya, wanita-wanita ini rela, tidak perlu dipaksa.

Perlakuan ini, anehnya, direstui oleh wanita-wanita lain seperti ibu-ibu mereka yang menyetujui anak-anak gadis mereka diusung ke sana sini atau mencampakkan harga diri di merata-rata tempat. Alasannya, mereka sudah besar dan pandai menjaga diri. Wanita-wanita seperti pejuang pembela hak asasi sejantina pula menyokong laku menggadai kehormatan ini, konon itulah petanda emansipasi wanita, kebebasan yang tidak sepatutnya disekat oleh lelaki yang hanya mencari alasan untuk terus mendominasi. Mungkin bagi mereka lelaki yang sepatutnya berhenti melihat wanita sebagai simbol seks, sebaliknya perlu belajar menerima fenomena ini dengan fikiran terbuka kerana wanita sudah semakin matang dan menuntut hak mereka untuk menikmati hidup.

Bersambung….

Sunday, August 27, 2006

kerana derita mereka tidak cukup memilukan - untuk jembelan merempat di tanah airku sendiri

memang dunia bergegar di bawah tapak kaki kita
memang bencana banyak mencecah sama merasa
cuma banyak atau tidak itu bezanya.

memang simpati sekarang murah
membaca kata sepatah air mata lantas tumpah
masing-masing mahu mengaku belasnya dan ihsannya melimpah
terperanjat, terkejut, terkedu, dan terkesima sendu pilu
semua mahu mengaku.

selama ini berkeliaran anak-anak miskin merempat
makan tidak pernah kenyang muat
belajar tidak habis sebaris ayat ditarik membantu mencari nafkah sesuap
selama ini merangkak pengemis-pengemis tua merayu kasihan
bukan malas atau mengelat tetapi kudrat tidak terdaya lagi menyuapkan.

selama ini ibu-ibu dan bapa-bapa miskin papa menggadai titis-titis nyawa untuk beberapa sen hanya
menggagau ikan di celah pasir laut memungut beras di tengah lumpur selut
mereka ingin menelan semua derita biar anaknya menghirup yang manis cuma
tapi tangan manusia tak terdaya
menampan hambatan awan hitam rencam rupa
sakit terlantar terkujur terkedang terkubur
berpindah satu anak tangga tinggalkan yang sengsara membilang duka menanti ajal tiba.

selama ini ada orang senang selesa
tidur perutnya penuh bangun hatinya teduh.

mengapa hanya bila trauma raksasa melanda
kita terasa "mereka saudara kita sedang menderita"?
mengapa hanya bila trauma raksasa melanda
kita melaung-laung memungut sedekah dan derma?

benar derita mereka derita besar
benar simpati kita simpati ikhlas suci segar

ya, wahai pemimpin dan warga budiman
wara-warakanlah laungan persaudaraan Islam
hanya untuk mereka yang menyabung nyawa di seberang lautan
hanya apabila bumi bergempa dan mengamuknya samudera
jiran sekampungmu yang tidak bersekolah semua anaknya
rakan senegerimu yang menumpang ihsan tokong sebelah rumah
rakyat negaramu yang memunggah barang berpindah di tengah malam selepas dihalau dek sewa bertunggak-tunggakan
tidak perlu kau sungguh-sungguhkan
kerana derita mereka tidak cukup memilukan.

Islam dan Melayu dan Islam..

salam.

memang meletakkan melayu sebagai matlamat perjuangan sehingga mengesampingkan islam itu tidak tepat. tetapi dalam konteks malaysia, memperjuangkan jatidiri melayu itu bagi saya berperanan penting juga dalam membina sebuah umat yang berjaya.

bahasa dan kebudayaan melayu itu adalah medium utama yang digunakan untuk menzahirkan 'nilai-nilai Islami' dalam masyarakat sejak mula Islam didakap oleh umat lagi. kebudayaan di sini merangkum aspek sopan santun dan budi bahasa, malah merangkum kedudukan Islam sendiri yang diletakkan tertinggi dalam struktur budaya Melayu. bukan merujuk kepada seni-senian yang ada tempatnya melanggar nilai Islam.

kerana 'gaya hidup Islam' itu adalah subjektif, dan mengaitkannya dengan imej yang lebih hampir seperti jati diri bangsa sendiri, bagi saya akan menjadikan umat lebih mudah mesra dan menghayati.

lagipun, tidak salah bukan untuk kita menghargai dan menyayangi jatidiri kita sendiri? identiti kita sendiri. islam itu fleksibel dan tidak menuntut kita mencabut diri daripada akar umbi.

