Monday, March 26, 2007

menemukan katarsis?

Satu, satu dan satu
persis ketul batu.
yang meluru merempuh dari jurang dan gunung
mengoyak tirai damai, menghalau

kupu-kupu tenteram yang
baru cuba bermain-main di taman

hati.

Ketika lembar-lembar surat yang ditatap
bercerai-cerai menjadi himpunan
ayat yang pecah
kepada h ur u f – h u r uf

ter pi sah satu, satu, dan satu

tak p u ny a pengertian.

Ketika alam maujud
bukan lagi realiti yang tegar

hanya maya

objek tanpa jasad, yang ada hanya diri
…yang keliru mencari siapa diri?

Kabus mengapung-apung dan pandangan menjadi

kabur

Satu, satu dan satu
seruan bertalu.
Ini futur menuntut katarsis.
Sebelum satu, satu dan satu

hayat berlalu.

Monday, February 26, 2007

Nyalakan Cahaya dalam Jiwa

Assalamualaikum.

Entri lepas yang paling ngeri, lama sangat rasanya dibiarkan di tengah-tengah laman. (Nampaknya profesion kedoktoran semakin ditakuti.. silap strategikah?) Banyak lagi elemen-elemen yang penting dan menarik dalam profesion ini, contohnya psikologi yang memeningkan, etika yang berbelit-belit dan fisiologi manusia yang sesungguhnya mengagumkan kita tentang kekuasaan Allah. Bukan setakat kerat mayat :-)

Hakikatnya, walau di manapun kita berada, apapun bidang pengajian atau profesion kita, (kalau kita Muslim) semuanya wajar diniatkan dan dihalakan ke arah matlamat yang satu. Apa dia? Pandai.. mardhaatillah, atau dalam bahasa Melayunya, keredhaan Allah. Kita mungkin boleh mengakui diri kita sebagai macam-macam. "Aku pelajar perubatan, aku pelajar kejuruteraan, aku orang Melayu, aku presiden persatuan menternak lebah, aku peminat kucing fanatik, aku.." Tapi siapa sebenarnya 'aku' itu? Sesudah mati, adakah diri yang terbujur itu masih 'aku'? Atau 'aku' sudah pergi ke mana?

'Aku' itu adalah 'aku' yang pernah bersumpah di hadapan Allah, seperti terjemahan ayat 172 surah al-A'raaf,
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

Kehidupan di dunia ini tidak lain adalah bertujuan untuk memenuhi janji tersebut. Bahawa Allah S.W.T. adalah Tuhan kita. Bukan nafsu, bukan harta, dan bukan pangkat. Kewujudan kita, kewujudan 'aku', walau siapa pun 'aku' adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [Az-Zaariyat:56]

Macam mana hendak menyembah Allah dan beribadat kepada Allah? Cukupkah dengan solat banyak-banyak, puasa banyak-banyak, umrah tiga kali setahun, haji tiap-tiap tahun? Cukupkah dengan menjaga amal ibadat peribadi, sedangkan jiran sebelah berenang dalam arak pun kita buat tak endah? Cukupkah dengan bertelagah tentang salafi dan khalafi dengan segala hujah dan dalil yang berjela-jela, sedangkan saudara-saudara seIslam kita sedang seronok berzina, gigih clubbing, dan menonton Akademi Fantasia dengan penuh semangat juang? Cukupkah dengan mengebumikan hati dan akal dalam buku-buku pelajaran sedangkan khabar berita adik-beradik kita yang mencungap di Palestin dan Chechnya kita kesampingkan, warta bobrok tanah air kita yang diperkosa pemimpin songsang dan digadai rakyat tidak cukup akal kita bela dengan kutuk-kutukan semata-mata? Dan untuk mereka di luar negara, sanggupkah kita membiarkan sahabat-sahabat kita yang Muslim terus dihanyutkan arus, yang bukan Muslim seperti lembu sesat yang hidupnya hanya untuk pergi pub pada hujung minggu, bertanding siapakah yang paling hot dan paling berani mengajuk gaya berpakaian kaum primat di hutan, dan sesekali membuat kerja-kerja bodoh seperti membakar sofa di depan rumah...

Inilah tanggungjawab yang sesungguhnya amat besar, tetapi seringkali diperlekeh dan dianggap sebagai tugas sampingan. Kewajipan dakwah. Perhatikan, saya gunakan istilah 'kewajipan'. Kerana dakwah itu adalah wajib.

Untuk menyempurnakan tanggungjawab ubudiyyah sebagai hamba Allah, satu komponen yang amat penting, amat besar, "fardu ain mughallazah" (kata seorang ustaz yang comel) adalah kewajipan untuk mengajak orang lain kepada Allah. Istilahnya, tanggungjawab sebagai khalifah.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". [Al-Baqarah : 30]

Ya, seringkali disebut orang, manusia adalah khalifah di muka bumi. Apa itu tugas khalifah? Memakmurkan bumi. OK, betul, tidak salah. Dan apakah cara yang lebih baik untuk memakmurkan bumi selain daripada mengabdikan diri kepada Allah dan mengajak orang lain untuk sama-sama menjadi hamba Allah?

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). [Ali-Imran : 110]

Menyuruh berbuat yang baik, melarang daripada yang salah, itulah dakwah. Dan kita masih belum layak mengakui diri kita umat yang terbaik kalau tidak melakukan dakwah. Kita tidak layak pun mengakui diri kita sebagai Muslim yang baik kalau tidak melakukan dakwah.

