Thursday, July 20, 2006

Imam II – perjuangkan perubahan

Imam Haji Mihad punya latar belakang yang menimbulkan kekaguman dan keinsafan. Dia tidak diwirakan dan dimuliakan oleh Abdullah Hussain dengan lantang dan melampau-lampau, tetapi kehebatannya diserlahkan dalam kesederhanaan, ketinggian ilmu, dan kerendahan hati. Kegetiran dan cabaran yang pernah dilalui – kehilangan bapa, imam kampung yang dibunuh Jepun; kematian ibu yang sakit kerana berdukacita, mengembara menuntut ilmu di Makkah dan Indonesia, menjadi tentera yang nyaris mati diseksa semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia – menjadikannya insan yang tabah dan tahan diuji.

Segelintir sahabat merayu dan memintanya pulang untuk membimbing penduduk kampungnya keluar daripada kemunduran, kekeliruan serta kemalasan. Lantas Imam Haji Mihad membawa bersama isteri dan anaknya, meninggalkan kehidupannya yang selesa walaupun tidak mewah di Indonesia, lantas memulakan langkah untuk menyingkap satu lembaran baru di Kampung Anggerik Desa. Berbekalkan karisma, ilmu, iman dan azam.

Satu kelainan yang menyentuh hati saya adalah pegangannya kepada prinsip ‘kepimpinan melalui teladan’. Bukan sekadar berceramah dan berkhutbah, bukan sekadar mendengar dan memahami masalah serta memberi nasihat yang berhikmah. Imam Haji Mihad benar-benar ‘cakap serupa bikin’. Dia sendiri memberus mencuci daki dan lumut di tandas dan tempat berwuduk masjid. Dia tidak segan berkeringat mencungap kepenatan, membersihkan halaman masjid untuk memperindahkannya dengan pokok-pokok menjadi taman, memerun belukar membina gelanggang, mencangkul tanah membina irigasi semasa musim kemarau.

Teladan yang jelas, buat anak-anak muda hari ini, terutamanya yang aktif dalam lapangan dakwah dan islah. Untuk memperoleh kesan yang signifikan, jangan takut bervisi. Pada awalnya memang kelihatan seperti membina istana di awang-awangan. Hendak mengikis daki kejumudan dan kemalasan yang bertimbun sekian lama dalam minda penduduk kampung lebih sukar daripada mencuci daki dan lumut di lantai dan dinding tandas. Projek-projek yang dicadangkan – membina taman di pekarangan masjid, gelanggang sukan dan irigasi yang besar untuk mengairi sawah kontang sekali pandang seperti mustahil untuk dijayakan. Memerlukan tenaga dan kerjasama yang bukan sedikit. Namun Imam Haji Mihad tidak beralah sebelum berlari. Ingat, visi jangan tergantung di hujung bibir dan melantun di dinding-dinding kamar mesyuarat. Visi yang berani dan realistik, disusuli oleh pelaksanaan yang bersistem dan bersungguh-sungguh, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’, ‘alang-alang mandi biar basah’, insyaAllah benang yang ditenun lembar demi lembar akan menjadi kain yang indah.

Untuk punya visi yang hebat dan besar, fikiran perlu dimerdekakan. Memandang sesuatu daripada segenap penjuru, meletakkan diri dalam pelbagai lokasi, mempelbagaikan perspektif. Jangan terbelenggu dengan telunjuk orang lain, atau orang-orang lain, walaupun mungkin mereka memegang setampuk autoriti. Rancanglah seperti pemenang catur yang meramal gerakan lawan dua puluh langkah ke hadapan. Dalam merangka visi, jangkau sekali kemungkinan-kemungkinan kesukaran yang mungkin terpacul di tengah jalan. Bukan untuk mematahkan semangat, tetapi supaya persediaan boleh dibuat untuk menanganinya kelak. Visi harus bertampan logik dan rasionaliti. Usah lekas terbawa-bawa dengan laungan semangat yang kadang-kadang membutakan penilaian.

Pesan seorang sahabat, jangan membuntuti semangat, biar semangat yang mengekori kita.

Salam perjuangan, meowwww….

No comments: