Monday, December 31, 2007
bernafaslah semula, sayang
Baru pulang dari kampung sebelah.
Jiwanya yang hilang, seperti sudah pulang.
Belum sepenuhnya, tapi bangkit dia daripada lena sarat mimpi ronta yang panjang itu pun sudah cukup melegakan. Sungguh-sungguh melegakan aku yang sudah lama resah, sudah lama memanjatkan doa untuknya di hujung-hujung solat, di saat-saat hati teringat.
Bernafaslah semula, sayang.
The sound of holding on - almost a whisper
The sigh of broken hearts - a quiet cry
The rain upon your face
Brings gravity and grace
And softly you begin to breath again
I don't have all the answers to your sad prayers
But if I could I'd give you angel's wings
To go where hope is found
With strength to reach beyond
And carries like a song upon the wind
Please don't give up
Please don't you give up
Cuz I believe
Yes, I believe
I still believe... in us
The sound of holding on - almost a whisper
The sigh of broken hearts - a quiet cry
The rain upon your face
Brings gravity and grace
And softly you begin to breath again
Macam lucu aku tujukan lagu ini untuk kau - sebab aku tak suka tuju-tuju lagu kat orang, tapi aku asyik teringatkan lagu ini sejak tengah hari tadi (kalau kau perasan, inilah melodi yang aku saja-saja pasang guna handphone aku).
Aku tahu banyak saja lagu-lagu 'motivasi' lain yang kau pernah dengar, yang pernah orang lain tujukan untuk kau, yang menyentuh hati kau. Mungkin lagu ini tak menyentuh hati kau pun. Tapi sesungguhnya tujuan aku adalah untuk menzahirkan perasaan aku, kesyukuran aku yang Allah saja yang tahu macam mana, dan aku mahu menandakan tarikh dan perasaan ini dengan cara yang hati aku rasa. Kalau ada siapa-siapa yang fikir.. kenapa aku tak letak ayat al-Quran ke, tafsir ke, hadith ke, biarlah orang bertanya tu menjawab soalannya sendiri. Yang penting aku faham, dan kau faham.
Rintihanmu saat kauberpaut - seperti satu bisikan
Keluhan hati-hati yang patah, tangisan yang hampir tidak kedengaran
Rintik-rintik hujan melebat, gugur di wajahmu
Membasuh lumpur dan debu, mendatangkan sinar yang bercahaya
Dan perlahan-lahan, kau bernafas kembali.
Aku tak punya jawapan untuk doa-doamu
Tapi jika aku mampu, aku akan hadiahkan untukmu sepasang sayap
Untuk pergi mencari harapan
Dengan kekuatan untuk menggapai melampaui sebarang rintangan
Sayap yang akan menerbangkanmu, seperti melodi merdu yang dibawa angin lalu.
Jangan berputus asa, sayang
Jangan putus asa
Kerana aku percaya
Ya, kerana aku percaya
Kerana aku percaya, kerana aku yakin - dengan kita
Rintihanmu saat kauberpaut - seperti satu bisikan
Keluhan hati-hati yang patah, tangisan yang hampir tidak kedengaran
Rintik-rintik hujan melebat, gugur di wajahmu
Membasuh lumpur dan debu, mendatangkan sinar yang bercahaya
Dan perlahan-lahan, kau bernafas kembali.
Antara surah kegemaran aku, al-Fajr, yang kaupasang petang tadi. Mungkin perasaan kau apabila mendengar ayat-ayat terakhirnya, sama dengan perasaan aku.
Selamatlah semuanya. Bernafaslah semula, sayang.
(Aku tak sabar menunggu teman kita yang hilang itu pulang, aku mahu khabarkan juga kepada dia, tentang aku, tentang kau, tentang kita semua. Tentang terima kasih dan penghargaan. Tentang membina semula apa-apa yang pernah runtuh, mengumpul dan mencantum semula cebis-cebis ikrar yang pernah koyak dan hilang, tentang bersahabat atas dasar sayang, berlapang dada, dan saling faham. Dan sesungguhnya hilangnya sudah membuat aku risau!)
meow~
Thursday, December 27, 2007
Catatan di Baile Atha Cliath
6.47 p.m. di Trinity Hall, Dublin, tuan punya kamar sedang tergolek penat di atas katil, tetamu dari jauh pula meng'hijack' komputer (tapi tidak ceroboh fail-fail data, saya amanah orangnya). Mahu menulis, tapi tidak pasti di mana hendak bermula kerana ide terlalu banyak. Entah bila dapat saya makalahkan semua catatan ringkas dalam buku nota yang saya titipkan bila-bila ilham datang. Timbunan emel yang menggunung (peratusan yang signifikan daripadanya adalah tambahan-tambahan kerja.. aduh) menanti dilayan. Menulis (kerana tugas dan kerana cinta) pun mesti ditunaikan.
Paling penting, peperiksaan bermula 15 Januari. TAKUTTTTTT.
(Iwan Fals dan Chrisye ni best rupanya. Haih.)
Sudah dua minggu hingga hari ini, belum ada satu haripun saya duduk diam tanpa terkejar-kejar ke sana sini atau berprogram. Dari utara ke selatan lantas merentas lautan, saya mahu menautkan ukhuwah dan mencari seratus jawapan.
Usai saja sesi terakhir ulangkaji anatomi di makmal Stopford pada 14 Disember, saya pulang berkemas dan menggalas beg ke Manchester Central. Mahu ke Meadowhall Interchange, Sheffield, dari sana menaiki MegaBus yang murah ke Middlesborough, destinasi akhirnya ke Stockton. 'Kampung' berhampiran 'pekan' Durham, yang letaknya sekitar sejam perjalanan dengan bas dari 'bandar' Newcastle.
Sepatutnya untuk ke Sheffield, boleh sahaja saya naik tren laju dari Manchester Piccadilly. Sejam saja ke Meadowhall Interchange. Tapi itulah, mengada-ngada hendak naik bas, mahu jimat (beberapa pound saja pun) dan menikmati perjalanan yang jauh (saya suka berlama-lama dalam kenderaan sebenarnya), kononnya. Perjalanan dengan bas dijadualkan memakan masa tiga jam, dengan satu pertukaran di Leeds. Takdir mengatasi tadbir, bas ke Leeds lambat tiba ke Manchester Central, dan lambat pula sampai ke stesen bas di Leeds. Sebaik sahaja bas itu memasuki terminal di Leeds, saya nampak bas National Express 070 yang akan ke Sheffield bergerak keluar. Aisehhhhhh... sudahnya saya berkejar ke stesen tren juga, dengan Free City Bus, kerana saya perlu sampai di Meadowhall sebelum jam tujuh malam. Melayang empat pound lebih, mujur ada railcard, diskaun 30%.
Alhamdulillah, lima minit sebelum MegaBus dijadualkan bertolak ke Middlesborough dari Meadowhall, saya tiba di terminal sana dengan tercungap-cungap. Tapi... bas itu tidak sampai-sampai? Penumpang lain pun ada tertunggu-tunggu, meyakinkan saya bahawa saya tidaklah ditinggalkan. Teringat nasib teman di Newcastle yang menanti MegaBus ke London berjam-jam dari pukul satu pagi (yang memang langsung tidak sampai-sampai!). Alhamdulillah, sekitar jam 7.30 malam, penantian itu berkesudahan juga.
Teman menanti di Middlesborough, dibawa dengan bas ke Stockton. Tuan-tuan rumah di sana sangat baik, saya dijamu makan tidak henti-henti (dan tentu sahaja itu bukan satu masalah! ;-)).
Musim dingin benar-benar dingin di sana. Anak sungai berwajah ais, hujung-hujung rumput memakai kerudung fros, dan sejuknya menggigit tulang!! Ah teman, kedai kek Angel's Share dan market di Darlington, Claire yang berhati manis, mangkuk besar salad di atas meja, nasi lemak sambal kerang, dan poncho kait hijau yang sekarang tergantung di dalam almari Thorncliffe 5B, saya mahu datang lagi! Oh, ayam tandoori, nasi bawang putih dan brokoli rebus pun sedap juga =)
Projek 'Baitul Hikmah' yang dibentangkan oleh teman di sana, bagi saya, sangat bagus dan inovatif. Bermatlamat jangka panjang dan sangat signifikan kepada ummah. Tambahan pula ia 'selamat'. Tidak ada risiko ditangkap polis atau dikejar SB yang menyorok di sebalik busut di mana-mana. Saya tidak ada masalah untuk menyumbang, apatah lagi yang perlu dilakukan adalah 'kerja' yang saya memang suka. Membaca, membaca, dan membaca! Macam suruh kucing makan ikan. Cuma bezanya kucing perlu membuat laporan tentang ikan yang dimakan dan suatu hari nanti bekerjasama membuka kolam menternak ikan. =)
Cuma yang saya bimbangkan, komitmen yang dijanjikan (oleh saya, oleh kami semua) mampukah dititipkan secara istiqamah? Bukan untuk sebulan dua, malah berbelas-belas tahun! Mohon Allah izinkan dan mudahkan, dan jadikan ia yang terbaik untuk kami semua. Walaupun banyak kontras saya dan teman ini - mereka yang tahu kami siapa, akan sangat-sangat bersetuju - saya kagum benar dengan ideanya yang inovatif, keteguhannya berpegang kepada prinsip dan iltizam yang dimilikinya untuk menjayakan apa yang diperjuangkannya.
Pagi Ahad 16 Disember, sebelum syuruk saya sudah menaiki teksi ke Middlesborough. Bas ke Meadowhall bertolak jam lapan pagi, tiba di sana jam sepuluh. Serik dengan pengalaman menaiki bas, saya beli saja tiket tren ke Manchester yang akan bertolak jam sebelas pagi. Bertemankan Crossman's Neuroanatomy, saya duduk menahan sejuk di pinggir landasan hampir sejam, silih berganti antara membaca dan tersengguk lena.
Kata seorang makcik yang duduk di sebelah saya dalam tren ke Manchester,
"You have a kind face. You'll make a good doctor."
I felt like I want to hug her! =p
Jam 12 saya tiba ke Manchester Piccadilly. Berjalan kaki dalam 15 minit ke perhentian bas terdekat untuk pulang ke rumah, 15 minit perjalanan, sekitar 12.30 tiba ke Whitworth Park. Bermulalah sesi 'mengemas sepantas ribut' kerana jam 3 petang saya mesti ke Manchester Central semula untuk menaiki bas ke Loughborough - letaknya di Leicestershire, berhampiran Nottingham - untuk program Perhimpunan Musim Sejuk anjuran Majlis Syura Muslimun (MSM). Sempat juga saya menghantar kot ke dry-cleaner!
Dari Manchester ke Loughborough, kami - saya dan sekitar 10 orang lagi muslimat - transit di Birmingham. Ada teman yang berkisah tentang pengalaman sendiri dan teman lain (yang juga Muslim) yang basnya ditahan dalam perjalanan, semua penumpang diperiksa dan diambil butir-butirnya. Sedikit cuak, apabila orang-orang dalam stesen bas di Birmingham itu memandang-mandang dan merenung-renung kami yang semuanya berhijab (dan membawa beg yang besar-besar). Tapi kami buat tidak peduli, terus kecoh berborak, ketawa, makan nasi dan kuih-kuih yang kami bawa sebagai bekal sementara menunggu bas ke Loughborough tiba. Sewaktu di Loughborough, sewaktu menunggu kakak-kakak menjemput ke rumah masing-masing untuk tumpang bermalam (program bermula esok hari), dua kali kami dijerit maki. Hangat juga rasa malam yang sejuk itu.