Alangkah tidak wajarnya kalau kita mengakui memperhambakan diri kepada Allah, mengakui bahawa Allah itulah satu-satunya Tuhan yang wajib disembah dan ditaati, tetapi membiarkan sahaja orang lain mengingkari perintah Allah, sama ada atas kejahilan atau kedegilan mereka, itu urusan kedua, tapi soalnya sekarang adalah kita yang membiarkan. Sedangkan kita tahu! Kalau kawan yang tahu soalan-soalan bocor tapi merahsiakan daripada kita (sedangkan kita tidak tanya pun dia) kita jadi begitu marah, kita mahu pulaukan, kita mahu belasah cukup-cukup, kita rasa dia sangat keji dan jahat. Bagaimana pula dengan kita, orang-orang yang dipilih Allah untuk mendapat hidayah, untuk mengetahui kebenaran, sekeji dan sejahat mana pula kita kalau kita menyembunyikan kebenaran yang kita ketahui itu?

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? [Al-Baqarah:140]

Bayangkan pada Yaumul-Qiyamah esok, mereka mengadu kepada Allah bahawa kitalah yang patut sama-sama dipertanggungjawabkan kerana tidak memberitahu mereka tentang kebenaran, kerana tidak mengajak mereka ke jalan yang benar. Bayangkan tangan-tangan mereka menarik kita ke dalam neraka, sedangkan kita begitu yakin akan ke syurga kerana amal ibadat peribadi yang gilang-gemilang, tapi rupa-rupanya itu semua gagal menyelamatkan kita kerana kegagalan kita menyempurnakan tanggungjawab dakwah.. Na'udzubillahi min zaalik..

Inilah yang disebut oleh Sayyid Abul A'la Mawdudi sebagai 'syahadatul haq'. Syahadah adalah kesaksian. Syahadatul haq adalah 'maksud syahadah yang sebenarnya'. Bukan sekadar melafazkan "Tiada Tuhan Melainkan Allah, Muhammad Pesuruh Allah." Syahadatul haq adalah kesaksian yang sebenar-benarnya terhadap kebenaran. Nama pun bersaksi, kenalah jadi saksi. Saksi perlu memberitahu orang lain apa yang dia tahu, apa yang benar, supaya orang lain boleh tahu dan mengikut apakah yang benar itu.

Memetik kata-kata Al-Mawdudi,

Sebenarnya apabila kita mengakui Allah sebagai Tuhan dan Islam sebagai agama kemudian kita lafazkan syahadah yang sebenar (pengakuan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah), kita sepatutnya merasai tanggungjawab yang perlu kita laksanakan sebaik sahaja kita melafazkan syahadah ini. Kita juga perlu fikirkan apakah yang dapat kita lakukan untuk menunaikan tugas penting ini. Jika kita tidak melaksanakannya kita sebenarnya menempah akibat buruk perbuatan kita dan kita akan rugi di dunia dan di akhirat.

Tanggungjawab besar ini tidak akan terlaksana dengan hanya kita beriman dengan Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan hari akhirat. Tanggungjawab ini juga tidak tertunai dengan hanya kita melaksanakan sembahyang, puasa, zakat, dan haji sahaja. Malahan ia tidak cukup sekadar anda melaksanakan undang-undang syarak dalam urusan peribadi seperti perkahwinan, cerai, atau pusaka kemudian anda boleh berpeluk tubuh tanpa menitiskan walau setitik peluh dan kita tidur lena.


..... Maksud syahadah yang diletakkan ke atas bahu kita selepas ketiadaan Nabi Muhammad S.A.W. ini ialah kita menjelaskan kepada seluruh manusia tentang kebenaran yang nyata ini dan kita bimbing mereka untuk melalui satu-satunya jalan yang menghubungkan mereka ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kita tunjukkan kepada mereka pendekatan sebenar yang telah ditunjukkan oleh Allah, kita tunjukkan segala petunjuk dan arah tujunya yang merupakan satu-satunya pendekatan yang betul dan diredhai Allah. Satu-satunya pendekatan yang akan membawa kebahagiaan kepada seluruh manusia.

Marilah kita laksanakan tanggungjawab ini. Halakan segala usaha kita ke arah dakwah, baik secara langsung (nasihat kawan-kawan, cerita tentang Islam kepada teman-teman bukan Muslim) atau secara tidak langsung (belajar kerana Allah supaya Islam kuat dengan profesional yang berkaliber dan tidak perlu bergantung kepada kepakaran kuffar, supaya orang tertarik dengan Islam kerana penganutnya bijak akal dan cantik budi, supaya dapat menyumbang tenaga ke arah kebangkitan Islam - sekadar contoh).

Sibuk berdebat tentang isu itu dan isu ini, isu salafi dan khalafi, isu ummah dan jemaah, bukanlah salah mutlaknya salah. Tapi prioriti perlu dibaiki. Di manakah relevannya memperbalahkan hal-hal yang tidak mendatangkan manfaat jelas kepada umat dan dakwah, malah mungkin pendebatnya lebih mementingkan keegoan diri daripada mencari kebenaran? Dalam banyak hal, muzakarah itu untuk mencari kebenaran, bukan menegakkan bahawa kitalah yang benar. Perdebatan berlarutan antara orang-orang berilmu yang sepatutnya bekerjasama berdakwah dan mengislahkan umat, tidakkah 'syok sendiri' dan membuang masa namanya? Sedangkan kelab malam terus dimakmurkan dan pornografi terus menjadi barah.