banyak orang menyedari peri mustahaknya kepentingan agama dimartabatkan dan diserapkan dalam jiwa rakyat. tetapi tidak ramai yang mengerti, apatah lagi menyuarakan, jauh sekali memperjuangkan, tentang letak duduknya budaya dan bahasa Melayu dalam strata prioriti pembangunan insan.

abaikan suara-suara retorik yang menggadai 'perjuangan bangsa' demi kepentingan sendiri. bukan itu yang saya maksudkan. bukan 'jihad menyelamatkan makyong' dan 'perjuangan mengembalikan kegemilangan joget' yang saya kaitkan.

saya merujuk kepada ajakan, galakan, seruan, dan desakan supaya umat Melayu kembali kepada akar budaya mereka yang kaya dengan segala falsafah dan sopan santunnya, yang berlilit kait dengan Islam.

bukanlah maksud saya pemerkasaan jatidiri Melayu ini lebih penting daripada memartabatkan Islam, jauh sekali menggantikan perjuangan memartabatkan Islam. pemerkasaan jatidiri Melayu, bagi saya, akan menjadi instrumen yang dapat membantu dalam usaha memartabatkan Islam.

pihak2 yang memperjuangkan ketuanan Melayu mempunyai justifikasi mereka sendiri. ada yang berkata, inilah caranya, 'taktik sulit' untuk memelihara martabat Islam. sementelah perlembagaan tidak memberikan sebarang keistimewaan terhadap Islam selain daripada artikel 3 - Islam agama rasmi - , dan kita maklum mudahnya sensitiviti tercuit jika apa2 berunsur Islam diwara-warakan dan disebarluaskan. sesatlah, ekstrimislah, macam-macam lagi. dan mereka melihat agenda ketuanan Melayu ini memberi ruang kepada mereka untuk memelihara ketuanan Melayu sekaligus martabat Islam di bumi bertuah ini, sementelah juga dilihat lebih mudah menjaga martabat Islam melalui cara ini kerana sudah termaktub 'ketuanan Melayu' dalam dasar negara. hasil persetiaan murni yang mengizinkan pendatang berkongsi hak menjadi warga negeri.

sukar sekali sebenarnya memisahkan soal-soal Islami daripada soal-soal Melayu, dalam konteks negara ini. lihatlah, apabila 'pihak2 tertentu' mempersoalkan ketuanan Melayu, hampir serentak 'ketuanan Islam' turut dipersoalkan. mereka bertanya mengapa Melayu punya hak istimewa, adakah Islam bersifat tidak adil.

daripada satu segi, nampaklah silapnya apabila melabelkan Melayu=Islam dan Islam=Melayu, kerana kekalutan yang melanda umat Melayu akan memalit noda kepada Islam yang tidak salah apa-apa.

jadi bagaimana? memang kita tahu, meletakkan Islam sebagai teras perjuangan mengatasi unsur-unsur bangsa dan perkauman adalah kunci untuk mencapai kesepaduan dan kemakmuran. tetapi dalam konteks sekarang, jalan seolah-olah buntu.

pertubuhan-pertubuhan yang mengaku memperjuangkan Islam bertelagah sesama sendiri. masalah dalaman mencanak. memperalatkan agama. jumud dalam penafsiran dan aplikasi agama, tuntas khalayak silap mengerti, langsung menolak Islam itu sendiri.

pertubuhan-pertubuhan politik ala 'ketuanan Melayu' pula taksub dengan agenda bangsa sehingga meremehkan atau mengelakkan daripada meletakkan agama sebagai item yang penting dalam perjuangan mereka. mengapa? kepentingan diri, kejahilan.

tetapi jika kita cabut 'ketuanan Melayu' daripada konsep bernegara di Malaysia sekarang, logiknya Islam juga tidak akan mendapat tempat dalam perundangan. 'ketuanan Melayu' telah membolehkan orang2 Melayu berada di tempat2 yang 'tinggi', dengan 'jaminan hak', sekaligus memberikan mereka 'suara' untuk mempertahankan Islam.

kerana Islam di Malaysia seolah-olah belum mampu berdiri sendiri dalam lokus perundangan, sekadar menumpang peruntukan-peruntukan kecil perlembagaan (yang diserang dr segenap segi, hatta oleh Melayu-Islam sendiri), dan musuh-musuh menanti daripada segenap sudut, mencari lompong walaupun sebesar kuman untuk menerobos dan menyerang.

saya rindu melihat gagasan penyelesaian yang sistematik, kemas, dan realistik kepada situasi ini.

salam dr hamba Allah yg daif, sekadar menggambarkan situasi sekarang, maaf atas kelemahan dan kejahilan yang mungkin terzahir~

meow

(ditulis sebagai komen dalam blog seorang sahabat)

Wednesday, August 09, 2006

laga pemimpin laga

assalamualaikum.

Mahu bercerita tentang 'Kem Resolusi Intelektual Muslim'. Tidak begitu unik sebenarnya program ini daripada aspek pengisiannya. Diskusi dalam kumpulan tentang penyakit umat - sekularisme, kejumudan dan kecacamarbaan beragama. Permainan-permainan yang seperti biasa diperkaya dengan 'nilai-nilai moral di sebalik'nya. Solat berjemaah setiap waktu. Kuliah Subuh (waktu setan menggayuti kelopak mata) dan kuliah Maghrib. BBQ. Mandi sungai. Melalui pengisian yang ringkas-ringkas inilah nilai-nilai persaudaraan dan intelektualisme Islam, semangat untuk berbakti atas nama Islam cuba disemaikan, insyaAllah berjaya kalaupun tidak sepenuhnya.

Satu yang 'menarik' dalam kem ini, yang menjadikannya berbaloi untuk diceritakan di laman kucing belang ini adalah peristiwa 'gimik' yang berlaku. Dua tunggak utama program tiba-tiba bertelagah sewaktu 'night walking' kononnya hendak dimulakan. Kedua-duanya saling meninggikan suara dan menghilangkan diri dalam gelap malam. Kerana konflik autoriti, siapa yang lebih berkuasa. Di tengah-tengah rimba rekreasi Sungai Congkak. Dan ketika itu ternampaklah pelbagai reaksi.

Orang lelaki - muslimin - ada yang membuka kelab bual di dewan makan, membuat pelbagai spekulasi tentang aneka ragam 'masalah dalaman' yang mungkin berlaku. Melemparkan kritikan demi kritikan kerana apabila berlaku kepincangan manusia cenderung mencari sasaran untuk jari ditudingkan. Ada yang memulakan operasi mencari kedua-dua sahabat yang hilang.

Orang perempuan - muslimat - ada yang sibuk menekan-nekan telefon tangan, bermesej dan bertelefon sana sini cuba memahami apa sebenarnya yang berlaku. Ada yang tidak keluar mencari - masakan perempuan meredah hutan mencari lelaki yang hilang di tengah malam - tetapi tercangak menunggu terkebil-kebil sehingga tengah malam menjadi dinihari. Ada yang berkumpul bergosip, sementelahan ada teman yang membawa pulang cerita hangat yang didengar daripada kumpulan lelaki.

Dan satu golongan lagi, ada yang lelaki dan ada juga perempuan, adalah kelompok yang tidak mempedulikan apa yang berlaku. Apabila program batal kerana kedua-dua 'bos besar' sudah putus wayar, mereka ambil jalan mudah, balik dan tidur. Apa nak jadi, jadilah. Bukan urusan aku.




Salah seorang yang bertengkar malam itu - namakan dia X - adalah sahabat yang terlalu rapat dengan saya. Yang saya kenal hati budinya dan sudah banyak melalui pahit manis bersama dalam dunia kepimpinan pelajar. Yang seorang lagi - namakan dia Y - pula adalah orang yang sering bergeseran dengan saya, sehingga saya menanggapi perhubungan dengannya sebagai 'tidak lebih daripada kerana urusan' dan perasaan saya terhadapnya kosong daripada kehangatan persahabatan. Awas, Y bukan bekas teman lelaki saya atau orang yang menolak cinta saya. Fikiran orang kadang-kadang cepat saja melompat. Tidak hairanlah kalau saya terus menyebelahi X dan menganggap Y adalah punca segala-galanya. Apatah lagi konflik autoriti yang hampir sama pernah berlaku antara saya dan Y sedikit masa dahulu, dengan kesan yang bukan sedikit.

Gambar di atas bukan X dan Y.

