Tuesday, October 10, 2006

bingkisan musim luruh II

bertindih semalam dan masa kini
seperti butir salji dalam musim semi
aku membayangkan kelopak bunga berguguran
kuning, biru, ungu, dan kemerahan
dilayangkan angin yang menghantar gugus serdak putih
dan semuanya luruh di muka kali yang jernih.

semalam dan masa kini
adalah sejauh kenyataan dan mimpi
sejauh musim semi dan butir salji
mungkin beriring untuk suatu waktu
ketika angin memutar dengan ocehan rindu-temu
di muka kali yang mengalir, yang tinggal adalah kelopak bunga yang ceria dalam lesu
sedang gugus serdak putih larut sedetik itu
seperti semalam yang entah ke mana perginya
hanya sempat berlengah-lengah sebentar sebelum lenyap dihambat suria baru.


salam, meow~

Sunday, October 08, 2006

bingkisan musim luruh

apabila engkau memandang langit, sahabat
datar hamparan awan itu serupakah dengan yang memayungiku
suam suria yang meniti di birai-birai
adakah semanja matahari yang sesekali mengunjungiku
yang lekas sekali tersipu sembunyi disapa gerimis dan kabus.

apabila engkau melihat bulan, sahabat
cerah cerlangnya serupakah dengan yang menyilau mataku
hambatan angin yang merangkul geletarmu
adakah sederas pawana yang berkejaran di angkasa malamku
ketika aku terpegun melihat rembulan yang seakan berlari.

salji dingin kota ini sahabat,
cair juga oleh hangat bingkisan salam dan doamu
baru sebentar tadi, ketika senja mencantumkan malam dan siang
suria dan rembulan mengkhabarkan kepadaku
langitmu dan langitku
memayungi sehampar bumi yang sama.


salam, meow~

Sunday, September 24, 2006

Embun yang Menitik, Panggillah Ia Kembali ke Hujung Rumput (II)

Assalamualaikum.

Sebelum meneruskan kesinambungan entri Embun yang Menitik, Panggillah Ia Kembali ke Hujung Rumput (I), suka saya jawab pertanyaan seorang pelawat, “apakah maksud emansipasi”. Emansipasi, atau bahasa Inggerisnya emancipation, membawa pengertian konseptual (saya malas merujuk kamus untuk mencari makna harafiahnya satu persatu) ‘pembebasan’. Dalam konteks ‘emansipasi wanita’ ia membawa tafsiran ‘pembebasan wanita’.

Bila disebut ‘pembebasan’, maka harus ada sesuatu yang membelenggu, sehingga kebebasan itu menjadi sesuatu yang perlu diusahakan. Bergantung kepada manhaj perjuangan yang dipilih oleh mereka yang menjulang ideal emansipasi ini, kita lihat pelbagai perkara yang dihukum, atau ditohmah, sebagai belenggu yang ‘perlu dan patut’ dirungkaikan demi kemaslahatan wanita dan keadilan sosial untuk kedua-dua gender. Antaranya adalah diskriminasi berasaskan gender dalam peluang pendidikan dan perjawatan, prejudis masyarakat yang cenderung mempersalahkan wanita hampir seratus peratus dalam sebarang kecelaruan moral yang berlaku, dan paling menyedihkan, peraturan agama yang dikira mengongkong malah cuba mematahkan sayap-sayap wanita yang ingin terbang membelah angkasa.

Ada yang betul, ada yang tidak sesuai langsung.

Dalam ‘episod’ lepas, saya menyentuh perihal wanita yang culas dalam menjaga kehormatan diri sendiri tetapi bising meminta dihormati. Kali ini, saya ingin menyentuh aspek yang sedikit berlainan, aspek yang berkait dengan tajuk artikel ini, yang membawa filem Embun untuk dikaitkan bersama.