Perhimpunan Musim Sejuk 2007 bertemakan Control, Shift, Enter. Saya pernah ungkapkan kepada teman, saya datang semata-mata kerana ukhwah. Dan benarlah, apa yang saya dapat hanyalah ukhwah. Mungkin akan saya huraikan kemudian, mungkin tidak. =D
'Operasi menahan wudhu'' bersama Kak Atun, praktikaliti ithar dalam giliran shower, lauk ayam yang pedas hingga ramai yang tidak tahan (walaupun saya sangat suka!), terjerit-jerit dan terlompat-lompat sampai sakit tekak kerana excited berjumpa begitu ramai sahabat jauh dan dekat, solat berjemaah dan bacaan al-Ma'thurat beramai-ramai, makan setalam, makan nougat turki dengan banyaknya sampai sakit perut, treasure hunt mengelilingi pekarangan Beaumanor Hall (kawasan campsite kami) yang sungguh indah permai, tiba-tiba diminta mendeklamasikan kata-kata Yusuf al-Qardhawi dalam bentuk sajak sewaktu persembahan malam terakhir PMS, dan melalak sekuat suara dengan penuh penghayatan bersama teman-teman yang bergandingan lengan di kiri dan kanan (sambil menahan linangan air mata) sewaktu menyanyikan lagu tema kami (Mimpi Yang Indah, Mestica) .... (walaupun dalam kotak Imeem yang saya letak di sidebar itu tajuknya ditulis 'dunia yang indah'..haihh)
telah kulalui, jalan berduri
sejuta harapan, terus kupertahankan
bukan mudah menggapai bintang,
bersilih dugaan mendatang
di sebalik kepayahan, di situlah kekuatan
tekad hati, azimat di perjalanan
mengejar impian
pabila laluan seakan sukar
bagai tak terdaya untuk terus bertahan
namun kasihmu menyedarkan
aku tak pernah sendirian
di sebalik kepayahan, di situlah ada kekuatan.
tekad hati, azimat di perjalanan
mengejar impian
tinggi langit, mimpi ini
tak ku ragu untuk membuktikan
indah bintang, yang terang bukan khayalan
tetapi kenyataan
akan kausaksikan kesulitan ini
pasti berganti kebahagiaan
telah pun kaudengar kisahku ini
pernahkah kaucuba untuk mengerti???
Dari PMS, pulang ke Manchester. Dua hari sempat membawa teman dari Ireland berjalan-jalan di 'kampung halaman' saya ini, ke Old Trafford Stadium, menjenguk city centre, menziarah kedai manisan Moonlight dan Islamic store The World of Islam di Rusholme. Sempat juga merasa ikan bakar, sup petola dan kek keju mangga Kak Atun. Petang 22 Disember, terkejar-kejar saya dan teman menaiki tren ke Blackpool untuk menaiki kapal terbang dari sana ke Dublin. Gara-gara lewat membeli tiket, harga penerbangan dari Manchester sudah melampaui tahap kemampuan, justeru terpaksalah bersusah sedikit untuk terbang dari bandar sebelah.
PUISI 2007. Begin With The End In Mind: 6 Ways to Define Our Purposes as an Effective Muslim.
Mind-blowing. Heart-warming.
Dalam kesempatan yang semakin terbatas sekarang - entri yang semakin berjela-jela - saya tidak rasa mampu untuk mengisahkan dengan adil pengalaman rohani-jasmani di Mount Melleray Scouts Camp selama empat hari tiga malam. Ukhwah yang saya rasa lebih tulus, lebih jernih, lebih rela. Pertemuan dengan insan-insan yang tidak saya duga. Keteguhan, iltizam, kasih, kejujuran dan kepercayaan yang dilihat, yang dicurah, begitu tuntas, begitu padu, langsung bisa membuat saya bingung. Dan paling penting, seratus jawapan yang saya cari, sembilan puluh sudah saya temui.
Ketika teman-teman lain banyak yang terpaksa melupakan hasrat kerana lambat mendaftar, saya siang-siang lagi telah mengantari nama. Sedangkan itu bukan sifat normal saya, yang selalunya akan menanti hingga minit terakhir sebelum menetapkan apa-apa. Sungguh, saya amat-amat-amat-amat bersyukur kerana diizinkan Allah untuk ke sini. Alhamdulillah, sungguh Dia terlalu Halus dan Misteri perancangannya!
Semalam, pulang dari Mount Melleray, saya mula sakit-sakit. Bersin-bersin dan panas-panas badan. Antara cocodamol dan ibuprofen, saya pilih yang kedua. 400 mg dan tawakal. Batal niat untuk mengulangkaji pelajaran, saya awalkan tidur. Walaupun saya tidak suka makan ubat (rasa macam ambil dadah dan telan bahan kimia) dan mahu belajar, tapi untuk kepentingan jangka panjang (mohon dipelihara Allah daripada terkedang sakit menjelang peperiksaan ini!), saya tunaikan rayuan jasad yang minta berehat.
Dan pagi tadi saya bangun bersama kerongkong yang sakit-perit-pedih-berdarah. Aduh, tanda-tanda awal yang saya takuti! Apapun saya bersyukur, sepanjang PUISI hingga ke hujungnya, kesihatan dan kecergasan saya dipeliharaNya.
Hari ini Boxing Day di Ireland. Hari untuk membeli-belah. Namun saya dan teman - beserta beberapa lagi teman lain - menghabiskan seharian suntuk untuk bermesyuarat. Projek baru pula dalam perbincangan, kesinambungan misi untuk da'wah dan islah, dengan cara kami sendiri yang tidak terikat dengan mana-mana organisasi. (Bersih dan halal serta insyaAllah tidak akan dimarahi oleh MSD)
ReAwaken.
Membaca mampu menjadi alat untuk mengubah dunia.
Saya tidak teragak-agak untuk menjanjikan komitmen.
Tema, konsep, pengisian, penceramah jemputan, aktiviti, kumpulan sasar, penajaan. Masih banyak yang perlu disudahkan, tetapi gambaran kasar, insyaAllah sudah tampak.
Moga Allah izinkan, mudahkan, dan menjadikan ia yang terbaik untuk kami.
Sekarang sudah lewat jam lapan malam, teman masih nyenyak kelelahan. Rengkung saya masih perit, pening yang dibawa sepanjang mesyuarat sudah berubah menjadi resah dan panas jasmani. Dengan kata lain, memang rasa macam nak demam. Kalau di rumah sendiri, logiknya saya sudah memulakan rejim madu+limau dan sup ayam+bawang putih+ halia+lada hitam. Harap-harap baik semula atau dapat bertahan sehingga pulang esok hari.
Saya sudahkan dengan petikan lirik lagu M Nasir, Melawan Arus.
Kata orang
Jangan kau cuba melawan arus
Pecah bahtera
Kau kecundang karam terjerumus
Tapi jika terpaksa pergi
Kau mesti pergi
Di balik gunung di kaki pelangi
Engkau cari
Mimpi perangsang hidup
Dan kau diberi tawaran
Tak bisa ditolak
Minta bebas bebas
Dari sangkar maya ini
Minta terbang lepas
Dari sarang buana ini
Kata orang
Ada racun dalam kecantikan
Itu terang
Membuat engkau mabuk cendawan
Kau mesti pilih
Biar dicerca dihina
Dan engkau diherdik
Kerna dia engkau menjadi lelaki
Diberi pilihan antara hidup dan mati
Ya, saya bukan lelaki.
Saya perempuan yang kadang-kadang - dan sering - berasa terhimpit oleh keadaan.
Oleh fikiran dan hati sendiri, oleh manusia di kelilingan.
Mengikut atau menyongsang arus, saya tidak pernah sendirian. Saya tidak pernah sendirian.
Saya tidak pernah sendirian. Saya tidak pernah sendirian.
(Baile Atha Cliath itu sebutan untuk bandar Dublin ini dalam bahasa Irish Gaelic. Satu bahasa yang saya rasa sangat cantik!)
salam,
meow~
Wednesday, December 12, 2007
Budaya dan Paradigma Ikhwah
Komen ini saya tampalkan di sebuah laman web sebagai respons yang saya fikir perlu saya sampaikan. Seperti selalu, kalau ada komen yang saya letak di mana-mana, yang paaaanjaaaaang dan yang saya rasa sesuai dikongsi di sini, saya akan kongsi di sini juga. Tapi untuk memelihara keamanan sejagat, tak perlulah saya nyatakan sumbernya. Tidak ada apa-apa hakcipta yang saya langgar, ini tulisan saya sendiri =)
assalamualaikum.
Wah, ada orang cakap saya gatalkah? Ni nak tumpang sekaki jugak. Walaupun mulanya saya fikir hanya nak memerhati dan tak mahu menyampuk apatah lagi menyibuk kerana saya orang luar, orang jaaaauh..
Ingatkah tentang hikayat sebuah negara, apabila rakyatnya keluar berkumpul untuk mengadap baginda sultan, tiba-tiba wazir dan temenggung menghantar hulubalang, lantas timbul kecoh-kecoh, lalu seisi pemukul canang mengkhabarkan bahawa rakyatlah pendosa yang mencetus walang..
Bandingkan sendiri.
Kalau rakyat bahagia dengan wazir dan temenggung, mungkin mereka tidak pun mahu berhimpun. Kalau tidak ada hulubalang datang menyergah, mungkin tidak ada sesiapa yang peduli sangat pun apa yang berlaku. Perhimpunan itu akan lenyap dibawa angin lalu. Tapi apabila wazir dan temenggung terus memanjang-manjangkan cerita, terus menghantar para lubalang untuk membuat tangkapan di sini-sana, maka cerita sejengkal jadi sedepa!
Kawan, melarat atau tidaknya apa yang berlaku bukan kerana entri ini dipadam atau tidak. Aneh kalau diri sendiri tidak mampu bersabar dan mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata tidak manis lagi tidak membina, langsung mempersalahkan orang kerana membiarkan entri ini terus di sini persis menggoda. Soalnya, kalau rasa tergoda, kawallah diri! Bukankah masing-masing tahu apa yang buruk dan apa yang baik? Memanglah tempat gatal tu sedap kalau digaru, tapi padahnya luka dan infeksi la nanti. Haih. Tapi itu tak bermakna kaki gatal perlu dipotong terus.
…Atau malu sebenarnya melihat kesan garuan sendiri..?
Sungguh, kalau tidak ada orang yang beramai-ramai datang memprotes di sini, di ‘artikel lapuk’ ini, isu ini sudah lenyap dibawa angin lalu! Tapi itulah, perancangan Allah itu misteri. Tentu saja ada hikmahnya Dia mengizinkan kita beramai-ramai bertabuh di sini. Jangan sia-siakan peluang yang Allah beri ini untuk kita sama-sama berfikir.
Kawan, saya juga orang seni. Tak perlu saya panjangkan pengalaman saya, tapi cukuplah saya nyatakan yang saya bermain dengan pentas sejak kecil, berayahkan orang seni, dan cukup cinta kepada seni. Lakonan, tarian, nyanyian, puisi, cerpen, apa sahaja. Seni itu sesuatu yang suci, suci amat. Halus. Dan bagi saya, tidak ada beza antara ’seni’, ‘budaya’, dan ‘dakwah’. Nenek moyang kita dahulu menggunakan seni sebagai alat dakwah, seni berkembang kerana wujud maslahah dakwah, dan itulah yang sepatutnya.