Dan dalam sibuk berdakwah itu, jangan pula lupa untuk mentarbiyah diri. Jangan berbicara tanpa ilmu, mendahulukan nafsu dan bukannya Islam, berlagak pandai dan malas belajar. Ibarat lampu yang memberikan cahaya, perlu ada minyak supaya sumbu boleh terus menyala. Minyak itu pula perlulah minyak yang berkualiti dan sesuai, bukan minyak angin atau minyak pelincir enjin. Kita perlu mempunyai untuk memberi, tapi jangan menjadikan tidak punya itu alasan untuk tidak memberi, kerana memberi itu kewajipan. Tidak cukup ilmu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berdakwah, malah menuntut ilmu dalam segenap segi (ilmu agama, ilmu Sains, ilmu Sastera, ilmu apa-apa sahaja asalkan bukan ilmu sesat) itu menjadi wajib agar kita dapat berdakwah.

Saya suka sangat lirik lagu Cahaya Menyala, dendangan kumpulan Epicentrum dari Indonesia. Sangat-sangat menyentuh kalbu, dan relevan sekali dengan cerita saya hari ini.

Cahaya menyala, di sini, di jiwa
Menjadi pandu, 'tuk jalani waktu
Menjadi pelita, di dalam kalbu
Menjadi penerang, di gelap kelam

Walaupun berjuta rintang menghadang
Cahaya tetap 'kan menyala di jiwa
Berpeluhkan duka, bersimbah luka
Cahaya tetap 'kan menyala di jiwa

Beribu jiwa, nyala cahaya
Gugur ke bumi, menjadi bunga
Berjuta jiwa, rindu cahaya
Lahir kembali, menyala lagi

Walaupun mesti menyongsong gelombang
Cahaya tetap 'kan menyala di jiwa
Berpeluhkan duka, bersimbah luka
Cahaya tetap 'kan menyala di jiwa..

Kalau iman dan iltizam untuk berdakwah itu diibaratkan cahaya, biarlah ia terus menyala dalam jiwa, tidak padam walaupun diterjah dugaan, kerana sesungguhnya jalan dakwah itu payah. Ia akan jadi mudah atau nampak mudah kalau kita ralit sendiri dalam halaqah usrah, dalam masjid-masjid dan dewan ceramah, tanpa memikirkan untuk terjun ke alam realiti, bergelanggang dalam masyarakat, atau contoh paling ringan, mengajak sahabat sendiri pulang ke pangkal jalan. Kerana ia tidak selunak itu, kerana ia menuntut istiqamah dan bukannya ledakan semangat yang membakar seperti bunga api yang meriahnya sesaat sebelum pudar dan lenyap.

Bayangkan indahnya jika ribuan jiwa yang dikurniakan cahaya itu berkongsi dengan jutaan jiwa lagi yang merindukan cahaya, sehingga semuanya lahir kembali sebagai mukmin sejati, sehingga alam ini bermandikan cahaya dalam redha Ilahi..

Dan Allah Maha Mengetahui.

Salam perjuangan,
meow~

Thursday, February 01, 2007

zikrul-maut di makmal anatomi

assalamu'alaikum.

Semester 2 baru bermula. Minggu yang agak kendur pengisiannya. Maksima sehari dua kuliah dan satu slot lain - diskusi atau seperti besok, praktikal fisiologi. Semalam ada satu slot 'kegemaran'.. anatomi.

Benarlah kata ayah, menjadi doktor - atau lebih tepat, mempelajari ilmu perubatan -ini mengakrabkan hati dengan mengingati mati.

Teringat suatu hari dalam penghujung semester lepas. Tertinggal lab coat di dalam makmal. Nasib baik waktu itu masih berada di bangunan kampus, lantas tergesa-gesa berpatah balik menaiki lif ke makmal anatomi yang berada di tingkat tiga. Ketika saya sampai ke sana, tidak ada sesiapa di dalam makmal. Yang ada hanya mayat-mayat terbujur bertutup di bawah kanvas biru, terbaring di atas troli-troli panjang, bersusun-susun. Sunyi senyap. Saya berjalan merentas makmal, lalu di sebelah mayat-mayat itu, sampai ke hujung sebelah sana di mana lab coat saya tertinggal. Dan saya cepat-cepat melangkah keluar...

Setiap kumpulan diperuntukkan satu mayat untuk dibedah dalam satu semester. Di samping itu ada prosections - bahagian-bahagian badan seperti kerangka toraks, tangan, kaki, dan ruang pelvis - yang sudah dipotong-potong dan diasingkan untuk dijadikan sampel.

Mayat-mayat di dalam makmal berada dalam pelbagai keadaan. Ada yang kepalanya terbelah bolong tanpa isi, sudah digergaji dan dikeluarkan otak, mata, dan lain-lain isi. Tinggal kelopak mata yang tertutup tanpa ada apa-apa di sebaliknya. Lengan yang separuh hancur dikerjakan pelajar-pelajar untuk mengkaji lapis-lapis otot, salur darah dan urat saraf. Dada yang sudah ditanggalkan kulit, dikikis lapis-lapis lemak, dan dikerat tulang rusuk untuk mendedahkan paru-paru.

Kadang-kadang, tidak dapat tidak, saya akan memikirkan tentang kehidupan mereka sebelum menjadi mayat. Jantung yang kaku itu dulu pernah berdenyut. Arteri dan vena itu pernah mengalirkan darah yang segar membawa nadi hayat. Mata yang tertutup itu pernah melihat dan lidah yang lembik itu dulu pernah berbicara.

Bagaimanakah pula keadaan roh-roh mereka sekarang sesudah menjadi mayat?

Masih terpanakah manusia dengan dunia, masih angkuhkah manusia dengan kehidupan sementara? Masih lekakah dengan pesona yang melalaikan hati dan membutakan mata?