Saya ingin menjengah ruang-ruang lapangan intelektualisme, idealisme, dan iltizam wanita. Sejauh mana wanita benar-benar lantang dan berani, untuk bersuara dan bertindak, dengan penuh ilmu, matang dan bertanggungjawab, dengan wadah (medium) dan wacana (pengisian) yang benar-benar konkrit, relevan dan konstruktif (bersifat membangunkan) kepada umat.

Setakat ini amat kurang sekali terlihat fenomena sedemikian rupa, baik dalam gelanggang aktivisme wanita negara, mahupun dalam lingkungan benih-benihan srikandi di IPT. Wanita lebih terkongkong kepada pemikiran yang relatif kecil, berkisar kepada ruang lingkup yang hampir (immediate surroundings) sahaja, dan lebih cenderung menyerahkan sesuatu kepada pihak lelaki untuk dihujahkan atau dibentangkan. Isu-isu yang besar, yang berkait secara langsung dengan umat – baik dalam skala kecil di kolej atau universiti, mahupun dalam skala besar di khalayak ramai, jarang saya lihat wanita tampil memberikan pandangan yang bernas lagi berilmu, atau melaksanakan tindakan yang berani lagi tegas, dengan personaliti yang berkeyakinan lagi meyakinkan. Suara wanita dalam lapangan politik, falsafah, dan ilmiah jarang kedengaran dalam media, baik media cetak mahupun media elektronik, baik yang formal seperti akhbar mahupun yang tidak formal seperti weblog.

Benar, sebelum ghairah hendak bergelanggang di tengah-tengah masyarakat, wanita (baca: Muslimat) perlu mengutamakan kepimpinan di kalangan wanita dahulu. Banyak isu yang belum selesai dalam ‘skop wanita’. Masalah tutup aurat dan pergaulan bebas contohnya. Tidak salah kalau perkara itu diberi penekanan dalam usrah dan sebagainya. Tidak salah kalau mereka yang ‘tidak menepati piawaian’ ditegur. Tetapi sayang sekali jika hal yang ‘begitu-begitu’ sahaja yang diberikan perhatian. Waktu usrah, balik-balik hal yang demikian sahaja yang ditekankan. Cinta Allah yang dizahirkan melalui kata-kata puitis lagi menyentuh hati (yang mana adakalanya saya fikir sebenarnya diciplak daripada puja-puji Kristian kepada Tuhan, sehingga dikhuatiri menyalahi konsep Islam), menentang habis-habisan budaya ‘couple’, nasihat-nasihat agar menjaga aurat dan pergaulan, dan mensinonimkan perjuangan Islam dengan anti-Yahudi dan menangis bila melihat gambar berdarah di Palestin.

Seolah-olah dunia sesempit itu.

Benar, hampir semua yang mereka lakukan itu relevan dengan Islam. Tetapi itu sahajakah? Saya pernah mengajukan persoalan ini kepada ‘majlis tertinggi’ usrah muslimat kolej. Jawapannya? “Kita perlu mengatasi masalah di peringkat akar terlebih dahulu. Perbaiki yang asas”. Baik, kalau begitu, selagi yang asas belum pulih, selagi masih ada muslimat yang berkepit dengan teman lelaki dan membiarkan rambut lepas bebas di mana-mana, isu-isu yang lebih besar dan global tidak boleh diperbincangkan? Mengapa tidak seiringkan?

Tidak ada diskusi ilmiah tentang tulisan-tulisan ilmuan terbilang. Sangat sedikit perbincangan tentang isu-isu umat yang dilakukan secara matang. Kesahihan hadith diperlekeh. Inikah budaya wanita berfikiran besar yang ingin kita lihat?

Bersambung..

