Thursday, July 20, 2006

Imam I – lakaran kepincangan

Assalamu’alaikum.

Imam Haji Mihad, berwajah tenang, selembut air yang mengalir di gunung tetapi sekeras batuan yang memaku bumi apabila mempertahankan pendirian. Senyuman dan kemesraan, timbang rasa dan sifatnya yang memahami menawan hati baik rakan-rakan seumur seangkatan, orang-orang tua yang sudah banyak makan garam, mahupun anak-anak muda yang berjiwa berontak mahukan kebebasan. Hujah-hujah yang berpaksikan ilmu dan berpagarkan iman, diungkapkan dengan kata-kata dan dibuktikan dengan perbuatan. Misinya jelas dan tekadnya tegas. Membebaskan penduduk kampungnya daripada belenggu pemikiran yang jumud, memesrakan mereka dengan ajaran Islam yang sebenar.

Dengan pemikiran yang mengatasi zamannya, Abdullah Hussain mengungkapkan pelbagai masalah umat dengan kemahiran seorang ‘penglipur lara’ dan ilmu seorang Muslim terpelajar yang luas pengalaman serta pembacaannya. Apabila diperhatikan, Abdullah Hussain seolah-olah mewakilkan penduduk Kampung Anggerik Desa untuk membentangkan senario masyarakat pada skala kecil.

Bantuan demi bantuan yang disodorkan merapuhkan mereka apabila bertemu dengan ujian. Jatuhnya harga getah dan kemarau panjang yang mengeringkan sawah dihadapi dengan tangan tertadah menanti sedekah dan bingkisan Tuhan dari langit. Sedangkan manusia disuruh berusaha sebelum berserah. Malah usaha memperbaiki kehidupan ada yang mencemuh, konon memandai-mandai dengan pentadbiran Tuhan.

Pendirian mereka terhadap agama juga tidak ada kemerdekaan. Sekadar menganga dan menerima bulat-bulat apa yang disuap oleh tokoh yang juga beku ilmunya. Dikatakan beku kerana ilmu yang dituntut tidak dikembangkan dan disesuaikan dengan zaman dan persekitaran, memaksa masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan fikrah menerima ajarannya dengan cara yang serupa, dari dahulu sehinggalah sekarang, dan menganggap pembaharuan itu sesuatu yang merosakkan kemurnian agama. Maka tampaklah Islam itu keras, mengongkong, dan hanya sesuai untuk orang-orang yang hidup menanti mati. Sedangkan kesyumulan Islam itu membolehkannya menjadi panduan untuk membawa manusia ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Sikap terhadap ‘golongan tersasar’ juga disentuh dalam novel Imam. Saya perasan cara Abdullah Hussain, tidak sahaja dalam novel ini tetapi juga dalam tulisan-tulisannya yang lain, beliau cenderung menegur golongan berautoriti (terutamanya dalam agama) yang mencemuh dan mengetepikan terus serpihan-serpihan masyarakat yang dianggap kotor dan rosak ini. Tanggungjawab da’wah (membawa orang bukan Islam ke arah Islam) dan islah (membawa Muslim membaiki diri menjadi Muslim yang lebih baik) berakhir di tangga surau dan masjid. Sesiapa yang tidak mahu menghampiri tidak pula didekati dan cuba difahami. Sufi Lau dan bapanya dicemuh kerana memeluk Islam tetapi tidak mendekatkan diri dengan masjid. Syawal dan gengnya dipandang jelek sebagai ‘anak-anak muda rosak akhlak’ kerana gemar menghabiskan masa di bandar, bermain muzik rock, berpakaian selekeh dan berambut gondrong. Sebelum Tuhan menjatuhkan hukuman di akhirat mereka ini sudah pun ‘diadili’ sebagai ‘sesat’. Pengadilan manusia yang akan menjauhkan lagi mereka yang tersilap ini daripada jalan yang benar. Bukankah manusia dituntut beriman dan beramal soleh, seterusnya berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran?

salam perjuangan, meowwww…..

Wednesday, July 19, 2006

TIDAK UNDUR

ketika air mata menjadi darah, dan perjuangan menjadi sumpah
ketika perang yang bertakung mula melimpah
dan syahid diangkat ke langit sebanyak retak-retak di bumi yang merekah

hatikah atau batukah itu di dalam dada, yang masih belum tersentuh?
matakah atau kayukah yang tersembul di kepala, yang masih belum melihat?
jasadkah atau mayatkah yang memangku nyawa, yang masih mematung beku?

mereka meneguk bara dan memuntahkan api
takbir mereka gema suara malaikat mengiringi

"kukucup bumi suci, kusahut lambaian di langit sana bidadari"


puisi ini dikarang sebagai respons kepada konflik Palestin-Israel(setan)-Lubnan yang semakin genting, ditinggalkan sebagai komen dalam blog seorang shbt, ketika hati bergegar dengan pergolakan yang sedang melanda... semoga Allah mengurniakan saudara-saudaraku sekalian kekuatan dan kemenangan, biar di dunia ini dalam hidup dalam mati kalian tetap menang, walaupun tak zahir dipandang, kerana belum ada sesiapa yang nampak istana kalian di syurga sana..