Teringat autopsi yang pernah saya hadiri (seperti majlis pula ya~) di morgue (bilik mayat)Saint Mary's Hospital, dalam Oktober tahun lepas rasanya. Wanita baru meninggal dunia, kerana komplikasi sewaktu pembedahan jantung. Masih terbayang-bayang bagaimana dadanya dibelah dengan pisau, kemudian tulang rusuk dikerat dengan bone cutter yang seperti gunting. Darah yang bertakung memenuhi rongga toraks dicedok dengan jag dan dicurah ke dalam sinki. Usus yang penuh berlemak, jantung, hati, paru-paru, satu-satu dipisahkan daripada otot-otot yang memegang dan dikeluarkan ke atas meja. Kemudian kulit kepala ditoreh dan diangkat - bayangkan muka ditanggalkan disayat ke atas, menampakkan tengkorak yang ditutupi membran kemerah-merahan - dan menggunakan gergaji elektrik tempurung kepala itu dibelah. Otak dikeluarkan dan diletakkan ke atas meja bersama 'sampel-sampel' organ yang lain.

Pakar yang menyelia kumpulan kami memberi penerangan satu-persatu tentang organ-organ segar di hadapan kami. Hati dan otak dihiris-hiris untuk menunjukkan strukturnya. Jantung yang berpenyakit itu, ditunjukkan kepada kami di manakah cacatnya, di mana tisu yang mati dan di mana salur darah yang tersumbat, sehingga mendatangkan kematian. Ini bukan kali pertama wanita ini dibedah, sebelum ini telah beberapa kali dia menjalani rawatan.

Mati itu akan datang bila-bila masa sahaja. Sembuh daripada penyakit, pulih selepas dirawati di hospital, tidak bermakna terlepas daripada kematian. Ia tetap akan datang. Wanita ini ke hospital untuk berusaha lari daripada kematian tetapi dijemput sewaktu berada di meja pembedahan.

Sesudah selesai penerangan, kesemua organ tadi dimasukkan ke dalam beg plastik dan dimasukkan ke dalam rongga toraks semula. Kemudian dada yang terlopong itu dijahit. Tempurung kepala yang dibelah dicantumkan semula, kulit kepala dan muka diletakkan pada tempatnya dan dijahit juga. Kemudian rambut wanita itu disikat. Tidak ada bukti jelas, tadi mayat seorang manusia dilayan tidak lebih daripada sekadar 'spesimen'.

Waktu kita juga akan tiba. Dan kita tidak tahu apakah nasib jasad kita sesudah ditinggalkan roh. Mungkin kita tidak akan peduli sangat pun, kerana yang lebih dibimbangkan adalah nasib roh yang akan dipertanggungjawabkan, kerana jasad tidak lebih sekadar kenderaan. Ngeri, ya ngeri membayangkan layanan kepada jasad yang dikerat-kerat dan dibelah-belah, tapi lebih menggerunkan lagi memikirkan azab Allah di akhirat kelak.

Merujuk terjemahan Towards Understanding Qur'an, Sayyid Abul A'la Mawdudi,

Everyone is bound to taste death and you shall receive your full reward on the Day of Resurrection. Then, whoever is spared the Fire and is admitted to Paradise has indeed been successful. The life of this world is merely and illusory enjoyment.
[Ali Imran : 185]

Sekadar ilusi, dan jangan hendaknya sesudah mati barulah kita terbangun daripada mimpi.

kita saling doakan, saling memperingatkan, ya sahabat.

salam sayang,
meow~

Sunday, January 21, 2007

Aisyah Zaatiyah Mencari Cinta - III

assalamu'alaikum.

sambungan lagi, bahagian akhir insyaAllah, harap tidak jemu baca ya~ :-)

Kembara III - Pengorbanan di Medan Rusuhan

Berpagi-pagi dengan bersimpuh mendengar bacaan al-Quran dan tazkirah si tua tentang Allah dan cintaNya kepada hamba-hambaNya. Bunyi kicauan burung mendamaikan. Jukstaposisi bicara didaktiknya dengan imbasan-imbasan rencam peristiwa hari terdahulu semakin menguak hijab yang menabiri hati Aisyah Zaatiyah. Tentang erti dan universaliti cinta.

Alangkah baculnya manusia yang tidak pedulikan saudaranya yang teraniaya, alangkah malang dan sedihnya manusia teraniaya yang tidak ditolong saudaranya. Dan alangkah hinanya manusia apabila seperti tidak ada tempat untuk Allah dalam hati-hati mereka. Cinta itu datang daripada Allah, dan sewajarnya mencintai yang lain itu didasari kepada mencintai Allah dan mengharapkan cintaNya. Allah tidak perlu berkorban apa-apa untuk mencintai umatNya, Dia Maha Pengasih, Maha Pemurah, dan Maha Kaya, tetapi hukum cinta untuk hambaNya menuntut pengorbanan. Cinta kepada insan dan kepada Tuhan, kedua-duanya menuntut harga, untuk punya harga.

Cinta yang sebenar adalah cinta yang dizahirkan melalui pengorbanan. Cinta yang tidak mahu berkorban adalah mementingkan diri sendiri dan memuaskan nafsu sendiri. Cinta yang menepikan Allah adalah cinta yang haiwani. Bagaimana mungkin wujud cinta sejati dalam kehidupan seperti itu? Aisyah Zaatiyah semakin mengerti, cinta sesungguhnya adalah pengorbanan.

Tapi adakah dengan pengertian itu, dia sendiri tergerak untuk berkorban? Entahlah. Jujur dia bicara dengan hatinya, ya dia tahu pengorbanan itu mulia dan bukti cinta, tapi relakah dia, tegakah dia melepaskan kesenangan hidupnya, cukup teguhkah asa untuk mencukupkan cintanya dengan Taufiq dengan pertautan hati dalam dunia serba sukar sedangkan jarak dihadang oleh perjuangan.