Monday, September 18, 2006

KU MENUNGGU~ .. biarlah bait kata berbicara

ku begini seperti selalu
membilang waktu berlalu
entah berapa lama
tidak ku sedarinya
berapa lama harus menunggu

aku impikan suram cahaya
bertukar cahaya indah
semoga tiba hari
bersinar ruang hati
menyuluh arah jalan kembali..

ku tunggu angin perubahan
barat utara timur selatan
meniti doa malam dan siang
teranyamnya semula ikatan

sayang semua bagaikan mimpi
kenyataannya langit dan bumi
aku di sini engkau di sana
sayup jauh terpisah


entahkan kerana sayangku
ataupun kerana sabarku
ku menunggu

air mata dan senyuman
antara mimpi dan harapan
adalah rindu semilu
menghiris kalbu

dan terlalu menyayangi
di akhirnya terkorban diri
menyedari itu aku putuskan
pasrah segala pada Tuhan


masih lagi seperti selalu
membilang waktu berlalu
semoga tiba hari
bersinar ruang hati
menyuluh arah agar kembali..

-Habsah Hassan-

Thursday, August 31, 2006

Embun yang Menitik, Panggillah Ia Kembali ke Hujung Rumput (I)

Assalamualaikum.

Petang tadi saya menonton filem Embun. Sekerat sahaja, itupun sambil-sambil bersembang dalam Yahoo! Messenger, melayari laman-laman web, dan bergurau dengan adik-adik. Ini bukan kali pertama menonton. Namun dalam sambalewa itu dapat juga nurani dan semangat ini tersentuh oleh mesej yang cuba disampaikan melalui perwatakan dan plot cerita.

Biarlah apa yang hendak dikutuk dan dihina tentang Embun. Tidak realistik. Tidak logik. Kotor kerana dinodai oleh adegan rogol. Ketahuilah, hatta daripada seorang pelacur itu pun kita masih boleh mempelajari sesuatu. Tercemarnya sebuah karya seni dengan unsur-unsur tertentu tidak bermakna tidak ada apa-apa yang boleh dikutip daripadanya.

(Apologi kepada ‘cikgu’ saya Faisal Tehrani, saya sentiasa menyokong gagasan cikgu yang menentang ‘perang budaya’, saya kira tulisan saya ini bukanlah menentang aliran perjuangan cikgu, malah saya kira diri saya berada dalam barisan bersama cikgu. Cumanya Embun mencuit naluri, menjadi inspirasi. )

Nun jauh pada waktu-waktu bergelar pelajar kolej dahulu – ya walaupun baru hampir empat bulan ditinggalkan, terasa amat jauh sudah masa-masa beluncas mengoyak kepompong itu – saya pernah, malah hingga sekarang mungkin, digelar ‘feminis’. Bukan kerana lalakan yang mendakwa ditindas dan menuntut kesamarataan gender beracuankan Women’s Lib, jauh sekali pemujaan kepada Sisters in Islam atau Amina Wadud. Jangan risau. Gila-gilaan begitu bukan permainan saya.

Wanita, terutamanya golongan terpilih yang intelek, bagi saya, sebelum menuntut hak dan keadilan daripada kaum lelaki, kesaksamaan layanan dan kesamarataan peluang, sepatutnya lebih dahulu mencermin diri sendiri. Setakat manakah kita telah melayakkan diri untuk mencanangkan ‘perjuangan’ kita, untuk mengendong ‘hak’ yang dituntut, kerana apalah sebenarnya hak itu kalau bukan tanggungjawab dalam penyamaran?

Sebelum memfokuskan kepada isu eksternal – pemberian hak dan pengiktirafan oleh lelaki terhadap wanita – ada baiknya kita melihat isu internal – pemeliharaan dan pemerkasaan martabat diri oleh wanita itu sendiri. Apabila menyebut wanita, fahamilah bahawa secara tidak langsung saya merujuk kepada Muslimah, kerana saya juga adalah seorang Muslimah. Kerana saya seorang pelajar, beliawanis, maka daripada sudut pandangan inilah yang saya gemar berdiri.

Penghormatan perlu diperoleh, bukan diminta-minta, jauh sekali dibeli. Menuntut kesaksamaan layanan bagi saya hampir sama dengan menuntut agar dihormati. Tidak hormat namanya kalau tanpa penghakiman dan penghukuman yang seadilnya. Soalnya, adakah wanita berada dalam situasi yang mewajarkan penghormatan diberikan kepada mereka?