Apabila dikaitkan dengan kebudayaan Melayu, nampak jelas bertaut rapat dengan nilai Islami. Sayang, atas nama budaya, kita cenderung menghalalkan apa sahaja. Sedangkan kita lupa definisi dan ruh budaya kita sendiri. Ruh yang tidak dicemari modernisasi dan komersialisasi, ruh yang dijejak sumbernya dari akar umbi.
Dan seringkali, apabila seni itu tradisi, akar umbinya akan mempunyai falsafah yang cukup mendalam apabila dikaji. Zapin, contohnya, mempunyai leluhur Islami yang amat tulus, menjadi persis senamrobik pelajar-pelajar pondok. Gamelan. Ghazal. Dikir barat. Aduh, teringat pula bicara semangat Faisal Tehrani bila menyentuh hal-hal ini. (Pedulikan kontroversi tentang beliau, semangatnya memperjuangkan kemurnian budaya, saya hormati.)
Memisahkan budaya Melayu dan ruh Islami adalah satu pencabulan yang tidak adil kepada leluhur kita!
Mementingkan kebanggaan orang berbanding kebanggaan Allah Taala juga adalah satu kezaliman. Zalim, menempatkan sesuatu tidak pada tempatnya. Lama sangatkah kita menongkat langit? Bangga kerajaan, bangga ibu bapa, bangga negara, semua itu dapatkah menyelamatkan kita ketika setiap saudara melupakan saudaranya, anak lari daripada ibu bapanya, suami tidak kenal isterinya? (Abasa: 33-37) Waktu itu panjangkah lidah kita mahu terus berhujah mempertahankan diri?
Kita selalu meletakkan alasan perpaduan. Menjaga hati. Berhemah. Berhikmah. Butir-butir peluru ini selalu ditujukan kepada insan-insan yang kononnya “mahu berdakwah, tapi tak kena cara”. Konon nama baik perlu dijaga, jangan buka pekung sendiri.
Sama seperti wazir dan temenggung yang mengutuk rakyat mencemarkan nama baik negara. Wah, kalau inilah piawainya, biarlah pekung membusuk di dalam kain, jangan sesekali dibawa ke doktor! Biarlah suami kaki pukul, jangan sesekali dibawa ke kaunselor! Biarlah negara rabak dirodok wabak HIV-AIDS, jangan sesekali minta nasihat dunia, nanti negara maluuuu! (mungkin ada yang tahu negara mana yang saya sebut ini)
Tidak saya nafikan, hemah dan hikmah perlu dan penting. Tapi dalam masa yang sama, Nabi berpesan agar umat berkata benar walaupun pahit. Dan apabila menerima teguran, janganlah kerana berasa tercabar, lantas sengaja membesar-besarkan isu “cara teguran yang salah” untuk melampiaskan nafsu tidak puas hati.
Saya teringat tulisan Muhammad Ahmad al-Rasyid dalam bukunya al-Muntalaq, sifat takabbur ertinya adalah menolak kebenaran, iaitu sesuatu yang sudah diketahui benar, tetapi tetap ditolak, kerana sebab-sebab yang berkait dengan keangkuhan dan keengganan mengaku salah. Tergolongkah kita dalam kelompok ini?
Kawan, maaf kerana komen ini terlalu panjang. Saya sebenarnya keliru melihat teman-teman di seberang laut yang memperbalahkan isu yang rasa saya tidak perlu pun dipanjang-panjangkan. Pada fikir saya, kalau semua pihak ikhlas mahu menyelesaikan masalah, isu ini boleh diselesaikan secara internal sahaja. Saya bukan mahu memaparkan diri sebagai pro-lonsaa, anti-lonsaa, pro-zapin-coed, anti-zapin-coed, pro-ayam-katok atau anti-ayam-katok. Saya hanya memikirkan prioriti kita sebagai umat Islam dan sejauh mana kita mengutamakan kebenaran dan suara hati daripada tujahan akal semata-mata(yang seringkali digesa-gesa oleh nafsu).
Saya mencadangkan agar entri ini dan semua komen di dalamnya tidak dipadam agar semua pihak dapat mengambil iktibar dan pengajaran. Belajar daripada kesilapan untuk “tidak bersetuju” dan berhujah secara matang. Tapi itulah, kita suka sangat menyapu sampah ke bawah karpet, bukan?
Allah Maha Mengetahui dan Maha Menghakimi apa yang tersembunyi dalam hati saya, dan hati kita semua.
salam,
meow~
Tanpa merujuk secara langsung kepada kata-kata di atas, saya terfikir sesuatu. Kenapa anak-anak asuhan gerakan dakwah di dua buah negara yang berbeza, berbeza sekali paradigma yang saya saksikan? Atau mungkin saya merujuk kepada ruang sampel yang terlalu kecil. Jangan terasa!
Memetik status YM saya malam ini, ada dua 'jenis' ikhwah, tapi 'akhwat' kat mana-mana pun sama....
Terpulang mahu menafsirkannya macam mana. Mungkin sekali anda akan silap membuat tafsiran. Dan ingat, ayat yang diucapkan dalam konteks sastera, satira/sinisme/sarkasme seringkali bersifat generalisasi dan hiperbola. Jangan jadi manusia sengal yang memahaminya sebagai realiti tuntas.
(Saya rasa ada orang tidak akan puas hati kerana saya mengajukan persoalan tanpa memberi jawapan. 'Tak bertanggungjawab' =p Tak apa, mungkin saya akan tulis lagi tentang 'fasa kedua' tajuk artikel ini lain kali. Mahu sambung belajar tentang mata dan telinga.)
meow~ (dengan comelnya)
salam!
Tuesday, December 11, 2007
Lacur
bukan hanya menggadai emas dan sutera
dari lombong-lombong
dan ladang-ladang jasmani
besi tiga empat tujuh lok
cair menjadi rantai
belenggu lisan dan tangan
yang rela mengarang kebatilan
dengan tinta air ludah
dan pena merah yang patah
adalah pelacur-pelacur
harga jari-jari mereka lebih murah
daripada lambung yang terlentang
di lorong belakang.
Monday, December 10, 2007
Palestin, Belas Kasihan Dan Keadilan
|
| |
Konflik Israel-Palestin tidak putus-putus menjadi bumbu perbincangan dan perdebatan khalayak. Begitu juga dengan aneka masalah lain yang melanda umat - kemiskinan, penindasan, dan bencana alam. Manusia suka sekali menghulurkan pelbagai macam analisis dan pendapat, tetapi tunggu sekejap.. adakah kita terlalu banyak berfikir, mencari keadilan mutlak agar tidak tersilap walaupun sepatah fakta, sehingga lupa atau seperti sengaja berlengah-lengah untuk bertindak? Adibah Abdullah, pelajar Tahun Dua The University of Manchester dalam jurusan Perubatan, dengan aspirasi untuk menjadi aktivis sosial-Islami yang praktikal, berkongsi buah fikirannya.
Minggu ini “Solidarity with Palestine Week”, anjuran Action Palestine, University of Manchester. Setiap hari ada aktiviti untuk menyedarkan massa tentang malapetaka kemanusiaan yang bermaharajalela di bumi Zaytun sana. Dokumentari, perbincangan, ceramah, tayangan filem, hampir semuanya berkisar tentang penderitaan pribumi Palestin yang ditenyeh-tenyeh oleh penjarah Israel dan dilayan di luar tatacara manusiawi. Setakat ini saya hanya sempat menghadiri tayangan dokumentari Occupation 101 tentang ‘realiti penjajahan Palestin’ dan ceramah Chestdoc in Palestine oleh doktor-doktor yang menghabiskan beberapa minggu di sana. Realiti yang sudah lama saya tahu, namun imejan dan penghuraian itu mencetuskan ledakan emosi (dan rasionaliti) yang segar buat saya. Sungguh, tahu dan sedar itu banyak benar bezanya!
Cebisan-cebisan Realiti Palestin
Saudara-saudara di Palestin dirampas hak mereka sesuka hati, sempadan negara mereka diperkosa oleh sekumpulan bangsa yang mulanya hanya mengemis secebis tanah. Tembok Apartheid setinggi lapan meter dan sejauh 703 kilometer meredah perkampungan dan ladang-ladang zaitun yang menjadi lambang sara hidup masyarakat tani Palestin. 16% rakyat Palestin terperangkap di sebalik tembok, terpisah daripada rakan senegara, tanah air dan mata pencarian mereka. Dr Asad berkisah tentang pencabulan hak penjagaan kesihatan. Ibu mengandung sampai bersalin di checkpoint, pesakit meninggal di checkpoint. kerana disekat daripada ke hospital. Dalam Israel sendiri, ketidakadilan membusuk. 60 perkampungan Arab di Negev tidak diiktiraf oleh kerajaan, dinafikan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, dengan kadar kematian bayi yang memuncak. Kanak-kanak turut dimangsai. Dunia dan keluarga mereka dipunahkan. Tempat bermain tidak ada. Di sana-sini ada runtuhan bangunan, pagar-pagar dan askar yang berkawal. Sungguh membingungkan, kanak-kanak yang hanya bermain juga dihunjam peluru Israel! Tambah menggusarkan, cekupan undang-undang Israel tidak melepaskan kanak-kanak. Defence of Children International melaporkan tentang tahanan kanak-kanak yang diseksa, dipisahkan terus daripada keluarga, dan dipenjarakan 10-20 tahun hanya kerana melontar batu! Tekanan jiwa melanda mereka ini yang didera trauma, tiada tempat bermain dan terkurung di dalam rumah. 98% kanak-kanak di Gaza dilaporkan mengalami kesan psikiatri dan psikologi yang serius. Seperti yang diungkapkan dalam laporan United Nations Reliefs and Works Agency (UNWRA), “…kanak-kanak sudah tidak pandai lagi untuk bermimpi.”
