Thursday, November 13, 2008
pembebasan
ajari aku
tentang sunnah Nabiku
ajarilah tentang indahnya ukhuwah
ceritakanlah
tentang para syuhada
dan kemuliaan hidup dalam kesyahidan
mereka para pembela agama
penjaga benteng-benteng kehormatan
yang telah merelakan jiwa raganya
walau dengan antre yang panjang
menggadaikan diri demi
cinta Tuhan
oh kau
generasi Solahudin al-Ayubi
sadarkah dirimu
tentang hakikat ribatul ukhuwah
dan kau
mujahidah al-Khansaa di abad ini
didiklah generasi
penerus perjuangan para Nabi
beritakanlah tentang kegembiraan
dan kebahagiaan
syuhada di medan juang
walau jasad mereka telah tiada
gugur dalam membela kebenaran
namun mereka hidup dalam kedamaian
dengan limpahan kasih sayang Tuhan
adakah kau
dengan azam
dalam usia yang tergenggam
untuk mewujudkan
segala asa dan impian
adakah kau
dengan sabar menghalau jiwa yang tenang
menuju sebuah padang
menanti syahid dambaan
oh kau
generasi Solahudin al-Ayubi
sadarkah dirimu
tentang hakikat ribatul ukhuwah
dan kau
mujahidah al-Khansaa di abad ini
didiklah generasi
penerus perjuangan para Nabi
beritakanlah
tentang kegembiraan
dan kebahagiaan syuhada di
medan juang
walau jasad mereka telah tiada
gugur dalam membela kebenaran
namun mereka hidup dalam kedamaian
dengan limpahan kasih sayang Tuhan
adakah kau
dengan azam
dalam usia yang tergenggam
untuk mewujudkan
segala asa dan impian
adakah kau
dengan sabar menghalau jiwa yang tenang
menuju sebuah padang
menanti syahid dambaan
mari bersama
goreskan cita
'tuk menjadi pembela agama
tanpa keraguan
bahawa kematian adalah sebuah pembebasan
mari bersama
goreskan cita
'tuk menjadi pembela agama
tanpa keraguan
bahawa kematian adalah sebuah pembebasan
tanpa keraguan
bahawa kematian adalah sebuah pembebasan
-Suara Persaudaraan-
#####
Perkuatkanlah.
Kematian sepatutnya membebaskan, kerana dunia adalah penjara untuk mukmin. Melepaskan roh untuk kembali kepada asal, seperti sirih pulang ke gagang, seperti perindu merebahkan diri ke ribaan kekasihnya.
Kalau masih takut untuk pulang, mungkin (tentu) diri belum layak bergelar mukmin.
salam,
meow~
Wednesday, October 15, 2008
"Terhutang Budi"?
Saya kurang senang dengan nada 'terhutang budi'. Frasa yang lebih sedap didengar, barangkali, ialah 'mengenang budi'. Kalimat 'hutang' itu seolah-olah menekan sesiapa yang pernah menerima kebaikan daripada pihak lain untuk berasa terbeban dan terpaksa untuk membalas kebaikan tersebut, walaupun melibatkan logika yang karut.
Pada pendapat saya, budi bukan untuk dipulangkan atau dikembalikan. Itu bukan kewajiban. Kalau kamu pernah menolong saya dalam satu-satu perkara, tidak ada autoriti yang boleh menyuruh saya menolong kamu suatu hari nanti apabila kamu memerlukan, hanya kerana itu. Mengapa? Kebaikan yang dilakukan itu adalah pilihan individu untuk melakukannya, si penerima tidak akan dapat memaksa pemberi, jika budi diberi dengan paksaan maka ia bukan lagi budi. Mengapa penerima perlu dibebankan oleh keputusan bebas oleh si pemberi? (Ini terutamanya boleh diaplikasikan dalam konteks "termakan budi, tergadai body" - perhatian dan wang ringgit yang dicurahkan menyebabkan penerima rasa bersalah untuk menolak permintaan pemberi. Hello, budi itu diberi atas kerelaan sendiri, kenapa mesti dibalas? Ini jual beli ke? Saya tidak faham dengan orang yang rasa bersalah tidak tentu hala begini, apatah lagi sampai merosakkan diri!)