Aisyah Zaatiyah dan Mek meninggalkan pondok si tua dengan azam sekuat selalu untuk mencari Taufiq, walaupun dengan mata hati yang semakin terkuak hijabnya.

Mata rindu Aisyah Zaatiyah mula melihat Taufiq dalam setiap kelibat. Yang mengangkat barang di luar kedai itu Taufiq, yang memandu kereta berkaca mata gelap itu Taufiq, yang membelai kucing di dukungan di laman rumah itu Taufiq. Tapi sayang, realitinya semua mereka bukan Taufiq. Matahari semakin garing, Aisyah Zaatiyah akhirnya terduduk di atas bangku di tepi jalan, hampir satu kawasan perumahan setinggan. Membuka bungkusan roti yang dibekalkan oleh si tua, berkongsi dengan Mek yang melahap kerana mereka berdua memang lapar.

Rumah-rumah buruk seperti kotak-kotak zink, ada dinding bertampal suratkhabar, kanak-kanak berkaki ayam comot berlari-lari dan ibu-ibu yang kusut masai menadah air di paip awam. Dan kawasan ini letaknya di belakang kawasan bangunan pencakar langit yang mewah. Kontras yang membingungkan.

Seorang gadis terencat akal, kotor selekeh berpakaian buruk menghampiri, meminta makanan. Aisyah Zaatiyah mulanya teragak-agak, namun akhirnya roti yang hampir sampai ke mulut itu bukan dicebiskan tetapi dihulurkan semuanya kepada sang gadis. Aisyah Zaatiyah yang mulanya kegelian melihat sang gadis, akhirnya mengusap bahunya dan mempelawanya duduk di atas bangku yang mengalas duduknya tadi, sedangkan Aisyah Zaatiyah sendiri bersila di atas tanah beralas kepingan kotak-kotak. Sempat sang gadis bercerita sedikit-sedikit dengan lidah pelat dan mulut penuh.

Riuh-rendah. Kecamuk. Jeritan-jeritan. Panik. Ada jentera besar mengaum hendak merobohkan gubuk-gubuk setinggan yang konon dibina di atas tanah haram. Angkuh Pak Menteri mengetuai di barisan hadapan, menghalau penduduk-penduduk konon penderhaka dan pemalas yang menyusahkan kerajaan. Tanah ini lebih untung menjadi tapak hotel mewah, lagipun adakah semenggah belakang bangunan pencakar langit seburuk tempat pelupusan sampah? Penduduk kelam-kabut. Beramai-ramai keluar, merusuh, mengamuk, marah-marahkan orang-orang biadab yang mahu menceroboh kediaman mereka tanpa sebarang pampasan, sedangkan mereka warga Karang Setra yang sah. Keributan. Aisyah Zaatiyah terperangkap di celah orang-orang ramai. Dan dia nampak Taufiq. Benar-benar nampak Taufiq. Di sebelah sana, di jalan besar sana, di celah-celah orang ramai yang sedang merusuh di sana.

Dan Taufiq melihatnya.

Manusia-manusia kejam datang dengan kayu membelasah penduduk. Haru-biru. Teriak tangis. Orang dan binaan sama dibelasah, orang tertiarap memakan tanah dan pondok-pondok rebah-rempah. Aisyah Zaatiyah dan Mek terpisah. Mata Aisyah Zaatiyah tertancap kepada satu arah; Taufiq ya Taufiq, yang juga terperangkap dalam kecoh-kecoh di sebelah sana.

Satu tangisan hinggap ke telinganya. Gadis terencat akal tadi sedang menangis meraung-raung, tidak ada sesiapa yang peduli. Dan dia berdiri di sisi sebuah rumah yang sedang rakus dirobohkan dengan kapak-kapak dan kayu-kayu, tanpa sedar dinding dan tiang itu akan runtuh menimpanya. Aisyah Zaatiyah memandang ke arah Taufiq sekilas, sekali, dan berpusing menuju ke tempat sang gadis berdiri meraung, menolaknya jauh dari bahaya, dan dinding runtuh itu menimpanya.

Rusuh lanjut hingga ke senja. Aisyah Zaatiyah tidak sedar apa-apa. Apabila kecamuk mereda, yang tinggal hanyalah runtuhan-runtuhan pondok yang gagal dipertahankan dan tubuh-tubuh cedera yang bergelimpangan. Aisyah Zaatiyah diheret keluar dari timbunan serpih zink dan kayu dengan darah berlumuran.


Penamat - Inikah Cinta?

Katil hospital mengalas pembaringan Aisyah Zaatiyah. Sebelah wajahnya berbalut, mata kirinya parah. Mek tidur terlungkup di atas meja di tepi katil. Jelas nampak balutan pada kepala dan tangannya. Lampu suram. Di sisi katil, berdiri sesusuk tubuh yang merenung Aisyah Zaatiyah penuh kasih. Wajah Aisyah Zaatiyah yang berbalut diusapnya lembut, Aisyah Zaatiyah yang nyenyak dalam tidur berubat pelali sekadar mendengus kecil. Sesekali susuk tubuh itu nampak menyeka air mata di pipi sendiri.

Telefon dalam kocek berbunyi. Taufiq tergesa-gesa menjawab. Ya, seminit saja lagi. Kemahiran kedoktorannya diperlukan, dia perlu kembali ke perkampungan tepi pantai. Gerak gempa dikesan lagi, tsunami melanda lagi. Dia perlu membantu. Walaupun rindu dan cinta kepada isterinya yang tersayang, isterinya yang sudah mengerti makna cinta dan pengorbanan, seperti air membuak di belakang empangan.

Taufiq meletakkan sepucuk surat di atas meja di sisi kepala Aisyah Zaatiyah, di mana Mek akan melihatnya sebaik sahaja terbangun. Dan perlahan-lahan, dia berpaling dan mengatur langkah keluar.