Seimbang dan Adil? Selepas dokumentari Occupation 101 kehangatan bermula apabila seorang lelaki menyuarakan bahawa dokumentari itu “…one-sided, doesn’t portray the whole story.” Kenyataannya disambut dengan marah oleh sebahagian hadirin. Salah seorang daripada mereka berkata, “If I rob your house, take your land, and kill your mother, that will be your side of the story.” Ganas kedengarannya, bukan? Saya biasa menyaksikan penghujahan seumpama ini apabila menghadiri program pro-Palestin sekitar universiti. Seringkali ada yang mempersoalkan pemaparan yang tidak adil dan berat sebelah. Menggesa pengkajian lanjut supaya situasi sebenar difahami dengan lebih tepat. Seorang rakan sekuliah terang-terangan merasakan derita Palestin adalah hasil konspirasi Arab, ilusi untuk mensabotaj Israel. Katanya, saya perlu membaca lebih banyak bahan daripada pelbagai pihak, jangan percaya semua yang diberitahu kepada saya, dan capai kesimpulan yang lebih tepat (menjadi pro-Israel seperti dia). Seperti sesetengah pihak yang menafikan kenyataan golongan pro-Palestin, dia juga mendakwa berpengalaman ke Israel. Aduh, sahabat. Melawat Israel dan menikmati layanan ‘pelancong’, dilindungi daripada ‘pengganas Palestin’ (dan dikawal daripada melihat ‘kampung sebelah’) oleh pihak militari jauh bezanya daripada menziarahi Palestin dan mengecap pahit zaitun mengkal yang dicantas dari pohon! Banyak intelektual skeptik yang sentiasa mempersoalkan keadilan dan ketepatan satu-satu konsep secara akliah. Fikir, debat, fikir, debat. Mahu menanggapi situasi dengan kefahaman akal yang paling tepat, supaya nanti tidaklah tersilap menyokong orang Palestin kalau sebenarnya orang Israel yang mengucur darahnya dibedil Apache, kalau sebenarnya rumah-rumah Israel yang dilatam jentera sampai menjadi puing-puing separuh terbakar. Betul, tidak salah pun. Tetapi ia menjadi salah dan songsang apabila memburu keadilan dan ketepatan secara akliah itu lebih diagungkan daripada memartabatkan kemanusiaan. Jangan sebut golongan hakim dan penguatkuasa – mahkamah dan alam maujud di luarnya adalah dunia yang berbeza. Dalam kehidupan yang berjungkir balik dan bertompokan ruang-ruang kelabu yang payah dicerakinkan, kemanusiaan wajib dijulang. Kemanusiaan adalah satu-satunya hukum yang dapat membawa manusia ke arah persetujuan bersama. Keadilan sering relatif jika dipandang daripada pelbagai perspektif, bergantung pula kepada maklumat yang diperoleh dan pentafsirannya. Seperti dokumentari yang dikritik tadi, bukankah memang patut ia berat sebelah, punya fokus yang jelas, kerana matlamatnya untuk mengujakan hati, menggerakkan manusia untuk bertindak. Sekiranya ia memaparkan hujah-hujah yang berbeza, masing-masing akan memansuhkan sesama sendiri, menyebabkan khalayak tambah was-was, tambah banyak menghabiskan masa menganalisa. Sudahnya, sibuk menganalisis informasi, berdebat sana sini, berpijak tidak di atas bumi, masalah terus menanah memeri! Seperti intelektual hari ini yang galak mendiskusikan masalah umat sesama mereka. Pelik, sekumpulan intelektual – politikus, peguam, ekonomis, sosiologis – memperdebatkan perihal orang-orang kampung dan marhaen, menerbitkan doktoral dan kajian untuk menampakkan betapa mereka peduli masalah rakyat dan menambah gelar di hujung nama. Doktoral dan kajian yang tidak pun difahami oleh warga yang mereka perjuangkan. Individualiti insan tercetak daripada akal, hati, dan nafsu. Ketiga-tiganya mustahak dalam menentukan keperibadian dan membuat keputusan, namun sebagai pemikir yang meletakkan landas spiritual sebagai penentu tuju, saya memandang hati sebagai tunjang utama. Hati adalah medium untuk insan berhubung dengan Pencipta dan fellow creations. Keputusan daripada hati – kasih sayang, altruism, perikemanusiaan – seringkali payah ditafsirkan dengan akal semata-mata. Mengambil kira landas spiritual, saya cuba melihat soal belas kasihan dan keadilan dari sorot pandang Islam. Spiritualiti lain tidak cukup saya fahami untuk saya bincangkan. Dalam Islam, keadilan mengatasi kemanusiaan, tetapi kemanusiaan itu adalah keadilan. Peraturan adalah demi kesejahteraan manusia seluruhnya, kerana kelakuan setiap insan akan memberi kesan, sama ada langsung atau tidak, kepada umat. Pengecualian kepada belas kasihan mutlak yang mesti diberikan untuk keadilan, sesungguhnya adalah demi kemanusiaan. Keadilan diterjemahkan dalam bahasa kemanusiaan..
Hati, Kemanusiaan dan Belas Kasihan Jangan mendewa-dewakan akal. Ledakan maklumat menjanjikan informasi daripada segenap sudut dan segi. Tuhan memuliakan insan dengan akal. Tetapi kadang-kadang akal perlu didiamkan. Jenayah kemanusiaan jelas terpampang, sudah terang lagi bersuluh penderitaan Palestin, mengapa membazirkan masa bertelagah siapa yang salah dan siapa yang berkonspirasi? Berhenti berdolak-dalih, ikut sahaja tuntunan hati, akal jadi penasihat, rangkakan tindakan untuk membantu. Isu-isu pinggiran seperti siapa yang jahat mungkin sudah jatuh ke tangga kesepuluh. Kemanusiaan itu lebih utama daripada keadilan. Tanyalah mana-mana doktor yang mempelajari etika perubatan, atau sukarelawan di bumi yang dirempuh bencana. Ketika itu garisan antara antara hitam dan putih menjadi kabur, yang jelas adalah penderitaan insan yang perlu diringankan. Orang Israel atau orang Palestin, orang Gerakan Acheh Merdeka atau Tentera Nasional Indonesia. Keadilan diterjemahkan dalam bahasa kemanusiaan! Siapa yang mengkhianati kemanusiaan, dialah penjahat. Ketika manusia benar-benar berkhidmat untuk kebajikan manusia lain, persoalan yang kelihatan besar dan menyesakkan akal di dalam dewan berhawa dingin menjadi remeh dan lewah. Rachel Corrie, gadis legenda yang menyerahkan nyawanya untuk menghalang jentera merobohkan rumah-rumah di Gaza, pernah berkata, lebih kurang begini, “… apa yang saya lihat di sini, lebih dahsyat daripada apa yang pernah saya gambarkan. Berbaloi kita semua meninggalkan apa sahaja yang sedang dilakukan sekarang, dan berjuang untuk menamatkan keperitan di sini.” Dunia tenat. Yang menggerakkan insan untuk terjun ke dalam lautan manusia, ikhlas menyerahkan diri untuk merawat dunia, bukanlah akal pintar yang membangunkan pelbagai teori yang akhirnya dibawa angin lalu, milik kelompok perasan bagus yang rasa diri gah berjuang dalam dewan berhawa dingin, tetapi hati yang hidup dan mampu merasai, hati yang memacu jasad secara altruistik untuk umat. Hati yang tidak banyak soal tentang keadilan, melainkan keadilan yang didefinisikan oleh kemanusiaan dan tepat meniti landas spiritual. Berhentilah berdiskusi kosong semata-mata!
Adibah Abdullah is a second-year Medical student in The University of Manchester. Passionate in literature and (practical) social activism, not to forget her (future) medical profession. A staunch humanitarian and feminist, but abides by her personal definition of the terms. Believes in and fights for universal compassion. Artikel ini asalnya disiarkan di buletin rasmi UKEC pada 10 November 2007. Mungkin untuk mengisi hari-hari yang tidak sempat saya tulis apa-apa yang khas untuk blog ini, saya akan paparkan saja tulisan-tulisan saya untuk laman web dan penerbitan lain. InsyaAllah. =) Hm, dua tiga bulan belakangan ini, ruang komen 'belang hitam putih kelabu' seperti tidak berbelang! Adakah pengunjung saya sudah menyusut atau masing-masing menyepi kerana tidak apa-apa yang berbaloi untuk dikatakan? Hehe~ meow~ |
Friday, December 07, 2007
Palestin Dibela, Tuhan Dicari
Saya rasa saya tidak perlu minta maaf pun, tapi saya minta maaf juga sebab laman ini sudah lama tidak ada wacana 'isu semasa'. Kemaskini pun sekali-sekala. Sedangkan ada saja macam-macam hal menarik yang elok saya kongsi bersama! Sibuk yang tidak sudah-sudah lebih memberi ruang kepada refleksi dari hati apabila hujung-hujung jari mahu bergurau dengan papan kekunci. Yalah, hari-hari sudah habis dengan fikir yang berat-berat, menulis itu bagi saya satu rehat, cenderung sungguh ia melencong ke arah imbasan-imbasan yang lebih halus tentang hayat =)
Alhamdulillah, sahabat-sahabat saya rajin merakamkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di Manchesteri Darul Aman dalam laman-laman mereka.
Zaatil Iffah - In Solidarity with Palestine, ini catatan tentang General Meeting yang keramat itu. Daripada kakak yang berlari-lari dari Preston, bandar sebelah, selepas terburu-buru menyudahkan kelas, untuk menitipkan satu undi demi Palestin kerana Allah.
Hanis Hamka - Kemenangan Kebenaran di Atas Kebatilan, tulisan pelajar Melayu Muslim yang lebih senang mengakrabi sahabat seiman atas dasar agama dan praktikaliti berbanding eksklusiviti bangsa dan nasionaliti.
Nadia - If I Come From Ape, What's The Point in Praying? Rentetan hujah dan perdebatan yang berlangsung di Lecture Theatre B, Roscoe Building, antara ateis yang kehilangan Tuhan dan Muslim yang mahu menjadi asbab umat melihat Tuhan.
Selamat membaca dan berfikir!
meow~
Sunday, December 02, 2007
Poetry Without a Rhyme
But little did they know, that poetry is often more beautiful without any rhyme.
A poem might be better off, if the lines are devoid of any rhyme.
Rhymes in poetry are as superficial as rose-tint on windowpanes.
Rhymes in poetry are as deceptive as ice-layer on the surface of wintry lakes.
Sometimes, to achieve rhyme, a poem may sacrifice its meaning for want of rhyming words.
To make it sound more pleasing to the ear.
While life itself is often cacophonous.
Rhyming lines stink of pretention.
Of attempts to preserve looks and appearances, while attempting to appear focused on content, and content alone.
Is there any difference in messages, delivered in rhyming lines, or cacophonous ones?
How many a deceit is rhymed so beautifully and lulled souls to oblivion.
How many a truth is swished aside, for truth is often singular, and does not need nor approve of a rhyme.
A Poem, once written, will never die.
The paper may crumble and the ink may wash off, but the lines are recorded eternal.
In the hearts of minds of those who remembered it.
Every so often, the Rhymes are remembered more than the Poem.
A Poem, devoid of any Rhymes, stands on its own solitude.
Needing not any reciters, nor starry-eyed admirers.
Spouting the lines away, admiring the resonant rhymes.
A Poem, devoid of any Rhymes, stands on its own uniqueness.
Needing not to conform, to succumb, to those who say that Poems must have Rhymes.
For as long as the Writer of writers remembers it and loves it, a Poem is the best Poem.
assalamualaikum,
meow~
-pasca kembara Nottingham-Sheffield yang mengajar pelbagai rasa, fizikal dan mental!-
Tuesday, November 20, 2007
Penawar
Banyak titipan yang 'intelek', menyentuh ragam umat dan rencam isu semasa yang pingin saya taburkan di sini. Janji demi janji - kepada teman, kepada diri - untuk menulis tentang itu dan ini, masih belum terpenuh. Ah maaf, semua itu saya tangguh. Malam ini, satu malam daripada malam-malam yang hening, yang mana langsir yang disingkap pada paginya kelak akan menampakkan kaca tingkap yang putih dengan wap air yang memeluwap, petanda musim dingin baru bermula, saya mahu menukil cerita yang sedikit peribadi.
(Ah, kenapa tiba-tiba rasa hiba? Mana mungkin perasaan tiba tanpa ada puncanya?)
Sebentar. Perlu menyusun semula organisasi ilham. Jangan nanti kecamuk dengan lontaran-lontaran picisan yang akan membuat saya malu melihat entri ini pada hari depan.