Satu lagi sebab mengapa saya berpendapat budi bukanlah sesuatu yang boleh dihutang-hutangkan, atau dijadikan bahan peras ugut emosi (emotional blackmail), adalah kerana konsep PEMBALASAN bagi orang yang berTuhan adalah hak mutlak Tuhan. Tidakkah silap jika si pemberi berharap budinya akan dibalas oleh si penerima, atau si penerima menyangka perbuatan baiknya kepada si pemberi dapat menebus budi yang ditaburkan? Ganjaran untuk orang yang berbudi, tidak kiralah kepada siapa budinya diberi, adalah anugerah dan rahmat Tuhan. Manusia - terutamanya Muslim - perlu belajar membentuk pandangan dunia (worldview) bahawa daripada tangan siapapun sesuatu sampai, ia digerakkan oleh Allah S.W.T., supaya tidak timbul masalah pergantungan melampau dengan manusia sampai lupa apa yang Allah suruh buat.
Berbalik kepada institusi atau organisasi yang 'berbudi', di sini saya lihat ada fallacy juga. Budi adalah sesuatu yang dilakukan dengan pilihan, di mana pemberi boleh memilih sama ada hendak melakukannya atau tidak. Jika kebaikan itu adalah tanggungjawab, saya ulang, tanggungjawab, obligasi, kewajiban, maka, ia bukan lagi budi. Malah menjadi kesalahan jika ia tidak dilakukan oleh institusi terbabit. Memang ada yang akan berhujah bahawa tanggungjawab sosial untuk sesebuah organisasi komersil adalah satu bahan dalam debat etika, tetapi saya memilih untuk merujuk kepada opini yang memestikannya.
Walaupun saya tidak bersetuju dengan konsep 'hutang' budi, tetapi saya mencadangkan konsep 'kenang' budi sebagai gantian. Kita tidak bergantung dengan manusia, tetapi kita diajar Allah mengamalkan sikap tolong-menolong dan berterima kasih. Sepertimana tidak ada paksaan untuk orang berbudi kepada kita, tetapi mereka memilih untuk menabur kebaikan, demikian jugalah tidak ada paksaan untuk kita berbudi kembali, tetapi sebagai manusia yang berperikemanusiaan, sewajarnyalah kita memilih untuk sentiasa melakukan kebaikan, walau kepada sesiapapun - sama ada penerimanya pernah berbudi kepada kita atau tidak. Bukan kerana budi yang pernah kita terima, tetapi kerana Allah menganjurkan, malah memerintahkan supaya berbuat baik sesama manusia.
Kita tahu kebaikan yang dilakukan oleh ibu bapa, institusi, organisasi, semuanya adalah kewajiban mereka, bukannya budi yang sukarela, tetapi kita diperintahkan oleh Allah supaya berbuat baik, menghormati, dan mentaati figura-figura autoriti ini. Malah dalam sesetengah sistem - seperti kekeluargaan dan pendidikan - ketaatan dan penghormatan yang dituntut adalah hampir mutlak, dengan pengecualian hanya dalam satu aspek - jangan sampai bertentangan dengan suruhan dan larangan Allah keseluruhannya. Jangan kita lupa dengan caveat ini apabila menjadikan ketaatan dan penghormatan itu sebagai justifikasi untuk melakukan sesuatu.
Dan Allah Maha Mengetahui.
Post-Script: Memandangkan saya ada menyebut 'ibu bapa' dalam bahagian untuk 'tanggungjawab vs budi sukarela' - saya akui, amnya kasih sayang ibu bapa dalam mengasuh dan bermesra dengan anak-anak adalah ikhlas dan sukarela, malah lebih daripada apa yang diwajibkan. Malah ketaatan kepada ibu bapa diberi perhatian khusus dalam ajaran Islam, walaupun caveat yang sama tetap dikenakan. Saya tidak bermaksud menyamakan taraf ibu bapa dengan institusi pengajian atau organisasi perniagaan, jauh sekali tidak serupa, cuma wujud kesamaan dalam kehadiran elemen 'budi yang wajib' dan 'tuntutan ketaatan dengan caveat' itu.
