Wednesday, August 09, 2006

laga pemimpin laga

assalamualaikum.

Mahu bercerita tentang 'Kem Resolusi Intelektual Muslim'. Tidak begitu unik sebenarnya program ini daripada aspek pengisiannya. Diskusi dalam kumpulan tentang penyakit umat - sekularisme, kejumudan dan kecacamarbaan beragama. Permainan-permainan yang seperti biasa diperkaya dengan 'nilai-nilai moral di sebalik'nya. Solat berjemaah setiap waktu. Kuliah Subuh (waktu setan menggayuti kelopak mata) dan kuliah Maghrib. BBQ. Mandi sungai. Melalui pengisian yang ringkas-ringkas inilah nilai-nilai persaudaraan dan intelektualisme Islam, semangat untuk berbakti atas nama Islam cuba disemaikan, insyaAllah berjaya kalaupun tidak sepenuhnya.

Satu yang 'menarik' dalam kem ini, yang menjadikannya berbaloi untuk diceritakan di laman kucing belang ini adalah peristiwa 'gimik' yang berlaku. Dua tunggak utama program tiba-tiba bertelagah sewaktu 'night walking' kononnya hendak dimulakan. Kedua-duanya saling meninggikan suara dan menghilangkan diri dalam gelap malam. Kerana konflik autoriti, siapa yang lebih berkuasa. Di tengah-tengah rimba rekreasi Sungai Congkak. Dan ketika itu ternampaklah pelbagai reaksi.

Orang lelaki - muslimin - ada yang membuka kelab bual di dewan makan, membuat pelbagai spekulasi tentang aneka ragam 'masalah dalaman' yang mungkin berlaku. Melemparkan kritikan demi kritikan kerana apabila berlaku kepincangan manusia cenderung mencari sasaran untuk jari ditudingkan. Ada yang memulakan operasi mencari kedua-dua sahabat yang hilang.

Orang perempuan - muslimat - ada yang sibuk menekan-nekan telefon tangan, bermesej dan bertelefon sana sini cuba memahami apa sebenarnya yang berlaku. Ada yang tidak keluar mencari - masakan perempuan meredah hutan mencari lelaki yang hilang di tengah malam - tetapi tercangak menunggu terkebil-kebil sehingga tengah malam menjadi dinihari. Ada yang berkumpul bergosip, sementelahan ada teman yang membawa pulang cerita hangat yang didengar daripada kumpulan lelaki.

Dan satu golongan lagi, ada yang lelaki dan ada juga perempuan, adalah kelompok yang tidak mempedulikan apa yang berlaku. Apabila program batal kerana kedua-dua 'bos besar' sudah putus wayar, mereka ambil jalan mudah, balik dan tidur. Apa nak jadi, jadilah. Bukan urusan aku.




Salah seorang yang bertengkar malam itu - namakan dia X - adalah sahabat yang terlalu rapat dengan saya. Yang saya kenal hati budinya dan sudah banyak melalui pahit manis bersama dalam dunia kepimpinan pelajar. Yang seorang lagi - namakan dia Y - pula adalah orang yang sering bergeseran dengan saya, sehingga saya menanggapi perhubungan dengannya sebagai 'tidak lebih daripada kerana urusan' dan perasaan saya terhadapnya kosong daripada kehangatan persahabatan. Awas, Y bukan bekas teman lelaki saya atau orang yang menolak cinta saya. Fikiran orang kadang-kadang cepat saja melompat. Tidak hairanlah kalau saya terus menyebelahi X dan menganggap Y adalah punca segala-galanya. Apatah lagi konflik autoriti yang hampir sama pernah berlaku antara saya dan Y sedikit masa dahulu, dengan kesan yang bukan sedikit.

Gambar di atas bukan X dan Y.

Saya bukanlah antara orang-orang penting dalam penganjuran program. Bukan salah seorang daripada majlis nuqaba' yang menjadi jawatankuasa. Maka malam itu tatkala 'mereka yang penting' berbincang sesama mereka, berkerut-kerut dahi, keluar di tengah malam seolah-olah ada 'rancangan sulit' untuk menyelesaikan 'masalah dalaman' itu, saya terbaring di atas katil terkebil-kebil. Gagal melelapkan mata kerana kerisauan - lebih risaukan X sebenarnya - dan kerana berasa lumpuh. Tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak layak. Saya siapa? Hanya peserta biasa-biasa. Apa istimewanya saya untuk melebihi orang lain, untuk mengikut 'orang-orang penting' melaksanakan 'misi' mereka? Apa hak saya untuk masuk campur? Dan sifat semulajadi saya yang sukar membiarkan sesuatu berlaku tanpa cuba menyumbangkan apa-apa atau setidak-tidaknya mengambil tahu menyebabkan hati semakin mendongkol. Katil saya di sebelah pintu, siapa saja yang keluar masuk saya akan perasan. Saya berpura-pura tidur, memasang telinga apabila siapa sahaja masuk membawa cerita.