Saya bukanlah antara orang-orang penting dalam penganjuran program. Bukan salah seorang daripada majlis nuqaba' yang menjadi jawatankuasa. Maka malam itu tatkala 'mereka yang penting' berbincang sesama mereka, berkerut-kerut dahi, keluar di tengah malam seolah-olah ada 'rancangan sulit' untuk menyelesaikan 'masalah dalaman' itu, saya terbaring di atas katil terkebil-kebil. Gagal melelapkan mata kerana kerisauan - lebih risaukan X sebenarnya - dan kerana berasa lumpuh. Tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak layak. Saya siapa? Hanya peserta biasa-biasa. Apa istimewanya saya untuk melebihi orang lain, untuk mengikut 'orang-orang penting' melaksanakan 'misi' mereka? Apa hak saya untuk masuk campur? Dan sifat semulajadi saya yang sukar membiarkan sesuatu berlaku tanpa cuba menyumbangkan apa-apa atau setidak-tidaknya mengambil tahu menyebabkan hati semakin mendongkol. Katil saya di sebelah pintu, siapa saja yang keluar masuk saya akan perasan. Saya berpura-pura tidur, memasang telinga apabila siapa sahaja masuk membawa cerita.

Mengapa saya tidak menghubungi X? Kata rapat sangat? Hmm, saya gerun sebenarnya. Mengenali X yang barannya bukan calang-calang andai benar-benar tercabar, saya takut disembur jika berani-berani 'mengganggu' ketika ini.

Sudahnya, esoknya sewaktu hampir majlis penutup bocorlah rahsia bahawa itu semua adalah gimik. Lakonan semata-mata. Tak perlulah dihuraikan perasaan saya ketika itu kerana ia kurang berkaitan dengan moral cerita yang hendak disampaikan ini.

Saya tertarik untuk memetik pertelagahan pemimpin yang dilakonkan itu sebagai refleksi kepada percakaran sebenar dalam dunia nyata dengan skala yang lebih besar. Betapa banyaknya pemimpin yang telah berbalahan, yang selalunya walau apa wajahpun diberi kepada hujah masing-masing, intinya adalah satu konsep : kuasa. Ada ketikanya pertikaian itu tidak meleweh kepada anak-anak buah yang mungkin tidak tahu pun akan masalah yang berlaku. Mungkin tahu tetapi tidak nampak. Mungkin nampak tetapi tidak terasa impaknya. Kerana pemimpin tidak gopoh dan anak buah tidak menyendukkan nasi tambah.

Apabila pecah percanggahan di hadapan anak buah sehingga saling mempersalahkan dan berkerat rotan berpatah arang, maka di sinilah titik mulanya segala masalah sebenar. Akan ada yang menunjukkan tanggungjawab dan berusaha membantu sedaya mungkin. Ada yang tidak ambil kisah. Ada yang hanya berminat untuk mengambil tahu atas dasar 'berita sensasi'. Ada yang mengambil keputusan untuk taking sides - memilih salah satu untuk menyokong kerana sentimen peribadi atau sebab-sebab lain.

Antara kelompok-kelompok ini, siapakah yang paling bersalah? Siapakah pengikut yang paling keji lagi tidak beretika? Ya, yang salah tetap salah. Namun secara kasarnya, sebenarnya masing-masing hanya 'memainkan peranan' memenuhi 'ramalan' tentang apa yang sepatutnya berlaku jika pemimpin tiba-tiba buat hal. Salahkan pemimpin dahulu sebelum menyalahkan anak buah yang 'emosional, tidak setia, tidak prihatin, materialistik'. Kerana logiknya apa perlunya pemimpin yang hebat jika anak buah sudah sempurna sifat?

Dan apabila pemimpin terlalu sibuk bergaduh sehingga tidak sempat menguruskan hal-hal pengikut, sedangkan hal-hal pengikut perlu diuruskan, mahu tidak mahu, melalui proses semulajadi akan naiklah pemimpin yang baru. Lantikan secara 'bidan terjun' atau 'menangguk di air keruh' - bergantung kepada situasi dan personaliti yang terlibat - mungkin akan mendatangkan sense of order dalam jangka masa pendek tetapi disastrous dalam jangka masa panjang. Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahli ... (sambung sendiri)

Kaitkanlah sendiri situasi ini dengan cacamarba politik negara, negeri, universiti, kolej, hatta kampung orang asli sekalipun. Boleh berlaku di mana-mana dalam pelbagai wajah, namun generalisasi boleh dibuat untuk mencari kesamaan.



Menjadi pemimpin bukan sekadar memimpin pengikut, menjadi pemimpin juga termasuklah memimpin diri sendiri agar tidak terlalu ghairah untuk memimpin sehingga lupa akan kesan yang lebih besar kepada pimpinan. Pengikut berhak mengetahui kesilapan yang dilakukan, yang menuntut pembetulan, tetapi bukan untuk diheret supaya memihak kepada Pemimpin A atau Pemimpin B. Kesetiaan anak buah (dan juga pemimpin)sepatutnya lebih kepada organisasi, bukan mengutamakan Pemimpin A atau Pemimpin B hingga mengesampingkan organisasi.Dan ini, memerlukan kematangan daripada Pemimpin A dan Pemimpin B, lebih mustahak daripada menuntut kematangan daripada anak buah. Jika anak buah lebih matang daripada pemimpin, logiknya apa perlunya si pemimpin kekal di takhta pemimpin?