Sekadar pembetulan supaya anda tidak membazir waktu membetulkan 'kesilapan' saya itu nanti, dan saya tidak perlu susah-susah membalasnya. Kalau masih silap pada pandangan kalian, sila, gelanggang perdebatan tidak pernah ditutup.
meow~
Thursday, September 25, 2008
menangguk
kali terakhir memberikan percaya
dan mencurahkan mesra
dengan jiwa
sampai aku lupa,
bagaimana menilik
keruh dan jernihnya
air yang ditangguk
--
ah, peduli apa ya
warna air di kolam
asalkan ikan dalam tangkapan!
Wednesday, September 24, 2008
obligation
"I can't do it."
"I've said over and over again that I trusted you with my life. Now I'm trusting you to let you take it, as you had agreed to do."
"I am obliged to do it, whether I chose to or not."
"Whether you chose it or not, the blame I'll never put on you."
Three eternal seconds.
"I can't do it while drowning in your eyes."
She turned around, throwing her gaze into the oceans below shimmering under the black-gold of dark sunset.
"I've always wished for your visage to be the last I see, but I guess the dying sun will do."
Sunday, September 14, 2008
sensei wa erai!!
Tajuk entri saya ini merujuk kepada sebuah filem school comedy Jepun yang terbit awal tahun ini. Pautan ke bahagian satunya di sini, teruskan saja ke pautan-pautan ke bahagian seterusnya di laman yang sama.
Saya menonton filem ini dalam waktu senggang sambil menunggu keputusan peperiksaan semester empat, Jun sudah. Lakonannya biasa-biasa sahaja, dengan barisan pelakon muda yang comel-comel belaka, nampaknya sang pembuat filem memang bermaksud menggunakan populariti pemeran sebagai daya penarik utama. Tema dan plotnya pun mudah, hubungan guru dan pelajar yang pada mulanya berkonflik tetapi akhirnya dileraikan (dengan cara yang sangat klise). Comic relief dan adegan-adegan romantik manis yang dipaparkan pun tidak banyak kelainan dengan formula biasa wayang pop Jepun.
Jadi apanya yang mahu saya khabarkan di sini?
Usai menontonnya dahulu, ada kelainan yang ketara yang saya kesani dalam mesej yang disampaikan, menyebabkan saya tenggelam sebentar dalam refleksi. Dan selesai membantu dalam program bersama kanak-kanak Sabtu sudah, ingatan tentang refleksi tersebut bagaikan menendang-nendang ruang fikir.
Minggu lalu, saya dan dua orang kawan dihubungi oleh Kak H. Beliau dan suaminya merancang untuk mengadakan sebuah kursus Fiqh Ramadhan untuk anak-anak Melayu di Manchester pada hari Sabtu. Tujuan kami dilibatkan sama? Diajak membantu menyediakan dan mengendalikan tiga slot permainan untuk peserta. Maklumlah kanak-kanak, aktiviti ilmiah perlu digilirkan dengan selingan yang menarik supaya mereka tidak bosan dan hilang fokus. Penceramah (Kak H dan suami) juga punya ruang untuk beristirehat.
Saya dan kawan-kawan - N dan R - menyudahkan perancangan untuk tiga slot permainan itu pada tengah malam hari Jumaat. Kerja minit terakhir, seperti biasa. Saya tidak menjangka tugas kami besok hari akan menjadi terlalu sukar, dalam kepala terbayang-bayang pengalaman (yang sudah lama ditinggalkan) beraktiviti bersama adik-adik sekolah rendah dan menengah. Tentu sahaja tidak banyak bezanya, malah mungkin lebih mudah. Bukankah kanak-kanak yang terdidik dengan gaya Inggeris lebih bergaya bijak, cergas dan cerdas? Itu telahan saya.