Wanita melaung-laung menuduh lelaki, baik suami mahupun kekasih, mempermainkan mereka. Menggula-gulakan dengan kata-kata manis, menikmati sesedapnya setiap titis madu yang ada, mengikis setiap sen yang sudi dikorbankan, kemudian meninggalkan wanita terkapai-kapai – ada yang sudah ternoda – untuk mencari yang baru. Benar lelaki amat-amat bersalah dalam hal ini, tetapi siapakah yang membiarkan pagar tidak berkunci sehingga kambing-kambing menceroboh meratah pokok bunga di halaman? Siapa yang memakai perwatakan konon mulia pencinta agung setia, kemudian berlindung di sebalik eskapisme kata-kata “wanita lebih beremosi, rela berkorban demi cinta, lelakilah yang keji kerana mengambil kesempatan atas kehalusan perasaan kami” .

Mana ada pengorbanan mutlak sesama manusia. Wanita-wanita yang konon rela berkorban itu hakikatnya bukan berkorban, mereka ‘membeli’ cinta, dan apabila harga yang dibayar tidak sepadan dengan ganjaran yang dinikmati, malah muflis pula akhirnya, mereka berbicara seolah-olah tidak pernah menerima balasan apa-apa atas apa yang ‘dikorbankan’.

Sahsiah wanita masakini seringkali sukar untuk dibanggakan. Sungguh, jelak benar saya mendengar dan membaca kenyataan “pakaian bukan mencerminkan keimanan”, “buat apa pakai tudung kalau hati tak baik”, “belum sampai masanya untuk saya bertudung”. Ataupun ungkapan dalam makalah fesyen, “meski bertudung masih boleh bergaya” dan menayangkan model-model yang hanya menutup rambut tetapi singkat dan sendat mendedahkan aurat. Pergaulan bebas seolah-olah tidak menjadi kesalahan moral, hanya dosa peribadi barangkali, kerana itulah galak benar wanita-wanita bergurau senda bertepuk tampar bermesra-mesraan sesama lawan jantina. Wanita tidak terasa ‘saham jatuh’ apabila berpeleseran di pusat-pusat hiburan, ketawa menghilai seperti pontianak di pinggir-pinggir jalan, atau bermesra-mesraan dengan mana-mana lelaki yang kebetulan menjadi pasangan mereka ketika itu. Dalam bidang seni pun, wanita-wanita memperdagangkan atau diperdagangkan tubuh dan sensualiti mereka, atau anekaragam cerita-cerita peribadi - putus tunang, putus cinta, putus apa-apa -untuk melariskan produk dan mengalirkan wang melambak. Selalunya, wanita-wanita ini rela, tidak perlu dipaksa.

Perlakuan ini, anehnya, direstui oleh wanita-wanita lain seperti ibu-ibu mereka yang menyetujui anak-anak gadis mereka diusung ke sana sini atau mencampakkan harga diri di merata-rata tempat. Alasannya, mereka sudah besar dan pandai menjaga diri. Wanita-wanita seperti pejuang pembela hak asasi sejantina pula menyokong laku menggadai kehormatan ini, konon itulah petanda emansipasi wanita, kebebasan yang tidak sepatutnya disekat oleh lelaki yang hanya mencari alasan untuk terus mendominasi. Mungkin bagi mereka lelaki yang sepatutnya berhenti melihat wanita sebagai simbol seks, sebaliknya perlu belajar menerima fenomena ini dengan fikiran terbuka kerana wanita sudah semakin matang dan menuntut hak mereka untuk menikmati hidup.

Bersambung….