Tengok keadaan juga, kalau organisasi itu yang sudah rosak dan korup, pandai-pandailah anak buah membuat perhitungan...

Kadang-kadang juga, ada suara-suara kecil yang ingin memberikan sumbangan kepada negara. Yang ingin mengambil tahu mengikut kadarnya. Tetapi tidak diberikan peluang -mungkin kerana status sosial, ideologi politik, dan lain-lain. Memang tidak semua pengikut boleh terlibat dalam penyelesaian masalah dan perangkaan keputusan kerana atas sebab itulah pemimpin dan jawatankuasanya dilantik. Tetapi berpada-padalah. Jangan perlekehkan suara-suara kecil ini kerana ia mungkin boleh menjadi besar. Beri peluang, dorongan dan pengiktirafan sewajarnya. Jangan sampai suara-suara kecil ini mencari saluran lain yang sudi memberikan ruang - media alternatif, ajaran sesat, 'penjilat' politik, proksian Yahudi, apa-apa saja - saluran yang mungkin menjadikan sumbangan asal bertukar sumbang. Mungkin sumbang pada mata-mata tertentu sahaja, mungkin benar-benar sumbang. Ketika itu kita akan lihat 'mereka yang penting' sibuk mempersalahkan dan mempersalahkan. Bukan mengakui kesalahan.

salam perjuangan , meowwwwwwwwwww...

Saturday, August 05, 2006

Kasih I

bermula dan belum berakhir
mengakar setelah ia hadir
rumput-rumput yang tidak alah apabila dipijak
dihidupkan oleh harapan
memberi udara kepada nafas-nafas yang sering sesak.

kasih tidak buta
ia melihat pelbagai cerita
dan memaafkan semuanya.

ia sukar berkata jemu
kerana ia sifatnya menunggu.


dedikasi untuk yang wujud tak tersebut.

Friday, August 04, 2006

kem resolusi intelektual muslim





kem resolusi intelektual muslim a.k.a. Muslim Intellectual Resolution Camp

Thursday, August 03, 2006

imbasan kem BTN

Assalamualaikum.

Hm. Macam mana BTN? Daripada satu perspektif, memang banyak informasi yang berguna yang disampaikan. Realiti hidup yang umumnya tersembunyi kerana tidak masuk dalam silibus peperiksaan dan tidak cukup menghiburkan untuk diusahakan sendiri mencarinya oleh anak-anak muda. Yang seringkali dikaburi oleh semangat yang berapi-api untuk mengkritik dan menuntut perubahan tanpa menyedari apakah keadaan semasa yang hendak diubah.

Asalnya tempat kami di Maran, Pahang. Tempat nyamuk berkonsert di tengah-tengah hutan. Sehari sebelum program, lokasi ditukar ke tepi pantai. Ke sebuah resort di Melaka. Tempat alhamdulillah cukup memuaskan bagi saya. Walaupun jejaring katilnya melendut dan tilam nipis menyebabkan belakang merungut, ada teman mengeluh cadarnya berbau 'kencing kucing', lantai berhabuk seperti lama tidak dihuni, semua itu perkara kecil. Penyaman udara sentiasa berdengung. Pemanas air sentiasa berfungsi. Eloklah, sebab kami perlu bangun mandi seawal jam lima pagi. Makanan, bagi saya yang memang kurang melahap bila di tempat orang (di rumah mengalahkan rimau), sudah memadai.

Tazkirah ('kuliah moral') setiap subuh dan maghrib. Bukan senang hendak tidur, didudukkan di kerusi paling hadapan. Isu-isu yang disentuh bermula dengan isu yang universal. Islam yang sering disalahertikan. Perpaduan. kepentingan ilmu. pecah-belah umat Islam. Kemudian menuju ke hujung terus pekat dengan nada politik. ISA. Malaysia negara Islam.