(Ingatan untuk diri sebelum jari meneruskan tari : air mata dan rintih-rintih hati bukan untuk tontonan umum!)
Baiklah. Tema utama pada malam ini adalah perubahan.
Saya selalu mengingatkan teman-teman (dan 'adik-adik' atau 'anak-anak'), kehidupan ini terbina daripada perubahan yang tidak ada henti-hentinya. Bezanya cuma pada magnitud dan arah. Lebih besar magnitudnya, lebih ketara arahnya, maka lebih terasalah ia. Lebih besarlah impaknya. Tidak akan ada hidup tanpa perubahan, sama seperti tidak ada kehidupan tanpa kematian, jadi mengapa perlu takut-takut, sedih-sedih, bimbang-bimbang? Bukankah semuanya dalam tangan Allah?
Seperti yang pernah saya katakan kepada adik (kandung) yang cuak menggelisah di ambang peperiksaannya,
"Semuanya Allah pegang. Kito usoho habis-habisan, lepah tu kito doa, mitok nge Dia. Keputusey dale tange Dio, dan ingak, Allah tak akan ngenak ko kito. Allah tak akan sajo-sajo wak jahak ko kito. Jadi apo hok berlaku pung, semuonyo akan berhujung denge kebaikey insyaAllah."
Perlu terjemahankah?
"Semuanya Allah pegang. Kita berusaha habis-habisan, lepas tu kita doa, minta dengan Dia. Keputusan dalam tangan Dia, dan ingat, Allah tak akan menganiaya kita. Allah tak akan saja-saja buat jahat kepada kita. Jadi apa yang berlaku pun, semuanya akan berhujung dengan kebaikan insyaAllah."
Cakap senang. Senang sekali. Walaupun apa yang dituturkan itu adalah kebenaran.
Sesungguhnya bersangka baik dengan Allah jauh lebih mudah daripada bersangka baik dengan manusia. Mengapa ya? Mungkin sekali kerana Allah tidak pernah berubah, sifatNya tetap itu, sehingga akhir waktu. Janji-janjiNya pasti. Dia Maha Suci. Sedangkan manusia tidak begitu!
Manusia itu fitrahnya dinamik dan bukan statik, berubah setiap saat dan detik, terutamanya manusia yang mengkal, yang muda, seperti saya, dan seperti banyak orang di sekeliling saya. Saya berubah, dan orang-orang di sekeliling saya turut berubah.
Saya cuba menghimbau ratus-ratus dan ribu-ribu hari lepas yang pernah saya lalui dengan tidak terhitung kiraan nafas. Saya tahu walaupun saya tetap saya pada roh dan jasad, walaupun ada sari personaliti yang tetap mendarah daging sejak saya mula mengerti apa itu dunia, takah-takah kecil dan besar yang saya telusuri dengan sungkur rebah, dengan tawa dan tangis, telah mengubah saya sedikit demi sedikit sehingga menjadi 'adibah abdullah' yang wujud hari ini, dan perubahan itu tidak akan berhenti selagi saya masih bernyawa. Menoleh ke belakang, saya syukur amat, terasa Allah itu terlalu baik kerana mengurniakan saya perubahan demi perubahan yang akhirnya menempatkan saya di sini. Benar tidak semuanya manis, malah terlalu banyak yang pedih dan pahit, meskipun tidak sekali-kali saya bermaksud hendak mengeluh atau mengungkit - alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
"Saya menghargai semua yang pernah berlaku kepada saya, kerana ia membentuk saya yang berdiri hari ini." - seorang teman-
Satu nasihat yang pernah saya ucapkan beberapa kali,
"Tidak perlu terlalu obses dengan manusia. Dengan apa yang manusia fikirkan tentang kita, apa yang manusia katakan tentang kita. Tentang benci dan sayang mereka. Manusia - rakan, teman, siapa saja - datang dan pergi. Sekarang mungkin kita rasa mereka penting dan mustahak. Esok? Lusa? Tahun hadapan? Sudahnya kita akan berdiri sendirian. Sendirian menghadapi apa sahaja yang datang. Yang ada hanya diri, hanya Tuhan. Mati nanti tetap seorang."
Aduh, sekali lagi, cakap itu senang!
Dulu, saya insan naif. Tapi sepak terajang yang pernah saya lalui - dan masih! - mengubah saya menjadi skeptikal dengan manusia. Dengan kawan dan teman. Maaf, tetapi saya akui, saya bukanlah insan luhur lagi pemaaf yang membiarkan luka-luka lepas sembuh dan larut. Apatah lagi apabila luka-luka itu banyak dan dalam. Pun, saya syukur, kerana seperti bunga-bunga dan belai manja, luka-luka juga banyak mengajar saya menjadi manusia dan mendepani manusia. Tidak, saya bukan takung yang melimpah dengan benci dan buruk sangka. Hanya berhati-hati, hanya membina benteng ghaib, hanya 'menjaga' personaliti khas untuk paparan umum.
(Tidak, tidak, saya tidak mengaku hipokrit. Cuma, analoginya, siapa akan melompat-lompat di depan menteri - atau menantu menteri - yang alergik dengan bangsa beruk kan? =) )
Meniti hidup, akan ada juga teman-teman yang berjaya merempuh 'benteng'. Yang saya tumpahkan kasih, curahkan sayang, hamburkan percaya, tanpa beragak-agak. Walaupun mereka tetap datang dan pergi, tapi sewaktu bersama, saya benar-benar memberikan hati apabila saya diberikan hati. Kadang-kadang sehingga lupa, mereka dan saya adalah manusia yang mampu dan akan berubah, dengan pelbagai magnitud dan arah. Ah, seperti melalut pula. Balik kepada topik asal, perubahan.
Perlukah manusia rasa bersalah kerana berubah, sedangkan perubahan itu sesuatu yang MESTI? Seperti cinta yang datang sendiri dan perlu direntap untuk mencabutnya dan mencampaknya pergi - perubahan juga bukan boleh dipanggil-panggil dan dienyahkan sesuka hati. Haha, saya tahu, akan ada penghujah yang berkata, "bergantung kepada perubahan itu ke arah kebaikan atau keburukan". Baiklah, adakah setiap perubahan yang kita lihat, yang kita rasai, baik pada diri sendiri mahupun pada orang lain, dapat kita terus nilai arahnya? Magnitudnya mungkin, tapi arahnya? Yang mungkin tidak terus tampak serta-merta.
Perubahan dan insan yang berubah adalah dua entiti yang mungkin bertindih, tapi tetap berlainan. Menanggapi perubahan yang magnitudnya besar sudah cukup sukar. Bagaimana pula hendak menangani dan menanggapi insan yang berubah? Dan ingat, saya tidak semata-mata merujuk kepada orang lain, tetapi juga diri sendiri. Seringkah kita merenung cermin dan bertanya diri sendiri, kenalkah aku kepada insan yang kulihat? Adakah tanpa sedar, kita telah berubah dengan perubahan yang kita sendiri sukar fahami, dan menukar diri menjadi seseorang yang hampir tidak dikenali?
Diri yang berubah mungkin relatifnya mudah untuk ditangani. Macam-macam mana pun, ia tetap diri sendiri. Saya sendiri. Kalau saya rasa saya 'hilang' identiti, keliru siapa diri, tidak ada sesiapa yang akan menghalang pencarian saya.
(Kecuali setengah-setengah jenis orang yang sukar memahami erti 'pencarian peribadi', tapi bukan itu isunya di sini).
Bagaimana kalau orang lain yang 'berubah'? Orang yang pernah bertukar-tukar hati dengan saya, lalu inci-inci gerak hatinya (atau mereka) turut dapat saya rasai. Sungguh, apabila bersedia bertukar-tukar hati dengan insan lain, maka perubahan demi perubahan yang berlaku 'wajib' dijangka dan ditanggapi satu demi satu. Idealis yang hidup di awang-awanganlah saya kalau mengharapkan 'keamanan dan kedamaian' yang statik, 'persetujuan bersama' dalam semua perkara, selama-lamanya, selagi masih berpijak di dunia.
(Meskipun saya akui, saya sering selesa dengan keadaan yang sedia, seperti kucing yang nyenyak di dalam kotak, perubahan yang besar magnitudnya adakalanya seperti air sejuk yang menyimbah jahat sehingga kucing basah kuyup dan melengking terperanjat.)
Idealis yang hidup di awang-awanganlah kamu semua (siapa sahaja termasuk saya), kalau menterjemah hidup dengan persepsi kamu semata-mata, menafikan bulat-bulat definisi daripada kamus orang lain! Ah, abaikan.
Perubahan dan insan yang berubah perlu ditanggapi dengan cara yang berbeza. Kita mungkin tidak bersetuju dengan perubahan itu pada penilaian zahir, tapi berilah ruang kepada insan yang berubah itu. Beri ruang untuk dia (saya?) menanggapi perubahan yang kadang-kadang dipaksakan untuk dihadapi, yang ada waktunya disedari hanya setelah ia tiba dan menjarah ruhi.
Dalam detik-detik genting inilah, setiap kasih dan sayang, ikrar dan janji akan teruji. Saya pasrah tentang penilaian insan terhadap diri saya sendiri, apapun manusia datang, dan manusia pergi, kesudahannya saya tetap sendiri!
Namun demikian, ada insan-insan yang saya sayang, yang telah bertukar-tukar hati dengan saya - yang saya yakin, yang saya harap, datang dalam hidup saya bukan untuk pergi. Saya tidak tahu logika di sebalik pernyataan ini, tapi saya akur dan akui, ada waktu-waktunya kita - saya - perlu berhenti meragui dan mencurigai, serahkan saja kepada 'rasa kenal' dan keyakinan yang berakar daripada pengalaman dan gerak hati, lantas tawakal kepada Ilahi.
(Sungguh saya degil amat dalam memaut lengan seseorang, atas nama percaya, harap dan sayang, hampir tidak akan saya lepaskan, kecuali apabila tiba waktunya saya rasa semuanya lebih wajar ditamatkan (maaf, adakalanya, tanpa kemaafan!). )
Kerana sangat sayang dan sangat percaya, biarlah apa perubahan pun yang saya rasa, yang saya lihat, saya tetap sangat sayang dan sangat percaya, bersangka baik dan berlapang dada. Selagi mampu dan terdaya, selagi saya masih kenal dia siapa. Dan dalam ruang-ruang kelabu itu, saya tidak akan putus menitipkan doa, menghulurkan pendapat dan pertolongan dengan harapan insan yang saya sangat sayang tidak akan berubah ke arah yang songsang. Hanya ada satu arah yang membawa ke arah kebahagiaan sebenar, bukan? Cara berjalan itu pelbagai, tapi arah, hanya ada satu.
Dan saya juga mengharap, insan-insan yang saya sayang, yang saya sangat sayang (ada bezanya antara kedua-dua klasifikasi ini) juga akan sayang dan percaya kepada saya, bersangka baik dan berlapang dada dengan saya sentiasa, walau apapun perubahan yang kalian lihat (sama ada pandangan itu tepat atau tidak, itu persoalan lain) pada saya. Selagi mampu dan terdaya, selagi kalian masih kenal saya siapa. Juga jangan putus menitipkan doa, menghulurkan pendapat dan pertolongan, semoga dalam galuran hidup yang panjang ini saya tidak akan pernah berubah ke arah yang songsang. Bukankah perubahan itu akan terjadi, dan mesti terjadi?