Sunday, August 27, 2006

kerana derita mereka tidak cukup memilukan - untuk jembelan merempat di tanah airku sendiri

memang dunia bergegar di bawah tapak kaki kita
memang bencana banyak mencecah sama merasa
cuma banyak atau tidak itu bezanya.

memang simpati sekarang murah
membaca kata sepatah air mata lantas tumpah
masing-masing mahu mengaku belasnya dan ihsannya melimpah
terperanjat, terkejut, terkedu, dan terkesima sendu pilu
semua mahu mengaku.

selama ini berkeliaran anak-anak miskin merempat
makan tidak pernah kenyang muat
belajar tidak habis sebaris ayat ditarik membantu mencari nafkah sesuap
selama ini merangkak pengemis-pengemis tua merayu kasihan
bukan malas atau mengelat tetapi kudrat tidak terdaya lagi menyuapkan.

selama ini ibu-ibu dan bapa-bapa miskin papa menggadai titis-titis nyawa untuk beberapa sen hanya
menggagau ikan di celah pasir laut memungut beras di tengah lumpur selut
mereka ingin menelan semua derita biar anaknya menghirup yang manis cuma
tapi tangan manusia tak terdaya
menampan hambatan awan hitam rencam rupa
sakit terlantar terkujur terkedang terkubur
berpindah satu anak tangga tinggalkan yang sengsara membilang duka menanti ajal tiba.

selama ini ada orang senang selesa
tidur perutnya penuh bangun hatinya teduh.

mengapa hanya bila trauma raksasa melanda
kita terasa "mereka saudara kita sedang menderita"?
mengapa hanya bila trauma raksasa melanda
kita melaung-laung memungut sedekah dan derma?

benar derita mereka derita besar
benar simpati kita simpati ikhlas suci segar

ya, wahai pemimpin dan warga budiman
wara-warakanlah laungan persaudaraan Islam
hanya untuk mereka yang menyabung nyawa di seberang lautan
hanya apabila bumi bergempa dan mengamuknya samudera
jiran sekampungmu yang tidak bersekolah semua anaknya
rakan senegerimu yang menumpang ihsan tokong sebelah rumah
rakyat negaramu yang memunggah barang berpindah di tengah malam selepas dihalau dek sewa bertunggak-tunggakan
tidak perlu kau sungguh-sungguhkan
kerana derita mereka tidak cukup memilukan.

Islam dan Melayu dan Islam..

salam.

memang meletakkan melayu sebagai matlamat perjuangan sehingga mengesampingkan islam itu tidak tepat. tetapi dalam konteks malaysia, memperjuangkan jatidiri melayu itu bagi saya berperanan penting juga dalam membina sebuah umat yang berjaya.

bahasa dan kebudayaan melayu itu adalah medium utama yang digunakan untuk menzahirkan 'nilai-nilai Islami' dalam masyarakat sejak mula Islam didakap oleh umat lagi. kebudayaan di sini merangkum aspek sopan santun dan budi bahasa, malah merangkum kedudukan Islam sendiri yang diletakkan tertinggi dalam struktur budaya Melayu. bukan merujuk kepada seni-senian yang ada tempatnya melanggar nilai Islam.

kerana 'gaya hidup Islam' itu adalah subjektif, dan mengaitkannya dengan imej yang lebih hampir seperti jati diri bangsa sendiri, bagi saya akan menjadikan umat lebih mudah mesra dan menghayati.

lagipun, tidak salah bukan untuk kita menghargai dan menyayangi jatidiri kita sendiri? identiti kita sendiri. islam itu fleksibel dan tidak menuntut kita mencabut diri daripada akar umbi.

banyak orang menyedari peri mustahaknya kepentingan agama dimartabatkan dan diserapkan dalam jiwa rakyat. tetapi tidak ramai yang mengerti, apatah lagi menyuarakan, jauh sekali memperjuangkan, tentang letak duduknya budaya dan bahasa Melayu dalam strata prioriti pembangunan insan.

abaikan suara-suara retorik yang menggadai 'perjuangan bangsa' demi kepentingan sendiri. bukan itu yang saya maksudkan. bukan 'jihad menyelamatkan makyong' dan 'perjuangan mengembalikan kegemilangan joget' yang saya kaitkan.

saya merujuk kepada ajakan, galakan, seruan, dan desakan supaya umat Melayu kembali kepada akar budaya mereka yang kaya dengan segala falsafah dan sopan santunnya, yang berlilit kait dengan Islam.