Modul ceramah ada empat. Tanah air, rakyat, kerajaan, kedaulatan. Banyak maklumat yang diperoleh dari sesi-sesi ini. Keharuan disentak oleh kemurnian dan semangat juang generasi terdahulu. Kekesalan melihat betapa ketinggalannya umat Melayu dalam segala bidang yang menjadi nadi kemajuan, betapa terkehadapannya umat Melayu dalam segala bidang yang merundungkan kemusnahan. Kesedaran tentang kerusi-kerusi parlimen dan ketuanan Melayu yang semakin tercabar oleh perpecahan dan ketidakcukupan kerusi untuk menguasai kerajaan, apatah lagi mengubah perlembagaan. Kengerian tentang petaka hitam yang didatangkan dari langit yang terbuka atas nama globalisasi. Dan daripada adukan semua emosi dan informasi diharap semangat dan patriotisme akan bercambah dan subur dalam jiwa-jiwa kami. Diperkukuh pula oleh sesi-sesi LDK yang divisikan akan membawa kami mengenal diri, membina cita-cita dan mengetahui dengan lebih lanjut tentang pelbagai isu semasa. Bunyinya begitu muluk. Tanpa cacat.

Itu yang dicanang-canangkan. Dihebah-hebahkan. Dikonon-kononkan.

Hakikatnya banyak yang pulang kecewa. Terasa seperti tidak mendapat apa-apa. Bukan kerana tidak ada apa-apa yang diberikan. Banyak maklumat. Banyak panduan. Tapi cara penyampaian dan nasi tambah yang disertakan bersama hard fact itu yang menyebabkan protes senyap berleluasa, dan protes senyap ini diberikan suara setelah masing-masing bebas daripada cengkaman penilaian tingkahlaku yang dimomokkan untuk penentuan lulus/gagal. Sebagai pelajar yang bakal ke luar negara insyaAllah, dan menghadiri kem BTN sebagai syarat wajib untuk ke sana, kegagalan adalah sesuatu yang 'amat menakutkan'.

Telah banyak yang saya kritik dalam blog friendster saya, dengan alamat yang diletakkan dalam posting 'sekadar berlalu' sebelum yang ini diposkan. Cukuplah kalau saya menyuarakan kekecewaan kerana 'pihak-pihak' tertentu yang berdegar-degar mengkhabarkan dukacita mereka tentang pemikiran Melayu yang terbatas, aneka macam sikap buruk Melayu dan ketandusan intelektualiti terutamanya di kalangan remaja Melayu, sesungguhnya diri mereka sendiri masih belum dibebaskan daripada belenggu fikrah yang prasangka, jumud, lagi menjumudkan.

Alangkah jumudnya fikiran 'pihak-pihak' tertentu yang menganggap lepasan program pengajian bertaraf antarabangsa boleh disuap buta-buta dengan maklumat dan konsep yang mungkin mereka sendiri pun kurang faham maknanya, dan ditambahkan pula dengan unsur-unsur politik bermotifkan penambahan undi yang memualkan. Bias yang melampaui tahap toleransi. Terasa intelektualiti kami tidak dihormati. Pendapat yang 'bertentangan' dikesampingkan, tidak dilayan, atau dibidas habis-habisan. Kami tercari-cari pengaplikasian konsep demokrasi, kebebasan berfikir, kebebasan bersuara dan keadilan dalam penyebaran maklumat.

Alangkah prasangkanya 'pihak-pihak' tertentu yang menganggap sebarang pandangan yang mengkritik adalah pandangan yang menolak. Lebih prasangka lagi melucukan apabila 'mereka' merasakan bahawa sekiranya peserta-peserta ini diberikan maklumat yang lebih adil dan tidak berpaksikan satu pihak sahaja, tidak diindoktrinasi dengan ideologi-ideologi 'taat setia' dan 'perpaduan' yang melulu membuta (indoktrinasi yang GAGAL), dan diberi peluang menyuarakan pendapat, mereka akan menjadi penentang kerajaan yang tidak bersyukur dan mungkin akan menjadi militan. Lucu bukan? Tapi apa yang berlaku menampakkan ciri-ciri prasangka yang sedemikian.

Cakap tak serupa bikin.

salam perjuangan, meowww....

Wednesday, August 02, 2006

sekadar berlalu

Assalamualaikum.

Sudah mencecah dua setengah pagi. Jari-jemari saya masih laju menaip. Sudah lama kucing belang ini tidak mengiau. 'Adik perempuan'nya di laman friendster lebih kerap dibelai-belai.

Saya baru pulang dari kem Biro Tatanegara yang diwajibkan untuk semua pelajar yang bakal ke luar negara. Yang ingin mengetahui pandangan saya terhadap kem tersebut, silalah kunjungi http://anakgayong.blogs.friendster.com/kucingbelang2/2006/08/ayam_seekor_pot.html.

salam perjuangan, meowww.... mungkin di lain hari kita ramaikan halaman ini dengan kucing-kucing yang bebas berlari.