Terima kasih kepada teman-teman yang menyayangi dan mempercayai saya. Terima kasih juga kepada teman-teman yang mengizinkan saya menyayangi dan mempercayai kamu semua.
Terima kasih kepada teman-teman yang saya tanggapi sebagai paling istimewa dan menganggap saya istimewa.
Perubahan boleh saja jadi mengelirukan, malah menyakitkan. Prosesnya itulah. Kalau sudah berlaku dengan sempurna, lain pula.
(Air yang sedang membeku menjadi ais, kalau diterjah sebelum keras, akan meretak dan pecah. )
Hasrat ini memang kedengarannya terlalu idealis dan eskapis, malah tidak realistik langsung, tapi bukan hanya sekali saya pernah mengimpikan agar hidup saya tidak dijengah lagi oleh perubahan-perubahan yang melukakan.
Bolehkah begitu? Bolehkah hidup dan berkembang bijak serta matang tanpa dijengah apa-apa kelukaan? Saya tahu logiknya saya tidak akan menjadi seperti sekarang kalau sejarah saya sejernih wajah tasik yang beriak-riak tenang. Kembali kepada asal, semuanya dalam tangan Allah, Tuhan yang Maha Suci dan sama sekali tidak akan menzalimi.
(Ah, percaya dan sayang akan membebat semua kepedihan, merawat segala kerisauan, menjadi penawar untuk semua kelat-pahit perubahan! Semoga. )
Mohon hidayah, taufiq dan pemeliharaan dari Tuhan. Untuk saya, untuk yang istimewa, untuk semua, dan untuk setiap yang menghuni dunia.
salam sayang,
meow~
Thursday, November 15, 2007
Menang, Walaupun Perjuangan Belum Selesai
Assalamualaikum.
Alhamdulillah keputusan undian memihak kepada kami dengan majoriti sekitar 300. Satu jumlah yang sangat besar!
Cerita selanjutnya akan dikisahkan kemudian. Sibuk! (mana pernah tak sibuk sebenarnya kan..)
meow~
Sunday, November 11, 2007
Merawat Luka, Menyembuhkan Jiwa
IMAM Extreme Medicine 2007 Intro Video - The most amazing home videos are here
Assalamualaikum.
Video pembukaan program Extreme Medicine 2007 bertempat di Manchester Royal Infirmary pada awal musim bunga lepas.
Hak cipta kreatif Am Basheeri Alias, aminamcreativearts.
Mampu membakar semangat, mengingatkan saya tentang kemuliaan dan kepentingan profesion ini, tatkala saya rasa futur menatap otot-otot lembab berbau formalin pekat dan lembar-lembar ilmu yang tidak berkesudahan.
Oh, jangan lupa lawat laman web IMAM UK-Eire. Silalah daftar, terbuka untuk semua.
salam,
meow~
Tuesday, November 06, 2007
Meeting on International Humanitarian Relief Work : Malaysians' Experience
Di Malaysia Hall, London, 18 November ini, insyaAllah IMAM (Islamic Medical Association of Malaysia) dengan kerjasama UKEC (United Kingdom Education Council) dan MERCY Malaysia akan menganjurkan seminar tentang kerja-kerja sukarela kemanusiaan antarabangsa.
Boleh klik poster untuk gambar yang lebih besar dan jelas.
Tentatif terkini setakat ini,
0920 - 1000 Pembentangan daripada UKEC (kerja kebajikan mereka di Malaysia, seperti Projek Kalsom, Anak Chow Kit dan Projek Rumah Setinggan)
1000 - 1100 Pengenalan : IMAM UK-Eire Student Chapter
1100 - 1230 Pengenalan : MERCY Malaysia
12.30 - 1300 Majlis Penutup dan Persegaran (makan la ni)
Ayuh, kita tunjukkan sokongan kita terhadap aktiviti kemanusiaan yang melangkau sempadan geografi, politik mahupun ideologi. Kita cerah-cerahkan lagi fikiran dan pengetahuan dengan thaqafah ini. Manalah tahu juga, ada peluang untuk melibatkan diri dengan kerja-kerja IMAM, UKEC atau MERCY pada masa akan datang?
Adibah Abdullah,
Timbalan Presiden,
IMAM UK Student Chapter.
----------------------------------------------------------------------------
[ Selingan : Untuk huraian lanjut tentang pengertian dan pengaplikasian istilah thaqafah, ada penjelasan tentangnya dalam artikel Ustaz Muhammad Uthman el-Muhammady ini =)]
----------------------------------------------------------------------------
Artikel promosi ini boleh anda copy-paste ke mana-mana sahaja, kali ini saya tak akan bising-bising tentang copyright =p
meow~
Friday, October 26, 2007
Bola Keranjang
menghempas lantai
melambung tinggi
wah, tinggi sekali
bising sekali!
Kerajaan badanmu akur
mata menjadi mandur
keranjang melambai-lambai
nun
tinggi sekali
seperti langit
seperti angkasa
memanggil-manggil.
Kau melompat,
tinggi-tinggi,
bola kaubaling menghentam papan
seperti letupan
pelancar roket
keranjang menganga
sampai bola ke sana
selamat engkau ke syurga.
Kau tersungkur
lelah
kakimu seliuh patah.
Keranjang berlubang
bola melurut
tersembam ke bumi
bergolek pergi.
-teringat waktu di MRSM dahulu, bermain bola keranjang, saya yang kecil terperosok ke bawah lengan seorang teman yang berbadan besar, dalam kecoh-kecoh memperebutkan bola sikunya menghentam kepala saya, padu, dunia gelap seketika! pernah juga berkawad di tepi gelanggang bola keranjang, dengan tidak semena-mena sebiji bola sesat 'hinggap' dengan jitu betul-betul di atas kepala... namun puisi ini tidak ada kaitan dengan pengalaman-pengalaman traumatik itu =) -
salam'alaik
meow~
Thursday, October 18, 2007
Mimpi Muhayra
Draf skrip pementasan untuk satu aktiviti yang bakal muncul nanti =)
Kelibat Zuhayra
Malam-malam, Zuhayra datang. Muhayra tidak tahu rupanya, yang ada hanya suaranya yang bercerita. Tidur Muhayra yang selalu pulas akan sedikit terganggu. Zuhayra membawa bermacam-macam cerita. Mulanya, cerita-cerita itu damai dan bening. Tentang sebuah padang pasir di tempat yang jauh, ketika seorang bonda berlari-lari mencari air untuk puteranya, lantas tendang-tendang kaki sang bayi suci memecahkan pundi Zamzam di dada bumi. Tentang Rahmatan-lil-Alamin yang diturunkan Allah dalam rupa seorang insan sempurna membawa basyirah dari langit. Tentang awan yang menjadi payung dan bulan yang terbelah langsung kembali bercantum. Tentang para wanita suci dan laki-laki mulia yang mewakafkan hidup dan nyawa untuk Allah mereka. Tentang zaman-zaman emas ketika ummah mendaki tangga demi tangga menuju kemuncak.
Muhayra tidak kisah. Cerita-cerita Zuhayra membuat dia senang sekali. Walaupun dia sudah lupa cara berwudhu'. Walaupun Ramadhan hanya ditandai oleh majlis berbuka puasa anjuran pelbagai persatuan yang kadang-kadang dihadirinya. Muhayra tahu, Zuhayra bercerita perkara-perkara benar. Muhayra seronok mendengarnya.
Sejak akhir-akhir ini, cerita Zuhayra semakin tegang. Tidur Muhayra bukan setakat terganggu, malah digegar ronta-ronta dan peluh dingin merenik di dahi. Nampak lembaga manusia berpakaian seragam aneh begitu gasar menyuraikan majlis-majlis yang aman, yang mengumandangkan puji-pujian kepada Tuhan. Kemudian nampak jasad-jasad yang dibedil, dipenjara, dan digantung, sambil meneriakkan syahadah. Nampak umat yang menangis merintih. Nampak al-Quran bersusun-susun di atas rak, tebal berselimut debu. Nampak lagi dalam lenanya itu peluru-peluru bersimpang siur, wanita-wanita yang pakaiannya direntap dan lelaki-lelaki yang perutnya dirodok besi hingga terburai. Nampak sekilas rupa seorang perempuan dengan kerudung putih kotor berdebu dan sepasang mata yang bercahaya walaupun wajahnya berpalit tanah serta darah.
Engkaukah Zuhayra?
Zuhayra mula liar, tidak lagi membataskan ziarahnya pada malam-malam hari. Siang-siang hari Muhayra mendengar teriak tangis dan jerit raung. Kadang-kadang Muhayra terlompat mendengar bunyi bom dan terjerit ketakutan apabila peluru berdesing-desing. Malah berkali-kali Muhayra nampak lembaga berkerudung putih menjeling tajam ke arahnya. Muhayra kacau tidak keruan. Kata teman-teman, dia halusinasi. Itulah, keluar ke kelab malam, telan lagi LSD! Neuronmu sudah kecamuk, sudah keliru membezakan antara dunia dan mimpi. Muhayra bantah, bangkang, aku hanya teguk bir dan wain, melentok-liuk dalam dakapan Alex dibuai irama waltz atau terkinja-kinja mengikut rentak lagu terbaru Britney, aku tidak pernah ambil dadah!
Air Mata Dunia, Air Mata Muhayra
Muhayra ingin berontak. Bosan dan benci. Kehadiran Zuhayra menyerabutkan dirinya. Dia seperti dibelenggu satu macam kengerian yang sukar diperikan. Seolah-olah dirinya bertanggungjawab atas semua penderitaan yang tebal dan pekat itu. Malah lebih menggerunkan, seolah-olah Allah yang selalu disebut Zuhayra itu sedang marah terhadapnya. Seolah-olah ancaman yang hebat sedang menantinya, lebih hebat daripada penderitaan tebal-pekat yang dipampangkan dalam mimpi dan separuh jaganya. Lebih terasa begitu apabila paparan alam perang dan tawanan-tawanan dalam penjara itu diselang-selikan dengan gambaran umat entah di mana sedang mabuk berpesta-pestaan seperti yang sering sekali Muhayra lakukan.
Aku seperti kenal siapa yang meraung-raung itu. Aku seperti tahu kenapa mereka begitu sengsara. Aku takut. Aku tak mahu dengar cerita mereka lagi. Zuhayra, berhentilah! Berhentilah ganggu tidurku. Jangan kacau siangku lagi. Aku sudah gerun hendak keluar lewat-lewat malam, nanti aku nampak kelibatmu memintas di depan cermin kereta, mujur Alex yang memandu dan bukan aku. Aku hilang minat hendak bersukaria, tangis kanak-kanak itu membantutkan riangku. Aku jadi takut, rasa bersalah yang entah kenapa. Pergi, aku tidak mahu berjumpa kamu lagi.
Zuhayra tiba-tiba muncul. Paparan mimpi Muhayra berubah, daripada bilik karaoke di mana dia nampak dirinya sendiri sedang bernyanyi sambil pinggangnya dirangkul Alex, kepada sebuah kamar hitam. Bumbungnya hitam, lantainya hitam, dindingnya semua hitam. Wanita berkerudung putih - Zuhayra - menjinjit sebuah pelita. Muhayra meluru ke arahnya, satu-satunya sumber cahaya dalam kamar serba gelap itu.