Sejurus sesudah Aisyah Zaatiyah membaca surat yang ditinggalkan suaminya, berita yang sampai dari corong radio memutuskan tangkai hatinya. Tsunami kedua yang tidak diduga - selepas tsunami yang memanggil suaminya pergi - tiba-tiba mengganasi perkampungan pinggir pantai lagi. Hadir tidak semena-mena seperti sayap malaikat maut yang tiba-tiba menutup segala cahaya. Dan antara yang terkorban adalah Dr Taufiq Ismail.

Khatamlah sudah, mutlaklah sudah pencarian cinta manusia Aisyah Zaatiyah.

Ternoktah dengan pengorbanan yang bertindih-tindih.

"Mek baliklah. Aisyah sedar, Taufiq adalah manusia yang akan mati, hamba Allah seperti Mek dan Aisyah juga. Walaupun Taufiq dah tak ada, Aisyah mahu cinta kami terus hidup. Untuk menghidupkan cinta itu sesuci dan seikhlas mungkin, cinta Allah perlu menjadi dasarnya, cinta sesama saudara itu wadahnya, dan pengorbanan akan menjadi buktinya. Cinta kepada manusia tak sepatutnya mendahului cinta kepada Allah.. itulah yang Taufiq cuba sampaikan kepada Aisyah selama ini, dan Aisyah mahu cuba fahami sampai benar-benar dapat menghayati dan merasai."

"Saudara-saudara di sini perlu bantuan dan pembelaan. Perlu didekatkan dengan Allah, dan jiwa Aisyah sendiri memerlukan tarbiyah. Aisyah mahu tinggal di sini. Belajar agama dan berbakti, kerana Allah. Biarlah Aisyah tak sempat mencium tangan abang Taufiq di dunia ini, biarlah kami hanya bertemu dalam mimpi sampai akhir hayat nanti, Aisyah harap, di syurga nanti mata kami akan bertentang lagi.."


salam sastera,
meow~~

Aisyah Zaatiyah Mencari Cinta - II

assalamu'alaikum.

sambungan dari yang lepas insyaAllah :-)

Kembara II - Keadilan dan Persaudaraan di Pinggir-Pinggir Jalan

Berbekalkan wang yang ada, Mek dan Aisyah Zaatiyah meninggalkan perkampungan tsunami dan menuju ke arah bandar. (ya, mereka memberi sejumlah ongkos kepada sang ibu mulia itu, tapi ditolak.. katanya dia sudah lali dengan derita dan secebis duit tidak akan membawa makna apa-apa, sedangkan tetamunya berdua itu akan begitu terkesan oleh kekurangan walau sesen pun dalam keadaan mereka sekarang)

Mobil sewa membawa mereka sampai ke tengah kota. Namun masih penasaran, suasana tampak aman damai, tidak kelihatan sesiapa merusuh apatah lagi kelibat-kelibat perawat sukarela yang membantu. Jadi di mana mahu dicari Taufiq? Serabut bandar berbeza dengan serabut kampung dilanda tsunami. Panas matahari seperti lebih garing dalam suasana sesak dan macet. Dan Aisyah Zaatiyah sendiri kurang pasti yang manakah lebih busuk, bau kematian di pantaikah atau bau asap-asap dan wap badan manusia di bandar sarat inikah.

Dua pengembara sesat yang comot - Aisyah Zaatiyah dan Mek - seperti penasaran lagi di sini. Bangunan-bangunan panjang berderet, rumah-rumah flat dengan dinding berkulat dan pakaian lusuh bergantungan di luar-luar tingkap, orang-orang bersimpang siur dengan pelbagai ekspresi dan gaya kecuali ketenangan dan belas kasihan. Ada yang tergesa-gesa merempuh Mek hingga terjatuh. Ada yang nakal-nakal mengusik Aisyah Zaatiyah yang masih manis walaupun dua hari tidak bertemu air mandi.

Aisyah Zaatiyah mula gagal mengawal diri, mahu mengurai tangis lagi. Lantas Mek menuntun ke sebuah kedai minum - atau kedai makan - atau restoran - menyarankan mereka berehat dahulu seketika. Pengunjung-pengunjung sedang ralit menonton perlawanan bola. Bersorak-sorakan. Aisyah Zaatiyah dan Mek memesan makanan dan minuman, ya kelaparan sejak semalam.

Timbul ketegangan apabila Mek lantang memarahi pelayan kerana menghidangkan arak sebagai "compliments". Tambah pula apabila pengunjung di meja sebelah memesan "halal pork". Bukankah ini restoran milik orang Islam? Besar-besar terpampang di luar kedai. Di dinding-dinding ada gambar Kaabah. Sambil tertawa sang pelayan berkata, kalaulah di sini restoran Cina akan lebih mendapat sambutan, gambar tokong pun tuan kedai ini akan tampalkan!

Makanan sampai. Walaupun berselera menghadap juadah, mata hati Aisyah Zaatiyah yang seperti baru terangkat sedikit hijabnya semakin memahami lapis-lapis makna di sebalik peristiwa. Masuk Pak Menteri dan isterinya ke dalam restoran, dilayan dengan penuh hormat seolah-olah kaki mereka pun mahu dijilat. Pengemis dihalau dan dipukul dengan penyapu seperti menghambat kucing kurap - sedangkan kucing kurap pun tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa. Bual bicara pengunjung restoranyang memperlekehkan mangsa tsunami di desa dan miskin melarat di kota. Pak Menteri dan isteri mendabik dada sayangkan rakyat tetapi hendak berpanas sedikit menjenguk hari sukan rumah anak yatim pun bising-bising mahu dipayungkan sepanjang jalan. Mahu turun ke perkampungan tsunami? Ah, tidak perlulah, bukannya mereka itu turun mengundi pun nanti. Tidak ada istilah pengorbanan.