Thursday, July 20, 2006

Imam III – belasungkawa

Pada muka-muka surat terakhir novel Imam, buah tangan Abdullah Hussain, air mata saya berderaian. Walaupun sudah diketahui sejak awal yang malapetaka menimpa Imam Haji Mihad, walaupun sudah diketahui yang pengakhirannya adalah kematian (syahid?) buat Imam ini, tetapi detik-detik ‘sebenar’ amat mengharukan. Umi memandang dengan kerutan dahi yang membahasakan tanya.

“Tok imam ni dah mati….”

Seperti aliran air terjun yang membuak-buak tiba-tiba berhenti, meninggalkan jeram-jeram menakung sepi. Seperti matahari yang tiba-tiba padam sehingga pucuk-pucuk hijau terkaku di tengah tari. Lalu sahut-menyahutlah rintihan alam menangisi keindahan yang pergi. Penamat perjuangan Imam Haji Mihad berlaku begitu tuntas. Perubahan-perubahan yang dimulakan dan dipimpinnya baru menampakkan hasil yang memberangsangkan. Cabaran yang dihadapi juga semakin sengit. Ketika itulah ajalnya datang mendadak. Benarlah, tiada insan yang memegang hayatnya sendiri, walaupun hanya sehujung kuku.

Saya terpanggil untuk menyentuh kisah pengkarya yang melalui jari-jemarinyalah lahirnya novel Imam ini. Sasterawan Negara Abdullah Hussain kini mungkin berada dalam detik-detik penghujung perjuangannya di medan sastera. Satu demi satu nikmat yang pernah dikecapi diambil kembali oleh Yang Meminjamkan.

Teringat luahannya, fikirannya sudah tidak kreatif seperti dulu lagi. Sudah sukar mencurahkan ilham-ilham bernas seperti yang pernah mencorakkan minda jutaan khalayak. Bayangkan sasterawan yang hidupnya bernadikan curahan ilham diturunkan dugaan sedemikian. Mungkin separuh hayatnya terasa lumpuh.

Pendengaran dan pertuturannya sudah kehilangan upaya. Malah baru-baru ini, khabar diterima bahawa insan sastera ini sudah kehilangan gerak. Tidak bermaya lagi. Mungkin waktu penamat pengembaraannya di jagat raya ini pun sudah semakin hampir.

Yang datang akan pergi. Yang hidup akan mati. Perjalanan, walau sejauh manapun akan terhenti. Abdullah Hussain telah melalui perjalanan yang penuh madu dan duri, warna-warni pengalaman yang digarap semula dalam rupa tulisan. InsyaAllah tidak sedikit sumbangannya kepada kemanusiaan, kepada umat, kepada Islam.

Begitulah yang saya impi-impikan. Yang saya harap-harapkan. Buat saya, dan buat semua sahabat-sahabat. Perjalanan kita mungkin panjang dan mungkin pendek pada ukuran manusia, tetapi hakikatnya kehidupan ini amat singkat jika dibandingkan dengan lembaran abadi yang akan terhampar di dunia sana nanti. Lakukanlah yang terbaik dengan setiap saat yang dimiliki agar kita tidak akan menyesal apabila suatu hari nanti kita menoleh mengimbas kembali perjalanan yang pernah dilalui.

Perjuangan Haji Mihad tidak mati bersama kepergiannya. Perjuangan itu telah diteruskan oleh saudara-saudara dan sahabat-sahabatnya. Mengingatinya yang telah tiada memang akan mendatangkan kesedihan. Tetapi dalam ingatan itu ada teladan, pengajaran dan dorongan untuk terus berjuang.

Kisah perjalanan yang indah akan disambung oleh pengembara lain dengan bahasa mereka sendiri kerana kisah itu terlalu indah untuk dibiarkan berakhir terlalu awal.

Abdullah Hussain adalah seorang manusia. Manusia yang dianugerahi bakat oleh Allah lantas menggunakannya untuk berjuang di gelanggang sastera. Seandainya nafasnya tidak lagi mewarnai dunia sastera, akan ada yang lain menyambung legasinya.

Memperjuangkan kematangan beragama; Islam yang syumul dan fleksibel tanpa dibatasi fanatik perkauman, kejumudan, atau prasangka melulu yang meracuni ukhuwah; martabat ilmu dalam memahami dan mengaplikasikan ajaran agama; serta tiada kompromi apabila mempertahankan kesuciannya.