Mengapa saya tidak menghubungi X? Kata rapat sangat? Hmm, saya gerun sebenarnya. Mengenali X yang barannya bukan calang-calang andai benar-benar tercabar, saya takut disembur jika berani-berani 'mengganggu' ketika ini.

Sudahnya, esoknya sewaktu hampir majlis penutup bocorlah rahsia bahawa itu semua adalah gimik. Lakonan semata-mata. Tak perlulah dihuraikan perasaan saya ketika itu kerana ia kurang berkaitan dengan moral cerita yang hendak disampaikan ini.

Saya tertarik untuk memetik pertelagahan pemimpin yang dilakonkan itu sebagai refleksi kepada percakaran sebenar dalam dunia nyata dengan skala yang lebih besar. Betapa banyaknya pemimpin yang telah berbalahan, yang selalunya walau apa wajahpun diberi kepada hujah masing-masing, intinya adalah satu konsep : kuasa. Ada ketikanya pertikaian itu tidak meleweh kepada anak-anak buah yang mungkin tidak tahu pun akan masalah yang berlaku. Mungkin tahu tetapi tidak nampak. Mungkin nampak tetapi tidak terasa impaknya. Kerana pemimpin tidak gopoh dan anak buah tidak menyendukkan nasi tambah.

Apabila pecah percanggahan di hadapan anak buah sehingga saling mempersalahkan dan berkerat rotan berpatah arang, maka di sinilah titik mulanya segala masalah sebenar. Akan ada yang menunjukkan tanggungjawab dan berusaha membantu sedaya mungkin. Ada yang tidak ambil kisah. Ada yang hanya berminat untuk mengambil tahu atas dasar 'berita sensasi'. Ada yang mengambil keputusan untuk taking sides - memilih salah satu untuk menyokong kerana sentimen peribadi atau sebab-sebab lain.

Antara kelompok-kelompok ini, siapakah yang paling bersalah? Siapakah pengikut yang paling keji lagi tidak beretika? Ya, yang salah tetap salah. Namun secara kasarnya, sebenarnya masing-masing hanya 'memainkan peranan' memenuhi 'ramalan' tentang apa yang sepatutnya berlaku jika pemimpin tiba-tiba buat hal. Salahkan pemimpin dahulu sebelum menyalahkan anak buah yang 'emosional, tidak setia, tidak prihatin, materialistik'. Kerana logiknya apa perlunya pemimpin yang hebat jika anak buah sudah sempurna sifat?

Dan apabila pemimpin terlalu sibuk bergaduh sehingga tidak sempat menguruskan hal-hal pengikut, sedangkan hal-hal pengikut perlu diuruskan, mahu tidak mahu, melalui proses semulajadi akan naiklah pemimpin yang baru. Lantikan secara 'bidan terjun' atau 'menangguk di air keruh' - bergantung kepada situasi dan personaliti yang terlibat - mungkin akan mendatangkan sense of order dalam jangka masa pendek tetapi disastrous dalam jangka masa panjang. Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahli ... (sambung sendiri)

Kaitkanlah sendiri situasi ini dengan cacamarba politik negara, negeri, universiti, kolej, hatta kampung orang asli sekalipun. Boleh berlaku di mana-mana dalam pelbagai wajah, namun generalisasi boleh dibuat untuk mencari kesamaan.



Menjadi pemimpin bukan sekadar memimpin pengikut, menjadi pemimpin juga termasuklah memimpin diri sendiri agar tidak terlalu ghairah untuk memimpin sehingga lupa akan kesan yang lebih besar kepada pimpinan. Pengikut berhak mengetahui kesilapan yang dilakukan, yang menuntut pembetulan, tetapi bukan untuk diheret supaya memihak kepada Pemimpin A atau Pemimpin B. Kesetiaan anak buah (dan juga pemimpin)sepatutnya lebih kepada organisasi, bukan mengutamakan Pemimpin A atau Pemimpin B hingga mengesampingkan organisasi.Dan ini, memerlukan kematangan daripada Pemimpin A dan Pemimpin B, lebih mustahak daripada menuntut kematangan daripada anak buah. Jika anak buah lebih matang daripada pemimpin, logiknya apa perlunya si pemimpin kekal di takhta pemimpin?

Tengok keadaan juga, kalau organisasi itu yang sudah rosak dan korup, pandai-pandailah anak buah membuat perhitungan...

Kadang-kadang juga, ada suara-suara kecil yang ingin memberikan sumbangan kepada negara. Yang ingin mengambil tahu mengikut kadarnya. Tetapi tidak diberikan peluang -mungkin kerana status sosial, ideologi politik, dan lain-lain. Memang tidak semua pengikut boleh terlibat dalam penyelesaian masalah dan perangkaan keputusan kerana atas sebab itulah pemimpin dan jawatankuasanya dilantik. Tetapi berpada-padalah. Jangan perlekehkan suara-suara kecil ini kerana ia mungkin boleh menjadi besar. Beri peluang, dorongan dan pengiktirafan sewajarnya. Jangan sampai suara-suara kecil ini mencari saluran lain yang sudi memberikan ruang - media alternatif, ajaran sesat, 'penjilat' politik, proksian Yahudi, apa-apa saja - saluran yang mungkin menjadikan sumbangan asal bertukar sumbang. Mungkin sumbang pada mata-mata tertentu sahaja, mungkin benar-benar sumbang. Ketika itu kita akan lihat 'mereka yang penting' sibuk mempersalahkan dan mempersalahkan. Bukan mengakui kesalahan.

salam perjuangan , meowwwwwwwwwww...

Saturday, August 05, 2006

Kasih I

bermula dan belum berakhir
mengakar setelah ia hadir
rumput-rumput yang tidak alah apabila dipijak
dihidupkan oleh harapan
memberi udara kepada nafas-nafas yang sering sesak.

kasih tidak buta
ia melihat pelbagai cerita
dan memaafkan semuanya.

ia sukar berkata jemu
kerana ia sifatnya menunggu.


dedikasi untuk yang wujud tak tersebut.

Friday, August 04, 2006

kem resolusi intelektual muslim





kem resolusi intelektual muslim a.k.a. Muslim Intellectual Resolution Camp

Thursday, August 03, 2006

imbasan kem BTN

Assalamualaikum.

Hm. Macam mana BTN? Daripada satu perspektif, memang banyak informasi yang berguna yang disampaikan. Realiti hidup yang umumnya tersembunyi kerana tidak masuk dalam silibus peperiksaan dan tidak cukup menghiburkan untuk diusahakan sendiri mencarinya oleh anak-anak muda. Yang seringkali dikaburi oleh semangat yang berapi-api untuk mengkritik dan menuntut perubahan tanpa menyedari apakah keadaan semasa yang hendak diubah.

Asalnya tempat kami di Maran, Pahang. Tempat nyamuk berkonsert di tengah-tengah hutan. Sehari sebelum program, lokasi ditukar ke tepi pantai. Ke sebuah resort di Melaka. Tempat alhamdulillah cukup memuaskan bagi saya. Walaupun jejaring katilnya melendut dan tilam nipis menyebabkan belakang merungut, ada teman mengeluh cadarnya berbau 'kencing kucing', lantai berhabuk seperti lama tidak dihuni, semua itu perkara kecil. Penyaman udara sentiasa berdengung. Pemanas air sentiasa berfungsi. Eloklah, sebab kami perlu bangun mandi seawal jam lima pagi. Makanan, bagi saya yang memang kurang melahap bila di tempat orang (di rumah mengalahkan rimau), sudah memadai.

Tazkirah ('kuliah moral') setiap subuh dan maghrib. Bukan senang hendak tidur, didudukkan di kerusi paling hadapan. Isu-isu yang disentuh bermula dengan isu yang universal. Islam yang sering disalahertikan. Perpaduan. kepentingan ilmu. pecah-belah umat Islam. Kemudian menuju ke hujung terus pekat dengan nada politik. ISA. Malaysia negara Islam.