Masuk dua orang anak muda, hangat bercinta, berpeluk-peluk bercumbu-cumbu. Meminta muzik dipasangkan. Tak sempat menunggu malam, mereka berdansa di pentas dansa di satu sudut. Muzik semakin kuat. Menyerabutkan. Semakin ramai orang menyertai pentas dansa. Arak galak dipesan. Kelam-kabut. Matahari semakin terbenam, syaitan berpesta rakus. Aisyah Zaatiyah dan Mek semakin rimas. Ada yang mengusik-usik mengajak menari, menarik-narik tangan semakin berani, cuba meneroka lebih biadab, mengasari Mek, Aisyah Zaatiyah meraung menjerit, tiada sesiapa menolong.

Tiba-tiba sergahan seorang tua berjubah serban menyebabkan semua terdiam. Muzik mati tiba-tiba. Seperti kanak-kanak ketakutan Aisyah Zaatiyah merangkak ke kaki si tua berjubah, memaut betisnya menangis teresak-esak di situ. Mek mengesat darah di dahi. Konfrontasi antara si tua dan pengunjung-pengunjung restoran berakhir dengan si tua dihalau dan muzik kembali berdentum, tari-menari seperti tidak ada apa-apa yang terjadi. Di luar malam semakin gelap.

salam sastera, nantikan fragmen ketiga..
meow~

Saturday, January 20, 2007

Aisyah Zaatiyah Mencari Cinta - I

assalamu'alaikum.

Pengenalan

Dia, Aisyah Zaatiyah, seorang anak gadis aristokrat. Cantik, manja, lemah lembut, keanak-anakan. Manis. Masih terlalu mentah dalam mendepani hidup. Jiwa romantik, lemah, dan belum teruji. Bertemu jodoh dengan Taufiq Ismail (ya sempena nama penyair Indonesia itu), rijal berjiwa mujahid yang mensinonimkan erti kehidupan dengan jihad dan pengorbanan. Pertentangan prinsip hidup, antara kelunakan bersenang-senang memadu cinta di mahligai bahagia dan kepayahan menabur bakti di tanah-tanah saudara yang sengsara, menyebabkan konflik timbul antara mereka.

Aisyah Zaatiyah tidak faham dan menyampah mengapa Taufiq asyik bicara tentang pengorbanan, untuk umat dan agama, sebagai manifestasi cinta. Apa tidak bolehkah, tidak cukupkah, cinta yang suci dalam ikatan mereka berdua, sehingga perlu juga bersungguh mencari susah di Pulau Karang Setra, tempat orang dilanda tsunami, rusuhan, dan segala macam krisis politik-sosial? Dan cinta kepada Allah, ya itu satu lagi konsep yang amat payah Aisyah Zaatiyah mengerti.

Ah alasan. Mungkin saja Taufiq ada cinta kedua yang melambai-lambai sehingga beria-ia mahu ke sana. Geram, marah, Aisyah Zaatiyah lancang menyanggah suami dan mengatur langkah derhaka membawa diri.

Rindu dan cinta membawa Aisyah Zaatiyah pulang. Mencari Taufiq mahu meminta maaf. Biarlah dia tidak setuju, biarlah dia menyampah, biarlah dia rasa semua usaha-usaha Taufiq yang konon idealistik mahu mengubah dunia itu tidak ada gunanya. Kerana cinta kepada Taufiq, Aisyah Zaatiyah sanggup berlutut mengaku salah dan mengikut suaminya ke mana sahaja. Semata-mata kerana cinta kepada seorang manusia.

Sayang, pulangnya disambut mahligai sepi. Taufiq Ismail sudah pergi. Yang setia menanti hanya Wan Kembang, manja dipanggil Mek, pengasuh yang menjaga sejak kecil. Aisyah Zaatiyah terkedu. Sampai hati Taufiq meninggalkannya begitu. Cinta apakah yang lebih besar daripada cintanya?


Kembara I - Simpati Manusiawi dari Sisa Tsunami

Bersama Mek yang setia Aisyah Zaatiyah meredah lautan menuju Pulau Karang Setra, mencari Taufiq. Bot kecil membelah laut, teroleng-oleng dilambung ombak kecil dan besar. Sebahagian besar penumpang adalah sukarelawan yang hendak ke sana atau rakyat pulau yang merantau mencari rezeki pulang menjenguk sanak saudara dan membawa sedikit wang untuk mereka. Kata seorang doktor, Taufiq mungkin sekali berada di pusat kesihatan darurat di kawasan perkampungan yang dilanda tsunami.

Tidak selesa, mabuk laut, bosan, dan anehnya nakhoda kapal yang mabuk-mabuk gemar berfalsafah itu berkata arak yang diteguknya untuk 'meneutralkan' mabuk laut yang menggoncang. Apa bolehkah mencuci najis dengan najis? Aisyah Zaatiyah kerimasan dan kebosanan, akhirnya terlena di ribaan Mek.

Mendarat di pelabuhan Pulau Karang Setra. Pemandangan yang menggusarkan menyambut. Sampah-sarap, kotoran, serpih kayu, pokok tumbang, cebisan pakaian, malah cebisan yang persis sisa anggota manusia, entah apa sahaja, bertaburan di sepanjang pantai langsung menganjur ke arah dataran perkampungan sana. Ah, sebetulnya bukan perkampungan .. pondok-pondok usang dan bangsal-bangsal daif, khemah-khemah compang-camping. Manusia yang selekeh dan tidak terurus, ada yang terhuyung-hayang ke sana sini dengan pandangan kosong. Ada yang cedera dengan balutan yang kotor. Dunia apakah ini? Aisyah Zaatiyah seperti terpukau.