Belasungkawa dan bingkisan doa untuk Abdullah Hussain sekeluarga. Semoga mereka tabah menerima ujian ini. Andainya kesembuhan itu lebih baik, biarlah beliau lekas sembuh, dan kembali bersastera hendaknya. Andainya pulang itu lebih baik, semoga kepulangannya dalam kedamaian dan kemuliaan, disambut oleh pusara yang tersenyum dan taman-taman syurga yang mengharum.

Salam perjuangan, meowwwwww….

Imam II – perjuangkan perubahan

Imam Haji Mihad punya latar belakang yang menimbulkan kekaguman dan keinsafan. Dia tidak diwirakan dan dimuliakan oleh Abdullah Hussain dengan lantang dan melampau-lampau, tetapi kehebatannya diserlahkan dalam kesederhanaan, ketinggian ilmu, dan kerendahan hati. Kegetiran dan cabaran yang pernah dilalui – kehilangan bapa, imam kampung yang dibunuh Jepun; kematian ibu yang sakit kerana berdukacita, mengembara menuntut ilmu di Makkah dan Indonesia, menjadi tentera yang nyaris mati diseksa semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia – menjadikannya insan yang tabah dan tahan diuji.

Segelintir sahabat merayu dan memintanya pulang untuk membimbing penduduk kampungnya keluar daripada kemunduran, kekeliruan serta kemalasan. Lantas Imam Haji Mihad membawa bersama isteri dan anaknya, meninggalkan kehidupannya yang selesa walaupun tidak mewah di Indonesia, lantas memulakan langkah untuk menyingkap satu lembaran baru di Kampung Anggerik Desa. Berbekalkan karisma, ilmu, iman dan azam.

Satu kelainan yang menyentuh hati saya adalah pegangannya kepada prinsip ‘kepimpinan melalui teladan’. Bukan sekadar berceramah dan berkhutbah, bukan sekadar mendengar dan memahami masalah serta memberi nasihat yang berhikmah. Imam Haji Mihad benar-benar ‘cakap serupa bikin’. Dia sendiri memberus mencuci daki dan lumut di tandas dan tempat berwuduk masjid. Dia tidak segan berkeringat mencungap kepenatan, membersihkan halaman masjid untuk memperindahkannya dengan pokok-pokok menjadi taman, memerun belukar membina gelanggang, mencangkul tanah membina irigasi semasa musim kemarau.

Teladan yang jelas, buat anak-anak muda hari ini, terutamanya yang aktif dalam lapangan dakwah dan islah. Untuk memperoleh kesan yang signifikan, jangan takut bervisi. Pada awalnya memang kelihatan seperti membina istana di awang-awangan. Hendak mengikis daki kejumudan dan kemalasan yang bertimbun sekian lama dalam minda penduduk kampung lebih sukar daripada mencuci daki dan lumut di lantai dan dinding tandas. Projek-projek yang dicadangkan – membina taman di pekarangan masjid, gelanggang sukan dan irigasi yang besar untuk mengairi sawah kontang sekali pandang seperti mustahil untuk dijayakan. Memerlukan tenaga dan kerjasama yang bukan sedikit. Namun Imam Haji Mihad tidak beralah sebelum berlari. Ingat, visi jangan tergantung di hujung bibir dan melantun di dinding-dinding kamar mesyuarat. Visi yang berani dan realistik, disusuli oleh pelaksanaan yang bersistem dan bersungguh-sungguh, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’, ‘alang-alang mandi biar basah’, insyaAllah benang yang ditenun lembar demi lembar akan menjadi kain yang indah.

Untuk punya visi yang hebat dan besar, fikiran perlu dimerdekakan. Memandang sesuatu daripada segenap penjuru, meletakkan diri dalam pelbagai lokasi, mempelbagaikan perspektif. Jangan terbelenggu dengan telunjuk orang lain, atau orang-orang lain, walaupun mungkin mereka memegang setampuk autoriti. Rancanglah seperti pemenang catur yang meramal gerakan lawan dua puluh langkah ke hadapan. Dalam merangka visi, jangkau sekali kemungkinan-kemungkinan kesukaran yang mungkin terpacul di tengah jalan. Bukan untuk mematahkan semangat, tetapi supaya persediaan boleh dibuat untuk menanganinya kelak. Visi harus bertampan logik dan rasionaliti. Usah lekas terbawa-bawa dengan laungan semangat yang kadang-kadang membutakan penilaian.

Pesan seorang sahabat, jangan membuntuti semangat, biar semangat yang mengekori kita.

Salam perjuangan, meowwww….