Modul ceramah ada empat. Tanah air, rakyat, kerajaan, kedaulatan. Banyak maklumat yang diperoleh dari sesi-sesi ini. Keharuan disentak oleh kemurnian dan semangat juang generasi terdahulu. Kekesalan melihat betapa ketinggalannya umat Melayu dalam segala bidang yang menjadi nadi kemajuan, betapa terkehadapannya umat Melayu dalam segala bidang yang merundungkan kemusnahan. Kesedaran tentang kerusi-kerusi parlimen dan ketuanan Melayu yang semakin tercabar oleh perpecahan dan ketidakcukupan kerusi untuk menguasai kerajaan, apatah lagi mengubah perlembagaan. Kengerian tentang petaka hitam yang didatangkan dari langit yang terbuka atas nama globalisasi. Dan daripada adukan semua emosi dan informasi diharap semangat dan patriotisme akan bercambah dan subur dalam jiwa-jiwa kami. Diperkukuh pula oleh sesi-sesi LDK yang divisikan akan membawa kami mengenal diri, membina cita-cita dan mengetahui dengan lebih lanjut tentang pelbagai isu semasa. Bunyinya begitu muluk. Tanpa cacat.

Itu yang dicanang-canangkan. Dihebah-hebahkan. Dikonon-kononkan.

Hakikatnya banyak yang pulang kecewa. Terasa seperti tidak mendapat apa-apa. Bukan kerana tidak ada apa-apa yang diberikan. Banyak maklumat. Banyak panduan. Tapi cara penyampaian dan nasi tambah yang disertakan bersama hard fact itu yang menyebabkan protes senyap berleluasa, dan protes senyap ini diberikan suara setelah masing-masing bebas daripada cengkaman penilaian tingkahlaku yang dimomokkan untuk penentuan lulus/gagal. Sebagai pelajar yang bakal ke luar negara insyaAllah, dan menghadiri kem BTN sebagai syarat wajib untuk ke sana, kegagalan adalah sesuatu yang 'amat menakutkan'.

Telah banyak yang saya kritik dalam blog friendster saya, dengan alamat yang diletakkan dalam posting 'sekadar berlalu' sebelum yang ini diposkan. Cukuplah kalau saya menyuarakan kekecewaan kerana 'pihak-pihak' tertentu yang berdegar-degar mengkhabarkan dukacita mereka tentang pemikiran Melayu yang terbatas, aneka macam sikap buruk Melayu dan ketandusan intelektualiti terutamanya di kalangan remaja Melayu, sesungguhnya diri mereka sendiri masih belum dibebaskan daripada belenggu fikrah yang prasangka, jumud, lagi menjumudkan.

Alangkah jumudnya fikiran 'pihak-pihak' tertentu yang menganggap lepasan program pengajian bertaraf antarabangsa boleh disuap buta-buta dengan maklumat dan konsep yang mungkin mereka sendiri pun kurang faham maknanya, dan ditambahkan pula dengan unsur-unsur politik bermotifkan penambahan undi yang memualkan. Bias yang melampaui tahap toleransi. Terasa intelektualiti kami tidak dihormati. Pendapat yang 'bertentangan' dikesampingkan, tidak dilayan, atau dibidas habis-habisan. Kami tercari-cari pengaplikasian konsep demokrasi, kebebasan berfikir, kebebasan bersuara dan keadilan dalam penyebaran maklumat.

Alangkah prasangkanya 'pihak-pihak' tertentu yang menganggap sebarang pandangan yang mengkritik adalah pandangan yang menolak. Lebih prasangka lagi melucukan apabila 'mereka' merasakan bahawa sekiranya peserta-peserta ini diberikan maklumat yang lebih adil dan tidak berpaksikan satu pihak sahaja, tidak diindoktrinasi dengan ideologi-ideologi 'taat setia' dan 'perpaduan' yang melulu membuta (indoktrinasi yang GAGAL), dan diberi peluang menyuarakan pendapat, mereka akan menjadi penentang kerajaan yang tidak bersyukur dan mungkin akan menjadi militan. Lucu bukan? Tapi apa yang berlaku menampakkan ciri-ciri prasangka yang sedemikian.

Cakap tak serupa bikin.

salam perjuangan, meowww....

Wednesday, August 02, 2006

sekadar berlalu

Assalamualaikum.

Sudah mencecah dua setengah pagi. Jari-jemari saya masih laju menaip. Sudah lama kucing belang ini tidak mengiau. 'Adik perempuan'nya di laman friendster lebih kerap dibelai-belai.

Saya baru pulang dari kem Biro Tatanegara yang diwajibkan untuk semua pelajar yang bakal ke luar negara. Yang ingin mengetahui pandangan saya terhadap kem tersebut, silalah kunjungi http://anakgayong.blogs.friendster.com/kucingbelang2/2006/08/ayam_seekor_pot.html.

salam perjuangan, meowww.... mungkin di lain hari kita ramaikan halaman ini dengan kucing-kucing yang bebas berlari.