Tuesday, July 18, 2006

dunia baru islam - THE ZIKR

masih basah kenangan indah
zaman cemerlang era gemilang
ketika Rasul ada di sisi
para Sahabat mentadbir bumi

zaman nubuwah era khulafa'
Islam laksana api yang menyala
menerangi teman dan juga sahabat
bahang panasnya membakar lawan

di celah itulah kami mengatur langkah
membina sebuah toifah
di sini bara tak pernah padam
digenggam kukuh sebuah azam

ayuhlah para mujahid
ayuhlah para mujahidah
kita tinggalkan zaman fitnah
agar tertegak kalimah Allah
agar terbangun DUNIA BARU ISLAM..


salam perjuangan, meowwww...

Saturday, July 08, 2006

setelah seketika

Assalamu'alaikum
Sebelum ayat berlanjutan menjadi perenggan, saya ingin meminta maaf kerana sudah lama membiarkan blog ini tanpa kunjungan.
Bermula dari 23 Jun hinggalah 25 Jun, saya di Sepang menyumbangkan khidmat di sebuah sekolah dalam satu program motivasi. Pulang ke rumah khabar 'kurang menarik' diterima, kabel telefon dipotong dan dicuri sehingga sekampung kehilangan nikmat perhubungan telefon, apatah lagi internet yang bergantung kepada dial-up connection.
Internet pulih semula rasanya pada 2 Julai, namun 3-7 Julai saya bermusafir ke Gombak dan kawasan-kawasan sekitar Kuala Lumpur dalam satu program untuk dakwah dan pengislahan ummah.
InsyaAllah cerita-cerita dan refleksi pengalaman yang dilalui akan dikongsi bersama dalam posting2 yang akan datang.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menitipkan kunjungan,sokongan dan pesanan. Hidup ini adalah perjuangan yang kita kongsi bersama dengan MATLAMAT yang SATU.
Salam mesra, meowwww....

Tuesday, June 13, 2006

bahasa dinihari

a'kum
Sepatutnya pengumuman ini dibuat lama dahulu. Blog ini mempunyai adik perempuan. hehe. 'sister blog' yang dinamakan Kucing Belang 2. http://anakgayong.blogs.friendster.com/kucingbelang2/
Jika Kucing Belang dilatari bait-bait kata yang 'sopan' dan 'jiwang', Kucing Belang 2 lebih agresif dan audacious. Tahap kerosakan tatabahasanya lebih tinggi. Hehe. Dan isu yang disentuh lebih akrab dengan hidup sehari-hari saya. Secara zahirnya.
Kadang-kadang saya berfikir, adakah blog ini dilawat sesiapa? Atau laman sesawang ini akan ditumbuhi lalang dan ranting-ranting berceracakan tanpa saya sendiri memerun dan mencantasnya? Jika ada sesiapa yang berkunjung, hulurkanlah salam. Jika tidak ada sesiapa pun tidak mengapa, kerana fungsi utama sebuah rumah adalah menaungi empunyanya, menerima tetamu tidak mendefinisikan erti kewujudannya walaupun kehadiran itu amatlah dihargai.
Cinta tetap membuak di hati, tumpahnya menitiskan ilham untuk menulis dan menulis lagi.
salam mesra, meowwww...

Monday, June 12, 2006

lirik nasyid II

bangkitlah
putera dan puteri
sahutlah cabaran hadhari

sinaran mentari terbit di timur
seruan mengejar makmur
mengutip hikmah bertabur
menggilap hati nan luhur
fikrah memangku sahsiah
sejahtera bumi bertuah

tidak sama antara kita
yang berilmu dan yang tiada
yang bijaksana tinggi hemahnya
sopan dan santun budinya

khazanah ilmu diturunkan
sunnah Rasul dan al-Quran
pandu umat memilih jalan
oh akhlak cerminan iman

saudara-saudaraku
ayuhlah menuntut ilmu
dunia kan berjaya akhirat pun begitu juga
yang benar dan yang palsu kan jelas di matamu
terbinalah sahsiah yang unggul di dalam ummah…


- ikut melodi 'Qudwah Hasanah' In-Team

melihat keindahan

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, DIA mengurniakan saya sepasang mata yang begitu akrab dengan hati.
Melihat keindahan yang begitu halus di mana sahaja pandangan ini dilemparkan.

Dalam titis-titis hujan yang membentuk riak di lopak, dalam daun-daun basah yang dikirai ribut, dalam petak-petak sawah kosong air coklat berlumpur, dalam kerak-kerak aspal jalan yang berpalit debu dan habuk.

Dalam aroma yang bangkit selepas tanah dicurah hujan, dalam harumnya cempaka yang tiba-tiba menyapa entah dari mana sewaktu menyeberang blok asrama di tengah malam, dalam pohon sebatang tidak berdaun yang tiba-tiba merimbun dengan bunga di hujung rantingnya, dalam cahaya matahari petang atau pagi yang hangat keemasan.

Dalam figura sang kucing yang begitu anggun baik dalam tidur mengerekot atau lincah berlompatan, dalam langit malam sama ada yang ditaburi bintang atau yang hanya ditemani kepul-kepul awan kelabu.

Dalam kabus pagi yang putih dan sejuk hasil kondensasi wap air dengan zarah-zarah debu, atau dalam kepulan asap yang selalu melatari petang hari petanda sampah, kepingan getah dan daun kering sedang dikerkah api.

Amat-amat lagi saya bersyukur, DIA sentiasa memberikan keindahan untuk mata saya tatapi dan untuk hati saya menghayati.

Alhamdulillah.

Salam mesra, meowww...