bukanlah maksud saya pemerkasaan jatidiri Melayu ini lebih penting daripada memartabatkan Islam, jauh sekali menggantikan perjuangan memartabatkan Islam. pemerkasaan jatidiri Melayu, bagi saya, akan menjadi instrumen yang dapat membantu dalam usaha memartabatkan Islam.

pihak2 yang memperjuangkan ketuanan Melayu mempunyai justifikasi mereka sendiri. ada yang berkata, inilah caranya, 'taktik sulit' untuk memelihara martabat Islam. sementelah perlembagaan tidak memberikan sebarang keistimewaan terhadap Islam selain daripada artikel 3 - Islam agama rasmi - , dan kita maklum mudahnya sensitiviti tercuit jika apa2 berunsur Islam diwara-warakan dan disebarluaskan. sesatlah, ekstrimislah, macam-macam lagi. dan mereka melihat agenda ketuanan Melayu ini memberi ruang kepada mereka untuk memelihara ketuanan Melayu sekaligus martabat Islam di bumi bertuah ini, sementelah juga dilihat lebih mudah menjaga martabat Islam melalui cara ini kerana sudah termaktub 'ketuanan Melayu' dalam dasar negara. hasil persetiaan murni yang mengizinkan pendatang berkongsi hak menjadi warga negeri.

sukar sekali sebenarnya memisahkan soal-soal Islami daripada soal-soal Melayu, dalam konteks negara ini. lihatlah, apabila 'pihak2 tertentu' mempersoalkan ketuanan Melayu, hampir serentak 'ketuanan Islam' turut dipersoalkan. mereka bertanya mengapa Melayu punya hak istimewa, adakah Islam bersifat tidak adil.

daripada satu segi, nampaklah silapnya apabila melabelkan Melayu=Islam dan Islam=Melayu, kerana kekalutan yang melanda umat Melayu akan memalit noda kepada Islam yang tidak salah apa-apa.

jadi bagaimana? memang kita tahu, meletakkan Islam sebagai teras perjuangan mengatasi unsur-unsur bangsa dan perkauman adalah kunci untuk mencapai kesepaduan dan kemakmuran. tetapi dalam konteks sekarang, jalan seolah-olah buntu.

pertubuhan-pertubuhan yang mengaku memperjuangkan Islam bertelagah sesama sendiri. masalah dalaman mencanak. memperalatkan agama. jumud dalam penafsiran dan aplikasi agama, tuntas khalayak silap mengerti, langsung menolak Islam itu sendiri.

pertubuhan-pertubuhan politik ala 'ketuanan Melayu' pula taksub dengan agenda bangsa sehingga meremehkan atau mengelakkan daripada meletakkan agama sebagai item yang penting dalam perjuangan mereka. mengapa? kepentingan diri, kejahilan.

tetapi jika kita cabut 'ketuanan Melayu' daripada konsep bernegara di Malaysia sekarang, logiknya Islam juga tidak akan mendapat tempat dalam perundangan. 'ketuanan Melayu' telah membolehkan orang2 Melayu berada di tempat2 yang 'tinggi', dengan 'jaminan hak', sekaligus memberikan mereka 'suara' untuk mempertahankan Islam.

kerana Islam di Malaysia seolah-olah belum mampu berdiri sendiri dalam lokus perundangan, sekadar menumpang peruntukan-peruntukan kecil perlembagaan (yang diserang dr segenap segi, hatta oleh Melayu-Islam sendiri), dan musuh-musuh menanti daripada segenap sudut, mencari lompong walaupun sebesar kuman untuk menerobos dan menyerang.

saya rindu melihat gagasan penyelesaian yang sistematik, kemas, dan realistik kepada situasi ini.

salam dr hamba Allah yg daif, sekadar menggambarkan situasi sekarang, maaf atas kelemahan dan kejahilan yang mungkin terzahir~

meow

(ditulis sebagai komen dalam blog seorang sahabat)