Thursday, July 20, 2006

Imam III – belasungkawa

Pada muka-muka surat terakhir novel Imam, buah tangan Abdullah Hussain, air mata saya berderaian. Walaupun sudah diketahui sejak awal yang malapetaka menimpa Imam Haji Mihad, walaupun sudah diketahui yang pengakhirannya adalah kematian (syahid?) buat Imam ini, tetapi detik-detik ‘sebenar’ amat mengharukan. Umi memandang dengan kerutan dahi yang membahasakan tanya.

“Tok imam ni dah mati….”

Seperti aliran air terjun yang membuak-buak tiba-tiba berhenti, meninggalkan jeram-jeram menakung sepi. Seperti matahari yang tiba-tiba padam sehingga pucuk-pucuk hijau terkaku di tengah tari. Lalu sahut-menyahutlah rintihan alam menangisi keindahan yang pergi. Penamat perjuangan Imam Haji Mihad berlaku begitu tuntas. Perubahan-perubahan yang dimulakan dan dipimpinnya baru menampakkan hasil yang memberangsangkan. Cabaran yang dihadapi juga semakin sengit. Ketika itulah ajalnya datang mendadak. Benarlah, tiada insan yang memegang hayatnya sendiri, walaupun hanya sehujung kuku.

Saya terpanggil untuk menyentuh kisah pengkarya yang melalui jari-jemarinyalah lahirnya novel Imam ini. Sasterawan Negara Abdullah Hussain kini mungkin berada dalam detik-detik penghujung perjuangannya di medan sastera. Satu demi satu nikmat yang pernah dikecapi diambil kembali oleh Yang Meminjamkan.

Teringat luahannya, fikirannya sudah tidak kreatif seperti dulu lagi. Sudah sukar mencurahkan ilham-ilham bernas seperti yang pernah mencorakkan minda jutaan khalayak. Bayangkan sasterawan yang hidupnya bernadikan curahan ilham diturunkan dugaan sedemikian. Mungkin separuh hayatnya terasa lumpuh.

Pendengaran dan pertuturannya sudah kehilangan upaya. Malah baru-baru ini, khabar diterima bahawa insan sastera ini sudah kehilangan gerak. Tidak bermaya lagi. Mungkin waktu penamat pengembaraannya di jagat raya ini pun sudah semakin hampir.

Yang datang akan pergi. Yang hidup akan mati. Perjalanan, walau sejauh manapun akan terhenti. Abdullah Hussain telah melalui perjalanan yang penuh madu dan duri, warna-warni pengalaman yang digarap semula dalam rupa tulisan. InsyaAllah tidak sedikit sumbangannya kepada kemanusiaan, kepada umat, kepada Islam.

Begitulah yang saya impi-impikan. Yang saya harap-harapkan. Buat saya, dan buat semua sahabat-sahabat. Perjalanan kita mungkin panjang dan mungkin pendek pada ukuran manusia, tetapi hakikatnya kehidupan ini amat singkat jika dibandingkan dengan lembaran abadi yang akan terhampar di dunia sana nanti. Lakukanlah yang terbaik dengan setiap saat yang dimiliki agar kita tidak akan menyesal apabila suatu hari nanti kita menoleh mengimbas kembali perjalanan yang pernah dilalui.

Perjuangan Haji Mihad tidak mati bersama kepergiannya. Perjuangan itu telah diteruskan oleh saudara-saudara dan sahabat-sahabatnya. Mengingatinya yang telah tiada memang akan mendatangkan kesedihan. Tetapi dalam ingatan itu ada teladan, pengajaran dan dorongan untuk terus berjuang.

Kisah perjalanan yang indah akan disambung oleh pengembara lain dengan bahasa mereka sendiri kerana kisah itu terlalu indah untuk dibiarkan berakhir terlalu awal.

Abdullah Hussain adalah seorang manusia. Manusia yang dianugerahi bakat oleh Allah lantas menggunakannya untuk berjuang di gelanggang sastera. Seandainya nafasnya tidak lagi mewarnai dunia sastera, akan ada yang lain menyambung legasinya.

Memperjuangkan kematangan beragama; Islam yang syumul dan fleksibel tanpa dibatasi fanatik perkauman, kejumudan, atau prasangka melulu yang meracuni ukhuwah; martabat ilmu dalam memahami dan mengaplikasikan ajaran agama; serta tiada kompromi apabila mempertahankan kesuciannya.