Tentu sahaja kalian sudah menduga, jangkaan saya meleset dengan teruknya. =D
Apabila kami - saya dan R , N ada urusan lain di Sheffield - sampai di rumah Kak S yang menawarkan kediamannya untuk kursus itu, kami tidak menjangka untuk melihat sekumpulan kanak-kanak lelaki berumur sekitar 9-13 tahun yang begitu geger dan terkinja-kinja. Kak H nampak bertungkus-lumus untuk mendapatkan tumpuan mereka yang sepertinya tidak mampu duduk diam. Kalau tidak ditanya pun mereka menyampuk, sebelum diberi peluang menanyakan soalan mereka sudah mencelah, apabila memberi jawapan ada saja loyar buruknya. (Empat orang kanak-kanak perempuan yang ada bersama tampak diam dan sopan, saya tidak fikir mereka malu-malu, atau tidak cerdas, malah mungkin sekali gadis-gadis kecil ini jauh lebih matang daripada rakan-rakan lelaki yang ada antaranya lebih tua daripada mereka.)
Kak H tampak sedikit lega apabila dapat berehat seketika semasa tiba giliran saya dan R mengambil alih.
(Gadis-gadis kecil itu rupanya nakal dalam jujur, sebaik sahaja kami berdua diperkenalkan sebagai kakak-kakak yang akan mengaturkan game untuk mereka, soalan yang terpacul daripada mulut adalah "Dah kahwin ke?" aisehh.. Dan soalan itu diulang lagi sewaktu kami berbual-bual sebelum solat Zuhur berjemaah... setelah memberitahu umur saya, saya terus diajukan soalan, "Kakak dah kahwin ke belum?" aiseehhhhh...!!)
Permainan pertama dengan mereka sungguh mencabar. Syukur, saya punya pengalaman sejemput mengendalikan kanak-kanak, dan beberapa jemput lagi pengalaman berembas (ini dialek Kelantan, maknanya lebih kurang struggle, wrestle) dengan dua orang adik lelaki dan sepupu-sepupu lelaki saya. Ah, juga pengalaman menggunakan peti suara pada kadar hampir maksimum (berkawad, memberi arahan kepada rakan-rakan asrama untuk bertugas sebelum spot check..haha).
R juga nampak bersusah payah. Arahan perlu diberi berkali-kali dengan suara lantang untuk menarik perhatian, dan kanak-kanak yang ligat itu mesti dikawal supaya tidak 'main tipu' ... bayangkan bergelut dengan sepuluh ekor kucing yang besar dan lincah. Bezanya mungkin, kanak-kanak ini semua tidak ada kuku yang tajam. Demikian juga dengan permainan kedua dan ketiga.
(Sewaktu permainan ketiga, saya mengeluarkan komputer riba, nampaknya seorang dua kanak-kanak itu begitu tertarik. "Eh, kita main ni dapat hadiah laptop ke?" "Wah, ada PinBall game." "Akak, nak main." "Akak, nak main." Malah salah seorang daripadanya terus mengambil tempat di sisi sofa tempat saya duduk, hampir-hampir bersandar kepada saya, begitu ingin untuk menyentuh dan bermain dengan komputer. Saya tidak izinkan, nanti seorang dapat, sepuluh yang lain terkinja-kinja mahu juga.)
Bagusnya anak-anak ini, ketika sesi ceramah, mereka aktif dan galak bertanya. Tipikal kanak-kanak British-educated. Ekstrovert dan tidak segan-silu meluahkan apa yang ada dalam fikiran masing-masing. Bahkan fikiran juga terbuka, dan konsep fair-play sangat kuat termaktub dalam minda. Permainan pertama memerlukan adik-adik ini menghafal lukisan yang diberi - sumbangan bakat R yang cekap melukis - dan akhirnya melukisnya semula. Saya mengajak kedua-dua kumpulan yang berada di bawah seliaan saya membandingkan hasil masing-masing dengan lukisan asal, dan mengadilinya bersama-sama. Sungguh membanggakan apabila kumpulan yang kalah dengan terbuka hati dan riang gembira mengakui kemenangan lawannya yang nyata lebih baik, tanpa sedikit pun riak muka tidak puas hati atau menuduh lawan bermain tipu.
Cuma itulah, adab apabila berhadapan dengan guru sangat kurang diberi perhatian oleh mereka. Salah sistem pendidikan Britishkah yang sangat terbuka, menggalakkan ekspresi diri ke tahap hampir maksimum dan begitu membataskan ruang untuk guru mendisiplinkan pelajar? Benar, sistem pendidikan tradisional, atau tepatnya tradisional Asia (kerana saya orang Asia yang tentu sahaja lebih faham warisan leluhur sendiri) ada kelemahannya. Murid tidak digalakkan bersuara, guru memegang autoriti yang seolah-olah maksum tidak bisa dicabar, dan adakalanya guru keterlaluan dalam menghukum murid sehingga mendatangkan rendah diri, tidak yakin, malah kecederaan fizikal, walaupun kes-kes seumpama ini adalah terpencil.