Tahu juga kamu ya, bila gelap, kamu cari cahaya.
Zuhayra tersenyum sinis.
Untuk kali pertamanya sejak Zuhayra mendatangi malam-malam dan siang Muhayra, mereka duduk berdepan dalam kamar hitam itu, pelita di sisi Zuhayra, dan mula berdialog. Malah dengan keluwesan alam mimpi, boleh sahaja watak-watak yang disebut dalam dialog mereka memunculkan diri di sudut-sudut kamar hitam itu, boleh sahaja dinding-dinding kamar hitam itu tiba-tiba memaparkan pelbagai gambar dan rupa.
Muhayra kaget, bagaimana Zuhayra tahu inci-inci hidupnya. Waktu dia kecil-kecil dahulu, ketika ibu bapanya mengajarnya bersolat. Ketika dia begitu rajin mengekori neneknya ke masjid. Begitu murah hati menghulurkan derma apabila ada yang memerlukan. Ketika kerudung warna-warni tidak pernah lekang menudungi rambut ikal mayangnya.
Zuhayra mengajak Muhayra berjalan-jalan. Menonton wayang, seperti yang Muhayra gemar sekali lakukan tidak kira waktu dan tidak kira cerita apa. Mereka tidak berjalan jauh-jauh, hanya ke sana sini dalam kamar hitam itu. Muhayra diperlihatkan kecelakaan yang menimpa umat seimannya - pelbagai rupa malapetaka, seperti yang sudah biasa dikhabarkan Zuhayra selama ini, hanya bezanya, diiringi oleh cerita dan penjelasan. Zuhayra bercerita tentang khalifah Islam yang rebah, tentang pemerintah yang menekan mengongkong, tentang dakwah, tentang Israel dan Palestin, tentang media yang berdusta. Tentang diskriminasi dan kebodohan beramai-ramai umat dunia. Yang mengaku Muslim tetapi tidak sepenuhnya Islam, tidak faham Islam, tidak mengerti mengapa mesti memperjuangkan Islam. Yang bukan Muslim (malah yang Muslim juga) menelan bulat-bulat apa sahaja riwayat bohong yang disampaikan kepada mereka.
Muhayra naik semangat. Mahu berjuang. Mahu pergi berbakti ke Palestin. Mahu membela umat Islam yang ditindas. Berkobar-kobar api semangatnya. Teringat cerita-cerita damai dan hebat yang Zuhayra pernah kisahkan dahulu. Waktu Islam gemilang dan Allah diagungkan sebenar-benarnya.
Mengapa tidak engkau jelaskan semua ini kepada aku lebih awal, Zuhayra? Aku mesti pergi menolong mereka! Aku mahu bela agama aku, Islam!
Zuhayra cepat sahaja menyimbah air untuk memadamkan api semangat yang melulu.
Ah Muhayra, apa yang kamu mahu tolong, kalau kamu sendiri tidak tertolong? Apa yang mahu kamu beri, kalau kamu sendiri tidak mempunyai? Apa kamu mahu jadi seperti humanitarian sekular yang berbakti semata-mata atas dasar manusiawi - sedangkan kamu punya aqidah yang dapat memberi nilai yang lebih tinggi kepada apa sahaja amalan kamu di dunia ini?
Lucu sekali kalau kamu galak mahu berjuang membela agama dan berdakwah berapi-api, sedangkan memelihara solat lima waktu pun tidak kamu perhati!
Muhayra terdiam. Lantas terungkailah pula segala kisah hidupnya. Dipentaskan dalam kamar hitam itu untuk Zuhayra yang hanya memerhati. Bagaimana dia mula punah rasa sejak belajar di luar negara. Jauh dari ibu bapa. Tudung dan kain semakin singkat, berkenalan dengan arak dan pub. Bercinta-cinta dengan lelaki kacak yang konon kekasih sejati. Bermula dengan menangguhkan solat hingga langsung meninggalkannya terus. Minat dan bakat menyanyi serta menari dipergunakan sepenuhnya untuk memuaskan keinginan, mencari keseronokan. Muhayra mengaku dia terlalu jauh daripada Tuhan, terlalu sarat dengan kejahilan, terlalu akrab dengan teman-teman yang merosakkan.
Muhayra, aku perlu minta diri. Hari hampir pagi. Bangunlah, Subuh sebentar lagi akan tiba. Wudhu'lah dan solatlah. Buku-buku agama titipan ibumu, bukalah, hayatilah ajarannya.
Muhayra, Allah memperturunkan kehinaan kepada umat Islam sebagai ujian. Ia juga boleh jadi hukuman, kerana begitu banyak yang melupakan dan meninggalkan Allah. Senang sekali kalau Dia mahu menimpakan akibat murkaNya kepada dunia, apatah lagi kepada seorang manusia yang kerdil? Apa kaumahu Allah menunjukkan berangNya kepadamu di dunia ini, atau di akhirat nanti yang tidak ada jalan pulang lagi?
Sungguh, Muhayra sungguh-sungguh gementar.
Muhayra, Allah Maha Pengampun.
Surah al-Buruj dan tafsirnya kedengaran. Cetera pengorbanan, ketabahan, revolusi dan perjuangan. Janji Allah yang menggembirakan untuk hamba-hambaNya yang beriman dan berani mempertahankan iman. Ancaman Allah untuk manusia-manusia zalim yang menindas orang-orang beriman dan enggan mempedulikan amarannya. Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati setiap yang terjadi.
Kaulihat penindasan dan kehinaan kepada umat Islam, bukan Muhayra? Kaumahu Islam bangkit dan mereka semua terbela, bukan Muhayra? Jangan bimbang, Allah akan menaikkan semula yang haq dan meruntuhkan kebatilan. Dan Dia akan memilih siapa yang Dia kehendaki untuk menjadi tenteraNya, melaksanakan keadilan dan membela kebenaran. Kalau kaumahu tergolong dalam kelompok yang bertuah itu, bertaubatlah Muhayra. Sucikan dirimu dan Allah akan memanggilmu.
Sudah tiga tahun Muhayra lupa cara menjadi hamba Tuhan. Subuh itu dengan suara tersekat-sekat dengan gagap dan air mata, dia menunaikan solat fardhu.
Semudah itukah Muhayra mencari jalan pulang?
Mencari Syurga
Jalan ke syurga itu penuh onak tajam, jalan ke neraka terbentang luas penuh keseronokan yang diidam-idam.
Teman-teman mentertawakan kerudung Muhayra, menutupi rambutnya yang sebelum ini berbelang-belang hitam dan perang mengikut gaya terbaru. Ketua pejabat sengaja membebankan Muhayra dengan tugas yang bukan-bukan, sukar sekali mahu mencuri waktu untuk solat. Alex memaki hamun Muhayra yang mahu memutuskan hubungan. Muhayra meninggalkan kelab malam, konsert, karaoke dan kompleks beli-belah, teman-teman meninggalkan Muhayra jauh semakin jauh.
Malam-malam Muhayra pergi mengaji, dijeling pula oleh wanita-wanita bertelekung di masjid, selama ini sibuk bermaksiat, datang ke rumah Tuhan membawa diri yang disalut kotoran? Entah ikhlas atau tidak?
Ah, Alex memujuk rayu. Muzik dan tarian, Muhayra rindu. Sukar sekali mahu bangun solat Subuh tiap-tiap pagi. Dan alangkah banyaknya puasa Ramadhan yang perlu diqadha' ganti! Muhayra sunyi. Tidak ada kawan-kawan lagi. Zuhayra juga sudah tidak lagi mendatanginya pada waktu siang, jarang-jarang sekali hadir dalam mimpi. Berubah ini begitu payah! Muhayra mula berkira-kira untuk bertangguh-tangguh. Berdikit-dikit. Lagipun hidup ini mungkin masih panjang amat lagi, Muhayra sukar membayangkan begitu lama berperang dengan nafsu dan dipinggirkan rakan-rakan.
Barangkali tidak perlu terlalu drastik dan tiba-tiba. Jahiliyah ini aku tinggalkan sedikit demi sedikitlah, hidup masih perlu dinikmati. Lama lagi mahu mati. Teman-temanku, mungkin lebih mudah mengerti. Orang-orang alim inipun selalu prasangka, prejudis dengan aku. Lebih baik aku melayan nafsu, lambat-laun nanti tentu aku bertaubat!
Seperti mengetahui gelinciran hati Muhayra, Zuhayra melawat mimpinya kembali. Kali ini perwatakannya lebih lembut, lebih rahimah, tidak setegas dahulu. Zuhayra mengerti, Muhayra memerlukan bujukan dan belaian sekarang.
Zuhayra. Lama benar tidak ketemu. Aku rindu!
Muhayra mengadu tentang perit pedihnya berubah, payahnya menampan goda dan duga. Zuhayra membelai halus, memujuk dengan pesan-pesan untuk istiqamah dan tabah dalam berubah.
Zuhayra membacakan ayat-ayat Allah dan pesan RasulNya tentang jahiliyah dan Islam yang sama sekali tidak boleh bercampur. Memberitahu Muhayra tentang Islam yang bermula dan berakhir sebagai dagang. Menyedarkan Muhayra tentang erti keikhlasan; melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah tanpa secubit peduli pun terhadap reaksi manusia. Menyabarkan Muhayra dengan peringatan bahawa sesungguhnya hidup di dunia ini seperti pengembara yang singgah, terlalu sekejap jika dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi. Menggembirakan Muhayra dengan perkhabaran tentang janji-janji Allah untuk orang-orang yang beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Pagi hari yang baru, Muhayra bangkit dengan azam baru. Dia mahu menjadi manusia yang mendapat untung kerana bijak berurus niaga dengan Allah. Pedulikan manusia dan derita yang sementara. Dia mahu menjadi Muslimah, menjadi mukminah, menjadi solehah. Menjadi mujahidah yang membela Islam dan membawa umat kembali kepada fitrah.
Pintu diketuk. Muslimah yang selalu menjegilnya di masjid. Datang meminta maaf dan mengajaknya berjemaah Subuh bersama-sama. Ukhwah fillah. Dan oh ya, kata mereka, nanti akan ada program khas untuk mendekati dan membimbing gadis-gadis bermasalah di ibu kota. Juga nanti akan dianjurkan rombongan sukarela membawa misi dakwah dan kemanusiaan ke Darfur di Sudan. Mahu ikut, Muhayra?
salam'alaik,
meow~
Tuesday, October 16, 2007
Musim-musim dan Pohon Mapel
Sudah lama rasanya tidak menitipkan puisi romantis di sini. Saban hari memijak daun-daun kuning coklat yang basah bertaburan di atas aspal lembap, meredah hujan yang kadang-kadang renyai atau adakalanya lebat, dipayungi awan yang rendah mendung, sedang pokok-pokok baik rendang mahupun agam seperti diam dalam sendu ketika canda musim bunga dan ceria musim panas meninggalkannya helai demi helai; bertindih pula dengan kunjung-pergi cerita-cerita hidup yang sentiasa sarat dengan pelbagai rasa, ah saya terusik! Bait-bait ayat mula mengapung minta dituris dalam lembar maya.
Musim-musim dan Pohon Mapel
Musim luruh adalah satu musim
daripada musim-musim rindu.
Ranting-ranting menggigil sendiri -
ranting-ranting sepi;
melambai daun-daun pergi
berselerak di hujung kaki.