Belasungkawa dan bingkisan doa untuk Abdullah Hussain sekeluarga. Semoga mereka tabah menerima ujian ini. Andainya kesembuhan itu lebih baik, biarlah beliau lekas sembuh, dan kembali bersastera hendaknya. Andainya pulang itu lebih baik, semoga kepulangannya dalam kedamaian dan kemuliaan, disambut oleh pusara yang tersenyum dan taman-taman syurga yang mengharum.

Salam perjuangan, meowwwwww….

Imam II – perjuangkan perubahan

Imam Haji Mihad punya latar belakang yang menimbulkan kekaguman dan keinsafan. Dia tidak diwirakan dan dimuliakan oleh Abdullah Hussain dengan lantang dan melampau-lampau, tetapi kehebatannya diserlahkan dalam kesederhanaan, ketinggian ilmu, dan kerendahan hati. Kegetiran dan cabaran yang pernah dilalui – kehilangan bapa, imam kampung yang dibunuh Jepun; kematian ibu yang sakit kerana berdukacita, mengembara menuntut ilmu di Makkah dan Indonesia, menjadi tentera yang nyaris mati diseksa semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia – menjadikannya insan yang tabah dan tahan diuji.

Segelintir sahabat merayu dan memintanya pulang untuk membimbing penduduk kampungnya keluar daripada kemunduran, kekeliruan serta kemalasan. Lantas Imam Haji Mihad membawa bersama isteri dan anaknya, meninggalkan kehidupannya yang selesa walaupun tidak mewah di Indonesia, lantas memulakan langkah untuk menyingkap satu lembaran baru di Kampung Anggerik Desa. Berbekalkan karisma, ilmu, iman dan azam.

Satu kelainan yang menyentuh hati saya adalah pegangannya kepada prinsip ‘kepimpinan melalui teladan’. Bukan sekadar berceramah dan berkhutbah, bukan sekadar mendengar dan memahami masalah serta memberi nasihat yang berhikmah. Imam Haji Mihad benar-benar ‘cakap serupa bikin’. Dia sendiri memberus mencuci daki dan lumut di tandas dan tempat berwuduk masjid. Dia tidak segan berkeringat mencungap kepenatan, membersihkan halaman masjid untuk memperindahkannya dengan pokok-pokok menjadi taman, memerun belukar membina gelanggang, mencangkul tanah membina irigasi semasa musim kemarau.

Teladan yang jelas, buat anak-anak muda hari ini, terutamanya yang aktif dalam lapangan dakwah dan islah. Untuk memperoleh kesan yang signifikan, jangan takut bervisi. Pada awalnya memang kelihatan seperti membina istana di awang-awangan. Hendak mengikis daki kejumudan dan kemalasan yang bertimbun sekian lama dalam minda penduduk kampung lebih sukar daripada mencuci daki dan lumut di lantai dan dinding tandas. Projek-projek yang dicadangkan – membina taman di pekarangan masjid, gelanggang sukan dan irigasi yang besar untuk mengairi sawah kontang sekali pandang seperti mustahil untuk dijayakan. Memerlukan tenaga dan kerjasama yang bukan sedikit. Namun Imam Haji Mihad tidak beralah sebelum berlari. Ingat, visi jangan tergantung di hujung bibir dan melantun di dinding-dinding kamar mesyuarat. Visi yang berani dan realistik, disusuli oleh pelaksanaan yang bersistem dan bersungguh-sungguh, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’, ‘alang-alang mandi biar basah’, insyaAllah benang yang ditenun lembar demi lembar akan menjadi kain yang indah.

Untuk punya visi yang hebat dan besar, fikiran perlu dimerdekakan. Memandang sesuatu daripada segenap penjuru, meletakkan diri dalam pelbagai lokasi, mempelbagaikan perspektif. Jangan terbelenggu dengan telunjuk orang lain, atau orang-orang lain, walaupun mungkin mereka memegang setampuk autoriti. Rancanglah seperti pemenang catur yang meramal gerakan lawan dua puluh langkah ke hadapan. Dalam merangka visi, jangkau sekali kemungkinan-kemungkinan kesukaran yang mungkin terpacul di tengah jalan. Bukan untuk mematahkan semangat, tetapi supaya persediaan boleh dibuat untuk menanganinya kelak. Visi harus bertampan logik dan rasionaliti. Usah lekas terbawa-bawa dengan laungan semangat yang kadang-kadang membutakan penilaian.

Pesan seorang sahabat, jangan membuntuti semangat, biar semangat yang mengekori kita.

Salam perjuangan, meowwww….