Kecuaian menjadi asbab sehingga beg pakaian Aisyah Zaatiyah dicuri.Tinggal sehelai sepinggang. Mujurlah selamat beg dokumen-dokumen penting, beg Mek dan dompet buruk Mek yang berisi wang 'sesen dua'. Dengan wajah berair mata Aisyah Zaatiyah melilau-lilau ke sana sini, mencari-cari Taufiq, di bawah panas matahari dilingkungi ruapan udara berbau maut dan kotoran, ditemani Mek yang cuba bertenang dan menenangkannya, seperti hilang arah. Dan rupa-rupanya Taufiq sudah tiada di situ. Dia dihantar ke bandar untuk membantu dalam kes rusuhan di sana. Aduh, Pulau Karang Setra ini begitu sekali bobrok dan ruwetnya.

Daripada simpati seorang ibu yang menguntukkan bumbung bangsal buruknya dan secebis dua roti kering untuk dua tetamu yang terkapa-kapa itu, Aisyah Zaatiyah belajar dan diajar erti nilai manusiawi. Tegar ibu itu, yang merawat luka satu-satunya anak yang masih tinggal, tegar bercerita peritnya kehilangan-kehilangan yang dirampas tsunami, jengkelnya dimangsai oleh buaya-buaya birokrasi serta oportunis yang mempolitikkan dan membisneskan derita.

Mimpi Aisyah Zaatiyah malam itu, bersendalkan tanah beralas kanvas-kanvas lusuh berbau hapak dikunjungi aneka ragam mimpi. Yang mempersoalkan hatinya, sifat mementingkan dirinya. Bangunnya pagi itu sebagai insan yang lebih lembut hati, tapi tekadnya tidak berubah. Mahu mencari Taufiq dan membawanya pulang, bahagia bukan di sini untuk dicari, apatah lagi cinta.


- fragmen 1, insyaAllah yang seterusnya akan menyusul.. saya perlu outline begini baru selesa untuk merangka skrip drama~ -

salam sastera,
meow~

Friday, January 19, 2007

antara selamat jalan dan selamat tinggal

assalaamu'alaikum.

Selamat jalan, selalu diucapkan buat orang yang akan bepergian, mendoakan perjalanannya selamat-selamat sentiasa. Dan selamat tinggal adalah ungkapan daripada orang yang akan pergi, mendoakan agar orang yang ditinggalkan sentiasa selamat dan sejahtera.

Yang manakah lebih sukar untuk diucapkan?

Dan ucapan manakah yang lebih sukar untuk ditelan?

Mungkin yang ditinggalkan lebih terasa pahitnya perpisahan. Kerana yang meninggalkan punya destinasi tempat tujuan, tetapi yang ditinggalkan tidak ada apa-apa yang dinantikan kecuali pertemuan semula. Atau mungkinkah yang pergi itu lebih berhiba, kerana yang perlu mengumpul kekuatan untuk menyusun langkah-langkah kian menjauh itu adalah dia.

Teringat sayunya sewaktu seorang diri melangkah melalui pemeriksaan keselamatan di KLIA, melambai-lambai keluarga di balkoni, dengan setiap langkah seperti mengheret batu besar di kaki. Dan teringat juga sayunya sewaktu melepaskan sahabat-sahabat pergi mengejar cita-cita masing-masing, satu demi satu mengucapkan selamat tinggal, dengan satu ucapan, satu lambaian, atau satu pelukan, selepas sesaat itu berlalu semua yang manis menjadi kenangan.

Pertemuan dan perpisahan yang tidak kunjung henti membentuk dinamika kehidupan. Tidak munasabah sekiranya tidak mahu berpisah, kerana berpisah itu tidak boleh tidak perlu ditempuh dalam perjalanan hidup. Kerana untuk setiap orang jalannya tidak sama. Malah perpisahan itulah yang menjadikan pertemuan lebih indah, seperti rindu yang bisa menjadikan sayang lebih halus dan manis. Tetapi sakit, ya sakit.

Perpisahan itu menyakitkan, seperti rindu itu memedihkan, dan penantian itu meletihkan. Walaupun semuanya ditelan atas nama kasih dan sayang.

Sama ada yang diucapkan adalah selamat tinggal atau selamat jalan, hakikat yang menenggelamkan persoalan-persoalan lain adalah satu perpisahan lagi sedang berlaku. Dan ia hanya salah satu daripada ratusan, malah ribuan lagi perpisahan yang menempati hidup, sebagai harga kepada pertemuan-pertemuan yang setanding manisnya. Seperti roda yang berputar, kehidupan ini dipenuhi oleh peristiwa yang berulang-ulang.

Perpisahan mutlak adalah kematian, dan pertemuan mutlak adalah jika bertuah dapat berkongsi syurga kelak.

Rindu yang bisa akan menjadi madu akhirnya, dengan izin Allah. Itu saya yakin dengan pasti, dengan izinNya tiada yang mustahil, kalau Dia mengizinkan. Dan izin itu yang saya harap-harapkan. Sama ada saya akan mendapat apa yang saya nanti-nantikan, atau saya akan mendapat ganti yang lebih baik. InsyaAllah.

Antara selamat jalan dan selamat tinggal, kedua-duanya melatari perpisahan. Adanya pertemuan bererti ada juga harganya iaitu perpisahan. Dan paling indah, paling bererti, jika manisnya pertemuan dan pahitnya perpisahan itu disandarkan kepada maksud yang paling suci, kerana Allah Yang Maha Tinggi.

salam sayang,
meow~