Namun sistem tradisi Asia ini, jika disulam dengan kemurnian agama atau falsafah, mampu melahirkan penuntut-penuntut yang beradab, yang kemudiannya berjaya pula memperkembang ilmu yang dipelajari daripada guru - tanpa perlu bising-bising dan melawan guru sewaktu belajar.
Balik kepada filem pop Jepun yang saya sebutkan tadi. Mulanya trio pelajar yang menjadi tunjang cerita itu tidak berpuas hati dengan guru mereka - seorang lelaki dengan perwatakan pelik, gemar memakai selipar jepun yang terkelepuk-kelepuk ke lantai dengan bunyi yang kuat, malah menjadi bahan gosip di sekolah dengan cerita-cerita aneh. Sikapnya sewaktu mengajar juga agak luarbiasa walaupun dia tetap menunaikan tanggungjawabnya dengan cara yang tersendiri. Trio pelajarnya itu berasa bahawa dia bukanlah guru yang baik, kerana itulah keputusan peperiksaan mereka sentiasa teruk. Lantas mereka mahu mengubahnya supaya menjadi guru yang lebih baik.
Kalau rumus ini yang diambil oleh filem Barat, selalunya guru itulah yang akan berubah - menjadi mesra pelajar, tidak selalu marah-marah lagi dan bersikap lemah lembut.
Tapi filem ini memaparkan kesudahan yang berbeza. Pelajar-pelajar itu disedarkan bahawa sikap guru bukanlah penentu utama kejayaan muridnya. Sekiranya murid itu mempunyai kehendak untuk belajar, maka ia akan menyukai gurunya dan merasakan bahawa gurunya adalah yang terbaik. Sebaliknya jika sang murid tidak mempunyai kesungguhan dan minat untuk menimba ilmu, malas berusaha keras, maka ia tidak akan melihat keistimewaan gurunya.
Guru tidak perlu bersusah payah membelai dan memanja-manjakan pelajar, membujuk rayu supaya mahu belajar. Ilmu itu bukankah perlu dikejar, didatangi, bukan mendatangi?
Guru, walau apapun akhlak dan sikapnya, seringkalinya tetap berhak mendapat penghormatan dan kemuliaan, atas statusnya sebagai guru. Sensei wa erai!!
Saya makin obses dengan oriental wisdom. Kebijaksanaan timur yang lembut dalamannya tetapi teguh luarannya, tanpa bucu-bucu keras tajam yang cenderung mengoyakkan fitrah seperti falsafah Barat. Ah, xenophobickah saya?
***
Sesi ketiga kursus Fiqh Ramadhan diambil alih oleh suami Kak H. Takjub amat, sejak Abang F memulakan penyampaian dengan ayat-ayat al-Quran dan meneruskan dengan pengisiannya, sehinggalah menamatkan ceramah, kanak-kanak yang tidak tahu diam itu persis dibelai malaikat, duduk santun dengan penuh perhatian, dan senyap. Saya, R, Kak H dan Kak S saling berpandang-pandangan. Ajaib apa yang dipakai Abang F?
Mungkin Abang F ada karismanya yang tersendiri sehingga kanak-kanak yang ligat itu duduk akur dan diam, mendengar dengan teliti, bertanya soalan dengan hormat dan tidak menyampuk melulu dengan bermacam-macam loyar buruk. Mungkin kanak-kanak lelaki lebih berupaya untuk relate, berhubung dan membina pertalian sosial dengan lelaki. Yang pastinya, sesungguhnya anak-anak ini bukanlah liar, degil atau tidak beradab - hanya naluri keanak-anakan mereka dizahirkan dengan cara yang tidak teratur lantaran sistem dan suasana yang mengelilingi, sehingga yang terbit adalah yang kurang-kurang enak, dan dalam waktu-waktunya, naluri yang polos bersih itu akan terpancar juga.
salam,
meow~
Thursday, September 11, 2008
ciptaan dan kurniaan
Seperti selalu, kalau saya teruja meninggalkan komen yang panjang di laman orang, saya hantarkan saja di laman ini juga.