Ketika langsir malam meminjamkan sembunyi
pohon mapel berjongkok curi-curi
mengutip perca kain merah-kuning yang bertabur
mahu jahit semula selendang yang koyak
dengan jari-jarinya yang runcing rapuh.
Musim luruh adalah musim rindu,
yang hanya mengizinkan rindu!
Bukan temu.
Perca kering berderai
pohon mapel mahu berjongkok lagi
memungut lagi
menjahit lagi
tapi alam sudah cerah dijenguk pagi
perca hancur dilatam kaki-kaki
yang tergesa-gesa mengejar hari.
Musim luruh adalah satu musim
daripada musim-musim rindu.
Musim salji nanti
rindu akan mati
menamatkan musimnya
yang sudah terlalu lama.
Pohon mapel, tunggulah musim semi
tunggulah datang cinta
bersama udara wangi dan sinar suria
selendang hijau
sebagai maharnya.
salam,
meow~
Friday, October 12, 2007
Dinihari Dua Syawal
Kami di Manchester khususnya, dan UK amnya, memang 'terperanjat' dengan perkhabaran dari London dan Islamic Society University of Manchester yang memaklumkan bahawa Aidilfitri tahun ini Jumaat harinya. Bukan Sabtu. Seperti yang saya tuliskan dalam status YM semalam, "bayangkan kucing belang terkejut disergah raya yang tiba-tiba datangnya". Perasaan masing-masing bercampur-baur.
Jumaat sekolah, macam mana nak raya? Lab report, lab, kuliah, PBL discussion... Ingatkan raya Sabtu, tak buat apa-apa pun, tak masak apa-apa, tak sempat buat kuih buat rendang buat ketupat. Rakan serumah, Trishelea (orang Malaysia, India, Kristian Protestan yang taat) menyuarakan 'kecewa' pagi tadi.
"I thought your raya is tomorrow. I've planned to knock on your door and say Selamat Hari Raya.. tak jadi laa pulak.."
Haha. You surprised, kami lagi laa surprised!
Yang paling mengusik rasa, Ramadhan berlalu 'begitu sahaja'. Saya melalui siang hari 29 Ramadhan, berfikir, ah esok masih ada sehari lagi Ramadhan, masih sempat untuk.. untuk buat apa-apa sahaja yang sepatutnya dibuat dalam bulan mulia penuh rahmah ini. Tiba-tiba ia pergi dengan 'mengejut'. Tidak terduga. Seperti hidup bukan, setiap masa kita menyangka yang lima minit lagi, sejam lagi, besok pagi, kita masih bernafas, masih berpeluang untuk beramal mengutip pahala, untuk bertaubat menebus dosa. Bila-bila sahaja sangkaan itu akan meleset!
Ramadhan yang menyelinap pergi, meninggalkan insan terkedu membisu, merenung dalam senyap dan sendu, berapa banyakkah peluang kurniaan Allah yang disambar dan dimanfaatkan sepenuhnya, dan betapa tidak terkiranya pula yang dilepaskan sia-sia. Dilepaskan sia-sia.
kucing: salam'alaik
kucing: eid bila kt
kawan : alaikumsalam..ghadan nshallah...
kucing: sabtu?
kawan : yes...
kucing: it came as quite a surprise to us here
kucing: we expected it to be on saturday.. turns up it'll be on friday, which is tomorrow
kucing: feels like ramadhan simply slipped away without a proper goodbye
kawan : eheh
kawan : yeah tell me bout it
kawan : ramadhan this yer seemed like a basin of water poured on my hands..
kawan : i havent caught most of the opportunity...
kawan : but i have a humble hope that it might at least clean my hands of further heedlessness...
kucing: insyaAllah, that was what i hope for as well
kucing: petang semalam went to this islamic society talk, entitled "What's Your Ramadhan Resolution?"
kucing: the speaker didn't say anything new.. basically expounding on the mercy and limitless bounty of Allah, related to seerah and various ahadeeths, but it was so touching
kucing: truly left me with a mixture of regretfulness and hope
Brother Uthman, penceramah dalam program yang saya hadiri itu bercakap dengan bahasa Inggeris dan Arab yang fasih, bercerita tentang rahmat dan keampunan Allah, tentang cinta kepada Rasulullah S.A.W. Tentang tertutupnya pintu neraka dan terbuka gerbang-gerbang syurga sepanjang Ramadhan yang mulia. Tentang betapa bulan ini adalah waktu terbaik untuk benar-benar mendidik diri, menjernihkan hati, mendekati Allah dan mengemis ampun-redha sungguh-sungguh. Titipan kata-katanya menusuk kalbu, mendesak-desak dalam dada, suara hati mempersoalkan, banyak mana yang kukutip, banyak mana yang kupersia-siakan? Timbul rasa berdosa, penyesalan, bimbang. Bukan selama ini tidak tahu semua itu, tapi insan sentiasa memerlukan peringatan.
Seorang saudara bertanya sewaktu sesi soal jawab, lebih kurang bunyinya, "Brother, if someone has wasted the opportunity of Ramadhan, is there a chance for him/her still in Allah's sight? What should he/she do?"
Brother Uthman tersenyum, ikhlas, dan menjawab dengan nada gembira, lebih kurang, "Of course there is a chance! Allah is All-Forgiving. His Mercy and Forgiveness is much bigger, more bountiful, than the sinful acts of humans. Do not ever give up in praying and worshipping Him."
Apapun, seperti kata kawan saya itu, untuk muhasabah pasca Ramadhan, walaupun mungkin kita tersilap, kita lalai, kita cuai, tempang dan pincang, lompong-lompong dalam amal, hingga langsung bertimpa-timpa penyesalan, jadikan sesal-kesal itu sebagai peringatan, agar dalam kesempatan hidup yang bersisa ini, kita lebih bijak menyusun prioriti dan melaksanakan strategi memburu redha Ilahi. Tidak mengapa, manis Syawal ini sedikit masin dengan air mata sesal-taubat pasca Ramadhan. Malah sesungguhnya lebih baik untuk seorang Muslim itu sentiasa berasa berdosa dan tidak cukup dengan amalnya!
Petikan tafsir Towards Understanding Quran, Al-Mawdudi, surah Ali-Imran ayat 133-136,
And hasten to the forgiveness of your Lord and to a Paradise as vast as the heavens and the earth, prepared for the God-fearing who spend in the way of Allah both in affluence and hardship, who restrain their anger, and forgive others. Allah loves such good-doers.
These are the ones who, when they commit any indecency or wrong themselves, instantly remember Allah and implore forgiveness for their sins - for who will forgive sins save Allah? - and do not wilfully persist in the wrong they had commmitted.
They shall be recompensed by forgiveness from their Lord and by Gardens beneath which rivers flow, there they shall abide. How good is the reward of those who earnestly labour!
Petikan ayat 87 Surah al-Anbiya', doa taubat Nabi Yunus 'alaihissalam sewaktu ditelan ikan Nun kerana meninggalkan umatnya,
.."La ilaha illa anta, subhanaka inni kuntu minazzolimin"
Saya suka sekali dengan petikan 'syair' kumpulan Debu ini. Ya, bertaubatlah, bertaubatlah berkali-kali, sebanyak mana yang mahu, yang mampu, kerana insan tidak pernah kering daripada dosa, dan Allah tidak pernah 'jemu' melimpahkan rahmatNya selagi belum tiba penamat masa kita.
Eid Mubarak, selamat hari raya Aidilfitri kepada semua. Mohon maaf setulus hati seandainya ada yang terguris tak terubat, terhutang langsung terlupa, apa-apa sahaja silap dan salah yang mewajarkan saya memohon ampun untuk menyelesaikan dosa.
Sesungguhnya memaafkan adalah yang terbaik - seperti pesan ayat al-Quran tadi - walaupun saya akui ada ketikanya - satu ketika - hingga kini - payah amat, payah amat, payah amat untuk memberikan maaf, maaf yang tidak pasti layak atau tidak saya memberikannya, bersebab atau tidak untuk ia dituntut. (Tidak ada apa-apa kaitan dengan zaman sekolah menengah saya, jangan siapa-siapa yang tidak berkaitan cuak tiba-tiba! Ini cerita lain~) Malah mungkin semua pihak yang terlibat sama-sama melakukan kezaliman ke atas satu sama lain dan diri sendiri, sehingga tidak ada sesiapa yang lebih memerlukan kemaafan daripada yang lain. Tak mengapa, Allah Pemilik Masa, masa yang menjadi milikNya nanti akan menjadi alat untuk melaksanakan keadilan dan ketentuanNya. Dia juga Maha Mengetahui, Maha Pemurah dan Maha Pengampun.
Saya menanti-nanti waktunya, hati saya dibuka dan dilembutkan untuk memaafkan dan melupakan, kerana kemaafan yang payah amat diberi itu saya harap akan mengundang rahmah dan maghfirah Allah, menjadi hujah untuk saya di hadapan Allah kelak, dan meringankan perhitungan ke atas saya.
Sungguh saya harapkan orang-orang yang pernah saya salahi, hati mereka tidak sekeras saya. Tolong, jangan biarkan saya mencari-cari anda di akhirat besok memohon ampun. Apa yang saya tulis, di mana-mana sahaja, dahulu, sekarang, dan pada masa akan datang jika masih diizinkan Allah, saya akui, boleh sahaja menyinggung sesiapa. Meskipun maksud saya, apa yang saya perjuangkan, hanya Allah yang benar-benar tahu dan menilai, mungkin saja saya tergelincir cara dan terserong niat, lantas memalit mungkar. Kalau anda rasa saya perlu dimaafkan, sama ada saya layak atau tidak menerima kemaafan itu, saya rayu, maafkanlah.
Pinta saya, jangan terlalu mudah terasa. Yang lebih saya fokuskan dalam tulisan-tulisan kritik adalah kepincangan umum dan sifat keperibadian yang lemah. Kalau kepincangan dan kelemahan itu milik saya, atau milik anda, bukan saya atau anda yang saya kritik, yang saya 'lepuk' (bak kata Taufik), tapi kepincangan dan kelemahan itu.
(Iklan selingan: Kepada tuan punya buku yang merindui bukunya, penawar hati yang anda pinjamkan itu saya dah selesaikan baca waktu tunggu dobi tadi, insyaAllah akan dipulangkan secepat mungkin. Lebih cepat kalau diumpan dengan juadah raya yang sedap-sedap.)
Sempena Aidilfitri ini, saya akhiri dengan terjemahan Doa Rabitah pengikat hati yang saya petik daripada koleksi doa dan zikir Al-Ma'thurat himpunan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Moga kita mohonkan dan aminkan bersama, sambil mengenang sahabat-sahabat yang 'berkumpul' bersama, baik dalam dunia nyata mahupun dalam dunia maya, dengan wawasan dan gerakan memperjuangkan Islam. Usah persoalkan ia bid'ah atau tidak, niatkan saja sebagai doa yang tidak pernah salah Muslim memohonkan kepada Allah.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini (orang yang telah dibayangkan tadi) telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi (perintah) Mu, bersatu memikul beban da'wahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu.
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya.
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya (yang sebenar). Penuhkan (piala) hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu.
Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu. (Jika Engkau mentakdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para pejuang dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.
Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini.
Ya Allah, restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami Nabi Muhammad, keluarga dan para sahabat baginda semuanya.
Amin.
salam,
meow~