Entri asal - Dinding Kebodohan
Salam.
Realiti = kacau-bilau
Agama politeistik = kacau-bilau, macam kisah dongeng, tidak adil, kaku tidak bergerak dengan perubahan waktu atau terlalu fleksibel sehingga akur kepada acuan setempat-sezaman semata-mata.
Anak kucing, mesti kucing juga kan? Lantas agama politeistik yang serupa kacau-bilaunya dengan realiti, jelas bahawa realiti juga yang melahirkannya, dengan kata lain, ciptaan manusia. Beragama dan berTuhan adalah fitrah, tanpa panduan samawi, manusia akan mengusahakannya sendiri, mencipta figura dewa-dewi yang berkuasa, lengkap dengan cerita-cerita yang ajaib dan mempesona untuk memuaskan keinginan manusia kepada magik dan ketakjuban. Pada permukaannya mungkin tampak logik, tapi apabila diteruskan dengan aplikasi dan kajian prinsip, konsekuensi yang tidak masuk akal tampil bertindih-tindih.
Realiti = kacau-bilau
Agama monoteistik = berstruktur, imbangan antara nilai dan amalan yang sesuai dalam aneka tempat dan zaman
Kemampuan agama monoteistik menyediakan struktur dan nilai yang lari daripada kacau-bilau realiti, malah mampu membentuk realiti menjadi lebih baik daripada yang sedia ada, merupakan bukti kognitif yang jelas bahawa sumbernya berada di luar realiti seperti yang kita mampu capai dengan deria yang terbatas.
Keterbatasan deria yang mengurung - manusia mustahil dapat membebaskan diri daripada kurungan deria dalam usahanya untuk memahami kehidupannya dan alamnya, dan apa yang tidak dapat dicapai deria tentu sahaja tidak dapat dijangkau oleh akal - itulah yang menyebabkan manusia persis terdesak, mahu mencari penjelasan kepada anekaragam misteri, mahu TAHU, mahu FAHAM, mahu HIDUP bukan hanya BERNYAWA.
Hanya dengan mempercayai agama, dan secara tuntasnya mengimani Tuhan, dapat menyediakan jalan dan jawapan itu. Manusia selalunya mampu memilih - mahu mengikut ciptaan sendiri (dengan logik superfisial yang akan hancur apabila dibedah dan dikaji), mahu patuh kepada ajaran samawi daripada Tuhan melalui utusanNya yang hadir bersama bukti dan penerangan, atau mahu mengambil ajaran Tuhan tetapi membaiki-baiki di sana-sini sesuka hati supaya padan dengan tuntutan nafsu dan jangkauan akal yang pendek itu.
Allah Maha Mengetahui, semoga Dia memberi kita hidayah dan taufiq-Nya.
meow~
Wednesday, September 10, 2008
pulang
dulu, aku mengaku cintakan kata
bahasa, kisah dan cerita
pintal-pintal huruf dapat membawa aku terbang
aksara yang beralun, itulah tempat aku berenang
entah bila
pesona yang menggamit dari lubuk 'idea'
tingkah bicara dan debat berbisa
pencak muslihat yang menguja
nampak seribu satu peluang
glamor, ringgit dan wang
(hoho, materialistik)
silau mata
menyangka di situ cinta
ah, cinta apanya keras dan tajam?
cinta apanya yang pahit dan menyingkirkan
siapa yang tidak memenuhi persyaratan?
(yang sempit dan superfisial, seringkali)
pencinta apa yang mengecap manisan
lalu meminta bayaran?
aku balik ke pangkuanmu, bunga-bunga kata
rimba hijau-hijau bahasa
tuturkan kisah dan cerita
yang lebih hampir dengan manusia
yang lebih jujur dengan dunia
aku pulang,
jangan biarkan aku lucut lagi.
-esok tak ada kelas wajib di hospital, jadi malam ini boleh tidur lewat sikit-
meow~
